Monday, July 14, 2008

Memorandum Bantahan Terhadap Konsert Inul Darastita

Rujukan Kami : PAS/DPPNJ.12/2.05 (10/08)
Rujuan Tuan :

Tarikh : 11 Julai 2008/ 8 Rejab 1429

Kepada
Y.A.B. Dato' Haji Abdul Ghani Bin Othman
Menteri Besar Johor
Tingkat 1, Bangunan Sultan Ibrahim,
Bukit Timbalan, 80000 Johor Bahru,
Johor Darul Ta'zim.


Yang Amat Berhormat Dato’,

BANTAHAN KONSERT INUL DARATISTA DI STADIUM TAN SRI HAJI HASSAN YUNUS, LARKIN JOHOR.

Perkara di atas adalah dirujuk.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri Johor kerana meluluskan konsert Inul Daratista di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus, Larkin pada 19 Julai 2008 akan datang.

2. Inul Darastista atau nama sebenarnya Ainul Rokhimah 29 tahun, telah dilabelkan oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) sebagai penari lucah pada Ogos 2002 kerana tarian gelek gerudinya. Adakah dengan tindakan pengharaman tersebut, negara kita mahu memberikan ‘suaka politik’ kepada beliau?

3. Persembahannya di Stadium Merdeka pada 3 tahun lalu, telah membuktikan bahawa unsur-unsur lucah tidak dapat dipisahkan dari tariannya yang merupakan ‘trademark’ bagi Inul sendiri. Persoalannya apakah yang kita mahukan dari artis ini? Adakah hiburan di negara kita telah hilang nilai dan panduannya sehingga membenarkan segala bentuk hiburan asalkan mendapat sambutan dari orang ramai? Apakah Islam Hadhari tidak menyediakan garis panduan hiburan kepada penganjur? Apakah dengan membanyakkan konsert seperti ini masyarakat kita boleh membangun dan menjadi kuat dan berwibawa? Inikah Hadhari yang hendak dibangunkan?

4. Sehubungan dengan itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor membantah dan mendesak supaya persembahan Inul pada 19 Julai 2008 ini dibatalkan. Artis yang penuh kontroversi ini tidak selayaknya diberikan ruang untuk mengadakan persembahan lucahnya kepada rakyat Malaysia. Dewan Pemuda PAS Johor juga menuntut kerajaan supaya menyediakan garis panduan yang jelas berkaitan dengan bentuk hiburan yang dibenarkan selari dengan ajaran Islam.

5. Garis panduan tersebut mestilah mencakupi semua bentuk hiburan bagi membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) dan pihak penganjur (event management) merangka serta menyusun program dan artis yang memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh kerajaan.

6. Perlu ditegaskan di sini, Dewan Pemuda PAS negeri Johor tidak menghalang hiburan, bahkan merasakan hiburan ini adalah satu keperluan manusia masa kini. Namun yang dipertikaikan disini ialah bentuk hiburan yang melampau dan merosakkan minda dan jiwa rakyat, hiburan yang melalaikan dan membawa anasir-anasir negatif seperti dadah, arak, pergaulan bebas dan lupa diri kepada pemuda-pemudi di Malaysia. Realiti hari ini, hiburan telah lari dari tujuan untuk merehatkan minda dan santai kepada tujuan perniagaan dan keuntungan. Maka kita saksikan para-para pengusaha pusat hiburan dan pertunjukan pentas berlumba-lumba membawa artis popular tanpa mengira latar belakang artis tersebut dan kesan persembahannya kepada penonton dan masyarakat.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor amat resah terhadap perkara ini.

Sekian,wassalam

Yang menjalankan amanah

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
http://minda-kembara.blogspot.com/
019-7701830