Thursday, February 22, 2007

Memahami Tarbiyyah (2)

TARBIYYAH

Uslub yang terbaik di dalam proses berinteraksi dengan fitrah kemanusiaan dalam bentuk pengucapan langsung dengan perkataan atau secara tidak langsung dengan qudwah, berdasarkan manhaj dan wasilah-wasilah yang khas, ke arah menghasilkan perubahan di dalam diri insan kepada yang lebih baik.

[Definisi berdasarkan kertas-kertas kerja Jamaah Ikhwanul Muslimin yang dipetik daripada buku “Wasa’il at-Tarbiyyah ‘inda al-Ikhwaan al-Muslimin: Diraasah Tahleeliyyah Taareekhiyyah” oleh Doktor Ali Abdul Halim Mahmud terbitan Darul Wafaa’ Mesir 1414H / 1993M]

HURAIAN,..

USLUB:
Iaitulah kaedah. Yang dimaksudkan di sini adalah kaedah berinteraksi dengan manusia

YANG TERBAIK (ﻞﺜﻣﻷﺍ):
Iaitu yang paling afdhal, paling bermanfaat dan paling sesuai. Sebaik-baik uslub Tarbiyyah adalah sebagaimana Allah SWT mentarbiyyah Nabi Muhammad SAW dan sebagaimana Baginda SAW mendidik para sahabat RA. Hal ini dapat diketahui melalui Sunnah secara umum dan Sirah Nabawiyyah secara khususnya.

FITRAH:
Iaitulah tabiat semulajadi manusia yang meliputi kelebihan, kekurangan, sifat-sifat yang saling bertentangan di dalam diri seperti kebaikan, keburukan, saying, benci, takut, harap, bersifat jama’ie dan individualistik, iltizam dan longgar pegangan serta positif dan negatif.

INTERAKSI (ﻞﻣﺎﻌﺘﻟﺍ):
Iaitu komunikasi bersama fitrah manusia daripada segenap aspek dirinya. Sebahagian daripada kita gagal menghasilkan interaksi yang terbaik bersama fitrah manusia disebabkan oleh kelemahan di dalam memahami fitrah tersebut dengan terpeinci. Oleh itu, manhaj yang diletakkan tidak cukup atau tidak mampu memindahkan manusia daripada kejahatan kepada kebaikan atau daripada kesesatan kepada hidayah. Ini adalah kerana, prinsip utama ketika berinteraksi dengan fitrah manusia yang dijadikan Allah SWT itu adalah dengan mengambil sepenuhnya petunjuk Allah SWT berkenaan segala perincian diri manusia yang dijadikanNya itu.

PENGUCAPAN LANGSUNG (ﺭﺷﺎﺑﻤﻠﺍ ﻪﻳﺟﻮﺘﻟﺍ):
Iaitulah mengajar, mendidik dan membuat persiapan yang bersifat langsung kepada individu manusia. Ia dilakukan dengan perkataan yang meliputi perintah, larangan, galakan, menyukakan, menjauhkan, bersifat menarik perhatian dan fokus, mendekatkan atau menakutkan. Perkataan tersebut boleh di dalam bentuk nasihat, cerita, menerangkan sesuatu peristiwa, artikel, kajian, penggunaan alat pandang dengar atau apa sahaja jalan yang bermatlamatkan menghasilkan perubahan.

PENGUCAPAN TIDAK LANGSUNG (ﺭﺷﺎﺑﻤﻠﺍ ﺭﻳﻏ ﻪﻳﺟﻮﺘﻟﺍ):
Iaitu dengan memberikan contoh perbuatan, teladan (qudwah) dengan perlakuan kebaikan, tingkah laku yang terpuji dan akhlak yang tinggi, agar yang ditarbiyyah dapat mengikut contoh pentarbiyyah (murabbi). Pengucapan langsung dan tidak langsung adalah seperti duit syiling yang mana kedua-dua bahagian tidak mungkin dapat dipisahkan dan saling memerlukan. Contoh pengucapan secara langsung dan tidak langsung adalah sebagaimana kombinasi al-Quran, Sunnah dan Sirah Nabi SAW yang memberikan garis panduan dan contoh terbaik dan lengkap.

MANHAJ:
Iaitu garis panduan yang sistematik, jelas dan berperancangan yang dibentuk secara terpeinci.

WASILAH-WASILAH KHUSUS DAN PELBAGAI :
Ia meliputi apa sahaja bentuk amalan dan aktiviti yang tidak bercanggah dengan Syara’ dan berfungsi dengan baik ke arah mencapai matlamat Tarbiyyah itu sendiri. Ia sentiasa beriringan dengan perubahan dan perkembangan yang sentiasa berlaku di dalam kehidupan manusia.

MATLAMAT (ﻒﺩﻬﻟﺍ) :
Iaitu mengubah manusia daripada kejahatan kepada kebaikan atau yang terbaik, memindahkannya daripada kufur kepada iman (jika beliau bukan seorang muslim), daripada maksiat kepada taat, daripada kesesatan kepada hidayat, daripada kebatilan kepada kebenaran, daripada sistem-sistem manusia kepada sistem Allah SWT di dalam segenap sudut kehidupan

MATLAMAT TARBIYYAH ISLAMIYYAH

Matlamat atau di dalam Bahasa Arabnya (ﻒﺩﻬﻟﺍ) atau (ﺔﻳﺎﻐﻠﺍ) di dalam konteks perbincangan kita ini adalah dengan makna yang sama. Ia merupakan hasil yang mahu dicapai daripada semua proses yang berlaku di dalam Tarbiyyah. Secara umumnya matlamat itu bermaksud:

“mencapai semua aspek yang membolehkan seorang insan itu hidup di dunia ini dengan kehidupan yang berpetunjuk dan baik lantas membawa kepada kehidupan akhirat yang diredhai Allah SWT”

Akan tetapi, perincian kepada matlamat ini diutarakan di bawah untuk membolehkan kita melihat dengan lebih jelas dan praktikal maksud Tarbiyyah tersebut:

1. Beribadah Hanya Kepada Allah Berdasarkan Kehendak Syara’

Firman Allah SWT di dalam al-Quran yg bermaksud:

“Dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan supaya mereka menyembah Aku” (Adz-Dzariyat: 56)

Beribadah hanya kepada Allah SWT berpandukan apa yang telah ditetapkan oleh Syara’ melalui lisan Muhammad SAW adalah matlamat pertama dan paling utama Tarbiyyah Islamiyyah. Ia hanya dapat dihasilkan melalui gabungan unsur-unsur yang pelbagai termasuklah unsur Iman, Islam, Ihsan, Adil, Amar Ma’ruf dan Nahi Munkar serta Jihad fi Sabilillah. Ia juga merangkumi aspek perkataan, perbuatan, akhlaq dan adab.

2. Khilafah Allah di Muka Bumi

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat 30 yg bermaksud:

“Sesungguhnya Kami menjadikan (Adam) di muka bumi itu sebagai Khalifah”

Ia dapat direalisasikan melalui perlaksaan tugas memakmurkan bumi Allah SWT serta memanfaatkan apa yang diberikanNya di dunia ini untuk kegunaan manusia, daripada kebaikan. Firman Allah SWT di dalam surah Hud ayat 61 yg bermaksud:

“Dialah (Allah) yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya”

3. Mengenali (ﻒﺭﺎﻌﺘﻠﺍ) Sesama Manusia

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 13 yg bermaksud:

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami telah jadikan kamu dari jenis lelaki dan perempuan serta berbangsa-bangsa dan kaum agar kamu saling mengenali di antara satu sama lain”

Ia adalah di antara tujuan yang besar bagi Tarbiyyah Islamiyyah kerana Allah SWT menjadikan kita dari aspek berkategori dengan kategori paling utama ini, adalah dengan maksud supaya manusia itu saling kenal mengenal. Natijah daripada matlamat inilah yang membolehkan agama Allah SWT tersebar luas dan manusia menerima Islam sebagai jalan yang lurus dan bersesuaian dengan segala latar belakang mereka.

4. Memimpin dan Memerintah Dunia dengan Teguh

Firman Allah SWT di dalam surah an-Nur ayat 55 yg bermaksud:

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh).”

Allah SWT telah menjanjikan bagi orang-orang yang beriman tiga pemberian berikut:

i) Menjadikan mereka sebagai Khalifah yang memakmurkan bumi Allah SWT dan memanfaatkan kebaikan daripada apa yang disediakanNya untuk kegunaan manusia di dunia ini.

ii) Meneguhkan kedudukan mereka di dunia dengan Islam dan manhaj mereka lantas mereka menjadi golongan yang mulia dan berkuasa serta menjadikan agama mereka tinggi dan nyata.

iii) Menukar suasana kehidupan mereka daripada ketakutan kepada keamanan.

5. Menghukum dengan Syariat Allah SWT

Firman Allah SWT di dalam surah al-Jatsiah ayat 18 yg bermaksud:

“Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah Syariat itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).”

Ini adalah matlamat Tarbiyyah Islamiyyah yang amat besar kerana matlamat-matlamat yang awal itu tadi adalah demi untuk melaksanakan maksud menghukum dengan Syariat Allah SWT. Hanya dengan terlaksanya hukum dan peraturan Allah SWT sahajalah, segala kebaikan, keadilan dan kemakmuran dapat dicapai, bukan sahaja untuk orang-orang Islam bahkan juga menjadi rahmat kepada sekalian alam.

Demikian itu tadilah matlamat Tarbiyyah Islamiyyah sebagaimana yang dikemukan oleh Doktor Ali Abdul Halim Mahmud di dalam kitabnya “Wasa’il at-Tarbiyyah ‘inda al-Ikhwaan al-Muslimin: Diraasah Tahleeliyyah Taareekhiyyah”. Matlamat-matlamat ini adalah kemuncak kepada penciptaan manusia oleh Allah SWT dan Dia jualah yang menempatkan manusia di muka bumi ini dengan maksud tersebut.

Oleh yang demikian, Tarbiyyah Islamiyyah yang bermatlamatkan maksud-maksud di atas, hendaklah diproses ke arah melahirkan batu bata binaan berikut:

1. Individu Muslim dan segala yang berkaitan ke arah pembinaan swadaya diri (syakhsiah).

2. Keluarga Muslim (Bait Muslim) serta segala nilai dan akhlaq yang wajid dibina ke arah merealisasikannya.

3. Masyarakat Muslim (Mujtama’ Muslim) serta segala yang meliputi jalin hubungan yang membentuknya.

4. Ummah Islamiyyah serta segala yang bersangkutan dengan persediaan dan gerak kerja ke arahnya.

5. Daulah Islamiyyah serta setiap aspek yang wajib dihasilkan sebagai asas penegakkannya yang terdiri daripada manhaj dan sistem kehidupan.

Manakala bagi sebuah gerakan Islam, matlamat-matlamat jangka pendek dalam konteks gerak kerja mereka, hendaklah dinilai daripada dua kategori iaitu matlamat tetap dan matlamat yang berubah mengikut kehendak semasa. Wallahu A’lam bi as-Sawaab.