SALAM DAKWAH & TARBIYYAH BUAT HAJAH INUL
DAN YANG SEWAKTU DENGANNYA..
Allahu Subhanahu wa Ta’ala berfirman :
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْراً, فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ, مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ, ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ, فَلا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ, وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً, كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً, وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِين.
“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa” [Surah At-Taubah : 36]
Menurut Imam Jalaluddin as-Suyuti dalam Tafsir Jalalain,
مُحَرَّمَةٌ : ذُو الْقَعِدَةْ وَذُو الْحِجَّة وَالْمُحَرَّمْ وَرَجَبٌ
yang dimaksudkan dengan "diantaranya empat bulan yang di hormati" ialah: "Empat bulan Haram - Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab" [Tafsir Jalalain, juz 1, hal 159]
Kenyataan ini tidak lain adalah berdasarkan sabda Nabi saw yang diriwayatkan di dalam Sahihain.. Sabda Rasulullah SAW :
إِنَّ الزَّمَانَ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ,
السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا, مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ,
ثَلَاثٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو الْقَعْدَةِ, وَذُو الْحِجَّةِ, وَالْمُحَرَّمُ,
وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
)رواه البخاري ومسلم (.
"Sesungguhnya zaman telah berputar seperti pada hari penciptaan langit dan bumi, setahun terdapat dua belas bulan dan empat di antaranya adalah bulan haram dan tiga diantaranya berturut-turut, yaitu dzul qa'dah, dzul hijjah, muharram dan rajab mudhar yang berada di antara jumadil awal, jumadil akhir dan sya'ban" [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Bahkan Allahu Subhanahu wa Ta’ala berfirman :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تُحِلُّوا شَعَائِرَ اللَّهِ وَلَا الشَّهْرَ الْحَرَامَ
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi'ar-syi'ar Allah, dan janganlah melanggar kehormatan bulan-bulan haram" [Surah Al-Maaidah : 2]
Yaitu janganlah melakukan perbuatan-perbuatan yang diharamkan sehingga merosak kesucian bulan-bulan tersebut. Larangan ini mencakup melakukan atau beri’tikad melakukan perbuatan dosa.
Kerana kedudukannya yang khusus itu, maka hendaklah dijaga kesucian bulan-bulan haram dengan menjauhi maksiat,, sebab kadar dosa dan maksiat akan diganda dek kerana pemuliaan Allah atas bulan-bulan tersebut. Kerana itulah Allahu Subhanahu wa Ta’ala telah secara khusus memperingatkan kita di ayat yang lalu agar jangan menzalimi diri di bulan-bulan itu padahal secara umum perbuatan tersebut diharamkan pada setiap waktu.
Bulan-bulan haram memiliki kedudukan yang agung, dan bulan rajab termasuk salah satu dari empat bulan tersebut. Dinamakan bulan-bulan haram karena :
1. Diharamkannya berperang di bulan-bulan itu kecuali musuh yang memulai.
2. Keharaman melakukan perbuatan-perbuatan maksiat dibulan ini lebih besar di bandingkan bulan yang lain.
3. Allah swt memuliakannya.
Makanya, daripada beberapa sandaran nusus di atas, jelas kepada kita bahawa bulan rajab adalah salah satu daripada bulan-bulan yang dimuliakan oleh Allah swt.
Setelah kita memahaminya, maka tentulah kita memuliakannya serta memelihara syiar-syiar Islam dan berusaha menjauhi dan meninggalkan anasir-anasir maksiat dan mungkar.
TIBA-TIBA… di dalam bulan yang mulia ini, muncul satu kelompok manusia yang melalaikan umat, berusaha menganjurkan sebuah konsert mungkar. Konsert yang pasti bergelumang dengan maksiat dan melanggar syiar-syiar Islam.
Mengetahui akan perancangan tersebut, maka dengan segera DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR bertindak menghalang usaha maksiat tersebut dengan membantah melalui sebuah memorandum yang dihantar kepada Menteri Besar Johor.
Memorandum itu kalau ditimbang tidak sampai sekilo pun beratnya, bahkan setengah kilo pun tiada. Tetapi amat berat timbangan pahalanya di sisi Allah swt bagi hamba-hambanya yang berusaha mencegah kemungkaran. Lebih-lebih lagi di bulan yang dimuliakan oleh Allahu Subhanahu wa Ta’ala.
Alhamdulillah. Kami dapat berita yang menggembirakan. Konsert itu tidak diluluskan. Atau dalam bahasa yang sedap didengar, ia diBATALkan. Berita pembatalan ini disiarkan dalam akhbar tempatan. Sdr Khairul Faizi pun ada posting dalam blognya.
Di saat Hajah Inul dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya merasa hiba dan amat terkilan dengan pembatalan konsert tersebut, di saat itu kami bersyukur ke hadrat Ilahi yang telah menggerakkan hati-hati sang penguasa agar bertindak membatalkannya. Syukur alhamdulillah..
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR bukanlah anti hiburan. Hiburan ada di dalam Islam. Kami sangat terhibur dengan alunan bacaan al-Quran, hati kami terhibur bila bibir berzikir ke hadhrat Azza wa Jalla. Adakalanya terhibur dengan kemerduan suara Munif Hijjaz dan Azhan Atan yang mendendangkan bait-bait kehambaan.
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR hanya menjalankan amanahnya. Amanah yang telah difirmankan oleh Azza wa Jalla :
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh yang ma’ruf dan mencegah dari yang mugkar, mereka itulah orang-orang yang beruntung” [ Surah Aali Imran : 104]
Lagi pula, Junjungan Besar kami SAW ada berpesan, sabdanya ;
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
“Barangsiapa melihat dikalangan kamu akan kemungkaran, maka ubahlah (cegahlah) ia dengan tangannya, maka jika tidak mampu, maka gunalah lisannya, maka jika tidak mampu juga, maka gunalah hatinya, dan itulah selemah-lemah iman.” [Riwayat Imam Muslim, Abi Daud, at-Tirmizi, Ibnu Majah & an-Nasaa’i]
Hajah Inul,, negeri kami sudah cedera parah dengan pelbagai penyakit social, keruntuhan akhlak dan moral. Tak kurang juga dengan penyakit kejahilan, lupa akhirat dan mabuk dunia. Tiba-tiba Hajah Inul mahu datang dan menambah kesakitan yang menimpa negeri kami!
Umat Islam di Indonesia sudah tidak menerima Hajah Inul, muak dan berasa jelek dengan cara Hajah Inul menarik mereka untuk sama-sama menuju Neraka Allah. Tiba-tiba Hajah Inul optimis untuk mengajak umat negeri kami untuk sama-sama Hajah Inul menuju jurang Jahannam!.
Untul makluman Hajah Inul, Kami sungguh-sungguh bermohon kepada Allah, Tuhan kami dan Tuhan Hajah Inul juga, agar konsert tersebut tidak berjaya. Usaha kami tidak terhenti pada doa, bahkan kami menzahirkan dengan memorandum bantahan secara diplomasi sebagai muqaddimah.. Alhamdulillah, Allah memudahkan urusan kami dan menyusahkan urusan Hajah Inul.
Tak perlu kami mohon maaf kepada Hajah Inul, sebaliknya Hajah Inul perlu bertaubat dan memohon ampun daripada Allah yang Maha Pengampun. Apa yang kami lakukan adalah untuk kebaikan semua. Termasuk untuk kebaikan Hajah Inul. Ya! Termasuk untuk kebaikan Hajah Inul...
Setidak-tidaknya Hajah Inul tahu bahawa ada dikalangan hamba Allah yang sujud kepada Allah, berdoa kepada Allah agar menggagalkan konsert dan persembahan Hajah Inul yang melalaikan itu. Doa itu tidak terhenti di situ saja, bahkan doa itu dilanjutkan agar Hajah Inul diberi hidayah dan taufiq dari Allah yang Maha Memberi Hidayah. Ini suatu kebaikan buat Hajah Inul.
Masih belum terlewat untuk kita insaf dan kembali ke pangkuan Ilahi. Kita dijadikan bukan untuk melalai dan menyesatkan hamba Allah. Kita diciptakan semata-mata untuk beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah yang Maha Pencipta.
Kelak suaramu akan menjadi saksi, tanganmu yang berayun itu akan menjadi saksi, pinggulmu yang bergoncang itu akan menjadi saksi, kakimu yang lincah itu juga akan menjadi saksi. Biarlah ia menjadi saksi kepada amal solehahmu. Jangan sampai ia menjadi saksi kepada maksiat yang mengundang Murka-Nya.
Air mata yang Hajah Inul titiskan tatkala mendapat tahu pembatalan konsert tersebut ternyata sia-sia belaka. Sedikit pun tidak menarik simpati kami. Tetapi kami kasihan. Kasihan kerana air mata Hajah Inul tidak dititiskan atas dasar taqwa. Atas dasar takutkan Allah yang Maha Rahim.
Rasulullah SAW pernah bersabda ;
عَيْنَانِ لَا تَمَسُّهُمَا النَّارُ عَيْنٌ بَكَتْ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَعَيْنٌ بَاتَتْ تَحْرُسُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
“Dua mata, yang tidak disentuh oleh api neraka, mata yang menangis kerana takutkan Allah, dan mata yang berjaga malam fi sabilillah” [Riwayat at-Tirmizi, kata Abu Isa, hadis ini hasan lagi gharib) [Bahrul Maazi, Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi, juz 11, hal. 219.]
Alangkah bagusnya jika Hajah Inul menitiskan air mata kerana takutkan siksa Allah dan rindukan syurga Allah.
Dalam bulan rajab ini berlaku suatu peristiwa agung ke atas Saiyyidul Anbiya’i wal Mursalin. Peristiwa itu dikenali sebagai peristiwa Isra’ wal Mi’raj. Untuk makluman Hajah Inul, dalam peristiwa tersebut Allahu subhanahu wa ta’ala telah memperlihatkan kepada Nabi kita SAW akan ahli-ahli Neraka yang kebanyakannya adalah kaum sejenis Hajah Inul.
Sungguh Nabi kita SAW telah melihat ada perempuan yang tergantung dengan dua susunya dan buah zaqqum dimasukkan ke dalam lehernya, buah zaqqum itu untuk pengetahuan Hajah Inul adalah buah kayu di dalam neraka yang amat pahit, sesiapa yang memakan buah zaqqum itu, nescaya menggelegak isi perut mereka. Demikian otak dan gusi mereka itu juga menggelegak. Sehingga keluar api kepanasan daripada mulut mereka itu.
Nabi kita juga diperlihatkan bagaimana ada perempuan yang tergantung ia, lagi menambat oleh segala malaikat akan dua kakinya kepada dua susunya, dan ditambatkan dua susunya kepada ubun-ubunnya dan dijadikan atas badannya itu beberapa ular dan kala yang sangat dahsyat. Padahal ia dalam keadaan memakan dagingnya dan meminum darahnya sendiri.
Nabi kita juga diperlihatkan bagaimana ada perempuan yang tergantung kepalanya, padahal kepalanya bertukar seperti kepala babi, tubuhnya seperti keldai dan beribu-ribu azab ditimpakan atasnya.
Cukuplah ini menjadi suatu hal yang menggerunkan kita. Tidakkah Hajah Inul dapat membayangkan kedahsyatan ini!. Jika Hajah Inul dapat membayangkannya, maka yang sebenarnya azab itu lebih dahsyat daripada apa yang Hajah Inul dapat bayangkan! Na’uzubillahi min zalik..
Rasulullah saw menangis dengan tangisan yang amat sangat apabila memikirkan hal ini. Rasulullah saw amat kasih kepada umatnya. Jika Hajah Inul merasakan bahawa Hajah Inul adalah umat Nabi Muhammad SAW, maka Hajah Inul termasuk di kalangan umat yang dibimbangi oleh Rasulullahi SAW.
Hajah Inul,,, sehebat mana maksiat yang dilakukan, sebesar mana mungkar yang dianjurkan, selagi kita tidak mesyirikkan Allahu Ta’ala, pasti Allah akan mengampuni jika kita bertaubat dengan taubatan nasuha..
Oleh itu, gunalah nikmat nafas yang masih berbaki untuk kembali kepada Allah, Tuhan yang telah mengurniakan nikmat ke atas kita. Bertaubatlah.. sembahlah Allah, carilah cinta sejati daripada Allah, cintailah Allah sebagaimana cintanya Rabi’atul Adawiyah.
Sujudlah dan pohonlah keampunan kepada Allah yang Maha Pengampun. Titiskanlah air mata ketakutan, air mata kerinduan dan air mata kecintaan kepada Allahu subhanahu wa ta’ala..
Jangan diulang lagi kemurkaan Allah, jangan diminta lagi laknat dari Allah, jangan bergelumang lagi dengan najis maksiat dan mungkar. Allah akan membersihkan Hajah Inul jika Hajah Inul ikhlas mencari keampunan Ilahi. Allah akan memuliakan Hajah Inul jika Hajah Inul menjadi insan yang bertaqwa.
Percayalah.. percayalah perkara ini. Ini bukan janji kami, kami ini hanya manusia yang lemah saja. Tetapi ini janji daripada Tuhan kami dan Tuhan Hajah Inul. Tuhan yang tidak pernah dan tidak mungkin memungkiri janjiNya.
Ya Allahu Ya Dzal Jalali wal Ikram,, kami telah berusaha mencegah kemungkaran sedaya upaya kami, dan kami berdakwah sedaya upaya kami, jika terbalas ke atas kami ganjaran pahala, maka dengan berkat pahala itu, ampunilah segala orang-orang yang beriman, samada yang terdahulu, yang sezaman dengan kami dan yang kemudian daripada kami…
Teguhkanlah hati-hati kami dalam memperjuangkan Agama Mu, tetapkanlah hati-hati kami dalam urusan dakwah, menyuruh yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran di muka bumi ini..
Ya Allahu Ya Rahman.. berilah hidayah dan taufiq Mu ke atas ibu bapa kami, ke atas keluarga kami, ke atas hamba-hamba Mu sekeliannya, ke atas Hajah Inul Darastita…
Ya Allahu Ya Rahim.. berilah hidayah dan petunjuk Mu ke atas Hajah Inul Darastita… ke atas Hajah Inul Darastita… ke atas Hajah Inul Darastita… palingkanlah hatinya daripada kesesatan kepada jalan yang lurus.. daripada kemaksiatan kepada ketaatan…
Sekiranya Hajah Inul bertaubat dengan taubatan nasuha yang ikhlas.. maka terimalah taubatnya.. Sesungguhnya Dikau Maha Pengampun, Maha Penerima Taubat, Maha Pengasih lagi Maha Terpuji… Amin.. Amin ya Rabbal ‘Alamin..
Al-Faqir ila Afwi Rabbihi,
IBNU MASRAN AL-BANJARI
EXCO DPPNJ
http://tarbiyyahibnumasran.blogspot.com/