Monday, July 9, 2012

MAAHAD JOHOR : secebis catatan antara membalas jasa dan mencurah jasa..


Telah datang kepada saya oleh saudaraku yang mulia, iaitu Al-Fadhil Ustaz Ariff Jasiman menerangkan hal kelakuan sebahagian pelajar-pelajar di Maahad Johor. Beliau meminta saya mengadakan kuliah akhlak dan adab di Maahad Johor. Mulanya saya agak keberatan menerima permintaan tersebut. Saya ini penuh kekurangan. Selalu membuatkan hati Rasulullah  صلى الله عليه وآله وسلم sakit. Selalu gagal mengamalkan hadith-hadithnya. Masakan saya mahu mengajar akhlak dan adab kepada orang lain!.

Saya minta tangguh dalam memberi jawapan samada terima atau tidak. Ingin istikharah terlebih dahulu.

وصبّ على قلبي شآبيب رحمة #  بحكمة مولانا الحكيم فأحكمت
"Dan limpahkanlah ke atas hatiku akan curahan Rahmat-Mu # dengan hikmat Tuhan Yang Bijaksana, maka segalanya teratur indah"

Akhirnya saya beri jawapan untuk terima. Semuanya dengan izin dan kehendak Allah Taala jua.  Semoga Allah Al-Ghafur mengampuni saya yang taqsir ini.

اللهم إني إستودتك ما علّمتنيه, فاردده إليّ عند حا جتي إليه ولا تنسنيه, يا عالم الغيب و الشهادة
"Ya Allah! Sesungguhnya kuserahkan kepadaMu segala ilmu yang Engkau kurniakan kepadaku, maka kembalikanlah ia kepadaku tetkala kuberhajat kepadanya, dan janganlah engkau jadikan aku melupakannya, wahai Tuhan Yang Maha Mengetahui Segala Yang Ghaib dan Yang Nyata.."

اللهم أخرجنا من ظلمات الوهم, وأكرمنا بنور الفهم, وافتح علينا بمعرفة العلم, وحسّن أخلاقنا بالحلم, وسهّل لنا أبواب فضلك, وانشر علينا من خزائن رحمتك, يا ارحم الراحمين
"Ya Allah! Keluarkanlah kami dari kegelapan syak wasangka dan muliakanlah kami dengan cahaya kefahaman. Bukakanlah bagi kami dengan makrifat ilmu dan perelokkanlah akhlak kami dengan sifat lemah lembut dan penyabar. Permudahkanlah bagi kami pintu-pintu kelebihan-Mu dan limpahkanlah ke atas kami daripada perbendaharaan Rahmat-Mu, wahai Tuhan Yang Paling Pengasih.."

آمين يا رب العالمين

Ada dua hal yang menguatkan hati saya untuk menerimanya.

PERTAMA

Tidak patut saya menghampakan permintaan saudara saya yang mulia itu. Lagi pula beliau seorang yang tawadhu', yang cintakan ilmu, yang kasihkan ulama, yang selalu menjaga adab terhadap ilmu dan ulama dan yang ikhlas dalam mengislah pekerti murid-muridnya.

Walaupun sudah menjadi mu'allim di Maahad Johor, beliau masih cintakan ilmu dan masih meletakkan dirinya sebagai muta'allim. Bahkan sanggup menuntut ilmu daripada saya yang jahil lagi taqsir ini. Hanya Allah jua yang mampu membuka pintu hati kami dalam menerima cahaya ilmu dan makrifat Nya.

.
Kenangan di Madrasah Sidi Ibrahim Ar-Rashid, Johor Bahru.
(Dari Kanan – Al-Fadhil Ustaz Arif (Guru Maahad Johor), Al-Faqir, Al-Fadhil Tuan Guru Hj Ghazali Al-Fathani (Baba Li Pondok Sekam), dan Al-Fadhil Ustaz Ghazali (Mudir Maahad Darul Furqan, Pattani)




Kenangan Dalam Satu Majlis Khatam Kitab Di Pondok Ledang
(al-Fadhil Ustaz Ariff –duduk 6 dari kiri-)



KEDUA

Tambahan pula Maahad tersebut tidaklah asing bagi saya. Dahulu keluarga saya sering keluar masuk ke sana sejak Maahad itu berada di tapak lama lagi. Adik beradik saya seramai 5 orang telah mendapat ilmu dan tarbiyah di sana. Iaitu :

1)    Ustaz Muhammad Yusuf (Keluaran Uni. Al-Azhar Syarif) – kini bertugas di JAKIM & pendakwah.
2)    Ustaz Abdul Halim (Keluaran Uni. Al-Azhar Syarif) – kini menjadi pendidik.
3)    Ustazah Khadijah (Keluaran Uni. Al-Azhar Syarif) – kini menjadi pendidik.
4)    Ustazah Fatimah (Keluaran UKM - Syariah) – kini menjadi pendidik.
5)    Ustazah Noorain (Keluaran UNISZA – Dakwah) – kini menjadi pendidik.

Alhamdulillah, mereka semua kini bertebaran menjadi pendidik dan pendakwah berkat curahan ilmu dan tarbiyah para asatizah di Maahad Johor tersebut. Maahad ini sangat berjasa kepada kami.

Merenungkan hal ini, saya berasa tidak patut untuk menolak permintaan sahabat dan saudara saya yang mulia itu. Mungkin Allah Ta'ala mengkehendaki untuk saya membalas jasa besar Maahad tersebut. Apatah lagi permintaannya itu dipuji pada syara', sedangkan faqir pula di bawah timbangan sabda Nabi  صلى الله عليه وآله وسلم:

مَن سئِل عن علْم علِمَه ثمّ كتمه ألجم يوم القيامة بلجام من نار
"Barangsiapa yang diminta daripada suatu ilmu akan ilmunya, kemudian dia menyembunyikannya, kelak akan dikekang pada hari kiamat nanti dengan kekangan daripada api neraka" (riwayat Imam At-Tirmizi)

Na'uzubillahi min zalik. Semoga Allah سبحانه وتعالى  memelihara faqir daripada azab tersebut. Amin..

Di sana terdapat petunjuk mulia daripada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم :  

عن صفوان بن عسال المرادي رضي الله عنه ، قال : قلت يا رسول الله ، إني جئت أطلب العلم! قال : مرحبا بطالب العلم ، إن طالب العلم لتحفه الملائكة ، وتظله بأجنحتها ، ثم يركب بعضها بعضا حتى يبلغوا السماء الدنيا من حبهم لما يطلب.

"Daripada Safwan Bin 'Assal رضي الله عنه dia berkata : Aku berkata kepada Rasulullah, wahai Rasulullah, aku ini datang untuk menuntut ilmu! lalu Rasulullah bersabda : Selamat datang untuk menuntut ilmu, sesungguhnya penuntut ilmu itu benar-benar diliputi oleh para malaikat dan memayunginya dengan sayap-sayapnya sampai bertindih-tindih yang sebahagiannya menaiki yang lainnya sehingga meninggi mencapai langit dunia ini kerana kasih mereka itu terhadap apa yang dituntutnya. (Riwayat Imam Ath-Thabarani)

Hadis ini menunjukkan betapa mulianya sifat Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dalam meraikan orang yang berkehendak atau yang ingin menuntuti ilmu. dan menyatakan betapa mulianya keadaan para penuntut ilmu.

Dalam hadis qudsi pernah Allah سبحانه وتعالى berfirman kepada Nabi Daud عليه السلام:

إذا رأيت لي طالبا فكن له خادما

"Apabila kamu melihat seorang penuntut ilmu semata-mata kerana Aku (Allah), maka bersedialah kamu menjadi pelayannya" (Riwayat Imam Al-Baihaqi Dalam Syu'abil Iman dan Mulla Ali Al-Qari dalam Al-Mirqat)

Hadis ini memberi pengajaran bahawa menjadi khadim kepada penuntut ilmu yang ikhlas adalah kesukaan Allah Ta'ala.

Maka berlakulah takdir Allah Ta'ala menurut kehendakNya. Sekalipun saya bukanlah orang yang layak. Kepada-Nya saya bermohon, dengan jah rasul-Nya saya bertawasul. Semoga niat dan amal saya sentiasa membetuli keredhaan Allah Ta'ala. Semoga Allah memberkati kami, memberkati majlis kami, melimpahkan cahaya ilmu yang bermanfaat kepada kami, membaikkan akhlak kami, serta merahmati kami semua.. آمين بجاه الأمين

Pertama kali majlis tafaqquh fiddin itu dapat diadakan pada bulan Febuari 2012 dan diadakan di dewan besar Maahad. Disebabkan ramai pelajar tidak dapat mendengar dengan jelas kerana sound speaker yang bergema dan bunyi kipas dinding yang kuat, maka dicadangkan supaya pengajian dapat dibuat di Surau Maahad. Kemudian untuk pengajian yang kedua, mereka memilih untuk meneruskan pengajian di surau Maahad yang berkah itu. Dan di situlah pengajian demi pengajian berlangsung sehingga kini.





(Gambar-gambar yang dirakamkan pada pengajian kali kedua, pada bulan Februari 2012 bertempat di Surau Maahad Johor)

Tanpa disedari, kini sudah pun melewati beberapa bulan faqir menjadi khuwaidim penuntut ilmu di Maahad yang mulia itu. Maahad yang telah melahirkan ramai ulama dan tokoh masyarakat. Saya melihat ramai murid yang cintakan ilmu. Ada yang bagus sekali akhlak dan adabnya. Ada kesungguhan yang terpancar dari air muka mereka.

Saya memerhatikan perubahan demi perubahan yang baik daripada mereka. Mereka memelihara adab-adab di dalam majlis ilmu. Ramai penuntut ilmu di sana yang sudah mula memakai pakaian putih ketika pengajian diadakan, tidak seperti awal-awal dahulu.

Sekiranya majlis pengajian mula lewat kerana keuzuran saya, mereka mengisi kekosongan tersebut dengan berselawat dan bermunajat beramai-ramai dan bersemangat sementara menanti pengajian dimulakan. Keadaan tersebut sama seperti di Pondok Ledang yang saya kasihi. 

Ada hikmah juga mengapa Allah tempatkan saya di sana. Antaranya di situlah Allah menggerakkan hati saya untuk mengarang kitab Nasha'ih Lil Muslim dan Kitab Hidayah Lil 'Alim wa Umdah Lil Muta'allim. Dan alhamdulillah, kitab Nasha'ih Lil Muslim itu kini telah pun berjaya disiapkan dan telah pun dicetak dengan pertolongan Allah Ta'ala. Sedang kitab Hidayah Lil 'Alim masih dalam proses penulisan. Mohon doa dari pembaca semua.


(Gambar Kitab Nasha'ih Lil Muslim dan Kitab Qaulul Mufid)

Ketika saya menulis catatan ini, saya difahamkan sebahagian mereka sedang menghadapi minggu peperiksaan. Saya mengambil kesempatan di sini mendoakan semoga semua yang sedang menghadapi imtihan tersebut berjaya dengan cemerlang. Saya yakin dan tetap mendoakan agar mereka kelak akan menjadi ulama amilin yang dapat meneruskan usaha-usaha para ulama terdahulu. Aamin..

Semoga Allah melimpahkan keberkatan terhadap mereka dan kami, serta mengurniakan cahaya-cahaya yang gemilang kepada semua yang terbabit dalam majlis tafaqquh fiddin tersebut. Amin bi jahi al-amin..

اللهم إنا نسألك علما ينفعنا, ويرفعنا في ديننا ودنيانا وآخرتنا

Ya Allah! Kami memohon kepada-Mu akan ilmu yang dapat memberi manfaat kepada kami dan meninggikan darjat-darjat kami pada agama kami, dunia kami dan akhirat kami.

اللهم إنا نعوذ بك أن نتعلم العلم لكى نكلم به الناس

Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu dari ilmu yang kami pelajari sekadar untuk bercakap-cakap dengan manusia.

اللهم لا تجعل الدنيا أكبر همنا ولا مبلغ علمنا

Ya Allah! Janganlah jadikan dunia sebagai sebesar-besar cita-cita kami dan tujuan dari pengajian kami.

اللهم إنا نسألك من كل خير سألك منه حبيبك سيدنا محمد صلى الله عليه وسلم, ونستعيذ بك من كل شر استعاذ بك منه حبيبك سيدنا محمد صلى الله عليه وسلم


"Ya Allah! Kami pinta dari-Mu kebaikan apa yang pernah dipinta oleh kekasih-Mu Saiyiduna Muhamad صلى الله عليه وسلم , dan kami minta berlindung dengan Mu dari segala kejahatan yang pernah diminta berlindung darinya oleh kekasihMu Saiyiduna Muhammad  صلى الله عليه وسلم "