Imam al-Bukhari dilahirkan pada 13 Syawwal 194 di Kota Bukhara. Beliau rahimahUllah adalah seorang amirul mukminin dalam bidang ilmu hadits. Kitab "Jami'ush Shohih" karyanya diakui sebagai kitab kedua paling shohih setelah al-Quran. Ramai ulama yang mensyarahkan karya ini, antaranya Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani dengan "Fathul Bari", Imam al-Qasthalani dengan "Irsyadus Sari" dan Imam Badruddin al-'Ayni dengan "Umdatul Qari". Selain mensyarahkannya, maka ada pula ulama yang meringkaskannya agar kandungan kitab asalnya dapat dimanfaati pula oleh golongan awam yang mungkin kesibukan untuk mentelaah kitab asalnya. Antaranya yang terkenal adalah Imam az-Zabidi dengan "at-Tajridush Shorih", Imam al-Qasthalani dengan "Jawahirul Bukhari"nya dan Imam 'Abdullah bin Abu Jamrah dengan "Mukhtashar"nya.
Sungguh kitab shohih karya Imam al-Bukhari ini telah mendapat pandang istimewa para ulama. Selain dibaca untuk mendapat petunjuk daripada sabdaan Junjungan Nabi s.a.w., para ulama turut menyatakan keistimewaan lain bagi pembacaan kitab ini. Contohnya Imam 'Abdullah bin Abi Jamrah menukilkan dalam mukhtasharnya bagi kitab tersebut menyatakan seperti berikut:-
فوقع لي أن يكون كتاب البخاري لكونه من أصحها و لكونه رحمه الله تعالى كان من الصالحين و كان مجاب الدعوة و دعا لقارئه. و قد قال لي من لقيته من القضاة الذين كانت لهم المعرفة و الرحلة عمن لقي من السادة المقر لهم بالفضل: إن كتابه ما قرئ في وقت شدة إلا فرجت و لا ركب به في مركب فغرقت قط
"Aku memilih untuk menjadikan kitab al-Bukhari ini kerana ianya adalah kitab hadits yang paling shohih, juga kerana pengarangnya Imam al-Bukhari rhm. adalah seorang sholih yang mustajab doanya dan beliau telah mendoakan para pembacanya. Telah memberitahuku para qadhi yang ahli ma'rifah lagi luas perjalanan mereka (yakni dalam mencari ilmu) yang telah aku temui, daripada para pemuka agama yang diakui keutamaan mereka bahawasanya kitab Imam al-Bukhari ini tidaklah dibaca oleh seseorang pada waktu kesusahan melainkan dilepaskan dia dari kesusahan tersebut dan tidak tenggelam kenderaan yang membawa kitab tersebut sekali-kali."
Oleh itu, tidak pelik jika menjadi tradisi sebahagian ulama untuk menjadikan pembacaan dan pengajian kitab hadits ini sebagai wirid mereka. Di kalangan para habaib, tradisi membaca hingga khatam kitab Shohih al-Bukhari terutama sekali dalam bulan Rajab telah berjalan sudah ratusan tahun. Menurut penjelasan Habib Salim asy-Syathiri, tradisi Khatam Bukhari pada bulan Rajab telah dimulakan oleh Syaikh Abul Khair Ahmad bin Manshur asy-Syammadz, seorang ulama ahli hadits yang 'abid dari Kota Zabid. Beliaulah yang telah mengajak kaum muslimin untuk membaca dan mentelaah sehingga tamat akan Shohih al-Bukhari di Masjid Jami' Zabid.
Kota Zabid ini telah melahirkan ramai ulama terkemuka, antaranya ialah Imam Zainuddin Ahmad bin 'Abdul Lathif az-Zabidi (w. 893H) . Beliau inilah yang telah menulis ringkasan Shohih al-Bukhari yang diberinya jodol "at-Tajridush Shorih li ahaadits al-Jami' ash-Shohih". Maka di sesetengah tempat, Khataman al-Bukhari dilaksanakan dengan membaca dan menamatkan kitab mukhtashar ini. Sungguh tradisi yang mendekatkan umat kepada kitab panduan kedua setelah al-Quran yang suci sepatutnya tetap dilestari dan dimakmurkan. Dan hendaknya mereka-mereka yang mendakwa diri mereka pengikut sunnah, jangan menuding jari kepada para ulama kami dengan menuduh mereka tidak mempedulikan hadits, bahkan para ulama kami sentiasa menjunjung tinggi sabdaan Junjungan Nabi s.a.w. bahkan menjadi tradisi mereka untuk mengkhatamkan setidak-tidaknya Shohih al-Bukhari setiap tahun. Maka kamu yang mendakwa ahli hadits, berapa kali sudah kamu khatam dan telaah karya Imam Bukhari ini?