Saturday, May 30, 2009

SIRI LAWATAN KETUA LAJNAH TARBIYYAH DPPNJ KE DPPK-DPPK (2)

SIRI (2) DPPK KULAI

Syukur Alhamdulillah, lawatan kali ini disertakan dengan program TAUJIHAT kepada para Nuqaba’ PAS Kawasan KULAI. Istimewanya di Kulai ini ialah mereka telah membina kesatuan gerakkerja Usrah melibatkan Kawasan, Pemuda & Muslimat melalui para Nuqaba’ yang dilantik disetiap peringkat.

Melalui penerangan Sdr Zaharudin, saya amat tertarik dengan penyusunan gerakkerja tarbiyah melalui medan Usrah bagi kawasan mereka. Syabas & tahniah saya ucapkan. Dalam lawatan tersebut, YDP Kulai juga turut hadir. Syabas buat YDP Kulai. Tahniah juga buat Ketua Pemuda PAS Kulai.

Mudah-mudahan taujihat yang berkisar kepada “PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB NUQABA’” memberi manfaat kepada saya dan mereka. Amin.

Program tersebut diadakan di dewan Pustaka (pusat tarbiyyah), Kulai.

Para Naqib yang dilantik diperingkat PAS Kawasan dan DPPK..


(siri lawatan ini adalah bertujuan mendapatkan maklumat secara langsung terhadap perkembangan dan perjalanan proses pentarbiyyahan diperingkat DPPK seluruh Johor.)

Kawasan mana pula selepas ini? Nantikan kehadiran kami.. :-) Semoga Allah permudahkan urusan kita.. Amin..

-al-Banjari -

ISA : Siri kezaliman yang entah ke berapa..

(Khamis, 28 Mei 2009)

Jam 2.30 petang, jenazah telah disembahyangkan, namun belum ada tanda-tanda yang Abah akan tiba dari Taiping. Dimana saja kelibatku berada, pasti tetamu akan bertanya "bila lagi Mat Sah akan sampai? ". Aku hanya mengangkat bahu sambil memberi senyuman nipis.Akhirnya, jam 3.15 petang, Abah dengan diiringi beberapa orang polis berpakaian biasa, berjalan masuk ke halaman rumah.Ketika Abah menjejakkan kaki ke ruang tamu ditempat dimana jenazah nenek di letakkan, suasana menjadi senyap seketika. Semua yang hadir memberi ruang untuk Abah mendekati nenek yang ditutupi kain batik berwarna hijau.
Abah duduk berteleku disebelah jenazah, perlahan-lahan beliau tunduk dan mencium pipi sejuk nenek. Abah mencium pipi kiri dan kanan..... itulah ciuman terakhir dari Abah untuk nenek....Ku perhatikan Abah agak lama melekapkan hidungnya di pipi itu. Mungkin selama ini Abah tidak pernah terfikir, penahanan dibawah ISA akan menyebabkan beliau dan ibu kandung kesayangannya terus menerus terpisah hingga ke akhir nyawa..... Ahh...terlalu zalim ISA ini ku rasakan.....


Sebaik saja mengangkat wajahnya setelah mencium pipi nenek, ku lihat Abah menyapu matanya yang merah dan berair beberapa kali.Aku sendiri tidak dapat menahan rasa sebak melihat Abah berbuat demikian. Aku amat memahami, tentunya kerinduan Abah terhadap nenek tidak pernah terubat kerana selama tujuh tahun di kurung di Kem Kamunting, peluang untuk Abah bertemu nenek amat terbatas sekali. Pastinya Abah amat terkilan, cita-citanya untuk menjaga nenek ketika nenek tua dan sakit, tidak kesampaian.. ...

Menyaksikan peristiwa itu, semua yang berada disekeliling jenazah nenek, turut merembeskan airmata .Masing-masing tak tertahan untuk meluahkan sebak didada. Tok Mat cuba menenteramkan Abah dengan kata-kata yang baik.

Abah tidak lama berada disisi jenazah nenek. Sebaik saja mayat dimasukkan kedalam keranda untuk dibawa ke kereta jenazah, sepantas kilat, sekumpulan polis berpakaian biasa mengepung abah untuk dibawa kedalam kenderaan khas dan terus bertolak ke tanah perkuburan keluarga Tok Mat di Segambut.Aku sendiri tidak sempat untuk bersalam ataupun bertanya khabar. Abah begitu cepat hilang dari pandangan... .


Aku memandu sendiri ditemani Suhaib ke Segambut. Abah telah lama tiba disana dan beliau dibenarkan keluar dari Van untuk sama-sama membantu pengkebumian itu. Kesemua polis brpakaian biasa turut berada dikawasan sekitar lahad yang digali untuk menyimpan tubuh arwah nenek.

Aku menunggu hingga segalanya selesai termasuk bacaan doa talkin. Kemudian Tok Mat dan anak-anak bergilir-gilir menyiram air mawar dipusara nenek. Sebaik saja siap siraman terakhir, Abah diberi masa beberapa minit untuk bersalaman dengan adik-beradik dan saudara-mara yang hadir di tanah perkuburan itu...... termasuk aku dan Suhaib.Aku tidak sempat bercakap dengan Abah. Aku hanya sempat mencium tangannya... ..peganganitu terlepas dan bila kepala ku angkat, beliau telah berada beberapa meter jaraknya dariku , berjalan pantas di kerumuni sekumpulan lelaki menuju sebuah van bercermin hitam pekat yang diparkir betul-betul dihadapan kawasan perkuburan.. .....

Selepas itu, aku tidak tahu dimana Abah berada... adakah beliau masih bermalam di salah satu balai polis di Kula Lumpur ini, atau pun terus dibawa pulang ke Kem Kamunting... ..

Yang jelasnya, kerinduan, cinta dan kasih sayang dari seorang ibu seperti nenek, yang telah dipisahkan dengan anaknya tanpa perikemanusiaan oleh akta Zalim ISA ini.... akhirnya dibawa bersama ke liang lahad..

Al Faatihah..
SEMOGA ALLAH MEMBERI KETABAHAN DAN KEKUATAN IMAN KE ATAS AKHIE MAT SHAH DAN KELUARGANYA. AMIN..

Thursday, May 28, 2009

SIRI LAWATAN PENGERUSI LAJNAH TARBIYYAH DPPNJ KE DPPK-DPPK (1)

SIRI (1) DPPK PASIR GUDANG

Syukur Alhamdulillah, satu Program REHLAH anjuran DPPK Pasir Gudang yang melibatkan kepimpinan baru dalam dewan pemuda kawasan tersebut berjaya dilaksanakan. Kami dapat hadir dan bertemu dengan kepimpinan baru DPPK Pasir Gudang melainkan Ketua Pemuda Sdr Syed Othman yang tidak dapat hadir pada program tersebut.

Dalam kesempatan tersebut, saya diberi peluang memberi pengisian “BRAINSTORMING” dan saya telah membentangkan tajuk PERANAN PEMUDA DALAM MEMIKUL TUGAS RISALAH.
Saya mengucapkan tahniah kepada pihak yang terbabit khasnya kepada Ketua Lajnah Tarbiyyah DPPK Pasir Gudang al-Fadhil Ustaz Azhar.

Program tersebut diadakan di Desaru Beach Resort.






(siri lawatan ini adalah bertujuan mendapatkan maklumat secara langsung terhadap perkembangan dan perjalanan proses pentarbiyyahan diperingkat DPPK seluruh Johor.)

Kawasan mana pula selepas ini? Nantikan kehadiran kami.. :-) Semoga Allah permudahkan urusan kita.. Amin..

-al-Banjari-

Tuesday, May 26, 2009

Ketegasan dalam menyatakan "hanya Islam yang benar"..

Monday, May 25, 2009

Agenda Tarbiyyah DPPNJ Sessi 2009-2011



No 17, Jalan Berlian 3, Taman Rengam Jaya, 86200 Simpang Rengam, Johor Darul Ta'zim.


http://tarbiyyahdppnj09.wordpress.com


019-777 324 / 019-794 6512




28 Jamadil Awal 1430H


23 Mei 2009




PERANCANGAN


LAJNAH TARBIYYAH & LATIHAN PERKADERAN


DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR :


AGENDA SESSI 2009-2011






بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله رب العلمين, والصلاة والسلام على سيدنا محمد أشرف الأنبياء والمرسلين, وعلى آله وصحبه ومن سار على نهجه الى يوم الدين. أما بعد :




Inilah catatan ringkas berkenaan agenda besar Lajnah Tarbiyyah & Latihan Perkaderan DPPNJ. Agenda ini akan dilaksanakan tanpa mengabaikan agenda tarbiyyah sediaada yang sudah terlaksana sekian lama. Ianya sebagai proses pemerkasaan tarbiyyah dan pembaharuan pakej. MANHAJ MADRASAH TARBIYYAH DPPNJ tetap menjadi panduan dalam perlaksanaan agenda ini.



Agenda yang dimaksudkan adalah seperti berikut ;



  1. Menghidupkan MAJLIS NUQABA'

  2. Mewujudkan MAJLIS TA'LIM PERDANA

  3. Mewujudkan DAURAH JUNDIYAH

  4. Memperkasakan TAMRIN TARBAWI, THAQAFI & QIYADI
    diperingkat DPPK & DPPNJ.

  5. Mengaktifkan program HIMPUNAN PEMUDA diperingkat ZON & Negeri, bagi menjana TARBIYAH UKHUWAH ISLAMIYAH.



Keterangan ringkasnya adalah seperti berikut;


Menghidupkan MAJLIS NUQABA'
  • Membina rangkaian para naqib seluruh dppk.

  • Mengatasi masalah-masalah sekitar peranan & tugas naqib.

  • Berkongsi kemahiran

  • Melahirkan naqib berwibawa

  • Memantau keberkesanan Usrah dari sudut;


    • Taaruf

    • Tafahum

    • Takaful

  • Ke arah melahirkan para murabbi pelapis.

  • Mewujudkan kesatuan dalam perlaksanaan manhaj dan arahan kepimpinan.


Mewujudkan MAJLIS TA'LIM PERDANA
  • Iaitu kuliah perdana pemuda sebagaimana yang disaran oleh Ketua Pemuda dalam ucaptema muktamar DPPNJ 09.

  • Meningkatkan ilmu, kefahaman dan tasawwur yang jelas terhadap kesyumulan deenul Islam dikalangan pemuda.

  • Kuliah perdana ini merangkumi ;
  1. ilmu aqidah,

  2. hadith nabawi,

  3. feqh sirah,

  4. feqh dakwah,

  5. Tafsir al-Quran.

  • Tenaga pengajar adalah daripada kalangan pemuda.(ulama muda)

  • Berdasarkan kitab turath dan kotemporari.

  • Berpusat di Seri Gading, Bakri, Tebrau, Simpang Renggam dan Segamat.

  • 2 hari 2 malam. @ sehari semalam.



Mewujudkan DAURAH JUNDIYAH
  • Kursus intensif bagi meningkatkan syakhsiyah & thaqafah islamiyah harakiyah

  • Mensasarkan anggota Unit Amal dan petugas-petugas PAS dikalangan pemuda.

  • Daurah diadakan berdasarkan ;


    • Marhalah taarif (pengenalan)

    • Marhalah takwin (pembentukan)

    • Marhalah tanfiz (qiadi/kepimpinan unit amal)

  • kerjasama Jabatan Amal Johor.

Memperkasakan TAMRIN TARBAWI , THAQAFI & QIYADI diperingkat DPPK & DPPNJ.

  • Meneruskan agenda wajib.

  • Memastikan agenda tarbiyyah menyusup masuk kesemua peringkat dan marhalah berteraskan manhaj yang disediakan.

  • Membina dan melahirkan thaqafah, fikrah, tazkiyyah dan sofwatul mukhtarah.


Mengaktifkan program HIMPUNAN PEMUDA diperingkat ZON & Negeri, bagi menjana TARBIYAH UKHUWAH ISLAMIYAH.
  • Memahami bahawa ukhuwah adalah asas penting dalam jamaah.

  • Membina pemuda yang mempunyai rantaian ukhuwah islamiyah "cubit peha kanan, peha kiri terasa sakit".

  • Membangkitkan amal jama'ie dan tarbiyyah amaliyah.

  • Menghidupkan semula salam ukhuwah & doa wahdah.

  • Menjadi "PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN"



Semua agenda ini akan diperhalusi lagi bagi persiapan takwim, tempat, dan sasarannya. Surat pekeliling akan dikeluarkan oleh pihak lajnah tarbiyyah DPPNJ untuk tindakan seterusnya.




Sokongan dan dokongan semua pihak amat diharapkan. Semoga Allah SWT membantu dan memudahkan urusan kita. Amiin..




الله أكبر! الله أكبر! الله أكبر! ولله الحمد..




"PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN"




Disediakan oleh;


Al-faqir ila Allah,




Ust. Ibrahim Hj Masran al-Banjari


Pengerusi ,


Lajnah Tarbiyah & Latihan Perkaderan


Dewan Pemuda PAS Negeri Johor.




Blog : ibnumasran.wordpress.com


Emel : ibnumasran@yahoo.com


Sms : 019-777 324


Tuesday, May 19, 2009

Nantikan..

Insyaallah akan terbit lagi buku terbaru hamba.. tajuk : RISALAH TARBIYYAH ISLAMIYYAH : BEKAL MURABBI ... nantikan.. semoga Allah permudahkan..Amin..

Hari-hari Adalah Hari Guru..

Hari-hari adalah hari guru.. sebabnya hamba sentiasa dikelilingi dengan para guru. Isteri hamba seorang guru, ibu hamba juga guru, abang-abang hamba juga guru, kakak hamba pula bekas guru, adik-adik hamba juga guru, ipar duai hamba pun guru jugak.. hamba pun guru… Cuma istimewa hamba mengajar bermula dari subuh hinggalah tengah malam… :-)

Apapun selamat hari guru khas buat zaujati & guru-guruku.. dan amnya kepada semua guru yang menyumbang kepada perkembangan Islam.

Sabda Rasulullah saw;

إِنَّ اللهَ وَمَلاَئِكَتَهُ وَأَهْلَ السَّمَوَاتِ وَأَهْلَ اْلأَرْضِ حَتىَّ النَّمْلَةَ فِىْ جُحْرِهَا وَحَتىَّ الْحُوْتَ فِى الْبَحْرِ لِيُصَلُّوْنَ عَلى مُعَلِّمِ النَّاسِ الْخَيْرَ
Ertinya::
Bahawasanya Allah dan segala Malaikat-Nya dan isi tujuh petala langit dan segala isi bumi hingga semut yang di dalam lubangnya dan hingga ikan yang di dalam laut, sesungguhnya mengucapkan shalawat (ya’ni mendoakan supaya mendapat kebajikan) atas orang yang mengajar akan manusia dengan kebajikan itu.” (riwayat at-Tirmizi)

Monday, May 11, 2009

Nizar MB Perak yang sah : Hadiah untuk kaum ibu..

Friday, May 8, 2009

Hari-Hari adalah HARI IBU



IBU bapa mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah sehingga Allah memerintahkan kita berbuat baik kepada mereka selepas perintah mengabdikan diri kepada-Nya. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’, ayat 23) Islam menyanjung tinggi kedudukan ibu sehingga memberi penghargaan istimewa terhadap pengorbanan ibu kepada anak. Ibu insan paling banyak menanggung penderitaan demi kelangsungan hidup anak.


Pengorbanan wanita bergelar ibu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atau harta benda. Segala kesusahan ketika hamil dan kesakitan melahirkan sukar digambarkan, tetapi tiba-tiba boleh menjadi kegembiraan apabila mendengar tangisan pertama anak. Apakah memadai jasa dan pengorbanan ibu dihayati dan dikenang tatkala menyambut hari ibu? Sudah tentu tidak kerana sikap ini tidak menggambarkan kasih sayang sepanjang hayat tetapi hanya budaya sekali setahun. Namun hari ibu yang disambut pada 10 Mei setiap tahun tidak bermakna ia harus dibiarkan berlalu tanpa pengisian bermakna. Sebagai anak, kita dituntut mengenang jasa dan pengorbanan ibu.



Firman Allah bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Ibunya mengandung dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. (Dengan demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada ibu bapamu. Hanya kepada-Ku tempat kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14) Jasa ibu melahir dan membesarkan anak tidak dapat dibalas kerana pengorbanan memastikan kesejahteraan mereka amat besar sehingga meletakkan kedudukan syurga bagi anak di bawah tapak kaki ibunya.



Kisah Alqamah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW menjadi cerita yang terus diulang sebagai iktibar kepada generasi hari ini supaya menghormati serta menghargai ibu tidak kira dalam apa keadaan. Alqamah ialah pemuda yang baik dan taat, rajin mendirikan solat, banyak berpuasa serta bersedekah, namun dia lebih mengutamakan isteri berbanding ibunya yang makan hati berulam jantung dengan perbuatan Alqamah.



Akibatnya dia tidak mampu mengucap dua kalimah syahadah pada penghujung hayatnya sehingga Rasulullah SAW bertindak untuk membakar Alqamah apabila ibunya yang berkecil hati enggan memaafkan anak itu. Tindakan Rasulullah SAW menyebabkan ibunya segera memaafkan Alqamah yang kemudian dengan mudah mengucapkan dua kalimah syahadah. Selepas dimandi, dikafan, disolat dan dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di tepi kuburnya lalu bersabda yang bermaksud: “Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak diterima daripadanya taubat dan tebusannya.” (Hadis riwayat Abu al-Laith)



Walaupun hatinya kecewa, kasih sayang ibu mengatasi segalanya sehingga sanggup melupakan perbuatan anak semata-mata untuk melihat mereka mendapat keredaan Allah. Oleh itu, anak sepatutnya sanggup berkorban apa saja demi ibu. Islam mewajibkan anak menunaikan segala hak dan melayani ibunya dengan baik. Islam juga mengharamkan anak melakukan sesuatu yang boleh menyakitkan dan menyinggung perasaan ibunya. Pendek kata, ibu ialah insan paling berhak mendapat layanan terbaik daripada anak selaras pengorbanan yang dilakukannya.



Rasulullah SAW pernah ditanya seorang lelaki: “Ya Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik? Jawab Rasulullah: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Ujar Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya sekali lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Bapamu.”



Hadis Rasulullah SAW mengangkat kedudukan istimewa ibu sehingga berbakti kepada ibu mengatasi berbakti kepada orang lain walau kepada bapa sekalipun. Alangkah sedihnya melihat masyarakat hari ini apabila ada anak sanggup mendera, membiarkan malah mencederakan ibu bapa apabila kehendak hati tidak dipenuhi atau disebabkan nasihat untuk kebaikan diberi. Anak yang menderhaka terhadap ibu bapa kerana hilang nilai keimanan dalam diri dan jiwa dikuasai hasutan nafsu. Tekanan hidup hari ini juga menjadikan hubungan kekeluargaan kian jauh dan institusi keluarga makin rapuh.



Namun, apa juga cabaran, itu bukan alasan untuk menidakkan hak ibu atau membolehkan anak melupakan tanggungjawab kepada ibu bapa mereka. Ada kala, ibu tidak memerlukan wang ringgit tetapi cukup perhatian diberi anak mereka. Anak yang derhaka kepada ibunya pasti menghadapi pelbagai kesulitan hidup ketika di dunia dan akhirat. Selain itu, menderhaka kedua ibu bapa bererti menderhaka kepada Allah.

Daripada Abdullah Amru, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Keredaan Allah daripada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat Tirmizi)

dipetik dari sini

Demokrasi One Malaysia : Program Reality TV



Umno/BN berjaya memecahkan pasu bunga..
SELAMAT MENONTON!



Thursday, May 7, 2009

Himpunan Rakyat Bagi Mendesak Kabinet Menarik Balik Keputusan Menukar Agama Anak



8 Mei 2009 (Jumaat)

Perkarangan Masjid Bandar Baru Uda,

Johor Bahru


Selepas Solat Jumaat


Anjuran

Dewan Pemuda Pas Negeri Johor


Seluruh Pemimpin Umat Islam,

Ahli Politik, NGO dan

rakyat diseru untuk hadir

Tuesday, May 5, 2009

Doa keselamatan


Mantan Mufti Negeri Sembilan, Dato` Syaikh Haji Mohd Murtadza bin Syaikh Ahmad telah memanjangkan satu doa yang disebut oleh para ulama kita antaranya Tok Syaikh Wan Ahmad al-Fathani dalam "Bada-i-`uz Zuhur" untuk dijadikan amalan mencari keselamatan daripada ancaman wabak penyakit dan bala` bencana. Maka amatlah munasabah untuk kita jadikan amalan dalam masa tercetusnya wabak baru yang menggelabahkan satu dunia sekarang. Vaksin tu vaksinlah jugak, tapi jangan lupa memohon kepada Allah yang Maha Berkuasa. Tok Syaikh Wan Ahmad menulis dalam kitabnya tersebut:

"Barangsiapa yang membaca beberapa kalimah ini tiga (3) kali pada pagi-pagi dan petang-petang, sejahtera ia daripada mengenai waba`,
iaitu:-



Saturday, May 2, 2009

DPPNJ : SELAMAT BERMUKTAMAR

DPPNJ : SELAMAT BERMUKTAMAR

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِى اَنْزَلَ عَلى عَبْدِهِ الكِتابَ ولَمْ يَجْعَلْ لَهُ عِوَجًا. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ. لَهُ اْلآسْمَاءُ الْحُسْنَى وَالصِّفَاتُ الْعُلَى وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَلْمَبْعُوثُ رَحْمةً لِلْعَالَمِيْنَ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيْبِنَا وَشَفِيْعِنَا وَزُخْرِنَا وَقُدْوَتِنَا وَأُسْوَاتِنَا مُحَمَّدٍ أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ والمُرْسَلِيْنَ، وَاِمامِ المُتَقِّيْنَ، وَقائِدِ الدُعاةِ المُجَاهِدينِ, وَعَلَى آلِهِ وصْحبِهِ وَمَنْ سَارَ عَلَى نَهْجِهِ اِلى يَوْمِ الدِيْنِ . أَمَّا بَعْدُ :



Salam tarbiyyah,

2 dan 3 Mei 2009 ini adalah Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Johor. Masanya untuk kepimpinan pemuda semua peringkat duduk dalam satu dewan bagi bermuhasabah, menilai prestasi gerak kerja yang telah lalu, potensi dan amanah yang mereka pikul.

Bagi yang menyempurnakan amanah sebaik mungkin, maka ganjarannya akan diberi oleh Allah Subhanu wa Taala selayaknya.. Bagi yang mengabaikan amanah, segeralah hisab diri sebelum dihisab di hadapan Qadhi Rabbul Jalil..

Bagi yang mempunyai idea bernas lagi sesuai dengan syarak, maka kongsikanlah. Bagi yang sudah berniat untuk menghentam dengan hanya berbekalkan peluru kacang hijau, atau berucap dengan ucapan yang sia-sia, maka seeloknya tak usahlah berbuat demikian. Ini kerana Rasulullah Shalallahu alaihi wa salam bersabda;



إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا يَزِلُّ بِهَا إِلَى النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ. (مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ : عن أبي هريرة)

“Sesungguhnya terdapat orang yang menuturkan dengan satu perkataan yang dia tidak jelas (dia tidak fikir samada baik atau tidak), menyebabkan dia dihumbankan ke dalam neraka lebih jauh daripada jarak antara timur dan barat.”

Pada hadis yang lain, Rasulullah Shalallahu alaihi wa salam bersabda;


مَنْ كان يؤمن باللهِ واليومِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ (متفق عليه)


“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka berkatalah yang baik atau diam saja” .

Akan tetapi jika ucapannya itu mengandungi sejuta hikmah dan kebaikan untuk jamaah dan kepimpinan, maka lontarkanlah dengan lontaran yang padu, beserta hujjah yang selari dengan pedoman jamaah (al-quran, al-hadis, al-ijma & al-qias yang nyata). Hamba yakin, kepimpinan pemuda Johor sentiasa berlapang dada dan ternanti-nanti ucapan yang sedemikian itu. Namun akhlaq perlu dijaga!


PEMILIHAN & PERTANDINGAN

Ada sahabat dikalangan exco DPPNJ meminta hamba membuat satu artikel mengenai isu pemilihan dan pertandingan (khususnya dalam jamaah PAS). Katanya ini bagi menerangkan kepada ramai ahli-ahli baru khususnya dalam pemuda DPPNJ agar mereka tidak melihat kita (PAS) , 2 x 5 dengan Umno.. katanya lagi, ahli-ahli yang lama dalam PAS juga akan dapat manfaatnya.. lihatlah media perdana sekarang yang sedang licik menyulam fitnah dalam isu pemilihan dan pertandingan dalam PAS.

Sebenarnya permintaan beliau ini sudah berlalu dua minggu.. pada awalnya hamba agak keberatan, dan memang telah lama hamba tidak menulis di blog. Kalau menulis pun, tertumpu kepada menjawab persoalan agama yang ditanyakan melalui emel. Ini kerana kesibukan berkuliah siang dan malam. Semoga Allah mengampuni hamba.. amin..

Akhirnya.. Alhamdulillah, dengan pertolongan Allah, Tuhan yang Maha Agong, telah memudahkan hamba bagi menyempurnakan hajat sahabat tadi seadanya.

Apa yang akan hamba sebutkan di bawah, adalah agar kita lebih jelas.. bahawa pemilihan dan pertandingan dalam jamaah kita (PAS) berasaskan kepada wahyu dan sunnah. Dan terserlah lah perbezaan antara pertandingan dalam PAS dan pertandingan dalam UMNO.

Fahami tarbiyyah ini.. Semoga bermanfaat..


PERTAMA : TIADA SALAHNYA PERTANDINGAN

Tidak salah untuk kita bertanding dalam pemilihan ini. Ini kerana kita telah pun maklum bahawa jamaah yang kita dukungi ini berusaha menegakkan syariat Allah di bumi-Nya ini. Menegakkan Syariat Allah adalah sebesar-besar kebajikan dan kebaikan.

Allah Subhanahu wa Taala berfirman;


وَلَوْ شَاء اللّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَـكِن لِّيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُم فَاسْتَبِقُوا الخَيْرَاتِ


“Sekiranya Allah menghendaki, niscaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlomba-lombalah berbuat kebajikan”. (al-maaidah : 48)



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا وَاعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ


“Hai orang-orang yang beriman, ruku'lah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan”. (al-hajj : 77)



وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبرِّ وَالتَّقْوَى


Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa..” (al-maaidah : 2)



وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ


“Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan”. (al-maaidah:93)

Jesteru itu, bertanding dalam urusan ini adalah berlumba-lumba dalam membuat kebajikan.

Kita juga mengetahui bahawa menjadi pemimpin, adalah menjadi pemuka di saf hadapan dalam melangsungkan amar ma’ruf dan nahi munkar. Menjadi pemimpin dalam PAS juga mendapat fadhilat yang besar di sisi Allah.

Rasulullah Shalallahu alaihi wa salam bersabda;

أفضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جائر (النسائي وصححه النووي)

Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang haq di hadapan pemerintah yang zalim”

Maka pemimpin mempunyai peluang yang lebih berbanding ahli dalam menghadapi pemerintah yang zalim. Inilah kelebihan sebagai pemimpin.

Selain daripada perlembagaan parti yang membenarkan, terdapat banyak lagi asas dan dalil yang membenarkan pertandingan atau perlumbaan dalam mengerjakan kebaikkan. Hamba kira memadailah dengan apa yang telah disebutkan di atas.

Akan tetapi ia tertakluk kepada individu yang benar-benar berkelayakan menurut prasyarat syarak dan perlembagaan parti. Juga jiwa yang ikhlas serta bercita-cita besar dalam usaha menegakkan syariat Allah. Bukan kerana kepentingan peribadi atau berjiwa hubbu rais..!


KEDUA : MEMINTA JAWATAN ATAU BERCITA-CITA MENDAPATKAN JAWATAN


Rasulullah Shalallahu alaihi wa salam bersabda kepada AbdurRahman Radiallahu anhu:,


يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ سَمُرَةَ لَا تَسْأَلْ الْإِمَارَةَ فَإِنَّكَ إِذَا أُعْطِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ فِيهَا إِلَى نَفْسِكَ وَإِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا ( رواه أبي داود : بَاب مَا جَاءَ فِي طَلَبِ الْإِمَارَةِ)

"Wahai AbdurRahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Maka sesungguhnya jika engkau diberikannya (jawatan) dengan permintaan, maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya (jawatan) tanpa pemintaan, maka engkau dibantu"

Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fathul-Bari: "Maksud hadis di atas ialah sesiapa yang meminta jawatan pemimpin lalu diberikan kepadanya (yang meminta), maka dia tidak diberikan bantuan disebabkan keinginannya (terhadap jawatan)..."

Katanya lagi: "Sesiapa yang tidak mendapat bantuan daripada Allah terhadap pekerjaannya maka dia tidak akan mempunyai kemampuan melaksanakan pekerjaan tersebut. Oleh itu, tidak sepatutnya diterima pemintaannya (untuk menjadi pemimpin)." (intaha)

Dalam kata lain, sesiapa yang meminta jawatan, maka Allah tidak akan menolongnya. Sesiapa yang tidak mendapat pertolongan Allah, maka dia akan gagal melaksanakan tugas dan amanah seperti yang dikehendaki Allah, sama ada yang kecil ataupun yang besar dan dalam apa urusan sekalipun. Akibatnya tugas-tugas yang diamanahkan oleh parti juga tidak kecapaian!.

Selain hadis ini menjadi had (batas) dan renungan kepada yang menginginkan jawatan, hadis ini juga menjadi pedoman yang ampuh dalam urusan memilih atau melantik individu tertentu. Agar jangan memilih orang yang terlalu inginkan jawatan!.. Ini kerana kita bimbang tugasan dan amanah yang diserahkan nanti tidak mendapat bantuan dari Allah Azza wa Jalla.. Sesungguhnya bantuan dan pertolongan daripada Allah amatlah penting. !

Al-Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya ada meriwayatkan sebuah hadis daripada Abi Musa Radhiyallah anhu, dia berkata ;


دَخَلْتُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا وَرَجُلَانِ مِنْ قَوْمِي فَقَالَ أَحَدُ الرَّجُلَيْنِ أَمِّرْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَقَالَ الْآخَرُ مِثْلَهُ فَقَالَ إِنَّا لَا نُوَلِّي هَذَا مَنْ سَأَلَهُ وَلَا مَنْ حَرَصَ عَلَيْهِ (رواه البخاري)

“Telah masuk aku dan dua orang lelaki daripada kaumku kepada Nabi Shalallahu alaihi wa salam.. Maka telah berkata salah seorang daripada dua lelaki berkenaan : Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulallah!. Yang seorang lagi juga berkata demikian.. Lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya"

Hadis ini saling menguatkan hadis di atas di mana Nabi Shalallahu alaihi wa salam sangat berhati-hati dalam urusan perlantikan dan pemilihan. Apabila nyata individu yang meminta atau telah zahir kecenderungannya terhadap sesuatu jawatan, maka dengan tegas baginda Nabi Shalallahu alaihi wa salam menyatakan : "Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya" .

Ini merupakan satu kaedah yang sepatutnya difahami oleh ahli-ahli PAS dan umat Islam yang lain dalam urusan pemilihan dan perlantikan sesuatu jawatan. Apatah lagi jika jawatan itu adalah jawatan yang penting dan melibatkan umat atau rakyat!.

Daripada dua hadis ini, dapat kita faham bahawa jawatan bukanlah satu perkara yang remeh.

- Jawatan bukanlah suatu matlamat.
- Ia menyangkut soal pertolongan dari Allah Taala.
- Ia mendatangkan kesan buruk kepada tugas, amanah, individu tersebut dan juga jamaah.
- Ia mengakibatkan penyesalan di dunia dan akhirat.
- Tidak melantik orang yang tamakkan jawatan.

Berkata al-Imam al-Syaukani dalam Nail al-Autar : “..apabila seseorang yang meminta jawatan tidak mendapat pertolongan Allah, maka apa-apa jawatan yang dipegangnya akan menjatuhkannya dalam kesusahan dan kerugian dunia dan akhirat, maka tidak dihalalkan melantik orang seperti itu”. (intaha)

Berkata al-Qadhi al-Baidawi pula, dalam mensyarahkan masalah meminta jawatan kepimpinan : "Tidak sepatutnya bagi orang yang berakal bergembira dengan suatu kelazatan yang akan disudahi dengan penyesalan". (intaha)

Dua buah hadis di atas bukanlah larangan mutlaq dalam hal meminta jawatan. Untuk lebih lanjut bacalah tafsir surah Yusuf. Tetapi dua buah hadis ini amat penting difahami dan dihayati dalam hal meminta jawatan dan yang berkait dengannya.


KETIGA : UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI

Maksudnya menilai kemampuan diri. Jangan menilai istimewanya menjawat jawatan! Tapi menilai apakah “aku” mampu atau layak memikulnya. Perkara ini sangat penting untuk diterangkan.

Dalam hal ini, berlaku di zaman Rasulullah Shalallahu alaihi wa salam, di mana Abu Zar Radhiyallah anhu mendatangi Rasulullah shalallahu alaihi wa salam dan mengatakan : “Ya Rasulallah! Lantiklah aku memegang jawatan”..

Rasulullah yang amat mengenali kemampuan para sahabatnya, baginda bersabda;


يَا ‏ ‏أَبَا ذَرٍّ ‏ ‏إِنَّكَ ضَعِيفٌ وَإِنَّهَا أَمَانَةُ وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ إِلَّا مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيهَا (رواه مسلم : ‏بَاب ‏ ‏كَرَاهَةِ ‏ ‏الْإِمَارَةِ ‏ ‏بِغَيْرِ ضَرُورَةٍ)

“Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau lemah (tidak mampu), dan sesungguhnya jawatan ini satu amanah, nanti di hari akhirat engkau akan akan berdukacita dan menyesal, melainkan engkau ambil dengan selayaknya dan engkau menunaikan pula amanahnya”.

Hadis ini merupakan peringatan Rasulullah Shalallahu alaihi wa salam tentang akibat dan kesan buruk di kemudian hari ke atas individu yang cintakan jawatan sedang dirinya tidak layak atau tidak berkemampuan.

Namun dibenarkan jika ia sesuai dengan kondisi dan kemampuan yang ada, dengan syarat berusaha menunaikan amanah sebaiknya.

Menjadi pemimpin ada amanahnya, menjadi ahli juga ada amanahnya.. yang tidak menjadi ahli juga ada amanahnya… hisab di mana kelayakan kita! Pikul amanah itu semampunya..

Ketahuilah, kepimpinan adalah amanah yang amat berat. Maka ia tidak diserahkan melainkan kepada yang layak memikulnya. Allah Subhanahu wa Taala berfirman;


إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya..” (an-nisa’ : 58)

Batas inilah yang menyebabkan ramai dikalangan ahli PAS yang memiliki ilmu serta memahaminya menarik diri daripada pertandingan. Namun sebahagian daripada kita yang jahil, terlalu cepat menghukum sehingga ada yang mengatakan sipolan cuba lari dari perjuangan.

Lari dari perjuangan soal lain, lari daripada bertanding soal lain. Berkata penyair;

تأن ولا تجعل بلومك صاحبا

لعل له عزرا وانت تلوم
“hati-hati dan jangan terburu mencela saudaramu,
Siapa tahu ia punya alasan atas celaanmu itu”

Oleh itu sebagai pejuang agama Allah, husnu dzan sesama ahli jamaah amatlah penting. Jangan dicemuh sahabat-sahabat yang bertanding dan jangan pula dicela sahabat-sahabat yang menarik diri.


KEEMPAT : CIRI-CIRI UMUM KEPIMPINAN DALAM JAMAAH ISLAMIYAH


Sedikit disebutkan di sini mengenai muwasafhat kreateria umum yang perlu ada dan dimiliki oleh seseorang pemimpin. Ini sebagai asas yang perlu difikirkan sebelum kita melantik atau mencalonkan seseorang.

Allah Subhanahu wa Taala berfirman;

إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

“sesungguhnya orang yang paling baik kamu ambil untuk bekerja itu ialah orang yang quwwah lagi amanah".(al-Qasas:26)

Quwwah bermaksud kekuatan fizikal, keupayaan, kewibawaan dan kemampuan memimpin. Ertinya mampu melaksanakan tugas-tugas kepimpinan dalam bidangnya dan mampu memahami tuntutan kepimpinan.

Adapun amanah, dirujuk kepada seseorang yang memahami batas-batas halal haram serta sentiasa mengawasi dirinya tergelincir daripada landasan syariat. Pendeknya seorang yang ‘alim dalam agama (mengetahui tentang deenul Islam) serta bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Taala.

Tidak dinafikan betapa payahnya mencari individu yang memiliki kedua sifat tersebut dalam dirinya. Saiyiduna Omar al-Khattab Radiyallahu anhu pernah merintih kepada Allah; “ ya Rabbi.. aku mengadu kepada Mu daripada kekuatan orang yang fasiq dan kelemahan orang-orang yang amanah..”

Namun, masih ada peluang jika pemimpin tersebut berusaha memperbaiki diri untuk meraih kedua-dua sifat tersebut. Antaranya melalui proses pentarbiyyahan dan perkaderan yang berterusan. Di sinilah akan anda temui betapa besarnya erti Lajnah Tarbiyyah yang diwujudkan di semua peringkat dalam PAS.

Dari situ akan muncullah pemimpin yang benar-benar berupaya memikul amanah dan memiliki quwwah kepimpinan. Insya Allah..


KELIMA : PERINGATAN BERGUNA

Kepada mereka yang gemar melobi, menonjolkan diri, mengadu domba, memecah-belah, memburuk-burukkan saingan dan menebarkan racun fitnah demi kepentingan peribadi. Maka diingatkan di sini bahawa semua pekerjaan itu adalah sia-sia, sifat yang keji (mazmumah) lagi mengundang kemurkaan Allah.

Sedarlah bahawa PAS adalah mata rantai perjuangan yang diasaskan sedari zaman Rasulullah Shalallahu alaihi wa salam lagi. Perbuatan yang keji itu hanya membinasakan diri dan menyakiti hati Rasulullah Shalallahu alaihi wa salam.

Berada di dalam PAS seharusnya dapat menggantikan sifat mazmuzah itu kepada sifat mahmudah. Bukannya menjadi “pemuka munafiq”!. Jika itu pilihannya, maka Allah telah menyediakan tempatnya di Neraka. Takutlah kamu akan Neraka Allah!.

Rasulullah Shalallahu alaihi wa salam pernah bersabda;

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ. (مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.)

"Tidak akan masuk syurga, Nammam (yang banyak berbuat namimah/adu domba).”

Ke mana kita akan pergi jika tidak ke syurga? Sedang tempat kesudahan hanya antara syurga dan neraka sahaja!..

Jadilah ahli PAS yang baik. Jadilah mukmin yang baik. Jadilah muslim yang terbaik.. Perhatikan pedoman di bawah ini;

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَال:َ قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْمُسْلِمِيْنَ أَفْضَلُ؟ قَالَ: مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ. (مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ)


“Daripada Abi Musa Radiyallahu anhu., katanya: “Aku bertanya, wahai Rasulallah! Siapakah muslim yang terbaik? Baginda menjawab: Sesiapa sahaja yang selamat orang-orang Islam yang lain daripada (kejahatan) lidahnya dan tangannya.”

Firman Allah subhanahu wa taala;

وَلَا تُطِعْ كُلَّ حَلَّافٍ مَّهِينٍ هَمَّازٍ مَّشَّاء بِنَمِيمٍ


“Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, banyak berjalan (ke sana sini membawa pendustaan untuk) mengadu domba menghambur fitnah..”(al-Qalam :10-11)

FirmanNya lagi;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْماً بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (al-hujurat : 6)


PENUTUP

Nah, demikianlah hamba bawakan kepada kita semua akan neraca pertimbangan dalam urusan pemilihan dan pertandingan dalam jamaah Islamiyah. Disertakan dengan mauidzah berguna untuk hamba dan para sahabat. Jika difahami dengan baik, dengan akal yang waras, dengan rasa khudu’ dan tawadhu’, maka inilah juga jawaban mengapa PAS membenarkan pertandingan dan mengapa PAS terpelihara dari perpecahan.. tidak seperti Umno!

Mengapa dikatakan “tidak seperti umno!”..?? kanak-kanak pun tahu jawabannya..

WALLAHU A’LAM.

Inilah seadanya.. Semoga risalah ini bermanfaat untuk kita semua. Amin..

الهي انت مقصودي ورضاك مطلوبي

al-Faqir ila Rabbihi al-Qadir,

IBNU MASRAN AL-BANJARI
Tim. Pengerusi Lajnah Tarbiyyah,
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor.
Sesi 07-09

7 Jamadil Awwal 1430H
2 Mei 2009M

http://tarbiyyahibnumasran.blogspot.com/