Monday, March 26, 2007

Jawaban untuk adik Nik Safiyah..(UTM)

Adik Safiyah meminta pandangan dan jawapan kerana "keliru" dan di"keliru"kan... Apa yang ditanya adalah persoalan "Apakah hukumnya? dan adakah sampai sedeqah pahala amalan kita kepada si mati??" ....

Sebelum menjawab persoalan ini, adalah terlebih baik kiranya pembaca dapat memahami bahawa amal ibadat seseorang terbahagi kepada 3 jenis :-

1) Amal Ibadah ‘Badaniah' semata-mata : Iaitu ibadat yang dilakukan oleh tubuh semata-mata seperti solat, puasa, membaca al-quran dan lain-lain.

2) Amal ibadah ‘Maliah' : Iaitu amal ibadat berbentuk harta semata-mata, seperti zakat, sedeqah.

3) Amal ibadah yang mengandungi unsur ‘badaniah' (dilakukan oleh tubuh) dan ‘maliah' ( berbentuk harta) serentak ; ianya seperti Haji.

Maka bagi menjawab persoalan di atas, secara umumnya seperti berikut :-

a- Para ulama ahli sunnah wal jama'ah telah bersepakat bahawa sesetengah amalan boleh di hadiahkan pahalanya kepada orang lain. Ia adalah amalan berikut ( Rujuk : Hasyiah Ibn ‘Abidin , 1/605 ; Nihayatul Muhtaj , 6/92 ; Mughni al-Muhtaj , 3/96 ; al-Mughni, 2/567 ) :-

1- Sedeqah harta dan yang sepertinya.

2- Doa & istighfar.

3- Apa-apa jenis Ibadat yang boleh diwakilkan. (seperti haji)

Antara dalil utama mereka adalah :-

a) Erti firman Allah : "Dan mereka yang datang selepas kumpulan itu , berdoa Ya tuhan kami ampunkanlah dosa kami dan saudara-saudara kami yang sebelum kami telah beriman" ( Al-Hasyr : 10 )

b) Firman Allah ertinya : "Dan pintalah ampun bagi dosa kamu dan dosa orang mukmin" ( Muhammad : 19 )

c) Bertanya seorang sahabat kepada Nabi SAW: ertinya " Ya Rasulullah SAW , sesungguhnya ibuku telah meninggal, adakah jika aku bersedeqah untuknya, maka pahala sedeqah ini dapat memberi manfaat kepadanya? , Nabi SAW menjawab : " Ya" ( Riwayat Abu Daud & Tirmidzi ; Imam Tridmidzi mengatakannya Hasan ; juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dengan sedikit berbeza lafaz tetapi ertinya sama)

d) Seorang lelaki bertemu Nabi SAW lalu bertanya " Ibu telah meninggal, dan ada meninggalkan harta tetapi ia tidak membuat sebarang wasiat terhadap hartanya, adakah jika aku menyedeqahkan hartanya maka dosanya boleh terhapus ? Nabi menjawab : ya" ( riwayat Muslim , Nasaie , tirmidzi dan lain-lain)

Hasil kefahaman dari dalil-dalil di atas :

* Doa muslim kepada yang lain samada hidup atau mati, adalah boleh membantu saudaranya dalam bentuk syafaat, sebagaimana kata Imam al-‘Iz bin Abd Salam "Doa adalah suatu bentuk syafaat (bantuan) yang diharuskan buat ahli keluarga dekat dan rakan yang jauh" ( Qawa'id al-Ahkam , 1/135 ).

* Amalan sedeqah harta boleh memberi manfaat kepada si mati. Bagaimanapun Imam As-Syawkani (w 1255 H) dan Syeikh Muhd Rashid Ridha (w 1354 H) berpendapat amalan sedeqah ini khas untuk anak si mati sahaja. Menurut mereka, sedeqah dari orang asing tidak sampai pahalanya kepada si mati. (Lihat Nayl awtar , 4/99).

Bagaimanapun Imam An-Nawawi (w 676 H) serta jumhur ulama sebelum as-Syawkani telah pun membawa hujjah bahawa sedeqah bukan dari anak juga boleh sampai kepada si mati dengan dalil berikut :-

1) Ijma' , ia telah ditegaskan oleh Ibn Quddamh (w 620 H), An-Nawawi dan Ibn Khathir (w
774H).

2) Telah sabit dalam hadtih bahawa Nabi SAW telah mengiakan pelupusan hutang beberapa orang sahabat, walaupun ia di bayar oleh bukan ahli keluarga si mati.



b- Adapun amalan-amalan lain terutamanya dari kumpulan amalan berbentuk ‘badaniah' semata-mata dan berbentuk gabungan antara amalan tubuh dan harta, Para ulama terbahagi kepada dua kumpulan besar, ia seperti berikut : -

* Majoriti ulama berijtihad mengatakan ianya tidak boleh dihadiah dan tidak sampai kepada si mati jika dihadiahkan. Ia adalah pandangan Imam As-Syafie dan sebahagian besar ulama mazhab Syafie, ia juga pandangan Imam Malik, Imam Izzudin Bin Abd Salam.

Antara dalil utama kumpulan ulama yang melarang ini adalah seperti berikut :-

1) ((وأن ليس للإنسان إلا ما سعى ))

Ertinya : "Dan sesungguhnya setiap manusia tidak akan memperolehi kecuali apa yang diusahakan.." ( An-Najm : 39 )

2) ((ولا تكسب كل نفس إلا عليها , ولا تزر وازرة وزر أخرى ))

Ertinya : "Dan tidaklah seseorang berusaha (beramal) kecuali ia akan memperolehinya , dan tidaklah seseorang kamu menanggung dosa dan beban orang lain" ( Al-An'am : 164 )

3) Hadith Nabi SAW
إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث : صدقة جارية , أو علم ينتفع به من بعده , أو ولد صالح يدعو له

Ertinya : "Apabila mati anak adam, terputus semua amalannya kecuali tiga perkara : Sedeqah jariah, Ilmunya yang dimanfaatkan orang selepas kematiannya, dan anaknya yang soleh yang mendoakannya"

Bagaimanapun, Mazhab Hanafi, Hanbali secara umum dan sekumpulan kecil dari mazhab Maliki, ulama mutaakhirin dari mazhab Syafie dan Imam Al-Qurtubi pula berpendapat : Harus dan pahala seluruh jenis ibadat sampai kepada si mati, iaitu jika ia diniatkan hadiah kepadanya. Ini beerti menurut ijtihad kumpulan ulama ini, semua ibadat seperti solat, puasa, haji, membaca al-quran, sedeqah harta, doa dan lainnya, akan sampai pahalanya kepada si mati. Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa sedeqah tidak semestinya dengan harta (al-Bahr al-Raiq,3/64 cet dar al-Kitab al-Islami; At-Tazkirah fi Ahwal al-Akhirah, 1/101)

Manakala Imam Ahmad Bin Hanbal secara peribadi pula mempunyai pandangan pertengahan antara kedua kumpulan di atas dimana beliau berijtihad HARUS menyedeqahkan pahala membaca al-Quran kepada si mati.

Imam ahmad mengatakan :
" وأي قربة فعلها وجعل ثوابها للميت المسلم نفعه ذلك إن شاء الله , والمسلمون في كل عصر ومصر يجتمعون ويقرأون القرآن ويهدون ثوابه إلى موتاهم من غير نكير "

Ertinya : "Dan apa jua amalan taqarrub yang telah dibuat dan dijadikan pahalanya kepada si mati yang Muslim, maka ia telah memanfaatkan si mati inshaAllah, dan orang Islam di setiap zaman dan tempat berkumpul dan membaca al-Quran serta menghadiahkan pahalanya kepada si mati mereka tanpa sebarang bantahan" (Al-Mughni, 2/566)

Ijtihad beliau disokong oleh sebahagian daripada ulama mazhab Syafie seperti Imam Ibn Solah, Al-Muhib at-Tabari lain-lain. Imam Ibn Quddamah Al-Hanbali ( w 620 H) berkata : "sejak turun temurun di setiap zaman muslim berkumpul dan membaca al-Quran serta mendoakan pahalanya kepada muslimin yang telah meninggal, Nabi SAW pernah bersabda bahawa si mati di azab dengan sebab ratapan dan raungan si hidup, maka tiada sebab mengapa Allah menghalang pahala kebaikan sedangkan azab boleh sampai kepada si mati.." (Rujuk al-Mughni, 2/226 cet Dar Ihya at-Turath al-Arabi)
Telah nyata juga di dalam Fatawa al-Kubra, kata Ibn Taimiyah : "Sah dari Nabi SAW bahawa baginda mengarahkan bersedeqah kepada si mati, juga berpuasa untuknya , maka sedeqah untuk si mati adalah termasuk dari kalangan amalan soleh.... Bagaimanapun bukanlah dari kebiasaan para ulama salaf dan sahabat apabila solat sunat dan puasa dan haji dan membaca al-Quran, mereka menghadiahkan kepada muslimin yang telah mati, justeru adalah terlebih baik jika manusia menuruti jalan mereka kerana ia adalah lebih baik dan sempurna." (Fatawa al-Kubra , 3/38 cet dar al-kutub al-ilmiah)

Secara ringkas antara dalil-dalil kumpulan ulama yang membolehkan ini adalah hadith-hadith yang menyebut tentang keharusannya dalam jenis ibadah Puasa, Haji, Doa, Istighfar dan lain-lain, yang mana menurut ijtihad mereka ia termasuk secara langsung atau tidak dalam bentuk ibadah ‘badaniah' semata-mata dan juga gabungan badaniah (tubuh) dan harta. Berdasarkan dalil ini mereka meng‘qias'kan kepada semua jenis ibadah.


Demikianlah, beberapa pandangan para ulama muktabar ahli sunnah wal jama'ah dalam tajuk ini, kesemua mereka sebagaimana yang dapat dibaca, berijtihad dalam memahami dalil-dalil ..maka dalam hal ini, justeru kiranya ada individu yang melakukannya, tidak harus kita menolaknya secara putus (qat'ie)!, kerana mereka juga mempunyai dalil walaupun dalil mereka di anggap lemah oleh yang menolak (kecualilah jika terdapat unsur-unsur bid'ah sayyi'ah yang terhasil dari perkara-perkara luar).
Apa yang penting adalah menghormati hasil ijtihad para ulama yang berkelayakan.! Jangan kita mudah mencemuh dan mempertikaikan hasil ijtihad mereka sewenang-wenangnya.. Berhati-hati..
Saya tertarik dengan apa yang dipetik oleh al-Imam Ibn al-Salah (w 643H) dalam kitabnya `Ulum al-Hadith: “Entah berapa ramai di kalangan ulama yang telah melangkah kaki mereka di dalam syurga sejak seratus atau dua ratus tahun yang lalu, sedangkan kamu menyebut dan mengumpat mereka” ( 'Ulum al-Hadith, m.s. 390, cet. Dar al-Fikr, Beirut)

Muhammad bin Sirin (w 110H), seorang tabi’ besar pernah menyatakan, maksudnya : “Sesungguhnya ilmu ini (mengenai al-Quran dan as-Sunnah) adalah Deen (agama). Oleh itu perhatikanlah daripada siapa kamu semua mengambil agama kamu.” (riwayat Muslim pada muqaddimah sahihnya)

Semoga terungkai "kekeliruan" yang ada...

Wallahu'alam.

Teringat riwayat hidup Imam Syafi'e Rahimahullah..




Semuanya di atas kekuasaan Allah swt..

Memahami Tarbiyyah (9)

AL MURABITUN

MUQADDIMAH

Umat Islam yang diamanahkan untuk mentadbir dunia sudah tentu memerlukan pendukung yang komited dan memiliki tasawur Islam yang jelas.

Pendukung-pendukung dan pejuang-pejuang yang berjiwa besar ini hendaklah bersedia untuk berkorban masa, harta dan jiwa untuk mempastikan Islam diletakkan di tempatnya yang tinggi lagi mulia.

Sudah sekian lamanya PAS berusaha dan berjihad untuk mendaulatkan Islam di bumi Malaysia yang bertuah ini. Alhamdulillah, sejak akhir-akhir ini seruan dan laungan PAS telah menampakkan petanda positif penerimaan ummah.

Sokongan ini hendaklah dipertahankan dan dipertingkatkan agar seluruh umat Islam khususnya dan manusia amnya dapat menerima dan menikmati keadilan dan kebenaran serta kesejahteraan yang dijuarai oleh Islam.

Tugas dan tanggungjawab yang besar lagi berat ini hendaklah dipikul oleh para petugas sepenuh masa yang diistilahkan sebagai Al-Murabitun.


KONSEP AL-MURABITUN

Apabila Islam semain berkembang maka menjadi suatu keperluan untuk menjaga keutuhan pemerintahan dan mempertahankan sempadannya sepanjang masa daripada diancam oleh musuh. Kumpulan mukmin yang bertugas sepenuh masa ini dikenali sebagai al-Murabitun.

Kalimah ini juga digunakan bagi merujuk kepada orang-orang beriman yang berkekalan di dalam Masjid Nabawi selepas solat Maghrib untuk menunggu solat Isya’.

Takrifan di atas bolehlah dirumuskan bahawa al-Murabitun itu adalah kumpulan mukmin yang bertugas sepenuh masa untuk tujuan-tujuan tertentu. Apabila sesuatu tugas itu dilaksanakan secara sepenuh masa maka sudah tentu ianya merangkumi sumbangan masa, tenaga dan pemikiran.

Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (Ali ‘Imran: 200)

Daripada nas di atas, dapat difahami bahawa menyediakan petugas sepenuh masa “al-Murabitun” merupakan suatu kewajipan. Antara rasional kewajipan ini ialah:

a) tenaga perofesional

b) menjimatkan tenaga

c) menjimatkan kos

Apabila sesuatu golongan itu ditugaskan secara sepenuh masa maka sudah tentu akan lahirlah para petugas yang berpengalaman yang mana hasil dari pengalaman ini menjadiakn seseorang itu pakar dalam bidangnya dan disebut sebagai professional.

Aspek ini dianggap sangat penting untuk memastikan keberkesanan dan kejayaan yang optima. Iannya juga penting untuk memastikan kebolehpercayaan dan kesahihan sesuatu rancangan mahupun tindakan.

Petugas sepenuh masa tentu menjimatkan tenaga memandangkan tenaga pakar yang sedia ada tidak memerlukan tenaga gantian, dan faktor ini sudah pasti boleh menjimatkan kos yang merupakan salah satu daripada ajaran Islam.

Tenaga-tenaga yang dimaksudkan di atas telah dijanjikan ganjaran oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

Daripada Sahl bin Sa’ad al-Sa’idi r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bermurabitunlah satu hari di jalan Allah lebih baik daripada dunia dan apa yang ada di atasnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Sabdanya lagi, yang bermaksud: Daripada ‘Aisyah, bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dan bahawasanya sebaik-baik pekerjaan kepada Allah ialah yang paling berkekalan walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari)

Kedua-dua hadith di atas memberi keyakinan kepada pendukung yang memahaminya untuk berkorban masa, tenaga dan jiwa demi kepentingan Islam dalam apa jua bidang yang ditugaskan.


KEPENTINGAN AL-MURABITUN DALAM GERAKAN ISLAM

Gerakan Islam masa kini menamakan al-Murabitun dengan al-Mutafarrighun. Adalah tanggungjawab al-Mutafarrighun masa kini agak mencabar dari masa-masa yang lampau memandangkan penyebaran Islam telah sampai ke segenap pelosok dunia serta pesatnya perkembangan teknologi moden.

Dengan meningkatnya tahap keintelektualan manusia, maka keperluan kepada al-Murabitun menjadi semakin mendesak lebih–lebih lagi bagi negeri-negeri yang belum berdaya maju.

Perkara ini berdasarkan kepada pengalaman beberapa buah negeri yang mula menerima Islam di mana factor penting kepada kejayaan tersebut disandarkankepada kesedaran rakyat hasil daripada pengorbanan al-Murabitun yang tidak jemu-jemu dalam menjalankan tugas.

Terdapat beberapa bidang yang memerlukan al-Murabitun di dalamnya antaranya:

1. Penyelidikan

Bidang ini amat penting diutamakan untuk merancang strategi, kedudukan dan tindakan yang bakal dilaksanakan seperti Jabatan Pilihanraya Negeri.

2. Pendidikan

Pendidikan memainkan peranan utama dalam menyedarkan rakyat jelata yang berbilang latar belakang maka keperluan kepada tokoh-tokoh yang bekerja sepenuh masa dalam bidang ini haruslah diutamakan seperti para mursyid dan nuqaba’.

3. Penerangan

Dalam melaksanakan prinsip menerang bukan menyerang kita memerlukan para murabitun yang terdiri dari tenaga-tenaga penceramah yang berkemampuan secukupnya.

4. Ekonomi

Tidak dinafikan bahawa bidang inipenting dalam menggerakkan jentera gerakan Islam. Justeru itu, kita memerlukan pakar-pakar ekonomi seeprti para usahawan yang bertugas sepenuh masa untuk membiayai program-program dan aktiviti-aktiviti gerakan Islam.

5. Perundangan

Pakar-pakar di bidang ini haruslah dilahirkan dan dikaderkan dalam bilangan yang mencukupi untuk mempastikan proses pemulihan kuasa dan pelaksanaan undang-undang Islam dapat dijalankan.


CABARAN DAN HALANGAN

Terdapat beberapa cabaran dan halangan untuk melahirkan para murabitun di setiap negeri antaranya:

a) sifat fasik dan jumud

b) tidak sanggup berkorban

c) tidak mempunyai tasawur yang jelas


PENUTUP

Kemenangan Islam dapat dilihat apabila cabaran-cabaran di atas dapat diatasi. Justeru, saya menyeru kepada semua pihak untuk membincangkan perkar di atas dan mencari jalan penyelesaian demi untuk memastikan keutuhan dan kekuatan gerakan Islam dapat diperkembangkan dari masa ke semasa.

Thursday, March 22, 2007

Gelagat Dr Asri menyindir dan menghina ulamak tradisional



sekali dengar macam bagus!,, dua kali dengar boleh tahan,,, bila dengar betul2!,, kita tahu tujuannya.... ajarannya,,, fahamannya,,, berhati-hatilah..

terkandung di dalamnya :-
sindiran & penghinaan kpd ulamak pondok (tradisional),,
fahaman tidak memerlukan ijmak & qiyas,,,
allah hanya menciptakan kebaikkan,,,

Wednesday, March 21, 2007

Jeritan Anak Palestin...



jangan lihat saja!.. setidak-tidaknya berdoalah kpd Allah swt agar diberi kekuatan kpd saudara-saudara kita di Palestin..

Tuesday, March 20, 2007

Renungan yang baik dari ustaz One-G, buat semua..

Satu renungan yang baik dari ustaz One-G buat semua sahabat.

KECELARUAN MUQALLID
YANG MAHU JADI MUJTAHID

Seharian suntuk aku membaca buku karangan Dr Said Ramadhan Al-Buti yang bertajuk “Alla Mazhabiyyah Akhtar Bidaah tuhaddid As-Syariah Al-islamiyyah”.

Dalam seharian suntuk itu jugalah, aku dapat menyempurnakan pembacaan dari buku tersebut. Alhamdulillah, maha suci Allah, betapa tingginya ilmu seorang ulama dari syiria ini dalam mengemukakan hujjah dalam menyatakan kepentingan memahami ilmu usul fiqh bagi mengemukakan sesuatu ulasan agama.

Membaca semua kandungan isi buku tersebut, tergambar diri ini terlalu kerdil di dalam dunia keilmuan islam, masakan pula diri ini merasa lebih alim dari ulama-ulama mazhab.

Dr Said Ramadhan ada menjelaskan didalam buku tersebut tentang satu munazarah ilmiyyah yang berlaku antara beliau dengan seorang ulama yang di kenali ramai; bernama As-Syaikh Nasisruddin Albani, yang telah berjumpa dengan beliau di rumah beliau sendiri bagi mengemukakan bantahan ilmiyyah terhadap tulisan beliau berkenaan dengan kepentingan bermazhab.

Tetapi yang amat mengecewakan lagi, setelah kecundang dalam munazarah ilmiyyah yang berlaku selama 3 jam bersama Dr Said Ramadhan , As-Syaikh Albani telah mengambil sikap yang “tidak berakhlak” dengan mengarang sebuah kitab yang bertajuk “Taassub Mazhab” bersama dua orang ulama yang sealiran dengan beliau, iaitu As-Syaikh Mahmood Mahdi Al-Istambuli dan As-Syaikh Khairuddin Al-Walini dengan mengadakan beberapa jenayah ilmiyyah terhadap As-Syaikh Dr Said Ramadhan Al-Buti.[1]

Yang amat mengejutkan lagi, di dalam buku “alla Mazhabiyyah” itu juga, Dr Said Ramadhan Albuti telah menukilkan kata-kata As-Syakh Albani didalam catatan dari kitab “Mukhatasar Sahih Muslim, karangan Imam Al-Munzir RA.

Didalam catatan tersebut, As-Syaikh Albani Ra menyatakan;

هذا صريح فى أن عيسى عليه السلام يحكم بشرعنا و يقضى بالكتاب و السنة , لا بغيرها من الإنجيل أو الفقه الحنفى و نحوه
Maksudnya;“ini adalah jelas bahawa nabi Isa AS akan berhukum dengan syariat kita, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah, tidak dengan yang lainnya, samada dari kitab injil atau fiqh mazhab Hanafi dan seumpama dengannya[2]

Dengan kata-kata As-Syaikh Albani sebegini, seakan-akan As-Syaik Albani telah mempelekeh keilmuan Imam Abu Hanifah dengan menyamakan antara Injil dan Fiqh Hanafi yang dianggap seperti tidak termasuk dari kandungan Al-Quran dan As-Sunnah.

IJTIHAD ADALAH KEPERLUAN, TAQLID ADALAH KEISTIMEWAAN

Dunia kini sudah ditimpa zaman kekurangan ulama yang berkelayakan didalam berijtihad. Walaubagaimanapun, berijtihad merupakan sesuatu keperluan didalam menjalani kehidupan beragama di dunia ini.

Berijtihad itu adalah sesuatu kemestian, ini kerana antara sebab berlakunya ijtihad adalah “kehidupan dunia ini sentiasa berubah masa demi masa dan keadaan sesuatu tempat tidak menyamai dengan keadaan sesuatu tempat yang lain”.

Dr Wahbah Az-Zuhaili pernah menyatakan didalam kitab “Usul Fiqh Al-Islami” bahawa berijtihad adalah sesuatu kefarduan secara kifayah. Tidak harus berlaku kekosongan ijtihad pada setiap zaman[3].


Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan didalam karangannya “Fatawa Ma’asarah” bahawa berlakunya ijtihad itu adalah kerana sebab-sebab seperti berikut;

1. Pada perkara yang tiada nas.
2. Perkara yang ada nas, tetapi mempunyai beberapa tafsiran.
3. Mempunyai “muaridh” atau pertentangan yang sama denganya atau lebih kuat darinya.
[4]

Maka dengan demikian, melihat kepada sebab yang pertama, memahamkan kepada kita betapa ijtihad itu merupakan sesuatu keperluan didalam kehidupan kini.Adapun taqlid, ianya merupakan satu keistimewaan yang Allah berikan kepada manusia.

Ianya diasaskan kepada firman Allah;

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya;“maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui”
(surah An-Nahl : 43)

Bertaqlid bermaksud, mengambil perkataan orang lain tanpa mengetahui dalilnya[5].

Seseorang yang tidak mempunyai kelayakan berijtihad, dilarang bagi dirinya berijtihad, ini kerana, mana mungkin seseorang yang tidak mempunyai kelayakan dalam bidang pembedahan itu melakukan pembedahan terhadap pesakit.

Sekalipun pembedahan yang dilakukan itu ditakdirkan tidak memberi mudharat kepada pesakit, tetapi tindakan membedah tersebut tetap dikira sebagai tindakan yang berbahaya kepada pesakit.Maka begitujugalah yang berlaku kepada seorang yang tidak berkeahlian untuk berijtihad, yang telah melakukan ijtihad.

SYARAT-SYARAT MUJTAHID

Seorang yang ingin berijtihad, diwajibkan kepadanya memenuhi syarat-syarat bagi melayakan dirinya untuk berijtihad.Berijtihad tidak memadai dengan mempelajari Al-Quran dan As-Sunnah semata-mata.

Juga, tidak memadai dengan mendakwa diri seorang muhaddis dan sebagainya. Tetapi syarat-syarat yang perlu di tunaikan adalah sangat rumit. Dr Wahbah Az-Zuhaili telah menyenaraikan syarat-syarat yang perlu di penuhi bagi melayakkan seseorang itu menjadi mujtahid adalah seperti berikut[6];

a. mengetahui makna-makna ayat Al-Quran, samada dari sudut bahasanya dan syaraknya.
b. Mengetahui hadis-hadis hukum.
c. Mengetahui nasikh dan mansukh didalam Al-Quran dan Hadis Nabi SAW.
d. Mengetahui semua perkara yang telah diijmakkan oleh Ulama.
e. Mengetahui kaedah-kaedah qias dengan betul.
f. Mengetahui bahasa Arab dari semua sudut, iaitu dari nahu, sorof, balaghah, majaz, hakiki dan sebagainya.
g. Mengetahui kaedah-kaedah didalam ilmu usul fiqh.h. Memahami maqasid As-Syariah didalam mengistinbatkan hukum.

MUQALLID YANG MAHU JADI MUJTAHID

Memahami secara syarat-syarat ijtihad yang tersebut di atas, memahami bahawa menjadi seorang mujtahid bukanlah sesuatu yang senang, tetapi ianya memerlukan ketinggian ilmu yang melayakkannya berijtihad.

Walaupun begitu, sesetengah manusia di zaman ini sudah berasa diri mereka berkebolehan didalam berijtihad, sedangkan kebolehan mereka hanya mampu menguasai sesuatu ilmu sahaja.

Ekoran dari itu, mereka menimbulkan satu “fahaman baru” bahawa, tidak wajib, bahkan haram kepada manusia kini bermazhabkan kepada mazhab-mazhab yang tidak ma’sum, seperti bermazhab As-Syafii, Hanafi, Maliki, Hanbali dan sebagainya, tetapi di wajibkan semua manusia bermazhabkan yang ma’sum, iaitu mazhab Rasulullah SAW.

Kenyataan sebegini merupakan satu dakwaan yang pelik, ini kerana, jika mereka mahu mengajak manusia kepada bermazhabkan Rasulullah SAW, bermakna mereka mahu mengiktiraf bahawa semua manusia itu adalah mujtahid, sedangkan perkara ini menyalahi firman Allah;

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya;“maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui”(surah An-Nahl : 43)

Didalam ayat ini, Allah SWT menyuruh manusia itu bertanya kepada orang yang berkepakaran sekiranya mereka tidak mengetahui, maka dengan demikian, menandakan disana ada orang yang tidak berkepakaran yang digelar juga sebagai orang awam yang wajib kepada dirinya bertaqlid.

Dr Said Ramadhan Al-Buti ada menceritakan logic disebalik kewajipan bertaqlid kepada mujtahid semasa berdebat dengan As-Syaikh Albani RA. Antara isi dialog tersebut adalah seperti berikut[7];

Dr Said Ramadhan Al-Buti (DSRB) : seorang lelaki yang baru memeluk Islam; mahu menunaikan solat tetapi kebingungan bagi menentukan arah kiblat. Lalu dia membaca firman Allah;

قُلْ لِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ
Maksudnya;“katakanlah, Kepunyaan Allah timur dan Barat” (surah Al-Baqarah : 142)

Lelaki tersebut beranggapan bahawa setiap orang yang hendak menunaikan solat boleh mengadap ke arah mana sahaja, sepertimana di nyatakan dalam Al-Quran.Kemudian dia mendengar bahawa keempat-empat mazhab telah sepakat bahawa ia harus mengadap Kaabah, dan dia juga mengetahui dalil dalam masalah tersebut, tetapi dia belum melihat sahaja.

Apabila dia hendak menunaikan solat, apakah cukup dia menunaikan solat mengikut panggilan hatinya berdasarkan kepada ayat yang dibacanya atau bertaqlid dengan Imam-imam Mazhab?

As-Syaikh Albani (SA) : memadai dengan mengikut panggilan hatinya.

(DRSB) : meskipun dia solat kearah yang tidak mengadap ke Kaabah sekalipun ? Apakah solatnya di anggap sah?

(SA) : Ya, kerana ia di wajibkan mengikut panggilan hatinya.

(DRSB) : Andaikata panggilan hati lelaki tersebut mengatakan bahawa tidak mengapa melakukan zina, minum arak, mencuri dan sebagainya. Apakah Allah akan memberi syafaat kepadanya disebabkan panggilan hatinya?

(SA) : Senyap sebentar. Kemudia berkata : sebenarnya contoh-contoh yang awak tujukan kepada saya adalah khayalan belaka dan tidak ada bukti.

(DRSB) : bukan khayalan atau dugaan semata-mata, bahkan sering berlaku, bahkan yang lebih pelik lagi. Bagaimana tidak ! seorang pemuda yang tidak memahami apa-apa tentang Islam, Al-Kitab dan As-Sunnah, kemudian membaca sepotong ayat Al-Quran yang ia fahami menurut andaiannya, kemudian berpendapat bahawa dia boleh solat ke arah mana sahaja yang dia mahu, sedangkan ulama-ulama mujtahid telah sepakat menyatakan bahawa di wajibkan solat mengadap ke arab Kiblat (Kaabah).

Dalam keadaan ini, awak menyatakan solatnya adalah sah, semata-mata beralasan dengan panggilan hatinya. Pendirian awak ini sebenarnya bercanggah dengan prinsip awak bahawa manusia itu terbahagi kepada tiga kelompok, iaitu Mujtahid, Muqallid dan Muttabi’.Setelah
(DRSB) menyatakan demikian, As-Syakh Albani RA menyatakan;

(SA) : sepatutnya lelaki tersebut harus meneliti dan membahaskan. Apakah dia tidak membaca hadis atau ayat yang lain?

(DRSB) : ia tidak mencukupi bahan (syarat) untuk membahas sebagaimana keadaan awak ketika membahaskan masalah talak. Ia tidak sempat membaca ayat-ayat lain yang berhubungan dengan masalah kiblat selain ayat di atas. Dalam hal ini, apakah ia tetap harus mengikuti bisikan hatinya dengan cara meninggalkan ijmak para ulama?

(SA) : memang dia harus berbuat demikian, kalau dia tidak mampu membahas dan menganailisa, baginya cukup berpegang pada hasil fikirannya sendiri dan tidak tidak salah.

(DRSB) : ucapan awak ini sangat berbahaya dan memelikan. Ucapan ini kami akan siarkan dalam tulisan ….

(SA) : silakan siar pendapat saya, saya sememangnya tidak takut.

(DRSB) : apakah awak tidak takut kepada Allah SWT. Sesungguhnya ucapan awak tadi menandakan awak telah membuang firman Allah;

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya;“maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui”(surah An-Nahl : 43)

Setelah itu, As-Syaikh Albani menyatakan;

(SA) : wahai saudara

(DRSB), sesungguhnya para imam bukanlah yang ma’sum. Adapun ayat yang dia pegang merupakan firman Allah yang terpelihara dari kesalahan. Bagaimana mungkin ia harus meninggalkan yang ma’sum dan berpegang pada orang yang tidak ma’sum?

(DSRB) : yang terpelihara dari kesalahan adalah makna hakiki yang dikehendaki oleh Allah dengan firman-Nya;

قُلْ لِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ
Maksudnya;“katakahlah, Kepunyaan Allah timur dan Barat”(surah Al-Baqarah : 142)

Akan tetapi, faham lelaki tersebut adalah jauh sama sekali dari pendidikan Islam yang sememangnya tidak ma’sum. Maka dengan demikian, masalahnya adalah bandingan antara dua faham, iaitu faham atau pemikiran dari seorang yang jahil dan faham atau pemikiran dari seorang imam mujtahid, yang kedua-duanya tidak ma’sum.

Hanya beza kedua-duanya adalah, satunya jahil dan satu lagi mempunyai keilmuan.Lalu As-Syaikh Albani menjawab;

(SA) : sesungguhnya Allah tidak membebani dia melebihi kemampuan.

(DSRB) : Tolong jawab persoalan ini. Seorang yang mempunyai anak kecil yang sedang sakit demam panas. Menurut semua dokter di daerah tersebut bahawa anak kecilnya itu perlu di beri ubat khusus dan mereka melarang dari memberi ubat antibiotic.

Mereka pun telah memberitahu kepada bapa tersebut, tetapi tidak di edahkan olehnya.Lalu, bapa tersebut telah membaca satu tulisan yang menyatakan bahawa ubat antibiotic boleh mengubat sakit demam panas.

Tanpa mengendahkan nasihat para doctor, diberinya juga kepada anak kecilnya itu dengan ubat antibiotic, sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mati.Dengan tindakan si bapa tadi, adakah bapa tadi dikira sebagai berdosa?

(SA) : diam sekejap, lalu berkata : saya kira, masalah ini bersalahan dengan masalah yang kita sedang bincangkan.

(DSRB) : sebenarnya masalah ini serupakan dengan masalah yang kita bincangkan. Cuba perhatikan! Bapa tersebut sudah mendengar kesepakatan para doctor, sebagaimana lelaki tadi telah mendengar kesepakatan mujtahid. Akan tetapi, si bapa tersebut berpegang pada satu tulisan dari buku kesihatan, sebagaimana lelaki tersebut melakukan amalan mengikut panggilan hatinya.

(SA) : saudara ! Al-Quran adalah cahaya. Cahaya Al-Quran tidak dapat disamakan dengan yang lain.

(DSRB) : apakah maksud pembaca Al-Quran itu memahami maksud Al-Quran seperti yang dikehendaki oleh Allah? kalau begitu, apakah beza antara ahli ilmu dan bukan ahl ilmu yang membaca Al-Quran?

Dua contoh di atas adalah sama. Awak perlu menjawab, apakah kedua-duanya harus menerima begitu sahaja panggilan hatinya atau harus mengikuti atau taqlid kepada ahl ilmu?

(SA) panggilan hati adalah yang paling pokok.

(DSRB) : si bapa tadi telah melakukan mengikut panggilan hatinya sehingga mengakibatkan anaknya mati. Apakah ada tanggungjawab bagi si bapa dari segi syariat atau hukum?

(SA) tidak ada apa-apa tuntutan daripadanya.

(DSRB) : dengan jawapan awak seperti ini, saya kira dialog dan diskusi ini kita cukupkan sampai disini sahaja. Sudah jelas antara dua jalan antara pendapat awak dan saya.

Dengan jawapan awak yang menghairankan itu, cukuplah kiranya untuk awak telah terkeluar dari kesepakatan kaum muslimin. Cuba awak renungkan, seorang muslim yang jahil hanya mengandaikan panggilan hatinya dalam memahami apa yang ia ketemui didalam Al-Quran.

Lalu dia mengerjakan solat mengadap ke arah selain kiblat dan menyalahi semua umat Islam, tetapi solatnya dianggap sah. Kemudian orang biasa dengan panggilan jiwanya, ia mengubat anaknya yang sakit mengikut kehendaknya, sehinggakan anaknya sendiri mati, lalu dengan perbuatannya itu, dia terselamat dari apa-apa tuntutan dari segi syarak.

KESIMPULAN

Dari debat ilmiyyah ini, kita dapat melihat bagaimana fanatic kepada pendapat sendiri yang ada pada diri As-Syaikh Albani yang sehinggakan dia sendiri telah mengambil sikap tidak mahu menerima “kebenaran hujjah” dari Dr Said Ramadhan Al-Buti, yang kadangkala menyebabkan timbul dakwaannya yang boleh memberi bahaya kepada kefahaman Islam yang sebenar.

Jika ada dikalangan kita mengambil sikap mengremeh-remehkan ulama-ulama mazhab, cadangan dari penulis, bacalah buku “alla Mazhabiyyah” karangan Dr Said Ramadhan Al-Buti.

Maka dengan demikian, buka hati, buka minta dan cermin-cerminlah diri kita,. siapakah kita jika mahu dibandingkan ilmu-ilmu kita dengan ilmu-ilmu ulama-ulama yang telah berjasa untuk memartabatkan agama islam ini.

SekianWallahu ‘Alam
One_G

Thursday, March 15, 2007

Memahami Tarbiyyah (8)

AKHLAK DAN ADAB BERJEMAAH

MUQADDIMAH

Adapun parti kita (Parti Islam Se-Malaysia) berada di atas prinsip yang benar iaitu menegakkan Islam secara menyeluruh.

Ia bermula daripada ikrar syahadah dan menunaikan tuntutannya dalam diri setiap individu, rumahtangga, bermasyarakat sehinggalah perkara yang tidak dilakukan oleh jamaah-jamaah lain secara tegas, iaitu menegakkan negara Islam.

Maka dengan itu, ia telah membezakan kita dengan parti-parti, jamaah-jamaah dan kumpulan-kumpulan lain termasuklah yang bernama Islam.

Prinsip ini menyebabkan kita menghadapi cabaran lebih banyak dan hebat, namun kita terus maju dan berkembang. Walaupun demikian, kita perlu memenuhi tuntutan-tuntutan yang berkait dengan setiap ahli di semua peringkat demi mencapai kemenangan yang dijanji kurnia oleh Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu, bahawa dia akan menjadikan mereka itu khalifah (orang yang memerintah dengan Islam) di atas bumi sebagaimana dia pernah mengurniakan khilafah kepada orang -orang yang terdahulu daripada mereka. Dia akan menjadikan agama mereka (Islam) yang Dia redha memerintah untuk mereka dan Dia akan menukarkan kepada mereka suatu keadaan selepas berada dalam ketakutan kepada keamanan. Mereka itu menyembahKu, tidak menyekutuiKu dengan sesuatu yang lain dan sesiapa yang menjadi kufur selepas itu maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Al-Nur: 55)

Perlu difahami juga bahawa tidak memadai sekadar hanya berdiri di atas dasar yng benar tanpa membina peribadi dengan akhlak-akhlak berparti atau berjamaah.

Oleh itu, maka saya kemukakan beberapa perkara yang menjadi sifat-sifat yang mesti dipunyai oleh pejuang-pejuang Islam untuk menjadi perbincangan dan muhasabah kepada diri kita sendiri.

Akhlak Berparti

Dalam meniti liku-liku perjuangan Islam, ianya penuh dengan ujian, mehnah dan tribulasi yang begitu mendesak. Justeru, pada diri seseorang pejuang Islam itu perlu dihiasi dengan keindahan Islam dan diwarnai dengan akhlak berjamaah agar sepanjang merentasi ujian ini sentiasa dinaungi oleh rahmat Allah s.w.t.

Ini amat penting agar pertolongan Allah sentiasa bersama para pejuang.

Bagi meletakkan perjuangan kita diterima dan direstui oleh Allah s.w.t. serta mendapat pertolongan daripadaNya, maka kita mestilah melengkapkan diri dengan sifat-sifat berikut:

1. Ikhlas

Mestilah ikhlas yakni mampunyai niat yang benar kerana Allah, menuntut keredhaanNya dengan menegakkan agamaNya sehingga didaulatkan di dalam negara yang melaksanakan hukum syariat.

Sabda Nabi SAW yang maksudnya:
“Abu Musa al-‘Asy’ari r.a. telah menceritakan kepada kami, katanya : seorang arab Badwi datang menemui Rasulullah s.a.w. lalu dia bertanya : “Orang yang berperang kerana mahukan ghanimah (harta rampasan), orang yang berperang supaya disebut (menjadi masyhur), berperang kerana riak (menunjuk-nunjuk kepada orang), maka siapakah yang dikira berperang pada jalan Allah?” Jawab Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang berperang supaya kalimah Allah (agama Islam) itu menjadi paling tinggi maka dialah yang berperang pada jalan Allah.” (Muttafaq’Alaih)

Yang dimaksudkan dengannya perjuangan untuk menegakkan Islam menurut situasi dan keadaan sama ada melalui cara pilihannya sehinggalah berperang di negeri yang tidak ada cara yang lain daripadanya mestilah dengan niat yang ikhlas.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Dan tidaklah diperintah kepada mereka melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan perintah agama dengan lurus.” (Al-Baiyinah: 5)

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam sebuah hadith. Maksudnya:

“Diriwayatkan daripada Saidina Umar bin al-Khattab r.a. katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung keapda niat. Sesungguhnya setiap orang itu akan mendapat sesuatu mengikut niatnya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu kerana Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia dia akan mendapatkannya atau kerana seseorang perempuan yang ingin dikahwininya maka hijrahnya itu mengikut apa yang diniatkannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Apabila mengikhlaskan niat kerana Allah semata-mata maka mestilah membersihkan hati daripada sifat-sifat yang merosakkan niat seperti ‘ujub dan sum’ah.

Allah s.w.t. telah mengajar generasi awal di kalangan umat Islam dalam beberapa peristiwa di zaman Rasulullah. Di antara peristiwa-peristiwa itu ialah peristiwa uhud dan Hunain yang mejadi iktibar sepanjang zaman.

Dalam kes ini di Uhud, Allah s.w.t. telah berfirman, maksudnya:

“Dan sesungguhnya Allah telah memenuhi janjiNya kepada kamu ketika kamu membunuh mereka dengan izinNya sampai kepada saat kamu lemah dan berselisih dalam urusanitu dan menderhakai perintah rasul sesudah Allah memperlihatkan kepada kamu apa yang kamu sukai, di antara kamu ada orang yang menghendaki dunia dan di antara kamu ada orang yang menghendaki akhirat. Kemudian Allah memalingkan kamu dari mereka untuk menguji kamu dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu dan Allah mempunyai kurnia atas orang-orang yang beriman.” (Ali ‘Imran: 152)

Allah s.w.t. juga telah berfirman berkenaan dengan peristiwa Hunain, maksudnya:

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu di medan peperangan yang banyak dan pada hari berlaku peperangan Hunain ketika kamu megah dengan diri sendiri kerana ramainya jumlah kamu, maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepada kamu sedikit pun dan bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu, kemudian kamu lari ke belakang bercerai-berai, kemudian Allah menurunkan kemenangan kepada rasulNya dan orang-orang yang beriman dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dan Allah mengazabkan orang-orang kafir dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang kafir, kemudian Allah menerima taubat dari orang-orang yang dikehendakiNya. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al -Taubah: 25 – 27)

2. Percaya dengan baik kepada Allah (husnu al-thiqah billah), memohon pertolonganNya dan percaya kepada janjiNya.

Seseorang yang menceburkan dirinya dalam perjuangan Islam mestilah percaya kepada jaminan Allah dan janjiNya di dunia dan akhirat.

Perkara ini hendaklah dinyatakan dengan mengadakan hubungan yang baik dengan Allah dengan sifat taqwa, mengerjakan perintah dan meninggalkan laranganNya, sehingga ia tidak boleh dijelaskan oleh amaran, sogokan dan bagaimana sekalipun keadaan dan sifat-sifat musuh-musuh Islam itu dan sehingga tidak ada di dalam diri perasaan tidak ada harapan untuk mencapai kemenangan bagi menegakkan cita-cita Islam dan juga perasaan tidak yakin dengan janji Allah s.w.t. di akhirat.

Orang-orang yang berjuang bersama Rasulullah s.a.w. yang melakukan hijrah dan orang Ansar yang menerima dan memberi tempat kepada Islam di tanah air mereka yakin kepada janji Allah di dunia dan akhirat, walaupun tidak ada suatu wawasan yang dapat dilihat dengan mata kasar dan situasi yang terang-terang menandakan kemenangan Islam,mereka percaya kepada firman Allah, maksudnya:

“Dan sesungguhnya Allah mesti menolong orang yang menolong agamaNya, dan Allah itu Maha Kuat lagi Maha Perkasa. Orang-orang yang kami bolehkan kepada mereka memerintah di bumi mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran da bagi Allah akibat segala urusan.” (Al-Hajj: 41)

Rasulullah tidak menerima Bani Amir kerana mereka meminta jawatan sebelum mencapai kemenangan dan tidak menerima Bani Syaiban kerana mereka takut menghadapi Parsi yang menjadi kuasa besar dunia dn tidak yakin bahawa Islam dapat menumbangkan Parsi dan Rom.

Tetapi sebaliknya berbai’ah dengan aus dan Khazraj yang percaya kepada Allah dan janjiNya di dunia bahawa Islam akan menang dan jnji kebahagiaan di akhirat. Lalu mereka menunaikan perintah Allah dengan patuh dan menhadapi penghalangnya yang datang dari segenap penjuru dan sentiasa menunggu wahyu dan sabda untuk dilaksanakan dan diperjuangkan.

3. Istiqamah

Mestilah berterusan di atas prinsip perjuangan dan beramal dengan segala tuntutannya dengan tidak berpaling dan cenderung ke arah yang lain dan hanyut bersama arus jauh sekali daripada melompat dan menyeleweng daripada perjuangan.

Allah berfirman kepada Musa a.s. dan Harun a.s. yang menghadapi Firaun dalam menegakkan Islam di zamannya maksudnya:

“Allah berfirman: Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua, oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu).” (Yunus: 89)

Firman Allah s.w.t. kepada nabi kita Muhammad s.a.w., maksudnya:

“Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” (Hud: 112 – 113)

Dalam peristiwa yang lain pula dinyatakan, apabila sufyan bin Abdullah berkata kepada Rasulullah s.a.w., maksudnya:

Daripada Sufyan bin ‘Abdullah al-Thaqafi katanya: “Aku bertanya: Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku mengenai Islam dengan kata-kata yang jelas sehingga aku tidak perlu lagi beranyakan mengenainya kepada seseorang yang lain daripadamu. Sabda Rasulullah s.a.w.: Katakanlah, Aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah beristiqamah.” (Riwayat Ahmad)

Para rasul dan para sahabat adalah orang-orang yang paling istiqamah, tetapi mereka diperintah juga supaya beristiqamah. Ini menunjukkan bahawa sifat istiqamah itu sangat penting dan mestilah berterusan kerana ia menjadi tunggak dan cara untuk mendapatkan pertolongan Allah s.w.t., bahkan orang yang tidak istiqamah amalannya menjadi sia-sia.
4.Taat

Ketaatan itu lahir daripada sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut. Apabila kepimpinan mempunyai keikhlasan dan menyatakan pengorbanan yang sebenar dan perhatian kepada perjuangan dan pengikut-pengikutnya.

Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, di masa senang dan susah, di masa kelapangan dan kesempitan dalam perkara yang tidak maksiat.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” (Al-Nisa’: 59)

Rasulullah s.a.w. telah meneguhkan sifat ketaatan kepada para sahabatnya dengan melakukan bai’ah di antaranya ialah Bai’ah al-`Aqabah yang terkenal sebelum melakukan hijrah yang merupakan perintah yang sangat penting yang membawa kepada tertegaknya sebuah negara Islam. Di dalam bai’ah itu Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

“Berbai’ahlah kepadaku di atas ketaatan dan mendengar (perintah) di masa cergas dan malas, bersedia bernafkah (memberi sumbangan harta benda) di masa susah dan senang,menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, bangun untuk menegakkan agama Allah s.w.t. tanpa mengendahkan celaan orang yang mencela, dan kamu berbai’ah untuk menolongku apabila aku tiba ke negeri kamu dan mempertahankan aku apa yang kamu lakukan untuk mempertahankan diri kamu sendiri, ister-isteri kamu dan anak-anak kamu dan untuk syurga.” (Riwayat Ahmad)

Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan kepimpinan sehingga menjadi kelam kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam parti yang mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa perpecahan dan wujudnya kumpulan atau jamaah dalam parti.

Ketaatan membawa penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota dan sayap parti dan melaksanakan amal jama’ie yang tidak boleh dijejaskan oleh pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera masing-masing sehingga jentera parti menjadi celaru dan tidak selaras di antara satu sama lain.

Ketaatan juga dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbaga-bagai di dalam parti, kerana ada orang yang keterlaluan, ada orang yang terlalu lambat dan ada yang sederhana.

5. Ukhuwwah (persaudaraan Islam)

Ahli-ahli parti dan penyokongnya di semua peringkat laksana batu-bata yang berselerak dan perlu diikat dengan teguh dan kuat dengan hubungan yang erat di antara satu sama lain.

Bagi menunjukkan betapa perlunya persaudaraan ini, maka Rasulullah s.a.w. menjadikan di antara perkara pertama ketika hijrah ialah mempersaudarakan di kalangan Muhajirin dan Ansar. Melalui hubungan persaudaraan ini, maka keteguhan saf di dalam perjuangan Islam itu dapat diwujudkan.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (Al-Saff:4)

Sebarang kekosongan yang memutuskan saf nescaya dicelah oleh syaitan yang dapat menjejaskan jentera parti dan perjalanannya.

Kegiatan usrah adalah sebahagian daripada langkah mengeratkan persaudaraan, kerana perkataan usrah yang bermakna keluarga itu adalah lebih bertujuan untuk menjalinkan hubungan dan menyelesaikan masalah secara kekeluarga, adapun penekanan ilmu lebih ditumpukan dalam majlisnya sendiri iaitu majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh parti, begitu juga dengan kerja-kerja kebajikan di kalangan ahli-ahli parti yang mewujudkan berlakunya tolong menolong di antara satu sama lain.

Demikian juga sebarang perhimpunan dianjurkan oleh parti dengan meyusun petugas-petugasnya dapat menjalinkan tolong- menolong yang mengeratkan persaudaraan.

6. Kerahsiaan

Perjuangan Islam ini dikepung oleh musuh-musuh yang ramai dari segenap penjuru, mereka sentiasa mengintip segala kegiatan parti untuk menentangnya, oleh itu kita tidak boleh boros dengan kenyataan yang mendedahkan kerahsiaan, membongkar perkara-perkara dalaman yang tidak patut dibuka kepada umum sehingga mendedahkan kelemahan kepada musuh dan memberi kemudahan kepada mereka untuk memukul dan melumpuhkan parti serta menggagalkan perjalanannya.

Sirah Rasulullah s.a.w. banyak mengajar kita di dalam perkara ini secara praktikal, di mana kemenangan banyak dicapai dengan cara-cara yang mengejutkan musuh dan mereka tidak ada ruang untuk mengambil kesempatan dari beberapa kelemahan yang ada.

Parti bukan sahaja perlu menyusun strategi yang baik dan rapi tetapi juga perkara-perkara yang menjadi suatu kerahsiaan yang tidak boleh diumumkan, adalah tidak wajar semua ahli mengetahui segala yang dirangka oleh kepimpinan termasuklah perkara yang perlu dirahsiakan.
Adalah tidak bijaksana sekiranya untuk mengumumkan semua perkara dan ahli-ahli menekan dalam perkara ini sehingga menjejaskan ketaatan dalam melaksanakan tugas parti.

Sebaliknya sebarang rahsia musuh yang dapat dikesan sama ada kecil ataupun besar hendaklah dilaporkan kepada parti.

7. Tidak leka dengan pencapaian yang ada

Seringkali berlaku apabila terdapat sedikit kemajuan atau kemenangan menyebabkan berlakunya kelekaan dalam menjalankan tugas dan memberi sumbangan kepada parti. Allah s.w.t. telah menegur para sahabat r.a. apabila mereka memandang ringan kepada kewajipan jihad setelah mencapai beberapa kemenangan.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Dan berbelanjalah kamu pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Al-Baqarah: 195)

Seringkali berlaku di negeri atau kawasan yang mencapai kejayaan berlakunya kecuaian walaupun untuk mempertahankan kemenangan itu, sehingga tugas-tugas parti menjadi perkara-perkara sampingan.

8. Menunaikan janji dan beriltizam dengannya

Allah s.w.t. telah memberi penegasan dalam perkara ini dengan firmanNya yang bermaksud:

“Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak ( mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Nahl: 91)

Samada perjanjian dengan jamaah atau perjanjian sesama sendiri dan termasuklah juga perjanjian dengan musuh-musuh hendaklah ditunaikan dan disempurnakan dengan baik. Sebarang kemungkinan boleh menghilangkan kepercayaan di antara satu sama lain dan menghilangkan kewibawaan.

9. Tidak melampau

Allah s.w.t. melarang sikap dan tindakan yang melampau walaupun terhadap musuh di medan perang, maka terlebih utama terhadap sesama sendiri dan ketika muwajahah salasiyah.
Firman Allah s.w.t., maksudnya:

"Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh." (Al-Baqarah: 190)

Penutup

Demikianlah sebahagian daripada perkara yang perlu diberi perhatian dan dibincangkan di samping bermuhasabah kepada diri sendiri dan parti supaya perjuangan kita diterima, diredhai Allah dan dikurniakan kemenangan dunia dan akhirat.

Tuesday, March 6, 2007

Memahami Tarbiyyah.. (7)

HALANGAN DAN RINTANGAN DALAM PERJUANGAN

MUQADDIMAH


Gerakan Islam kebelakangan ini menghadapi berbagai-bagai rintangan dan halangan yang perit di dalam perjuangannya.

Kita lihat sahaja apa yang berlaku kepada umat Islam di Algeria, Tunisia,Mesir, Palestin dan di merata tempat di pelusuk dunia ini umat Islam ditekan hebat oleh mush-musuh Islam yang didalangi oleh kuasa-kuasa besar dunia dankuncu-kuncunya.

Ini merupakan suatu sunnah dan kita sebagai pejuang Isalm perlulah melengkapkan diri untuk menghadapi cabaran-cabaran yang bakal melanda umat di rantau ini.

SEPINTAS LALU TRIBULASI UMAT TERDAHULU

Secara ringkas dipaparkan di sini tribulasi umat terdahulu dalam perjuangan mereka sebagai renungan kepada kita bersama.

Di antara contoh-contoh tersebut ialah:

a) Nabi Ibrahim a.s. Tribulasi yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim a.s. tidak lain dan tidak bukan merupakan rentetan pertarungan antara kebenaran dan kepalsuan.

Kita lihat bagaimana Nabi Ibrahim bangun menentang dan melawan cara hidup jahiliyah tanpa mengira sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Maka berlakulah tentangan dan tekanan hebat daripada kaumnya sedangkan Nabi Ibrahim tanpa memiliki apa-apa kekuatan senjata dan kekuatan penyokong.

Kita lihat di sini bagaimana keimanan kuat Nabi Ibrahim memperjuangkan kebenaran, baginda dipulaukan oleh kaum keluarganya termasuk ibu bapanya sendiri.

Namun itu semua sedikit pun tidak mengubah pendiriannya dan memperjuangkan kebenaran.
Tekanan ke atas Nabi Ibrahim a.s. semakin hebat sehingga baginda dicampakkan ke dalam api yang marak menyala supaya mati terbakar hidup-hidup.

Baginda redha terhadap ujian Allah demi kesetiaan perjuangannya.
Akhirnya Allah memerintahkan api supaya menjadi sejuk sepertimana yang digambarkan melalui firmanNya yang maksudnya:

“Kami berfirman: “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!.” Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadika mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya).” (Al-Anbiya’: 69 – 70)

Tentangan dan halangan yang dialami oleh Nabi Ibrahim berterusan melambangkan keutuhan dan kemantapan perjuangannya yang tidak kenal undur sehingga akhirnya Allah menjadikannya sebagai salah seorang rasulNya yang terpilih (ulu al-‘azmi.

Firman Allah swt yang bermaksud:

“Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak telahpun dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).” (Al-Baqarah: 130)

b) Nabi Musa a.s. Ujian yang dihadapi dan diharungi oleh Nabi Musa a.s. bermula sejak bayinya lagi.

Sebagaimana yang kita tahu, sejarah perjuangan Nabi Musa a.s. dihiasi dengan suasana yang menyayatkan. Ibunya terpaksa menyelamatkan baginda dari kekejaman Firaun dengan menghanyutkan baginda ke sungai.

Seterusnya ujian demi ujian berterusan dan semakin besar seiring dengan membesarnya Nabi Musa a.s. Nabi Musa a.s. tidak putus as dan tabah dalam memimpin satu bangsa manusia yang telah biasa tunduk dan memberi ketaatan total kepada raja mereka Firaun.

Baginda bukan sahaja berhadapan dengan rajanya yang zalim tetapi juga pembesar-pembesarnya yang tidak berperikemanusiaan dan suka menindas yang lemah. Dalam suasana beginilah Nabi Musa a.s. diperintah supaya menyeru Firaun yang berada di puncak kezaliman supaya tunduk dan patuh menyembah Allah. Sikap sombong dan angkuh Firaun telah disebutkan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran.

Di antaranya Allah menggambarkan keangkuhan dan kezaliman Firaun yang tiada tolok bandingnya dengan firmanNya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.” (Al-Qasas: 4)

Begitu kejamnya Firaun sehingga terkadang Nabi Musa a.s. sendiri merasa gerun dan gementar menghadapi tribulasi perjuangan dalam menentang Firaun. Lebih-lebih lagi apabila perjuangan Firaun itu sendiri disokong oleh tukang-tukang sihir yang terkenal dan zalim.

Hal ini telah dirakamkan oleh Allah sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

“Maka yang demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya. Kami berfirman kepadanya: “Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan.” Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir, sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada.” (At-Taha: 67 – 69)

c) Nabi Isa a.s. Tribulasi yang dihadapi oleh Nabi Isa a.s. sungguh hebat. Hebat atau tidaknya halangan-halangan yang dihadapi oleh baginda dapat kita lihat daripada mukjizat yang dikurniakan oleh Allah kepadanya.

Bagaimana Allah mengurniakan kepadanya mukjizat-mukjizat besar yang menghasilkan peristiwa-peristiwa yang luar biasa tetapi ini pun tidak memberikan kesan yang besar yang boleh diharapkan dari kaumnya.

Namun begitu Nabi Isa tidak berputus asa dalam perjuangan malah tabah dan sabar menghadapi tribulasi perjuangan walaupun dimaki hamun oleh kaumnya ketika menyampaikan seruan dakwah. Nasihat dan pesanan Nabi Isa a.s. kepada pengikutnya dapat menunjukkan kepada kita betapa tabah dan cekalnya baginda dalam menjalankan kerja-kerja dakwah.

Sebagai contoh, baginda pernah berkata kepada pengikut-pengikutnya:

“Berbahagialah kamu jika mereka memaki hamun dan mengusir kamu dan mengatakan kepada kamu segala perkataan yang jahat lagi dusta keranaku…Bergembiralah kamu lantaran pahala kamu sangat besar di langit.”

Begitulah para nabi terdahulu juga pernah diusir dan dikeji lantaran perjuangan mereka… Kemuncak kepada tribulasi perjuangan Nabi Isa a.s. adalah usaha untuk membunuhnya.
Namun, usaha tersebut gagal kerana datangnya pertolongan Allah menyelamat dan mengangkatnya ke langit.

Ini dirakamkan oleh Allah s.w.t. di dalam Al-Quran dengan firmanNya yang bermaksud:

“Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan : “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibn Maryam, Rasul Allah.” Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak menyalibnya (di kayu palang – salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin. Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadaNya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Nisa’: 157 – 158)

d) Nabi Muhammad s.a.w. Cabaran yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w. juga tidak kurang hebatnya.

Bermula dari perang saraf hinggalah cubaan-cubaan untuk membunuhnya. Kita juga lihat bagaimana baginda bersama-sama dengan para sahabat baginda turun ke medan perang, berjihad mempertahankan aqidah sanggup mempertaruhkan nyawa dan mengorbankan harta benda semata-mata memperjuangkan ajaran yang suci ini.

1. Perang Saraf Dalam usaha untuk melumpuhkan daya juang Rasulullah s.a.w., kaum jahiliyah telah menggunakan segala taktik psikologi yang tidak ada langsung kesopanan.

Mereka menggunakan ejekan dan kejian serta mempersendakan Rasulullah s.a.w. supaya baginda akan patah semangat dan meninggalkan perjuangan. Ini dapat dilihat melalui firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan mata air dari bumi, bagi kami. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebgaimana yang engkau katakana (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya. Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya.” Katakanlah (wahai Muhammad) : “Maha Suci Tuhanku! Bukanlah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?” (Al-Isra’: 90)

Bila kerja-kerja itu gagal dan tidak dapat mematahkan semangat Rasulullah s.a.w., mereka menyebarkan fitnah bahawa Rasulullah s.a.w. ini sudah gila, ahli sihir dan sebagainya. Tetapi itu semua menambahkan lagi semangat dan ketabahan Rasulullah s.a.w. terhadap perjuangan di mana akhirnya selepas itu orang-orang Arab jahiliyah berusaha untuk membunuhnya tetapi Allah s.w.t. memberi perlindunganNya dari usaha tersebut.

2. Peperangan Halangan-halangan terhadap usaha dakwah Rasulullah s.a.w. berterusan sehingga menghendaki Rasulullah dan para sahabatnya menggadaikan nyawa dan harta benda dalam meneruskan perjuangan bagi memastikan ‘survival’ ajaran Islam ini.

Dalam peperangan Uhud misalnya, bapa saudara Rasulullah s.a.w. turut terbunuh manakala Rasulullah sendiri luka-lika dan nyaris maut.

Peperangan ini turut menyaksikan kesetiaan dan pengorbanan para sahabat Rasulullah s.a.w. di saat-saat yang sangat mencemaskan seperti Abu Talhah r.a. dan Ziad bin Sakan r.a. yang menjadikan diri mereka sebagai perisai bagi melindungi Rasulullah s.a.w. dari terkena panah pihak musuh.

Begitu juga dalam peperangan lain kita lihat betapa hebatnya pengorbanan untuk memastikan Islam ini dapat terus berkembang dan menewaskan penghalang-penghalang kepada perkembangannya.

3. Halangan-halangan Terhadap Kerja Dakwah Di dalam kehidupan pendakwah terdapat banyak halangan dan rintangan yang menggugat nasib pejuang-pejuang Islam.

Tetapi persediaan yang baik, dan bimbingan yang betul berserta dengan sikap yang berhati-hati dapat menjaga dan memelihara pekerja-pekerja dakwah dari penyelewengan dan terjerumus ke lembah kehancuran dan dalam waktu yang sama melalui proses masa dapat menyediakan pekerja-pekerja dakwah ini tahan menghadapi ujian dan cabaran serta matang di dalam melakukan tindakan dan berfikir.

Sebenarnya, masalah utama yang dihadapi oleh pendakwah masa kini ialah soal ketahanan jiwa untuk menghadapi segala macam cabaran di dalam perjuangan.

Satu perkara yang mesti kita faham, bahawa segala idea atau kefahaman hanya akan tinggal sebagai slogan dan teori kosong selagi nilai dan kefahaman itu tidak dijelmakan ke dalam kehidupan seharian.

Apa yang lebih menyulitkan para pendakwah masa kini ialah mereka sedang hidup di dalam suasana apa yang boleh kita sebut sebagai jahiliyah moden, di mana kehidupan masyarakat kini jauh menyimpang dari Islam itu sendiri yang mana material menjadi ukuran.

Masyarakat yang hidup dengan perkara-perkara terlarang dan merosakkan menjadi simbol kepada kemajuan dan tamadun sementara sikap wara’ dan kehidupan beragama dianggap sebagai ekstrim dan melampau malah di sesetengah negara mereka dilabelkan sebagai usuliyun mutatorrifun (puak pelampau).

Oleh sebab itu, sekiranya para pendakwah sendiri tidak mempunyai aqidah yang teguh, budi pekerti yang luhur, kesungguhan yang kental, tidak bersungguh-sungguh memuhasabah diri, lali dari mengingati dan bertawakal kepada Allah serta tidak wara’ daripada mengerjakan perkara-perkara yang meragukan, begitu juga kalau mereka ini tidak bersungguh-sungguh salam mengerjakan ibadah maka sudah pastilah mereka ini juga boleh mendapat jangkitan dari penyakit-penyakit jahiliyah moden yang sedang dan telah merebak ke dalam masyarakat Islam.

Secara ringkasnya dikemukan di sini halangan-halangan pada kehidupan pendakwah dan secara langsung merupakan rintangn dan halangan terhadap kerja-kerja dakwah.

HALANGAN PERTAMA :WANITA

Dalam kehidupan pendakwah malah manusia umumnya, wanita amat memainkan peranan penting. Wanita boleh membawa nikmat atau sumber yang membawa padah.

Dalam kehidupan pendakwah terdapat kedua-dua gambaran ini. Ada pendakwah yang selepas berkahwin menjadi semakin baik Islamnya, semakin kukuh pendiriannya dan bertambah baik komitmennya dan sumbangannya terhadap kerja-kerja dakwah.

Sebaliknya, ada yang terus merosot selepas berkahwin dan ada pula yang rosak perangainya bahkan ada juga yang terus hilang dari pentas dakwah.

Kesemuanya ini ada sebab dan munasabah. Kegagalan ini berlaku tidak lain adalah kerana pembentukan keluarga yang bakal dibuat mengambil kira lunas-lunas yang telah ditentukan oleh Islam serta mengabaikan tuntutan perjuangan dan medannya yang panjang di mana ia memerlukan kepada sumbangan yang berterusan dari tenaga-tenaga pejuang.

Oleh itu, kegagalan para pendakwah di dalam perkahwinan mereka adalah lantaran mereka terpengaruh dengan perkara lahiriah semata-mata dan lupa tentang matlamat utama perkahwinan itu.

Di sini digariskan prinsip-prinsip utama perkahwinan itu:

1. Mempunyai Niat Yang Baik Islam menghendaki agar tujuan perkahwinan itu adalah untuk menyempurnakan agama.

Ini sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Daripada Anas bin Malik r.a.., telah bersabda Rasulullah s.a.w.: Barangsiapa yang dikurniakan oleh Allah seorang perempuan yang soleh, maka sesungguhnya ia telah dapat menolongnya menyempurnakan separuh dari agamanya. Maka hendaklah ia bertaqwa kepada Allah dalam separuh lagi.” (Riwayat al-Tabrani)

Dalam hadith yang lain pula Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

Daripada Anas bin Malik r.a., telah bersabda Rasulullah s.a.w.: “Apabila seseorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya ia telah menyempurnakan separuh daripada agamanya, maka hendaklah ia bertaqwa kepada Allah dalam separuh lagi.” (Riwayat al-Tabrani)

Begitu juga Islam mahukan perkahwinan itu, menjadi faktor utama di dalam memelihara kemurniaan jiwa dan kesuciannya.

Oleh sebab itu, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

Hadis Abdullah bin Mas’ud r.a.: Diriwayatkan daripada Alqamah r.a. katanya: Aku pernah berjalan-jalan di Mina bersama Abdullah r.a. Kami bertemu dengan Uthman r.a. yang kemudian menghampiri Abdullah r.a.

Setelah berbincang beberapa ketika, Uthman r.a. bertanya: Wahai Abu Abdul Rahman: Mahukan aku jodohkan kamu dengan seorang perempuan muda? Mudah-mudahan perempuan itu akan dapat mengingatkan kembali masa lampaumu yang indah.

Mendengar tawaran itu Abdullah r.a. menjawab: apa yang kamu ucapkan itu adalah sejajar dengan apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kami: “Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin.

Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu.”

Selain itu, Islam mahukan perkahwinan itu untuk membangunkan keluarga Islam bagi menjadi asas yang kukuh dalam pembangunan masyarakat Islam.

Ini merupakan impian setiap mukmin yang mahukan keluarga yang baik dan penyenang hati, sebagaimana yang digambarkan oleh Allah s.w.t. dengan firmanNya yang bermaksud:

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Al-Furqan: 74)

Namun begitu, jika sekiranya seseorang itu berkahwin kerana semata-mata kerana ingin memuaskan keinginan seks, maka kehidupan seks itulah yang akan menjadi ibadatnya dan menjadikannya tenggelam di dalam kehidupannya itu.

2. Pemilihan Yang Baik Perkara kedua di dalam soal ini ialah Islam menekankan supaya kita membuat pemilihan yang baik.

Pemilihan ini adalah suatu factor utama yang dapat membawa kepada pasangan yang berkahwin itu hidup secara Islam di samping merupakan faktor yang boleh membawa kepada kemesraan dan keserasian di antara kedua-dua pasangan berkenaan.

Rasulullah s.a.w. telah menjelaskan bahawa terdapat empat perkara yang dijadikan asas kepada pemilihan pasangan iaitu agama, keturunan, kecantikan dan kekayaan.

Namun, pemilihan di atas dasar agama adalah yang mesti diberikan keutamaan.

3. Peribadi Suami Sebagai Asas Islam mengingatkan para suami supaya jangan terlalu mengikut kemahuan isteri demi menjaga kewibawaan dan ketuanan seorang suami di dalam rumahtangga.

Kerendahan peribadi suami (pada pandangan isterinya) boleh membawa kepada keruntuhan rumahtangga bersama para anggotanya.

Oleh itu, Imam al-Ghazali menasihatkan para suami dengan katanya:

“Diri perempuan itu mengikut keadaan dirimu. Jika engkau lepaskan sedikit tali penambatnya, ia akan membawamu pergi jauh. Jika engkau kendurkan sejenak kekangnya dan memegangnya dengan kemas di waktu yang perlu maka engkau akan dapat memenanginya.”

Oleh sebab itu, peribadi suami memainkan peranan yang penting di dalam kehidupan berumahtangga.

Pihak suami hendaklah bersikap bijak dalam menyelesaikan segala permasalahan dengan neraca Islam. Saidina Umar r.a. pernah berkata:

“Lawanlah kemahuan wanita itu kerana pada demikian itu ada berkatnya.”

HALANGAN KEDUA : KEDUNIAAN

Halangan seterusnya kepada para pendakwah ialah pengaruh dan tarikan keduniaan.

Dalam hal ini, Islam mengemukakan beberapa metod bagi membentuk penganutnya supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu daya keduniaan.

Cara-cara tersebut adalah: Pertama Islam menjelaskan bahawa kedudukan dunia itu jika dibandingkan dengan akhirat adalah sangat kerdil sebagaimana dinyatakan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran yang maksudnya:

“Katakanlah (wahai Muhammad) : Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya).” (Al-Nisa’: 77)

Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. bersama-sama sahabatnya melalui suatu bangkai seekor biri-biri. Bagi menjelaskan hakikat dunia ini Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

Daripada al-Mustaurid bin Syaddad katanya : “Aku berjalan bersama-sama Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya melalui suatu bangkai seekor biri-biri, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adakah kamu berpendapat bahawa biri-biri itu telah menjadi hina dan tidak berharga lagi bagi tuannya?”

Lalu para sahabat menyahut: Di antara bukti kehinaannya ialah mereka telah membuangnya wahai Rasulullah.

Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya dunia ini lebih hina daripada kehinaan bangkai kambing biri-biri ini pada tuannya.” (Riwayat al-Tirmizi).

Kedua Islam mengingatkan supaya tidak menjadikan dunia sebagai punca persaingan di antara sesama manusia.

Oleh itu Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:

Diriwayatkan daripada Umar bin Auf r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. telah mengutuskan Abu Ubaidah bin al-Jarrah ke Bahrain. Dia pergi ke Bahrain untuk mengambil jizyah ahli Bahrain kerana Rasulullah s.a.w. telah membuat perjanjian dengan penduduk Bahrain.

Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan Al-A’la bin al-Hadhrami untuk mengutip jizyah dari penduduk Bahrain. (Selepas itu) Abu Ubaidah pulang dari Bahrain dengan harta jizyah.Orang-orang Ansar telah mendengar (khabar) kepulangan Abu Ubaidah maka mereka (orang-orang Ansar) datang bersembahyang Subuh bersama Rasulullah s.a.w.

Selesai sembahyang, Rasulullah s.a.w. berpaling menghadap rombongan. Mereka menyerahkan wang kutipan jizyah kepada baginda. Rasulullah s.a.w. senyum ketika melihat ahli rombongan tersebut, kemudian baginda bersabda: Aku kira kamu semua (orang Ansar) telah mendengar (khabar) kepulangan Abu Ubaidah dari Bahrain membawa sesuatu.

Mereka menjawab: Memang benar wahai Rasulullah. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Maka beritahulah khabar gembira ini dan bercita-citalah apa yang menggembirakan kami (dengan wang ini).

Demi Allah! Aku tidak takut kefakiran menimpa kamu semua akan tetapi aku amat takut apabila dunia dihampar di hadapan kamu (diberikan kemudahan memiliki nikmat dunia) sebagaimana yang telah diberikan kepada mereka sebelum kamu lalu kamu berlumba-lumba untuk memilikinya sebagaimana mereka.

Dunia itu akan menghancurkan kamu sebagaimana ia menghancurkan mereka.”

Ketiga Islam mengingatkan supaya kecintaan terhadap dunia jangan menguasai hati sehingga ianya menyibukkan seseorang dengan keduniaan dan menghalangnya dari mencari bekalan untuk akhirat.

Oleh itu Islam menggalakkan kezahidan terhadap dunia serta membebaskan diri daripada ditawan.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang cinta kepada dunia dan seronok serta leka kerananya, maka hilanglah daripada hatinya rasa takut kepada akhirat.”

Tetapi maksud dan falsafah kezahidan bukan bererti Islam menyekat seseorang daripada berusaha, bekerja dan membangunkan dunia ini sebagaimana yang difahami oleh sesetengah orang, tetapi yang sebenarnya kezahidan itu adalah cuma untuk memelihara kita daripada menyembah dan tunduk kepada lambaian dunia.

Sebab itu, apabila Rasulullah s.a.w. ditanya tentang hakikat kezahidan itu, baginda bersabda yang maksudnya:

“Bukanlah kezahidan itu dengan mengharamkan perkara-perkara yang halal dan tidak pula mengsia-siakan harta benda. Tetapi kezahidan terhadap dunia itu adalah bahawa kamu lebih mengutamakan apa yang ada ditangan Allah daripada apa yang ada ditanganmu.”

Begitu juga sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ahmad sewaktu seseorang menyoal tentang zahid: “Adakah seseorang itu zahid sedangkan ia memiliki seribu dinar?” Jawab Imam Ahmad: “Ya”. Lalu ditanyakan lagi kepadanya:

“Jadi apakah bukti kezahidan? “Jawab beliau: “Buktinya ialah jika bertambah hartanya ia tidak bergembira dan jika berkurangan pula ia tidak berdukacita.”

KESIMPULAN

Halangan-halangan yang dinyatakan di atas menyebabkan terdapat di kalangan yang terlibat dengan kerja-kerja Islam meninggalkan medan dakwah.

Secara ringkasnya boleh disimpulkan seperti berikut :

a) Tidak Tahan Menghadapi Ujian Ujian dalam kehidupan pendakwah adalah besar yang memerlukan banyak pengorbanan.

Oleh itu, ramai orang yang meninggalkan medan ini kerana tidak sanggup menanggung ujian ini, walaupun dahulunya ianya begitu bersemangat.

Al-Quran menjelaskan ujian ini pasti berlaku demi untuk menguji keyakinan dan keimanan seseorang hamba Allah s.w.t. sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

“Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman! Sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (Al-Ankabut: 1 – 2)

FirmanNya lagi yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.” (Muhammad: 31)

b) Tidak Tahan Terhadap Tekanan Keluarga Tidak tahan dengan tekanan keluarga dari ibu bapa, anak dan isteri menyebabkan pendakwah meninggalkan medan.

Seringkali keluarga menakut-nakutkan mereka tentang nasib buruk yang bakal dialami.

Terdapat pula ibu bapa yang menghalang anak-anaknya terlibat dalam kerja-kerja Islam, malah sebaliknya menggalakkannya terlibat dalam perkara-perkara mungkar.

Dalam keadaan yang lain pula ada di kalangan mereka yang menyekat memberi bantuan kewangan supaya anaknya meninggalkan jalan Allah s.w.t.

Dalam hal ini Allah s.w.t. memberi amaran supaya jangan tunduk terhadap tekanan dan desakan keluarga supaya meninggalkan jalan Allah s.w.t. malah terus kekal berjuang dan berjihad pada jalanNya sepertimana firmanNya yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad) : Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (Al-Taubah: 24).

c) Tidak Tahan Kepada Tekanan Persekitaran Halangan-halangan persekitaran juga banyak menjadikan pendakwah berundur dari medan.

Kadang-kadang seseorang dibesarkan di dalam persekitaran yang mengambil berat soal agama dan penghayatannya.

Tetapi mungkin apabila mereka berpindah ke persekitaran baru samada kerana belajar, bekerja dan sebagainya lalu ia persekitaran barunya itu penuh dengan perkar-perkara jahat dan penuh dengan daya tarikan jahiliyah.

Maka, di sinilah bermulanya pergolakan di dalam jiwanya samada ia akan terpengaruh atau sebaliknya.

Terdapat beberapa factor yang menyebabkan seseorang itu tewas dalam menghadapi tekanan-tekanan tersebut:

  • Mungkin asas pembentukannya tidak betul, seperti ianya mempunyai kegoncangan dan keraguan di dalam aqidahnya.
  • Boleh jadi iltizamnya di dalam arena dakwah selama ini disebabkan oleh malu dengan keadaan sekitar ataupun hanya iltizam ikutan, bukan berdasarkan kepada iman yang benar-benar yakin.
    Oleh itu, apabila ia berpindah ke persekitaran yang lain maka hilanglah iltizamnya kerana factor-faktor yang mendorongnya ini tidak ada lagi.
  • Boleh jadi dia sendiri enggan melibatkan diri dalam kumpulan dakwah dalam persekitaran kedua di mana ia lebih suka menggabungkan diri ke dalam kumpulan jahiliyah.
  • Ia sangat merbahaya kerana mungkin menggugurkannya terus dari medan dakwah dan tidak mendapat inayah dari Allah s.w.t.

d) Tekanan-tekanan Dari Gerakan Lain Antara faktor yang juga menjadi halangan kepada pendakwah ialah tekanan-tekanan dari gerakan-gerakan lain yang bertopengkan Islam.

Ini ditambah lagi dengan serangan dari gerakan atau pertubuhan secular yang sememangnya jelas memusuhi dan sangat anti kepada perkembangan dakwah.

Gerakan yang bertopengkan Islam tersebut kerjanya hanya mengkritik dan menimbulkan keraguan kepada pendakwah dengan tujuan menghancurkan gerakan Islam di atas nama Islam.

Oleh itu, kemunculan pelbagai kumpulan amal Islami tidak boleh dianggap sebagai satu amalan yang sihat kerana ia boleh menyebabkan persengketaan sesama sendiri dan mengalihkan tugas sebenar ke suatu tugas yang lain iaitu mempertahankan diri dari serangan gerakan lain. Jadi kerja-kerja yang dilakukan oleh kumpulan ini adalah suatu kerja yang tidak berfaedah selain menyebabkan lebih ramai orang meninggalkan kerja-kerja Islam, di waktu yang sama mereka melegakan musuh-musuh Islam kerana kemenangan kepada Islam semakin lambat.

Demikianlah secara ringkas halangan-halangan di dalam perjuangan dakwah. Semoga ia menjadi titik renungan kita bersama dan menjadikannya sebagai sempadan dan berwaspada terhadap cabaran-cabaran itu.