Thursday, October 25, 2012

Selamat Menyambut Iedil Adha & Ibadah Korban : Risalah Feqah & Adab Menyembelih Binatang.

Kami mengucapkan Selamat Menyambut Iedil Adha & Selamat Menjalankan Ibadah Korban kepada semua umat Islam khususnya para pembaca blog ini. 




ini risalah yang dinamakan dia

AL-MURSYID ASH-SHOLIH
PADA MENYATAKAN ADAB DAN AHKAM MENYEMBELIH


بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله الذي شرع لعباده التقرب إليه بذبح القربان وقرن النحر بالصلاة في محكم القرآن ، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له ذو الفضل والامتنان ، وأشهد أن سيدنا محمدا عبده وسوله أفضل من قام بشرائع الإسلام وحقق الإيمان , صلى الله وسلم عليه وعلى آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان . أما بعد :

Berkata hamba yang mengharap ampunan Allah Al-Baari Al-Bashir, Ibrahim ibn Masran Al-Banjari zut taqshir : Sebahagian ikhwan yang mulia telah meminta kepada faqir tentang petua-petua dan ahkam berkait tentang penyembelihan binatang dan munasabah dengan hari raya korban yang bakal tiba, maka terfikirlah dizihin faqir untuk menulisnya dalam suatu risalah yang kecil sekalipun faqir bukan ahlinya.

Maka faqir dhobitkan khulasah beberapa perkara yang berkaitan dengannya. Faqir kutip daripada beberapa buah kitab feqh Mazhab Syafi'e seperti Hasyiah Al-Baijuri, I'anah Ath-Thalibin, Al-Iqna', Al-Majmu', Mughni Al-Muhtaj, Tuhfah Al-Muhtaj, Sabil Al-Muhtadin, Matla' Al-Badrain, dan selainnya atas jalan ikhtisar seadanya. Serta faqir berikan beberapa tanbihaat dan fawaed berhubung dengannya. Lalu faqir namakan risalah ini : Al-Mursyid Ash-Sholih, Pada Menyatakan Adab dan Ahkam Sembelih.

Semoga risalah yang kecil ini bermanfaat buat diri faqir dan para pembaca semua.  اللهم آمين بجاه الأمين .


  1. Disyaratkan penyembelih itu adalah Muslim. Serta hendaklah ia menyembelih kerana Allah dan bukan kerana selainNya.

  1. Asas sembelihan korban dan sembelihan biasa tiada banyak bezanya, kecuali pada bacaan بسم الله الرحمن الرحيم dan, الله اكبر serta menerangkan untuk siapa korban itu dilakukan.


  1. Disukai yang menyembelih binatang korban itu adalah orang yang berkorban, sekalipun ia perempuan. Bagaimanapun harus baginya mewakilkan kepada orang lain. Imam an-Nawawi رحمه الله تعالى menghukumkan makruh bagi anak kecil dan perempuan haid melaksanakan sembelihan.

  1. Disyaratkan binatang itu ada hayat mustaqirrah pada mula-mula sembelihan. Antara tanda ada hayat mustaqirrah ialah kuat geraknya ketika disembelih dan menyembur darahnya, atau memada dengan kuat geraknya sahaja mengikut pendapat Imam an-Nawawi رحمه الله تعالى  .

  1. Sunat menajamkan pisau atau parang yang hendak digunakan serta tidak mengasahnya dihadapan binatang korban.

  1. Sunat diberi binatang itu minum sebelum ia disembelih dan jangan disembelih binatang tersebut di hadapan binatang korban yang lain.

  1. Sunat merebahkan binatang korban dengan menghadapkan mukanya ke arah qiblat serta di atas lambung kiri. Dikala merebahkan binatang itu, sunat membaca:

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيم

  1. Sunat penyembelih menghadap qiblat dan dalam keadaan berwudu'.

  1. Wajib atas orang yang menyembelih itu memotong halqum (tempat keluar masuk nafas) dan mari' (tempat laluan makanan yang terletak di bawah halqum) sehingga putus dengan alat yang tajam seperti pisau (bukan tulang atau kuku). Hendaklah  menyembelih dengan bersungguh-sungguh dan tidak bermain-main. Hendaklah berlaku ihsan dan tidak menzalimi binatang tersebut.

  1. Sunat disembelih pada bahagian hujung leher (sebelah atas) untuk binatang yang berleher pendek seperti lembu, kerbau dan kambing. Adapun bagi binatang yang berleher panjang seperti unta, maka sunat disembelih pada bahagian pangkal leher (berhampiran dada), kerana mengikut sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم . Hikmahnya adalah memudahkan roh binatang itu keluar.

  1. Sunat disembelih lembu, kerbau atau kambing itu dengan dibaringkannya di atas tanah sebelah rusuk kirinya serta diikat kakinya, sementara kaki kanannya bebas lepas tanpa diikat supaya binatang itu dapat berehat dengan menggerakkan kaki kanannya itu. Adapun unta, maka sunat disembelih dengan didirikan binatang itu. Jika tidak mampu untuk disembelih dalam keadaan unta itu berdiri, maka sembelihlah dalam keadaan unta itu duduk. Rujuklah dalam al-Mughni.

  1. Sunat juga meletakkan sebelah kaki penyembelih ke atas batang leher binatang atau lambungnya supaya binatang itu tidak dapat menggerakkan kepalanya.

  1. Ketika hendak menyembelih binatang korban, sunat dibaca seperti berikut :

اللهُ اَكْبَرْ! اللهُ اَكْبَرْ! اللهُ اَكْبَرْ! بِسْمِ الله اللَّهُمَّ صَلِّي عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّد

Kemudian berniat, seperti berikut :

اللَّهُمَّ هَاذِهِ أُضْحِيَّةً مِنْكَ وَإِلَيْكَ فَتَقَبَّلْ مِنِّيْ, اللهُ اَكْبَرْ اللهُ اَكْبَرْ اللهُ اَكْبَرْ وَلِلَّهِ الْحَمْد

Maksudnya: "Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ya Allah Ya Tuhanku kurniakan selawat dan rahmat keatas Sayyidina Muhammad. Ya Allah ya Tuhanku, Ini korban daripada Engkau dan kembali kepada Engkau, maka terimalah  korban daripada hamba. Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Dan kepada Allah lah kembali segala pujian."

14.  Bagi tukang sembelih yang diwakilkan untuk menyembelih, hendaklah menyebutkan atau meniatkan nama-nama pemilik korban. Harus ia mendahulukan niat sebelum menyembelih mengikut pendapat yang ashah. Peserta korban pula disunatkan hadir menyaksikan penyembelihan tersebut. Niatnya adalah seperti berikut :

اللَّهُمَّ هَاذِهِ أُضْحِيَّة لِ........ ("فلان بن فلان") مِنْكَ وَإِلَيْكَ فَتَقَبَّلْ مِنَّا

Maksudnya : "Ya Allah, sembelihan qurban ini, adalah untuk.........(nama peserta qurban)........ dari Engkau dan kepada Engkau, maka terimalah daripada kami qurban ini.."

Jika tujuan sembelihan itu adalah untuk 'aqiqah, maka diniatkan :

اللَّهُمَّ هَاذِهِ عَقِيْقَة لِ........ ("فلان بن فلان") مِنْكَ وَإِلَيْكَ فَتَقَبَّلْ مِنَّا

Maksudnya : “Ya Allah, sembelihan aqiqah ini, adalah untuk..........(nama peserta qurban)........dari Engkau dan kepada Engkau, maka terimalah daripada kami aqiqah ini.."

15.  Sunat dibiarkan binatang itu setelah disembelih sehingga ia mati.

(Tanbih) Ini suatu penjagaan. Waktu penyembelihan korban adalah bermula setelah matahari terbit pada 10 Zulhijjah dan sesudah qadar selesai solat dua rakaat solat iedil adha berserta dua khutbah yang ringkas. Afdhalnya adalah ketika matahari naik segalah.

Waktu penyembelihan korban ini berlanjutan sehingga terbenam matahari 13 Zulhijjah. Jika disembelih binatang korban itu setelah berakhir hari tasyriq (10-13 Zulhijjah), maka sembelihannya tidak dianggap sembelihan korban.

Tetapi bagi korban wajib (korban nazar) yang tidak sempat dilakukan pada tempoh hari tasyriq itu, binatang itu tetap wajib disembelih sekalipun di luar waktunya dan sembelihan itu dikira sebagai qadha'. Demikian fatwa dalam Hasyiah I'anah.

(Tanbih) Ini suatu penjagaan. Haram bagi penyembelih mengambil upah kulit atau tanduk atau ekor atau daging daripada pemilik korban dengan jalan upah. Tetapi harus baginya menerima daging tersebut daripada pemilik korban dengan jalan sedekah jika ia termasuk orang miskin atau dengan jalan hadiah jika dia bukan orang miskin.

(Tanbih) Ini suatu penjagaan. Telah banyak orang awam yang jatuh ke dalam syubhat akibat mewakilkan sembelihan dan agihan daging TANPA menyatakan apakah ia korban wajib (kerana nazar) atau korban sunat. Perkara ini mendatangkan beberapa masalah dan hukum penting iaitu :

1)      Jika korban itu adalah korban wajib, maka kesemua dagingnya wajib disedekahkan kepada faqir miskin dalam keadaan mentah, serta haram memindahkan daging korban tersebut daripada tempat sembelihan ke negeri lain. Ini pendapat jumhur Syafi'iyyah.

2)      Jika korban itu korban sunat, maka sebahagian daging korban itu harus dihadiahkan (bahagian hadiah) atau dimakan oleh orang yang berkorban (bahagian milik tuan korban). Maka milik bahagiannya (hak milik tuan yang berkorban) itu dihukumkan harus dipindahkan ke negeri lain, manakala bahagian yang wajib disedekahkan kepada faqir miskin (bahagian sedekah) hukumnya wajib disedekahkan di tempat korban serta haram dipindahkan ke negeri lain. Rujuklah Hasyiah I'anah Ath-Thalibin bagi al-'Allamah As-Sayid Al-Bakri رحمه الله تعالى.

(Tanbih) Ini suatu penjagaan. Haram memberi sedekah atau hadiah walaupun sedikit kepada orang kafir sekalipun dia kaum kerabat, jiran tetangga atau ahli pakatan dalam parti dan sekalipun ia faqir miskin daripada kafir zimmi, samada ia korban wajib atau korban sunat kerana korban adalah perkara yang berhubung dengan ibadat. Sekiranya ada bahagian daging itu yang diberi, dihadiah atau dijual kepada orang kafir, maka wajib diganti dengan yang lain sekira-kira menyamai qadar berkenaan. Sebagaimana dicatatkan dalam  Matla' al-Badrain dan Sabil Al-Muhtadin dan selainnya.

Berkata guru kami, harus memberi kepada orang kafir jika daging itu TELAH menjadi milik si faqir atau miskin, yakni setelah berlaku pembahagian daging korban. Syaratnya pemilikan itu adalah dengan jalan sedekah atas faqir miskin. Maka si faqir atau si miskin itu mendapat daging dan daging itu menjadi MILIKnya, maka ia boleh sama ada memakannya, menjualnya atau menghadiahkan kepada orang lain termasuk kafir yang faqir. Itu pun hanya korban sunat sahaja. Adapun bagi korban wajib, hukumnya haram.

Wal hasil, jika berasa ingin memberi kepada orang kafir juga, jalan yang terbaik adalah dengan memberi daging yang dibeli dikedai, yakni bukan daripada daging korban. Mengutamakan orang Islam itulah yang dipilih bagi orang memahami.

(Tanbih) Ini suatu penjagaan. Binatang yang sah disembelih untuk dibuat korban adalah binatang ternakan beraki empat seperti unta, lembu, kerbau, kambing, biri-biri atau kibasy. Daripada jenis binatang yang disebutkan itu, binatang jenis kambing, biri-biri dan kibasy tidak boleh berkongsi, ia tertentu untuk seorang sahaja. Maka jika dua orang berkongsi satu kambing pada korbannya, maka tidak sah korbannya. Adapun unta, lembu, dan kerbau, boleh berkongsi atasnya sehingga kepada tujuh orang sahaja. Tiada boleh lebih daripada itu.

(Tanbih) Binatang seperti ayam tidak memadai dibuat korban atau aqiqah. Namun jika seorang itu benar-benar tidak mempunyai kemampuan, harus baginya berbuat demikian tetapi hendaklah dia bertaqlid kepada mazhab Ibn Abbas رضي الله عنهما. Demikian fatwa dalam Hasyiah Baijuri.

(Faedah) Ini suatu faedah. Afdhal buat korban bagi seseorang itu dengan seekor unta, kemudian seekor lembu, kemudian seekor kibasy atau biri-biri, kemudian seekor kambing biasa. Ini dinisbahkan dengan banyaknya daging kepada setiap jenis binatang. Kemudian berkongsi seekor unta atau seekor lembu.

(Faedah) Ini suatu faedah. Seorang yang berkorban dengan tujuh ekor kibasy lebih afdhal daripada tujuh ekor kambing. Manakala tujuh ekor kambing lebih afdhal daripada seekor unta dan seekor lembu atau kerbau kerana bertambah taqarrubnya kepada Allah dengan banyaknya darah yang mengalir daripada sembelihan binatang korban.

(Faedah) Ini suatu faedah. Afdhal binatang yang dibuat korban itu yang bewarna putih, kemudian yang bewarna kuning, yang putih tetapi tiada bersih putihnya, kemudian yang sebahagian badannya berwarna putih, kemudian sebahagian yang berwarna hitam, kemudian yang berwarna hitam semuanya, kemudian yang berwarna merah semuanya.

(Faedah) Ini suatu faedah. Binatang jantan yang tidak banyak berkahwin lebih afdhal dari binatang betina. Sebaliknya binatang betina yang belum melahirkan anak adalah lebih afdhal daripada binatang jantan yang banyak berkahwin untuk disembelih sebagai ibadat korban.

(Faedah) Ini suatu faedah bagi orang yang ingin menyembelih binatang sama ada untuk korban atau untuk sembelihan biasa. Petua ini juga diamalkan oleh guru kami Tuan Guru Haji Hashim Pasir Tumbuh رحمه الله تعالى.

1. Supaya daging tidak berlemak :-
  •  Ada wudhu’ ketika sembelih binatang.
  • Mata pisau disapu terlebih dahulu dengan minyak yang ada dibahagian hidung kita.
  • Hulu pisau dibungkus dengan kertas atau sebagainya.
  • Mata pisau dikilir atau digerakkan dengan belakang tapak tangan.

2. Supaya daging binatang menjadi lembut :-
  • Mata pisau diletak dekat butir halkum binatang
  • Kedudukan seluruh badan kita jangan berbetulan dengan mata pisau
  • Tahan nafas sewaktu hendak sembelih dan semasa sembelih maka nafas dilepas secara perlahan-lahan


3. Bacaan ketika mahu sembelih binatang supaya daging tidak berbau busuk :-

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْد
اللَّهُمَّ هَذَا هَذَا مِنْكَ وَإِلَيْكَ فَتَقَبَّلْ مِنَّا كَمَا تَقَبَّلْتَهُ مِنْ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ خَلِيْلِكَ وَمِنْ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبِيْدِكَ وَرَسُوْلِكَ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ رِضَاكَ وَالْجَنَّة

4. Selesai sembelih binatang, maka sapukan hujung mata pisau kepada pipi binatang tadi supaya lalat tidak datang menghurungi daging.

5. Supaya cukup atau memadai daging bagi setiap jamuan, insya'Allah, maka bacalah :-

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ  ِلإِيْلاَفِ قُرَيْشٍ إِيلاَفِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ
-kemudian hembus dan sapu kepada badan binatang bermula bahu hingga punggungnya.

6. Jangan basuh tangan dan mata pisau sehingga binatang sembelihan benar-benar telah mati

7. Sebaiknya tukang sembelih tidak menjadi tukang yang memandikan mayat kerana biasanya boleh membawa kepada daging menjadi keras


والله تعالى أعلم بالصواب وإليه المرجع والماب
وصلى الله وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
والحمد لله رب العالمين


Al-Faqir ila Allah Al-Baari
Ibnu Masran Al-Banjari

9 Zulhijjah 1433H

Saturday, October 6, 2012

Majlis Khatam Kitab Nasho'ih Lil Muslim : sedikit catatan serta Fawaid bagi penuntut ilmu.


Insya'Allah fawaed tersebut akan di update kemudian. 
Buat masa ini pihak kami belum ada kesempatan. 
Mohon doa daripada para pembaca dan penziarah blog ini. 
Syukran jazilan. Wassalam.

































Thursday, October 4, 2012

KHATAM KITAB USHULUDDIN & MEKAR CAHAYA CINTA RASUL صلى الله عليه وآله وسلم


Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi, akhirnya majlis pengkhataman Kitab Usuluddin (I'tikad Ahlis Sunnah Wal Jama'ah) di Madrasah Sidi Ibrahim Ar-Rashid selamat diadakan pada malam Ahad 6 Zul Qa'edah 1433H bersamaan 22 September 2012 dengan izin dan pertolongan Allah Ta'ala jua.

Kitab ini adalah karangan Al-Alim Al-'Allamah Asy-Syeikh Muhammad Mukhtar Bin 'Athorid Al-Jawiy Al-Betawiy Al-Boqoriy Al-Makkiy رحمه الله تعالى ونفعنا به وبعلومه في الدارين آمين

Al-Faqir mula mensyarahkan kitab Ushuluddin ini pada 12 Jumadil Akhir 1432H bersamaan 16 Mei 2011 dan mengkhatamkannya pada malam 6 Zul Qa'edah 1433H bersamaan 22 September 2012. Ini adalah kitab kedua yang telah faqir syarahkan di Madrasah tersebut setelah pengajian Kitab Ushulut Tahqiq yang dimulakan pada tahun 2009 dan dikhatamkan pada 2011. Segalanya dengan izin dan pertolongan Allah Ta'ala jua. ما شاء الله كان وما لم يشاء لم يكن

Semoga Allah سبحانه وتعالى memberkati serta merahmati pengarangnya, pensyarahnya, pembacanya, dan setiap murid yang menuntutnya dengan hati yang salim, serta memberikan futuh dan ma'rifah kepada semua penuntut aqidah salimah. اللهم آمين ..

PENGENALAN RINGKAS KITAB USHULUDDIN DAN PENGARANGNYA.

Ketika catatan ini ditulis, usia kitab ini telah pun berumur 110  tahun. Kitab ini diselesaikan pada hari khamis 24 zul kaedah 1323H. Sehingga kini kitab ini masih lagi dicetak dan dijual di kedai-kedai kitab agama. Ternyata ia sebuah kitab yang berkah.

Kitab ini membahas secara ringkas dan padat mengenai perkara Ilahiyyah, Nubuwwaah, Sam'iyyah dengan pendekatan ulama khalaf. Juga menerangkan ikutan dalam mazhab, ikutan dalam thoriqat, mengenali Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  , ahli keluarganya, isteri-isterinya, martabat kemuliaan makhluk, imam mazhab yang empat, nama-nama nabi عليهم الصلاة والسلام , kitab-kitab Allah serta para malaikat.

Kitab ini sangat bagus untuk penuntut ilmu di peringkat mubtadi yang ingin mendalami Ilmu Tauhid. Ini turut diakui oleh pentashih kitab ini iaitu Al-'Alim Al-'Allamah Asy-Syeikh Muhammad Idris Al-Merbawi Al-Firaqi (sohib Bahrul Maazi & Qomus Al-Marbawi). Pada kitab cetakan Mustafa Al-Baabi Al-Halabi Wa Awladuhu, Mesir, beliau memberikan taqriz terhadap kitab ini dengan berkata :

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف المرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين
Adapun kemudian daripada itu, maka hamba terangkan bagi awamil ummah kita (yang berbangsa) melayu, adalah kitab ini amatlah (besar) manfaatnya bagi seseorang (yang ingin) menuntut (ilmu) tauhid, kerana mudah fahamnya dan baik susunannya. Maka sayugialah jangan luput daripada seseorang itu bagi 
mula-mula tuntutannya. Mudah-mudahan dengan berkat usaha pengarangnya iaitu Tuan 
yang masyhur 'Alim lagi 'Allaamah Asy-Syeikh Muhammad Mukhtar 
Bin 'Atharid Al-Jawiy, mencapailah seseorang itu kekemuncak
hajat di dunia dan akhirat. Aamiin.." (intaha)

Bahkan menurut al-Faqir, kitab ini juga besar manfaatnya bagi peringkat pertengahan dan tinggi. Istimewa mengenai perbahasan tentang (Mukhalafatuhu Lil Hawadits) dan (Wahdaniah).

Faqir titipkan di sini doa yang ditulis oleh Pengarang رحمه الله تعالى di akhir kitabnya, doa yang penuh makna, penuh raja' disulami khauf, penuh mahabbah dan tawadhu' sesama ummat Jaddina صلى الله عليه وآله وسلم , penuh ta'zim dan tadharru' terhadap Saiyiduna Muhammad  صلى الله عليه وآله وسلم. Moga berkahnya tercurah kepada kita semua..

Berkata alMusannif  رحمه الله تعالى:

جعلنا الله وآبائنا وأمهاتنا وإخواننا وقراباتنا وأحبائنا ومشايخنا من أهل الجنة, واحفظنا وإياهم من عذاب النار وجميع أهوال يوم القيامة, واختم لنا ولهم بحسن الخاتمة, وارزقنا وإياهم الصحة والعافية في الدين والدنيا والآخرة بجاه سيدنا محمد صلى الله عليه وسلم وآله وصحبه أجمعين. وصلى الله علي سيدنا محمد وعلى آله وصحبه كلما ذكره الذاكرون, وغفل عن ذكره الغافلون, وسلم, ورضي الله تعالى عن أصحاب رسول الله أجمعين, وحسبنا الله ونعم الوكيل, والحمد لله رب العالمين

Menterjemahkan dia oleh alfaqir  غفر الله له ولمشايخه:

"Semoga Allah menjadikan kami, bapa-bapa kami, ibu-ibu kami, saudara-saudara kami, kaum kerabat kami, kekasih-kekasih kami, dan para guru-guru kami dari kalangan ahli syurga. Semoga Allah memelihara kami dan memelihara mereka dari azab neraka dan dari segala ketakutan pada hari kiamat kelak.

Semoga Allah mengakhiri hayat kami dan mereka dengan husnul khatimah dan melimpahkan kepada kami dan kepada mereka dengan nikmat kesihatan, keafiatan di dunia dan di akhirat, bertawasul oleh kami dengan keberkatan Junjungan Besar Saiyidina Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wa Sallam, keluarganya dan para sahabatnya sekelian.

Semoga Allah mencucuri rahmat dan kesejahteraan ke atas Penghulu kami Muhammad, keluarganya dan para sahabatnya, setiap kali ketika telah berzikir mengingatiNya oleh orang-orang yang berzikir dan ketika telah lalai daripada mengingatiNya oleh orang-orang yang lalai. Semoga Allah Ta'ala meredhai para sahabat Rasulillah sekeliannya.

Cukuplah Allah sebagai pemelihara kami dan sebaik-baik tempat berserah. Dan segala puji-pujian itu milik bagi Allah Tuhan sekelian alam."

آمين يا ارحم الراحمين بجاه نبي الأمين

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang manakib sejarah hidup dan keilmuwan Al-'Allamah Asy-Syeikh Muhammad Mukhtar Bin 'Athorid Al-Jawiy Al-Betawiy Al-Boqoriy Al-Makkiy رحمه الله تعالى ونفعنا به وبعلومه في الدارين آمين , bolehlah dirujuk di SINI 

Sebagai meraih berkah musannif serta para ulama yang menyebarkan ilmu dan I'tikadnya, maka faqir bacakan juga pada malam khatam itu akan sanad yang bersambung kepada pengarangnya yang mulia itu. Semoga Allah Ta'ala mencurahkan rahmat dan berkah kepada kami semua. Aamiin..

MENJAMU MAKAN AMALAN MULIA


Para hadirin kemudiannya dijamu oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Abu Samah di rumah kediamannya di sebelah Madrasah. Kami tidak menyangka Tuan Haji Abu telah menempah masakan berlauk kambing yang istimewa sempena majlis ini. Mereka meraikannya sebagai tanda kesyukuran dapat mempelajari kitab yang berkah itu sedari awal hinggalah khatam.

Meskipun kitab tersebut hanya memiliki 8 helai, namun tempoh mengaji yang agak lama hingga memakan masa setahun lebih, membuatkan mereka rasa gembira serta bersyukur apabila kitab tersebut berjaya dipelajari sehingga khatam. Daripada rasa kesyukuran inilah, maka hadirin dijamu makan dengan jamuan yang istimewa.

Amalan menjamu makan ini sebenarnya bisa menempatkan kita ke syurga Allah. Beruntunglah bagi mereka yang mempunyai kelebihan lalu memanfaatkannya dengan cara menjamu orang ramai makan. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  pernah bersabda :

يا ايها الناس اطعموا الطعام, وافشوا السلام, وصلوا الارحام, وصلوا بالليل والناس نيام, تدخلوا الجنة بسلام

"wahai manusia! jamulah oleh kamu akan makanan, dan sebarkan oleh kamu akan ucapan salam, dan sambunglah oleh kamu akan silaturrahim, dan solatlah kamu di waktu malam disaat manusia sedang tidur, nescaya kamu masuk akan syurga dengan sejahtera." (Riwayat al-Baihaqi)

Sementara dalam Mustadrak 'Ala Shohihain bagi Imam Al-Hakim, diriwayatkan sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم  :

إن خيركم من أطعم الطعام

"Sesungguhnya yang paling baik dikalangan kamu ialah orang yang menjamukan makanan"

(Tuan Haji Abu – sebelah kiri al-faqir)

Tuan Haji Abu adalah seorang yang mulia, dikenal sebagai orang yang sentiasa memuliakan para ulama, dikenal sebagai orang yang sentiasa menjaga kebajikan para asatizah khususnya di Madrasah Sidi Ibrahim, dikenal sebagai pemurah dan dermawan, yang sentiasa mendokong pembangunan institusi Pondok dan Madrasah. Semoga Allah Ta'ala memanjangkan umurnya dan ahli keluarganya serta dilimpahi keberkatan dan istiqamah dalam mengerjakan amal soleh.

Kelebihan sifat pemurah dan dermawan ini ada terdapat dalam Sunan At-Tirmizi, diriwayatkan daripada Abi Hurairah رضي الله عنه  bahawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  bersabda :

السخي قريب من الله, قريب من الجنة, قريب من الناس, بعيد من النار
والبخيل بعيد من الله, بعيد من الجنة, بعيد من الناس, قريب من النار
 ولجاهل سخي أحب إلى الله عز وجل من عالم بخيل

"Dermawan yang pemurah itu hampir kepada Allah, hampir kepada syurga, hampir kepada manusia, jauh daripada neraka. Dan orang yang bakhil itu jauh dari Allah, jauh dari syurga, jauh dari manusia, hampir kepada neraka. Dan orang yang jahil yang pemurah lebih disukai oleh Allah عز وجل daripada orang yang 'alim yang bakhil."

Sifatnya yang suka memuliakan serta berkhidmat kepada 'alim ulama selalu membuatkan faqir menjadi terharu. Hanya kepada Allah jua tempat faqir memohon agar beliau dan ahli keluarganya dikurniakan limpahan ilmu, makrifah dan rezeki yang berkah.

Saya yakin amal solehnya itu akan membuahkan hasil yang soleh buat dirinya serta zuriatnya. Teringat faqir akan pesan para masyaikh :

من أراد أن يكون ابنه عالما, ينبغى أن يراعى الغرباء من الفقهاء ويكرمهم ويطعمهم ويطيعهم شيئا 
وإن لم يكن ابنه عالما يكون حفيده عالما

"Barangsiapa yang ingin anaknya menjadi orang 'alim, hendaknya ia memelihara, memuliakan dan memberikan sesuatu kepada ahli agama yang ghuraba' . Jika ternyata anaknya tidak menjadi orang 'alim, maka cucunya yang akan menjadi orang 'alim."

Moga seperti inilah yang akan dianugerahkan kepada beliau serta setiap insan yang seperti beliau. Allahumma Aamiin.

Kemudian kami dijamu lagi di rumah Yang Berbahagia Tuan Haji Mustafa Kamal. Kami dihidangkan beriani kambing. :) Semoga Allah Ta'ala melimpahkan keberkatan kepada beliau dan keluarganya.

Sukar juga menolak pelawaan Tuan Haji Kamal sekalipun telah kekenyangan dek jamuan di rumah Tuan Haji Abu. Namun menunaikan jemputan seorang muslim itu merupakan haknya yang perlu ditunaikan. Imam Ahmad dalam Musnadnya meriwayatkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda :

حق المسلم على المسلم ست قيل ما هي يا رسول الله قال إذا لقيته فسلم عليه
وإذا دعاك فأجبه وإذا استنصحك فانصح له وإذا عطس فحمد الله فشمته
 وإذا مرض فعده وإذا مات فاتبعه

"Hak seorang muslim atas seorang muslim itu ada enam, ditanya apakah dia wahai rasulallah? Sabda nabi, apabila engkau bertemunya maka ucapkanlah salam, dan apabila dia mengundangmu maka tunaikanlah, dan apabila ia meminta nasihat maka berilah nasihat kepadanya, dan apabila dia bersin lalu mengucapkan الحمد لله  , maka ucaplah يرحمك الله , dan apabila ia meninggal dunia maka hantarlah ke tanah perkuburan."

Tidak patut bagi kami mengabaikan pesanan Rasul ini. Tambah pula Tuan Haji Kamal ini dikira rapat dengan saya. Beliau telah bertalaqqi bersama faqir sejak tahun 2006 lagi. Beliau sering menyertai rehlah dakwah dan jaulah ilmiah bersama faqir. Kesungguhannya pada menuntut ilmu wajar dijadikan contoh teladan kepada golongan walad dan syabab.

Kekayaan dan urusan dunia tidak menjadi penghalang baginya dalam menunaikan kewajipan mendalami ilmu-ilmu Allah. Semoga Allah Ta'ala memberikan futuh kepadanya dan menambahkan rasa cintanya kepada ilmu dan ulama. Aamiin..

Alangkah indahnya kalam Sayyiduna Ali bin Abi Thalib رضي الله عنه  yang pernah bersyair :

رضينا قسمة الجبار فينا * لنا علم وللأعداء مال
"Kami redha dengan bahagian yang diberikan oleh Allah, bagi kami diberikan ilmu, sedang bagi musuh diberikan harta benda."
فأن المال يفنى عن قريب  * وإن العلم يبقى لا يزال
"Kerana sesungguhnya harta benda itu akan binasa dalam jangka masa pendek, sedang ilmu akan abadi dan tidak musnah."

Kepada yang masih muda remaja, gunakanlah kesempatan mudamu dengan menekuni ilmu agama. Kepada yang terlalu sibuk dengan urusan dunia, janganlah duniamu itu menjadikan dirimu hina. Bukankah Junjungan Besar صلى الله عليه وآله وسلم pernah mengingatkan kita :

اغتنم خمسا قبل خمس : شبابك قبل هرمك ، وصحتك قبل سقمك ، وغناءك قبل فقرك ، وفراغك قبل شغلك ، وحياتك قبل موتك

"Rebutlah lima sebelum lima, masa mudamu sebelum tuamu, dan masa sihatmu sebelum sakitmu, dan masa kayamu sebelum fakirmu, dan masa lapangmu sebelum sibukmu, dan masa hidupmu sebelum kematianmu."

Betapa bagusnya kalam syair ini :

وأيم الحداثة فاغتنمها * ألا إن الحداثة لا تدوم
"Raihlah kesempatan di waktu mudamu, ingatlah masa mudamu tidak akan abadi."

Dan renungilah nasihat ulamak ini :

هي الدنيا أقل من القليل * وعاشقها أذل من الذليل
"Dunia itu sedikit dari yang sedikit, dan seorang yang tenggelam di dalamnya lebih hina dari orang yang hina"

تصم بسحرها قوما وتعمي * فهم متحيرون بلا دليل
"Akibat sihir dunia, ramai orang yang menjadi tuli dan buta, sehingga mereka menjadi bingung tanpa pegangan"

Semoga kita semua tidak menjadi orang yang lalai, tenggelam serta terpedaya dengan nikmat dunia yang menipu.

اللهم إنا نسألك العفو والعافية واليقين في الأولى والآخرة .. آمين يا رب العالمين
"Ya Allah, kami memohon kepadaMu keampunan, keselamatan dan keyakinan di dunia dan di akhirat"

 (Tuan Haji Kamal – sebelah kiri al-faqir)

Khusus di rumah Tuan Haji Kamal ini, kami diserikan lagi dengan persembahan qasidah daripada pelajar-pelajar Pondok Ribath Tuan Guru Hj Muhammad Lip, Muar. Semoga Allah memberkati kami serta menjadikan pelajar-pelajar ini sebagai para 'alim ulama dan ahli ibadah yang teguh ilmu dan amalnya dengan berkahnya Nabi yang terpuji. Amin.

(Qashidah oleh pelajar Ribath TG Hj Muhammad Lip, Muar)

Alangkah berkah saat dilaungkan alunan bait-bait indah memuji keAgungan Rasul Tercinta, semulia-mulia makhluk, setinggi-tinggi martabat, Sayyiduna Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم . 

Berkata Syeikh Ibrahim al-Laqqaniy  رحمه الله تعالى :

وأفضل الخلق على الإتطلاق * نبينا فمل عن الشقاق
"Dan semulia-mulia makhluk secara mutlak itu ialah Nabi kita, maka berpalinglah dari perselisihan."

Mendengar adik-adik yang mulia itu mendendangkan puji-pujian kepada Allah dan rasulNya, membuatkan airmata mengalir tanpa sedar. Sungguh dirimu wahai Rasul صلى الله عليه وآله وسلم adalah makhluk yang paling mulia. Betapapun kami cuba memuliakanmu, ternyata kemuliaanmu mengatasi segala pujian itu. 


Hanya Allah jualah yang paling layak menempatkan kepujian bagimu yang tiada bandingan. Perhatikanlah bagaimana Allah mengistiharkan keagungan dan kemuliaan akhlak Nabiyuna Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم :
وإنك لعلى خلق عظيم
"Dan sesungguhnya engkau benar-benar mempunyai akhlak yang sangat mulia"

Sungguhpun kalam Allah ini kelihatan ringkas, namun bagi mukmin yang suka bertadabbur dengan ayat-ayat Allah, pasti dapat merasakan betapa sukarnya bagi kita mengeluarkan cahaya-cahaya indah dalam persaksian Allah ini, serta lemahnya kita dalam nak menghimpunkan segala jenis akhlak yang pernah wujud di alam ini.

Ketahuilah oleh mu, bahawa ayat yang ringkas ini adalah bagi memudahkan kita mengingati bahawa segala jenis akhlak yang pernah dianggap mulia di atas muka bumi ini sebenarnya terhimpun pada diri mulia Nabi صلى الله عليه وآله وسلم , bahkan Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم lah yang menyempurnakan segala akhlak yang mulia itu.

Guru kami yang mulia, Al-'Alim Al-'Allaamah Asy-Syeikh Muhammad Said Ramadhan Al-Buthiy حفظه الله تعالى pernah berkata :

سمي خلقه عظيما لاجتماع مكارم الاخلاق فيه

"Dinamakan akhlak rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  sebagai yang paling agung adalah kerana berhimpunnya segala akhlak-akhlak yang mulia pada batang tubuh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ."(intaha)

Jika terdapat insan lain yang memiliki akhlak mulia, maka ia masih belum sempurna. Jika terdapat insan lain yang mempunyai peribadi yang mulia, maka ia masih belum lengkap pada terhimpunnya sekelian akhlak yang mulia.

Pendek kata, jika dikatakan si fulan bin fulan itu berakhlak mulia, itu hanya pada sebahagian sudut sahaja. Namun di sisi lain masih terdapat lagi kecacatan dan kekurangan. Adapun ke atas Nabi kita صلى الله عليه وآله وسلم , maka tiada ruang dan sudut yang kosong daripada akhlak yang mulia serta sifat-sifat terpuji.

Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sendiri pernah menegaskan :

إن الله بعثني لاتمم مكارم الاخلاق
"Sesungguhnya Allah membangkitkan aku untuk menyempurnakan segala akhlak-akhlak yang mulia."

Sekiranya kita merenung pada mukjizat ayat وإنك لعلى خلق عظيم , nescaya lemahlah kita pada menghurai dan menterjemahkannya. Hurailah dari sudut apa pun, samada dari sudut ilmu nahunya, ilmu sarafnya, ilmu balaghahnya, ilmu bayannya, ilmu tafsirnya, ilmu hadithnya, ilmu sirahnya, ilmu akhlaknya, ilmu aqidahnya, apa pun jua bidang ilmu, nescaya kamu mampu membicarakannya, nescaya kamu menerima fawaed yang banyak, namun akan berkesudahan dengan tunduk malu serta menitiskan airmata kerana cahaya keagungan akhlak mulia Nabi  صلى الله عليه وآله وسلم benar-benar tidak dapat ditandingi oleh sekelian makhluk Allah imma di atas dunia, wa imma di negeri akhirat.!

Dengan berkat kemuliaan akhlak Bagindalah, jesteru kamu diberi ilham dan ilmu pada menghurainya, dan darjat kamu pun menjadi mulia. Sebaliknya jika kamu mengingkari keperibadian dan akhlak mulia yang ada pada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , nescaya kamu menjadi jahil dan hina.

Jadilah insan mulia dan berilmu dengan memuliakan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan jangan sampai kamu menjadi hina dan berterusan jahil kerana mengingkari akan kemuliaan akhlak Baginda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم .

Faqir berikan satu contoh. Contoh yang memancarkan cahaya akhlak terpuji Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , sekalipun sekali pandang ia biasa-biasa saja, namun bila dicermati, bila direnungi, bila difahami, dengan mata hati yang insaf, nescaya kita akan tersenyum, lalu menitiskan airmata kekaguman, airmata kekerdilan, airmata pengakuan, airmata keinsafan, dan airmata mahabbah..

Imam at-Tirmizi رحمه الله تعالى  meriwayatkan dalam Syama'il Muhammadiyah sebuah hadith daripada sayyidatina 'Aisyah رضي الله عنها  katanya, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda :

نعم الإدام الخل
"sebaik-baik lauk adalah sos cuka."

Hadith ini dimasukkan di dalam Bab Lauk Pauk yang dimakan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Ramai yang membacanya memahami bahawa cuka adalah sebahagian makanan yang disukai oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Ramai juga orang yang mensyarahkan hadith ini hanya memperkatakan tentang khasiat dan kelebihan cuka.

Semua itu tidak dinafikan. Bahkan sesuatu yang dikatakan baik oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pasti mengandungi hikmah dan kebaikan. Tetapi jika kita mengkaji perkara yang tersurat disebalik hadith ini, pasti kita akan berjumpa dengan akhlak terpuji Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم .

Dalam al-Mawahibil Laduniyah bagi Syeikh Ibrahim al-Bajuriy رحمه الله تعالى ada dijelaskan bahawa hadith ini bukanlah memberi maksud bahawa cuka adalah lauk yang terbaik daripada segala jenis lauk. Bahkan hadith ini nak menyatakan akhlak terpuji Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم terhadap isterinya Siti Aisyah.

Ibn Qayyim menyatakan bahawa suatu ketika Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pulang ke rumah. Isterinya menghidangkan roti untuk dimakan, lalu baginda bertanya kepada isterinya, "apakah ada lauk dalam rumah ini?" . Isterinya menjawab "tiada apa-apa melainkan sos cuka ini saja". Di saat itulah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم bersabda :

نعم الإدام الخل
"sebaik-baik lauk adalah sos cuka!."

Inilah sikap Nabi kita صلى الله عليه وآله وسلم. Lihatlah bagaimana akhlak Nabi صلى الله عليه وآله وسلم  yang sentiasa redha dengan kezuhudan, yang selalu bersyukur dengan setiap nikmat, yang tak pernah merungut dengan segala kekurangan, yang tidak akan mencela segala makanan yang dihidangkan, yang tak pernah menghampakan si isteri, yang selalu meraikan isteri-isterinya.

Jikalau isteri baginda mengatakan hanya ada lauk sayur sahaja, pasti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم mengatakan "sebaik-baik lauk adalah sayur!". Kerana Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tidak pernah merungut tentang makanan. Dan Nabi adalah seorang yang selalu menyenangkan hati para isterinya. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم tidak kedekut untuk memuji isterinya, dan selalu menghargai khidmat para isterinya.

Adakah akhlak kita dapat menandingi indahnya akhlak Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ?? Berapa kali kita merungut dengan masakan si isteri? Berapa kali kita pernah mencemuh makanan yang dihidangkan kepada kita? Berapa kali kita menyakiti hati isteri kita yang ikhlas menyiapkan hidangan kepada kita? Berapa kali kita merasa hina dan malu jika makan nasi hanya berlaukkan kicap??

Pernahkah kita menghargai khidmat yang diberikan oleh isteri kita dalam bentuk memujinya? Pernahkah kita meraikan segala bentuk kekurangan yang menimpa kita dengan perkataan yang indah?  

Allahu Rabbi.. Sungguh terpuji akhlak Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Sungguh indah peribadi Baginda صلى الله عليه وآله وسلم . Benarlah beliau adalah semulia-mulia makhluk. Seindah-indah akhlak. Secantik-cantik peribadi.

أكرم بخلق نبي زانه خلقه * بالحسن مشتمل بالبشر متسم
"Alangkah mulia peribadi Nabi صلى الله عليه وآله وسلم , yang dihiasi pekertinya dengan keindahan yang memancarkan sinar wajah yang berseri."

كالزهر في ترف والبدر في شرف * والبحر في كرم والدهر في همم
"Laksana bunga pada keindahan, dan cahaya purnama pada kemuliaan, seumpama luasnya laut samudera pada sifat kepemurahan, dan seperti panjangnya masa pada impian membebaskan ummatnya daripada kesesatan."

Inilah hakikatnya. Sekalipun masih terdapat setengah mereka yang sanggup menghina kemulian Baginda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم . Mereka itu buta bashar dan buta bashirah. Tiada melihat cerahnya keindahan cahaya Nubuwah yang dengannya menyelamatkan kita semua daripada jurang neraka yang siksanya amat pedih.

 (ketika menyuarakan bantahan terhadap filem yang menghina Nabi Besar Kita )

Benarlah kata penyair :
عاب الكلام أنس الأخلاق لهم * وما عليه  إذا من ضرر
ما ضر شمس الضحى في الأفق طالعة * أن لا يرى ضوؤها من ليس ذا بصر
"Mencela oleh manusia akan perkataan yang tiada habuan bagi mereka itu pada pengetahuannya, padahal tidak ada atas perkataan salah dan rosak apabila mencela mereka itu akan dia. Tidaklah lenyap cahaya matahari di waktu dhuha pada ketika terbitnya di ufuk, dek kerana tidak dapat melihatkan cahayanya oleh orang yang buta."

Berkata Imam al-Busyiri رحمه الله تعالى :
وكل آي أتى الرسل الكرام بها * فانما اتصلت من نوره بهم
"Semua mukjizat yang dibawa para rasul yang mulia, hanyalah pancaran cahayanya terhadap mereka."

فانه شمس فضل هم كواكبها * يظهرن أنوارها للناس في الظلم
"Sungguh ia adalah matahari keutamaan dan mereka adalah bintang-bintangnya, yang memancarkan cahaya bagi manusia di kegelapan"

Jadilah insan yang muwafaqat dengan perisytiharan Allah terhadap kemuliaan Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم dan jangan sampai menjadi insan yang muwafaqat dengan tipudaya syaitan dengan melakukan perbuatan dan mengucapkan sesuatu ucapan yang menyakiti hati baginda serta menjatuhkan martabat Rasul Junjungan kita.

Hendaklah selalu ada dijiwa kita perasaan malu terhadap Allah dan RasulNya صلى الله عليه وآله وسلم .

Imam al-Qurtubiy رحمه الله تعالى meriwayatkan dalam Tafsirnya, disaat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم membaca firman Allah :

إن تعذبهم فإنهم عبادك وإن تغفر لهم فإنك أنت العزيز الحكيم
"Jika Engkau menyeksa mereka,(maka tidak ada yang dapat menghalangnya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu, dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkau sahajalah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana."

فرفع يديه وقال : اللهم أمتي أمتي وبكى
"lalu Nabi صلى الله عليه وآله وسلم mengangkat kedua tangannya dan bersabda sambil menangis : Ya Allah! Ummatku! Ummatku!"

Lihatlah betapa kasihnya Nabi صلى الله عليه وآله وسلم terhadap umatnya. Segala sesuatu yang menakutkan dan menyakitkan yang boleh terkena kepada umatnya, Nabi صلى الله عليه وآله وسلم pasti kerisauan, bimbang dan sedaya upaya ingin menyelamatkan ummatnya daripada sebarang azab dan kesakitan.

Melihat keadaan nabi yang demikian. Allah Ta'ala memerintahkan Jibril  عليه السلام mendatangi Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم

فقال الله, يا جبريل ! اذهب إلى محمد فقل  له
"Wahai Jibril! Pergilah kamu kepada Muhammad, dan katakanlah kepadanya bahawa Allah berfirman kepadamu.."

إنا سنرضيك في أمتك ولا نسوءك
"Sesungguhnya Kami akan meredhai engkau pada ummat engkau dan Kami tidak akan MENYAKITI engkau dalam urusan ummat engkau."

Allahu Rabbi.. Apakah kita tidak melihat bagaimana sikap Allah terhadap kekasihNya??

Allah tidak mahu menyakiti kekasihnya. Sedang Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pula tidak mahu ummatnya disakiti. Lalu bagaimana dengan sikap kita? Jika benar kita mencintai Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , maka tidak ada ruang untuk menyakiti Baginda!

Semoga Allah سبحانه وتعالى selalu memelihara dan menjauhkan kita daripada perkataan dan perbuatan yang menyakiti hati Baginda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم . Semoga Allah mencampakkan kepada kita rasa malu terhadap Allah dan RasulNya صلى الله عليه وآله وسلم .



اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَنَا, وَلِأُصُوْلِنَا, وَلِفُرُوْعِنَا, وَلِمَشَايِخِنَا, وَلِأَحْبَابِنَا, وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقَونَا بِالإِيْمَانِ
اللَّهُمَّ اغْفِرْ ِلأُمَّةِ مُحَمَّدٍ, وَارْحَمْ أُمَّةَ مُحَمَّدٍ رَحْمَةً عَامَّةً, إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ

اللَّهُمَّ إِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِجَاهِ حَبِيْبِكَ وَرَسُولِكَ سَيِّدِ الْمُرْسَلِيْنَ, وَبِآلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَبِالْعُلَمَاءِ الْعَامِلِيْنَ, وَبِأَسْرَارِ أَحْكَمِكَ الَّتِيْ بِهَا فِي الدِّيْنِ, أَنْ تَغْفِرَلَنَا ذُنُوْبَنَا وَتُكَفِّرَ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا, وَتَجْعَلَنَا مِنْ عِبَادِكَ الْمُتَّقِيْنَ وَحِزْبِكَ الْمُفْلِحِيْنَ

وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ عَدَدَ مَا ذَكَرَهُ الذَّاكِرُونَ, وَغَفَلَ عَنْ ذِكْرِهِ الْغَافِلُونَ