Wednesday, February 20, 2008

Terus Bantu Kempen..

Bahana Memangkah Be End.. Tidakkah Rasa Berdosa dan bersalah..



Bahana Memilih Be End.. Berapa Ramai Lagi Harus Terkorban..

Terus Kempen..



Sunday, February 17, 2008

UCAPAN CELUPAR DAN BIADAP YANG MENGHINA HUKUM ALLAH!



Bila pemimpin agama tidak amanah dengan ilmu mereka, nantikan bala dari Allah Taala. Laknat Allah menimpa nimpa ke atas mereka..

TIDUR: CEMERLANG, TIDUR: GEMILANG, TIDUR: TERBILANG, MENIPU: CEMERLANG GEMILANG & TERBILANG



PERANGAI HUDUH PEMIMPIN UMNO/BN



Saturday, February 16, 2008

PANDUAN PENYAMPAIAN CERAMAH DALAM KONTEKS PILIHANRAYA UMUM

Panduan Penyampaian Ceramah Dalam Konteks Pilihanraya Umum .


Muqaddimah .

Seseorang tidak akan berubah melainkan setelah ada maklumat . Kita tidak akan membeli satu barang melainkan setelah kita mengetahui khasiat dan kebaikannya. Ini menggambarkan betapa pentingnya penerangan dalam suatu hal untuk meyakinkan seseorang bagi mendapat sesuatu .

Menyampaikan ceramah seumpama hendak menjual sesuatu produk kepada orang lain , produk yang baik dan berkualiti sekalipun , kalau tidak diterangkan dengan teknik dan strategi yang berkesan pasti tidak ada pembelinya , malahan produk yang tidak berkualiti pula , kalau disampaikan, dipromosi dan dikempen dengan hebat dan baik pasti akan menarik orang ramai untuk membelinya.

Orang yang memainkan peranan penting dalam mempromosikan produk ialah jurujual itu sendiri . Bagi menarik orang ramai membeli produk tersebut , jurujual akan menggunakan kepetahan bercakap , penampilan dirinya yang kemas , bahasa yang cukup menawan dan berbagai – bagai aksi lagi , disertai pula dengan demontrasi barangan . Sudah pasti cara ini akan menarik minat orang ramai membelinya .

Begitulah para penceramah , produk yang kita hendak pasarkan ialah Islam , PAS dan calon PAS . Produk yang akan kita pasarkan ini memerlukan teknik , taktik dan strategi yang sesuai dengan suasana setempat , situasi semasa , budaya dan sebagainya .

Dalam Islam , Rasulullah saw. Merupakan role model yang terbaik dalam menerangkan kepada manusia akan ajaran yang dibawa oleh baginda pada waktu itu yang dianggap dagang ( asing ) . Baginda menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan antaranya tamsil alam sekitar , logik , pujukan , tawaran , amaran , lisanul hal , khutbah dan lain – lain lagi .

Konsep Penerangan .

· Segala kegiatan penerangan menggunakan apa jua media yang ada hendaklah mengandungi ciri – ciri berikut :

· Penerangan sebagai I’LAM , iaitu proses untuk menyalurkan maklumat ( to inform ) mengenai fakta , sesuatu yang baru , menarik atau bagaimana sesuatu perubahan itu wujud dan berlaku .

· Penerangan sebagai TA’LIM , bermatlamat ke arah memberi pengajaran dan pelajaran untuk mempengaruhi ( to influence ) bagi mengubah fikiran dan pendirian atau untuk menggerakkan mereka agar aktif .

· Penerangan IRSYAD , bermatlamat ke arah membimbing dan tunjuk ajar. Suatu tugas untuk inspirasi ( to Inspire ) tentang kebaikan ( makruf ) supaya dihayati dan kemungkaran supaya dihindari .

· Penerangan sebagai DAKWAH , bermatlamat ke arah menyeru dan mengajak kepada perubahan sikap serta bertindak membangun yang makruf dan meruntuhkan yang mungkar.

Kesimpulannya , konsep penerangan ialah untuk menerangkan dasar perjuangan untuk menarik sokongan orang ramai kepada perjuangan PAS ( Basyiiran wa Naziiran ) . Konsep penerangan bukan sahaja melalui mulut tetapi juga tingkah laku ( Lisaanul Hal ) , penulisan dan edaran risalah . Yang penting ialah penceramah mesti menjadi orang yang berjaya menarik orang lain untuk bersama dengan perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS .

Banyak bidang penerangan yang belum diterokai secara meluas oleh PAS antaranya seperti risalah , kain rentang , laman web dan sebagainya. Janganlah kita hanya mengharapkan ceramah umum semata – mata kerana kita kekurangan penceramah yang boleh menarik orang ramai untuk datang ke program ceramah yang dianjur . Justeru itu , untuk menampung kekurangan ini hendaklah kita pelbagaikan program penerangan selain daripada rapat umum yang sememangnya menjadi agenda penerangan yang berkesan .

Ceramah Dalam Konteks Kempen Pilihanraya .

Dalam musim pilihanraya , ceramah yang dianjurkan agak berbeza sedikit dengan ceramah sebelum musim pilihanraya . Sebelum pilihanraya jentera penerangan boleh menganjurkan ceramah besar – besaran , kehadhiran audien pula mengikut populariti penceramah yang diundang. Mereka juga datang dari seluruh pelusuk tempat . Ulasan terhadap isu lebih menyeluruh , dari isu tempatan , nasional hinggalah kepada isu antarabangsa .

Sedang ceramah yang dianjurkan dalam musim pilihanraya hanya tertumpu kepada pengundi sasaran sahaja . Lantaran itu , pendekatan ceramah yang paling sesuai di musim pilihanraya ialah ceramah kelompok yang diadakan dari rumah ke rumah atau seumpamanya .

Tujuan Ceramah .

Ceramah yang dianjurkan oleh PAS bertujuan :

· Menjelaskan konsep Islam yang syumul sebagaimana yang diperjuangkan oleh PAS selama ini.
· Menjelaskan dasar parti dan membetulkan pandangan dan sangkaan negatif terhadap PAS .
· Mengulas dan mengupas isu semasa dan menjawab segala tohmahan terhadap Islam dan PAS .

Dalam musim pilihanraya , tujuan utama ceramah ialah menjelaskan kepada pengundi mengapa pengundi perlu memilih atau mengundi PAS . Di sinilah para penceramah PAS perlu menggunakan segala kebijaksanaan dan keupayaan menyampaikan ceramah untuk mengajak , merayu dan memujuk pengundi melakukan perubahan dalam pilihanraya dengan mengundi calon PAS .

Persiapan Asasi dan Etika Penceramah PAS .

· Ikhlas kerana Allah swt. · Memahami agama Allah swt. · Memiliki ilmu dan fakta yang tepat · Memiliki Qudwah Hasanah · Sabar dan Tabah · Lemah lembut dan penyayang · Tawadhuk dan merendah diri · Manis muka dan Indah tutur bicara · Menjaga Akhlak , adab sopan dan tatasusila · Sentiasa senyum dan mesra · Berpakaian menarik , kemas serta sesuai dengan suasana setempat · Menjaga nama baik parti · Menyampaikan ucapan dengan tertib , beradab dan sopan · Tidak mengeluarkan perkataan dan kenyataan yang menimbulkan fitnah · Tidak kasar dalam ucapan dan tindakan . · Elakkan maki hamun dan caci nista tanpa asas· Menepati janji dan waktu · Senantiasa bermurah hati · Menjaga nama baik parti

Pendekatan Penyampaian Dalam Ceramah .

Memilih Isu yang Sesuai .

Para penceramah perlu menyenaraikan isu yang ingin diulas dan disampaikan dalam ceramahnya. Pemilihan isu mestilah sesuai dan boleh membangkitkan minat pengundi untuk mendengar . Tidak semua isu boleh membangkitkan kesedaran kepada pengundi setempat walaupun isu tersebut dianggap besar dan penting seperti isu ekonomi , pembaziran wang rakyat dalam projek mega dan sebagainya.

Adakala isu yang dianggap kecil dan remeh tetapi kalau diolah dengan baik dan berkesan , ianya boleh mengubah minda rakyat. Sebab itu para penceramah mesti menguasai dan memahami isu semasa . Isu tempatan yang melibatkan kebajikan rakyat wajar diberi fokus dalam ceramah pilihanraya seperti isu kemiskinan , kenaikan harga barang dan sebagainya . Penceramah jangan ghairah mengulas isu besar sehingga lupa isu tempatan yang pengundi sendiri terlibat dengan isu tersebut.

Kemukakan Tawaran PAS .

Penceramah PAS sewajarnya tidak lupa untuk menjelaskan tawaran PAS kepada rakyat sebagaimana yang termaktub di dalam manifesto PAS jika rakyat memberi mandat kepada PAS untuk memerintah. Melalui pendekatan ini , penceramah mestilah terlebih dahulu memahami kandungan manifesto PAS .

Menampilkan Kelebihan Calon PAS .

Penceramah mestilah memperkenalkan calon PAS dengan menampilkan keperibadiannya , keupayaan dan kemampuannya menjadi wakil rakyat . Tonjolkan kelebihan calon secara benar dan adil .

Menonjolkan Kejayaan Kerajaan PAS di Kelantan.

Keupayaan PAS dan kemampuannya memerintah , memimpin dan mentadbir negeri Kelantan selama 17 tahun melalui amanah dan mandat rakyat mestilah dikemukakan kepada pengundi sebagai menjawab tohmahan kononnya PAS tidak boleh memerintah sekaligus menjadi perbandingan antara kerajaan PAS dan kerajaan UMNO.

Mendedahkan Kelemahan dan Ketidakupayaan Kerajaan BN.

Pendedahan dibuat berasaskan fakta bukan fitnah. Ianya bertujuan agar rakyat tidak terpedaya dengan keburukan Kerajaan BN yang sering berselindung disebalik momokan pembangunan dan umpan material . Mengemukakan Hujjah Berasaskan Nas dan Fakta .

Kekuatan hujjah adalah kelebihan utama Pas dalam menghadapi UMNO yang kaya dengan tipu helah . Ayat – ayat suci al Quran dan Hadis menjadi sumber tulen perjuangan PAS yang tidak boleh ditinggalkan sepanjang kempen atau dakwah PAS kepada pengundi .

Apa yang Perlu dielak oleh Penceramah .

Menyentuh isu – isu Sensitif .
Penceramah selayaknya berhati – hati mengungkap kata agar tidak menyinggung perasaan pengundi. Masa singkat sepanjang tempoh berkempen tentu sahaja kita tidak mampu menjelaskan isu yang sensitif dan kontraversi . Adalah wajar penceramah memilih isu yang mewujudkan kebersamaan kita dengan pengundi dan penyokong.

Menggunakan Bahasa yang kesat dan Kasar .

Penceramah adalah pendakwah . Uslub mendidik , membimbing dan menasihati adalah lebih baik dan lebih mendekatkan pengundi kepada risalah perjuangan kita berbanding ucapan yang sarat dengan maki hamun .

Memperbodohkan Pengundi .

Hargai mereka dan jangan sekali – kali memperkecilkan mereka sekalipun mereka dalam pilihanraya yang lalu tidak mengundi PAS. Berikan harapan kepada mereka dan masa untuk mereka berfikir dan membuat perubahan . Merendah dirilah dihadapan mereka , bahawa kita yang gagal menyampaikan maklumat yang jelas kepada mereka atau maklumat kita terhalang sehingga mereka tidak mengundi PAS.

Menghukum Pengundi .

Sekali lagi penceramah adalah pendakwah bukan penghukum. Justeru itu banyakkan pendekatan memberi nasihat , galakan dan motivasi untuk mereka menerima perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS . Jangan menjatuhkan hukum seperti berdosa , sesat atau kafir kepada pengundi.

Penutup .

Iringi setiap ucapan atau ceramah dengan doa dan munajat agar Allah mengurniakan petunjuk dan kekuatan kepada kita dan pengundi agar satu perubahan ( dari bathil kepada haq , dari jahiliyyah kepada Islam , dari kufur kepada Iman ) dapat dilakukan .

Jauhi maksiat atau mungkar sebaliknya tingkatkan prestasi taqwa , taat dan ubudiyyah kita kepada Allah swt. Serta hiasi diri dengan akhlak mahmudah dan imej mesra rakyat atau mesra pengundi .
SELAMAT BERJUANG!
ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!!

Friday, February 15, 2008

PANDUAN CALON & PETUGAS PILIHANRAYA


PANDUAN CALON & PETUGAS PILIHANRAYA


KUALA LUMPUR, 14 Feb (Hrkh) - Bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12, selain usaha berlipat ganda dan menunaikan kewajipan agama, calon-calon PAS disaran untuk menguatkan amalan solat sunat tahajud dan hajat setiap malam di samping bermunajat kepada Allah SWT.

Ketua Dewan Ulama PAS Dato' Ustaz Haji Mohamed Daud Al-Iraqi berkata amalan ini sangat penting supaya calon-calon PAS dapat memantapkan keimanan, ketaqwaan dan akhlak seterusnya memberi kemenangan besar kepada PAS di seluruh negara dalam pilihan raya umum ini.

"Dalam pilihan raya ini pelbagai anasir tidak sihat muncul seperti khianat, sabotaj dan tindakan provokasi yang boleh mengundang kecelakaan.

"Oleh itu tiada ada jalan lain melainkan berdoa supaya Allah lindungi kita. Allah sahajalah yang jaga kita,"katanya ketika dihubungi Harakah.

Amalan-amalan itu juga katanya dapat membersihkan jiwa calon-calon PAS supaya sentiasa bermuhasabah, mendekatkan diri pada tuhan serta masyarakat termasuk menghindari daripada terlibat kepada perkara-perkara tidak baik yang boleh menjejaskan peluang mereka dalam pilihan raya nanti.

Beliau juga mahu calon-calon serta petugas-petugas menunjukkan tauladan dan keperibadian yang baik kepada para pengundi di samping terus komited kepada tuntutan agama.

"Kita berusaha dan berserah pada tuhan. Itu sahaja kemampuan kita jika nak dibandingkan dengan Barisan Nasional (BN) yang pakai macam-macam muslihat untuk menang termasuk menggunakan wang,"

Bagi para petugas dan pengundi, Ustaz Mohamed menyatakan segala gerak kerja dan usaha yang dilakukan bagi memastikan kemenangan perjuangan Islam akan mendapat ganjaran pahala besar di sisi Allah.

"Jika kita pilih dan beri undi kepada orang yang buat kerja karut serta merosakkan agama Islam, kita akan mendapat balasan dosa.

"Usah susah hati, sama ada menang atau kalah segala yang kita lakukan bukan sia-sia tetap mendapat ganjaran pahala," katanya yang memberi semangat kepada pengundi dan petugas parti.

Beliau turut memberi amaran bahawa dalam al-Quran turut menyebut perihal manusia yang salah guna wang yang bermaksud:"Selepas mereka membelanjakan wang ke jalan yang bukan Islam...ia akan menyesal di hari akhirat."

"Undilah PAS kerana dasarnya yang jelas iaitu Islam dan bukan parti lawan yang berjuang demi kebendaan," katanya.

Dalam pada itu Dewan Ulama PAS katanya telah membekalkan panduan amalan dan doa-doa pilihan kepada calon-calon dan para petugas untuk diamalkan sepanjang masa sebagai pencetus semangat khususnya menjelang tempoh kempen dan saat pilihan raya umum nanti.
Sumber - Harakahdaily

Wednesday, February 13, 2008

KEMPEN (2)

Sila Klik di sini untuk dapatkan risalah KEMPEN 2
Jangan lupa, UNDILAH PAS !


PERTANYAAN & JAWAPANNYA.. (SIRI 2)

Pertanyaan 4 :

Apakah hukumnya seseorang yang solat Juma’at tetapi tidak sempat mendengarkan khutbah? Sah atau tidak solatnya? Harap ustaz dapat jelaskan.
_____________

Jawapan 4 :

Dalam kitab Bulughul Maram karangan Al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Asqolani (Ahmad bin ‘Ali bin Muhammad bin Muhammad bin ‘Ali bin Mahmud bin Ahmad bin Ahmad al-‘Asqolani, lahir pada 23 Sya’ban 773H, wafat pada 28 Zulhijjah 852H) terdapat sebuah Hadis Riwayat Imam Nasa’i, Imam Ibnu Majah, dan Imam Daruquthni, dari sahabat Ibnu Umar r.a. ia berkata bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

مَنْ أَدْرَكَ رَكْعَةً مِنْ صَلَاةِ اَلْجُمُعَةِ وَغَيْرِهَا فَلْيُضِفْ إِلَيْهَا أُخْرَى, وَقَدْ تَمَّتْ صَلَاتُهُ

“Barang siapa yang mendapat hanya satu rakaat dalam solat Jumat dan solat lainnya, hendaklah ia menambah kekurangan rakaat itu. Dengan demikian, sempurnalah solatnya.” [Kitab Bulughul Maram, hal. 90]

Imam Muhammad Shon'ani, seorang ulama yang terkenal pakar dalam bidang hadis, ketika mensyarah hadis di atas beliau berkata:

وَفِي الْحَدِيثِ دَلَالَةٌ عَلَى أَنَّ الْجُمُعَةَ تَصِحُّ لِلَّاحِقِ ، وَإِنْ لَمْ يُدْرِكْ مِنْ الْخُطْبَةِ شَيْئًا ،

“Dan dalam hadis itu terdapat suatu petunjuk bahawa solat Juma’at hukumnya sah bagi orang yang mendapatkannya walaupun ia tidak sempat mendengarkan khutbah sedikitpun.” [Kitab Subulus Salam, Syarah Bulughul Maram, Juz 2, hal. 47]

Dengan demikian, orang yang solat Jumat namun tidak sempat mendengarkan khutbah, solatnya sah menurut Jumhur Ulama, di antaranya Imam Syafi’e. Akan tetapi, kalau tidak mendengarkan khutbah dengan disengaja, walaupun solat Juma’atnya sah, namun jelas dia berdosa karena tidak mematuhi perintah Allah dalam Al-Qur'an surah Al-Jumu'ah ayat 9. Firman Allah swt;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” [Surah al-Jumu’ah : 9]

Untuk lebih jelasnya, bolehlah rujuk kitab Tafsirul Ayatil Ahkam Minal Quran karangan Syeikh Muhammad Ali ash-Shobuni, Juz 2, hal. 413..

والله أعلم.. Demikianlah jawapan dari saya yang dhoif lagi faqir ini. Semoga ada manfaatnya. Amien..


Pertanyaan 5 :

Saya ada kemusykilan berkenaan erti lafaz “ad-din” pada ayat ke-4 surah al-Faatihah iaitu;

مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ

Ertinya : “Yang menguasai hari pembalasan”. Saya pernah ditanya oleh rakan yang bukan Islam (kristian sabah) yg duduk sebilik dgn saya. Dia kata bukankah ad-din itu ertinya agama?. Saya tak tahu nak menjelaskannya. Saya harap ustaz dapat berikan jawapannya kepada saya. Terima kasih.
________________

Jawapan 5 :

Untuk makluman saudari, lafaz ad-din الدِّين dalam al-Quran mempunyai banyak erti. Tidak bererti agama sahaja. Seorang ulamak besar bernama Abdul Malik bin Muhammad ats-Tsa’alibi (wafat 429H) menyatakan bahawa lafaz ad-din dari segi lughah yang terdapat di dalam al-Quran seperti berikut;

وهو في القران على عشرَةِ اَوْجُهٍ

“dan dia itu (lafaz ad-din) dalam al-Quran, mempunyai 10 macam arti”

Beliau menjelaskan lagi di dalam kitabnya AL-ASYBAH WAN NAZHO’IR FIL ALFAAZIL QUR’ANIYYAH ALLATI TARADAFAT MABANIHA WA TANAWWA’AT MA’ANIHA seperti berikut;

الخامِسُ : الْجَزَاءُ. ومنه في (الفاتحةِ) : مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ

(Erti Ad-din) yang kelima : ialah pembalasan. Dan di antaranya terdapat dalam surah al-Faatihah : “Yang menguasai hari pembalasan”. [surah al-Faatihah : 4).]

Dan beliau menyatakan lagi;

العاشِرُ : الْمِلَّةُ. ومنه في قوله تعالى : وَذَالِكَ دِيْنُ القَيِّمَةِ

(Erti Ad-din) yang kesepuluh : ialah agama. Dan di antaranya terdapat dalam firman Allah swt : “Dan demikian itulah, agama yang lurus”. [surah al-Bayyinah : 5].

Supaya meyakinkan saudari lagi, bahawa erti ad-din pada surah al-Faatihah ayat 4 adalah pembalasan (al-Jaza’), dan dalam surah al-Bayyinah ayat 5 adalah agama (al-Millah), silalah saudari semak dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman, terbitan Jabatan Perdana Menteri Malaysia.

Mungkin saudari tertanya-tanya, apakah lagi erti ad-din yang 10 itu? Sebagai faedah, saya sebutkan satu persatu sebagaimana yang terdapat dalam kitab AL-ASYBAH WAN NAZHO’IR itu. Yaitulah;

1. الإسلام (agama Islam)
2. التّوحيد (mengesakan Allah)
3. الحساب (perhitungan amal)
4. العدد (bilangan)
5. الجزاء (pembalasan)
6. الحكم (hukum)
7. الطاعة (taat)
8. العادة (kebiasaan)
9. الحدُّ (ketentuan hokum dari Allah)
10. الْمِلَّةُ (agama)

Perkara ini dijelaskan panjang lebar pada halaman 138 hingga 142. Kitab yang sangat bernilai tinggi ini, iaitu;

اَلاَشْباَهُ وَالنَّظَائِرُ فِي اْلاَلْفَاظِ الْقُرْآنِيَّةِ الَّتِي تَرَادَفَتْ مَبَانِيْهَا وَتَنَوَّعَتْ مَعَانِيْهَا

Karangan Imam Abdul Malik bin Muhammad ats-Tsa’alibi sangat bagus dimiliki dan ditelaah.

والله أعلم.. Demikianlah jawapan dari saya yang dhoif lagi faqir ini. Semoga ada manfaatnya. Amien..


Pertanyaan 6 :

Assalamualaikum ustaz,
Di rumah ana ada banyak al-Quran dan kitab2 agama yang sudah buruk, sudah hancur dimakan anai-anai dan tikus, bolehkah ana membakarnya? Atau ditanam sahaja?.. Apakah cara yang sepatutnya? Kalau boleh, Ustaz terangkan dengan dalilnya sekali..
______________

Jawapan 6 ;

Wa’alaikum salam,

Di dalam kitab البرهان في علوم القرآن Al-Burhan fi ‘Ulumil Quran, karangan Imam Badruddin az-Zarkasyi (Muhammad bin Abdillah az-Zarkasyi, lahir pada 745H dan wafat pada 794H), terdapat judul berikut;

في حكم الأوراق البالية من المصحف

“Kedudukan hukum lembaran kertas al-Quran yang sudah hancur”

Di bawah tajuk tersebut, Imam az-Zarkasyi dalam menjelaskan hukumnya telah menukil ucapan Imam al-Hulaimy الحليمى seperti berikut ;

وإن أحرقها بالنار فلا بأس أحرق عثمان مصاحف فيها آيات وقراءات منسوخة ولم ينكر عليه

“.. dan jika ia membakarnya dengan api, maka tidak mengapa (boleh), Sayyidina Usman (dahulu) telah membakar beberapa mushhaf yang mana di dalamnya penuh dengan ayat-ayat al-Quran dan beberapa qiraat yang telah dimansukh dan tidak ada (seorang pun) yang membantahnya.” [Kitab Al-Burhan Fi ‘Ulumil Quran, Juz 1, Hal. 477]

Penjelasan yang serupa boleh kita dapati pada kitab “’Ulumul Quran wal Hadis”, karangan Syeikh Ahmad Muhammad Ali Daud, pada halaman 114.

Mengenai riwayat Sayyidina Usman bin Affan r.a membakar beberapa mushhaf yang mana di dalamnya penuh dengan ayat-ayat al-Quran, boleh kita lihat keterangannya dalam beberapa kitab ‘Ulumul Quran seperti ;

1. Kitab at-Tibyan Fi ‘Ulumil Quran, karangan Syeikh Muhammad Ali ash-Shobuni (ulama dari Mekah), pada halaman 57, Cet. Maktabul Ghazali, Damascusy-Syiria.

2. Kitab Mabahits Fi ‘Ulumil Quran, karangan Syeikh Manna’ Khalil al-Qattan (ulama dari Riyadh,Madinah), pada halaman 129, Cet. Muassasatur Risalah, Beirut Lebnon.

Daripada keterangan ini, dapat difahami bahawa jika ada lembaran kertas samada al-Quran atau lain-lain kertas yang terkandung ayat-ayat Allah / Kalamullah, yang telah rosak atau hancur. Maka harus dihapuskan dengan cara membakarnya supaya tidak terpijak atau tidak terhina atau dimain-main oleh budak-budak atau sebagainya.

Samada dengan cara dibasuh lembaran tersebut atau dibakar. Disebut dengan cara di basuh, kerana zaman dahulu lembaran kertas ditulis dengan dakwat yang boleh dihilangkan apabila dibasuh.

Dan ketika (zaman) itu, lembaran kertas amat sukar diperolehi. Maka dengan cara dibasuh dapat dimanfaatkan / digunakan lagi lembaran tersebut. Begitulah yang pernah diceritakan oleh guru saya.

Namun membakarnya adalah lebih aula (utama). Ini sebagaimana Sayyidina Usman bin Affan r.a (seorang sahabat Rasulullah dan merupakan Khalifah ar-Rasyidin ke-3 dari tahun 23H hingga 35H. Juga merupakan antara sahabat yang telah dijanjikan syurga) yang pernah membakarnya.

Imam Badruddin az-Zarkasyi yang merupakan salah seorang ulama besar dari Mazhab Syafi’e, yang terkenal dengan gelaran “Minhaji”, kerana kitab Minhajut Tholibin (kitab feqh Syafi’e lengkap) karangan Imam Nawawi telah dihafal olehnya, dimana Imam az-Zarkasyi menegaskan seperti berikut ;

وذكر غيره أن الإحراق أولى من الغسل

“Dan telah menyebut (berpendapat) selainnya (Imam al-Hulaimy) bahawasanya membakar itu lebih utama daripada membasuhnya..” [Kitab Al-Burhan fi ‘Ulumil Quran, Juz 1, Hal. 477]

Namun jika hanya suka-suka membakar lembaran yang tertera ayat-ayat al-Quran tanpa tujuan seperti yang disebut di atas, maka hukumnya adalah makruh. Syeikh Zainudin Al-Malibary asy-Syafi’e (wafat 972H) dalam kitabnya Fathul Mu'in berkata:

ويكره حرق ما كتب عليه إلا لغرض نحو صيانة

“Dan dimakruhkan membakar sesuatu yang dituliskan Quran atasnya, kecuali kerana bertujuan seumpama memeliharanya..” [Fathul Mu’in , lihat pada Hamisy I’anatut Tholibin, Juz. 1, hal. 69]

Kenyataan ini hampir sama sebagaimana ibarat yang terdapat dalam Kitab Mughnil Muhtaj karangan Muhammad asy-Syarbini al-Khatib asy-Syafi’e;

وَيُكْرَهُ إحْرَاقُ خَشَبٍ نُقِشَ بِالْقُرْآنِ إلَّا إنْ قُصِدَ بِهِ صِيَانَةُ الْقُرْآنِ فَلَا يُكْرَهُ كَمَا يُؤْخَذُ مِنْ كَلَامِ ابْنِ عَبْدِ السَّلَامِ وَعَلَيْهِ يُحْمَلُ تَحْرِيقُ عُثْمَانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ الْمَصَاحِفَ

“Dan dimakruhkan membakar kayu yang dilukiskan padanya akan al-Quran, kecuali jika dimaksudkan dengannya (bakar) akan memelihara Quran, maka tidaklah dimakruhkan, sebagaimana difahami dari perkataan Ibnu Abdis Salam. Dan atasnyalah ditanggungkan pembakaran Sayyiduna Usman bin Affan r.a akan mushhaf-mushhaf.” [Mughnil Muhtaj, Juz 1, Hal. 168]

Mudah-mudahan jawapan ini boleh jadi panduan kepada saudara.

والله أعلم
.. Demikianlah jawapan dari saya yang dhoif lagi faqir ini. Semoga ada manfaatnya. Amien..
bersambung... Insya Allah..

KEMPEN (1)

Sila Klik di sini untuk dapatkan risalah kempen!..
Jangan lupa, UNDILAH PAS!

Tuesday, February 12, 2008

TANGGUNGJAWAB KITA...


KETAHUI HUKUM MENJATUHKAN PEMERINTAH UMNO / BN
AKAN DATANG... INSYA ALLAH..

PERTANYAAN & JAWAPANNYA.. (SIRI 1)

بسم الله الرحمن الرحيم

PERTANYAAN & JAWAPANNYA (1)


Pertanyaan 1 :

Assalamualaikum..

Dalam solat witir 3 rakaat, saya perhatikan ada 3 cara yang dilakukan oleh setengah masyarakat kita dalam pelaksanaannya.

a) Ketiga rakaat solat witir itu disambung tanpa terlebih dahulu bertasyahhud setelah rakaat kedua. Jadi hanya satu kali pada rakaat ketiga (terakhir) kemudian membaca salam.

b) Ketiga rakaat solat witir itu disambung seperti cara di atas, tetapi setelah mendapat dua rakaat, mereka terlebih dahulu bertasyahhud kemudian melanjutkan ke rakaat yang ketiga.

c) Setelah mendapat dua rakaat, mereka bertasyahhud lalu membaca salam, kemudian melanjutkan satu rakaat lagi. Setelah selesai tasyahhud mereka membaca salam.

Dari ketiga cara tersebut, kaifiat mana yang benar dan mana yang terbaik untuk kita lakukan? Harap ustaz dapat jelaskan. Terima kasih.
__________________

Jawapan 1:

Wa’alaikum salam…
Untuk makluman saudara, dalam pelaksanaan solat witir 3 rakaat, kita diperbolehkan melakukannya dengan memilih salah satu cara tersebut di atas, sebab semuanya memiliki dasar dari Rasulullah Saw. Sayid Sabiq dalam kitabnya Fiqhus Sunnah berkata:

ويجوز أداء الوتر ركعتين، ثم صلاة ركعة بتشهد وسلام، كما يجوز صلاة الكل بتشهدين وسلام، فيصل الركعات بعضها ببعض من غير أن يتشهد إلا في الركعة التي هي قبل الاخيرة فيتشهد فيها ثم يقوم إلى الركعة الاخيرة فيصليها ويتشهد فيها ويسلم، ويجوز أداء الكل بتشهد واحد وسلام في الركعة الاخيرة، كل ذلك جائز وارد عن النبي صلى الله عليه وسلم.

"Dan solat witir itu boleh dilakukan dengan dua rakaat, lalu dilanjutkan satu rakaat lagi dengan tasyahhud dan salam. Sebagaimana boleh dilakukan keseluruhannya dengan dua kali tasyahhud dan satu kali salam. Ia menyambungnya antara rakaat yang satu dengan yang lainnya tanpa bertasyahhud melainkan pada rakaat sebelum terakhir, lalu ia melanjutkan satu rakaat lagi yang terakhir, dan setelah tasyahhud lalu salam. Dan boleh pula dilakukan keseluruhan dengan satu kali tasyahhud dan satu kali salam pada rakaat terakhir. Semuanya itu boleh dan ada dasarnya dari Nabi Saw" (Fiqhus Sunnah, Juz I, hal. 194)

Mengenai cara yang terbaik dari ketiga cara tersebut, para fuqaha memberikan fatwa dan penjelasannya antara lain:

Imam Nawawi (Abu Zakaria Yahya bin Syarif an-Nawawi asy-Syafi’e, lahir di Nawa Damasyqus Syiria pada tahun 631H dan wafat tahun 676H) dalam kitabnya Al-Majmu' Syarah Al-Muhadzdzab menjelaskan:

في مذاهبهم فيمن أوتر بثلاث هل يفصل الركعتين عن الثلاثة بسلام: فذكرنا اختلاف اصحابنا في الافضل من ذلك وان الصحيح عندنا ان الفصل افضل وهو قول ابن عمر ومعاذ القارئ وعبد الله بن عياش ابن ابي ربيعة ومالك واحمد واسحق وابي ثور


"Menurut beberapa pendapat para ulama, berkenaan dengan orang yang melaksanakan solat witir 3 rakaat - apakah rakaat yang kedua dipisahkan dengan rakaat yang ketiga melalui baca salam terlebih dahulu? Sebenarnya kami pernah menyinggung perbeZaan di antara sahabat-sahabat kami tentang cara terbaik melakukan solat tersebut. Menurut pandangan kami (mazhab Syafi’e), pendapat yang lebih tepat (shahih) dan utama yaitu dengan cara memisahkannya. Dan itu adalah pendapatnya Ibnu Umar, Mu'adz Al-Qari, Abdullah bin 'Iyasy bin Abi Rabiah, Imam Malik, Imam Ahmad, Imam Ishak dan Imam Abu Tsaur." (Al-Majmu' Syarah Al-Muhadzdzab, Juz 4, hal. 24)

Syeikh Zainudin Al-Malibary asy-Syafi’e (wafat 972H) dalam kitabnya Fathul Mu'in berfatwa:

ويجوز لمن زاد على ركعة الفصل بين كل ركعتين بالسلام - وهو أفضل من الوصل - بتشهد أو تشهدين في الركعتين الاخيرتين

“Bagi orang yang solat witirnya lebih dari satu rakaat boleh memisah di antara setiap dua rakaat dengan salam dan dia itu lebih utama daripada menyambungnya dengan satu kali tasyahhud atau dua kali tasyahhud pada dua rakaat terakhir..” (Fathul Mu'in, hal. 31 / Hamisy I’anatut Tholibin Juz 1, hal. 289)

Syeikh Nawawi Al-Bantani (Imam Nawawi Shogir, al-Jawi, wafat 1314H) dalam kitabnya Nihayatuz Zain, secara tegas berfatwa:

والوصل بتشهد أفضل منه بتشهدين فرقاً بينه وبين المغرب, وهذا جاز فيما لو أحرم بزيادة على ثلاث دفعة لما في الإتيان بتشهدين من مشابِهته للمغرب في الجملة, والفصل أفضل من الوصل لزيادة الأعمال فيه,.

"Dan menyambung dengan satu kali tasyahhud lebih utama daripada menyambung dengan dua kali tasyahhud, untuk membezakan antara solat witir dengan solat Maghrib. Melakukan dua kali tasyahhud (dalam solat witir yang tiga rakaat), dapat menyerupai solat maghrib secara garis besarnya. Memisah itu lebih utama daripada menyambung karena ada tambahan amal padanya." [Nihayatuz Zain , hal. 100]

Dalam kitab Nailul Authar (Syarah Muntaqal Akhbar) karangan Imam Asy-Syaukani (Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Asy-Syaukani, wafat 1255H) terdapat sebuah riwayat sebagai berikut:

وَرَوَى الطَّحَاوِيُّ عَنْ ابْنِ عُمَرَ { أَنَّهُ كَانَ يَفْصِلُ بَيْنَ شَفْعِهِ وَوِتْرِهِ بِتَسْلِيمَةٍ ، وَأَخْبَرَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَفْعَلُهُ } وَإِسْنَادُهُ قَوِيٌّ

"Imam Thahawi mendapat riwayat dari Ibnu Umar, bahawa dia memisahkan antara rakaat yang genap dan yang ganjil dengan salam, dan dia pernah memberitakan bahawa Nabi Saw. juga melakukan yang demikian. Sanad hadisnya kuat," (Nailul Authar, juz 3, hal. 44)

Dari huraian di atas, dapat kami simpulkan bahawa ketiga cara pelaksanaan solat witir yang 3 rakaat tersebut, walaupun pada dasarnya kita boleh melakukan salah satunya, namun cara terbaik ialah cara yang telah diterangkan pada bagian (c), yakni setelah mendapat dua rakaat, bertasyahhud lalu membaca salam. Kemudian melanjutkan satu rakaat lagi; setelah selesai tasyahhud, lalu membaca salam lagi.

Ada sebagian ulama yang berpendapat makruh melakukan solat witir tiga rakaat dengan cara disambung yakni setelah mendapat dua rakaat, bertasyahhud, lalu melanjutkan rakaat ketiga tanpa diselangi salam. Rasulullah Saw. pernah bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لَا تُوتِرُوا بِثَلَاثٍ وَلَا تَشَبَّهُوا بِالْمَغْرِبِ . رَوَاهُ الدَّارَقُطْنِيّ بِإِسْنَادِهِ ، وَقَالَ : كُلُّهُمْ ثِقَاتٌ

"Janganlah kamu solat witir tiga rakaat yang menyerupai solat maghrib." (Riwayat Imam Daruquthni, dari Abu Hurairah, dan ia berkata, "Para perawis hadis tersebut orang-orang kepercayaan.")

Hadis tersebut dapat kita baca dalam kitab-kitab hadis seperti berikut:

1. Nailul Authar, Juz 3, hal. 47, karangan Imam Asy-Syaukani
2. Irsyadus Sari Syarah Sahih Bukhari, Juz 2, hal. 229, karangan Imam Syihabuddin Al-Qasthalani
3. Al-Mustadrak ‘ala Sohihain, Juz 3 hal. 158 karangan Imam al-Hakim.

والله أعلم.. Demikianlah jawapan dari saya yang dhoif lagi faqir ini. Semoga ada manfaatnya. Amien..




Pertanyaan 2:
Apakah hukumnya tidur di masjid? Salah seorang bilal di tempat saya mengharamkannya. Apakah pendapatnya itu betul menurut hukum Islam? Harap ustaz dapat jelaskan berserta dengan dalil. Sekian terima kasih.
___________________
Jawapan 2:

Tidur di dalam masjid hukumnya mubah (boleh/harus), asal dapat menjaga kebersihannya. Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Majmu' Syarah Al-Muhadzdzab menjelaskan sebagai berikut:

يجوز النوم في المسجد ولا كراهة فيه عندنا نص عليه الشافعي رحمه الله في الام واتفق عليه الاصحاب

“Tidur di masjid hukumnya boleh, tidak makruh menurut pendapat kami. Imam Syafi’e Rahimahullah telah memberikan nash atas bolehnya tidur di masjid dalam kitabnya Al-Umm, dan pendapatnya itu telah disepakati oleh sahabat-sahabatnya.”

Dalam kitab tersebut Imam Nawawi mengungkapkan dalil yang dijadikan dasar oleh Imam Syafi’e dan para sahabatnya atas bolehnya tidur di dalam masjid, yaitu sebagai berikut:


واحتج الشافعي ثم اصحابنا لعدم الكراهة بما ثبت في الصحيحين عن ابن عمر رضى الله عنهما قال كنت أنام في المسجد وأنا شاب أعزب وثبت ان أصحاب الصفة كانوا ينامون في المسجد وان العرنيين كانوا ينامون في المسجد وثبت في الصحيين أن عليا رضي الله عنه نام فيه وان صفوان بن أمية نام فيه وان المرأة صاحبة الوشاح كانت تنام فيه وجماعات آخرين من الصحابة وان ثمامة بن اثال كان يبيت فيه قبل اسلامه وكل هذا في زمن رسول الله صلى الله عليه وسلم

“Imam Syafi’e, begitu pula sahabat-sahabat kami telah berdalil atas tidak makruh tidur di masjid, dengan hadis yang kuat terdapat dalam kitab Shahih Bukhari dan Shahih Muslim dari Ibnu Umar r.a. Beliau telah berkata, "Saya suka tidur di masjid, padahal saya seorang pemuda yang belum kahwin." Dan telah terdapat hadis yang kuat yang menyatakan bahawasanya Ahlush Shuffah (sahabat-sahabat Nabi Saw. yang miskin, tidak punya rumah, dan tidak punya harta) mereka suka tidur di masjid. Dan telah terdapat hadis yang kuat dalam kitab kitab shahih Bukhari dan Shahih Muslim, bahawa Saiyidina Ali r.a. pernah tidur di masjid, sahabat Shafwan bin Umayah pernah tidur di masjid, seorang perempuan tukang selempang suka tidur di masjid. Begitu pula segolongan dari sahabat yang lain, Tsumamah bin Atsal, ia suka menginap di masjid sebelum ia beragama Islam. Semua itu terjadi pada zaman Rasulullah Saw.” (Kitab Al-Majmu' Syarah Al-Muhadz-dzab, Juz 2, hal. 173-174)
Dalam kitab Fiqhus Sunnah terdapat keterangan sebagai berikut:

إباحة الاكل والشرب والنوم فيها: فعن ابن عمر قال: كنا في زمن رسول الله صلى الله عليه وسلم ننام في المسجد نقيل فيه ونحن شباب.

“Boleh hukumnya makan, minum dan tidur di masjid di mana saja. Terdapat sebuah hadis dari Ibnu Umar, beliau berkata, "Kami (para sahabat) pada zaman Rasulullah Saw. suka tidur di masjid, kami tidur qailulah (tidur tengah hari) di dalamnya, dan kami pada waktu itu masih muda-muda." (Kitab Fiqhus Sunnah, Juz I, hal. 252)

Dari beberapa dalil tersebut di atas, jelaslah bahawa tidur di masjid hukumnya boleh, tidak makruh apalagi haram, karena para sahabat banyak yang melakukannya, padahal Rasulullah Saw. ketika itu masih hidup. Seandainya tidur di masjid itu hukumnya haram tentu Rasulullah melarangnya.

Kalau ada seseorang yang ber”fatwa” bahawa tidur di masjid itu hukumnya haram, menurut peribadi saya, itu adalah “fatwa” yang tidak berdasarkan kepada dalil dan tidak perlu kita ikuti kecuali kalau tidurnya mengotori masjid.

Pendapat tentang bolehnya tidur di dalam masjid secara mutlak ini adalah pendapat yang dipegang Imam Syafi’e berserta sahabat-sahabatnya, Imam Ibnul Musayyah, Imam 'Atha, dan Imam Al-Hasan.

Ada pula beberapa pendapat yang tidak didukung oleh dalil, dari kalangan sahabat, Tabi’in, dan ulama Mujtahidin yang lainnya sebagai berikut:

1. Ibnu Mas'ud, Ibnu Abbas, Mujahid, dan Sa'id bin Jubair berpendapat, bagi orang yang mempunyai rumah (tempat tidur), tidur di masjid hukumnya makruh. Sedangkan bagi orang yang tidak atau belum punya rumah (tempat untuk tidur), hukumnya boleh dan tidak makruh.

2. Imam Ahmad dan Imam Ishaq berpendapat, bagi orang yang sedang musafir (dalam perjalanan) atau semacamnya, tidur di masjid hukumnya boleh, sedangkan bagi orang yang mukim, hukumnya tidak boleh.

3. Imam Al-Auza'i (nama lengkapnya Abu 'Amr Abdurrahman bin Muhammad Al-Auza'i, lahir 88 H, dan wafat 157 H), beliau berpendapat bahawa tidur di masjid hukumnya makruh secara mutlak. Dengan pengertian, baik orang itu sedang musafir atau sedang mukim, hukumnya tetap makruh. [Lihat kitab Al-Majmu' Syarah Al-Muhadzdzab, Juz 2, hal. 173]

Saya sendiri condong kepada pendapat yang mengatakan tidur di masjid itu boleh, karena hujjah-hujjahnya cukup jelas dan kuat.

والله أعلم.. Demikianlah jawapan dari saya yang dhoif lagi faqir ini. Semoga ada manfaatnya. Amien..


Pertanyaan 3:

Bagaimana hukumnya membaca basmalah (بسم الله الرحمن الرحيم) di pertengahan atau di akhir makan, dan adakah perlu baca lagi jika ada orang lain yang membaca doa ketika makan bersama?
__________________

Jawapan 3:

Apabila kita makan, disunatkan memulainya dengan membaca lafaz " بسم الله الرحمن الرحيم", mengingat sabda Rasulullah Saw.:

عَنْ وَهْبِ بْنِ كَيْسَانَ أَبِي نُعَيْمٍ قَالَ : أُتِيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِطَعَامٍ وَمَعَهُ رَبِيبُهُ عُمَرُ بْنُ أَبِي سَلَمَةَ فَقَالَ سَمِّ اللَّهَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ .

“Dari Wahib bin Kaisan, ia berkata: Pernah didatangkan kepada Rasulullah Saw. sebuah makanan dan besertanya anak tirinya Umar bin Abu Salamah. Kemudian Rasulullah bersabda: "Sebutlah nama Allah dan makanlah makanan yang dekat kepadamu.” (Riwayat Bukhari; Kitab Shahih Bukhari, Juz 3, hal. 291).

Imam Nawawi menyebut di dalam kitabnya al-Azkar sebagai berikut:

قلت : أجمع العلماء على استحباب التسمية على الطعام في أوله

“Aku berkata : Para ulamak telah ijmak (sependapat) pada menyatakan sunat membaca basmalah atas suatu makanan pada awal (permulaan) memakannya.” [Kitab al-Azkar, hal. 230]

Juga terdapat dalam kitab Fathul Baari karangan Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqolani:

قَالَ النَّوَوِيّ : أَجْمَعَ الْعُلَمَاء عَلَى اِسْتِحْبَاب التَّسْمِيَة عَلَى الطَّعَام فِي أَوَّله

“Telah berkata Imam An-Nawawi : Para ulamak telah ijmak (sependapat) pada menyatakan sunat membaca basmalah atas suatu makanan pada awal (permulaan) memakannya.” [Kitab Fathul Baari , Juz 15, hal.247]

Imam Nawawi menyatakan lagi ;

قال العلماء من أصحابنا وغيرهم : ويستحب أن يجهر بالتسمية ليكون فيه تنبيه لغيره على التسمية وليقتدى به في ذلك

“Berkata para ashhab kami dan lainnya : disunatkan bahawa menyaringkan bacaan bismillah supaya menjadi peringatan bagi yang lainnya dan agar diikuti orang akan bacaannya” [Kitab al-Azkar, hal. 230]

Imam Nawawi menjelaskan lagi ;

فاعلم أن الأفضل أن يقول : بسم الله الرحمن الرحيم ، فإن قال : بسم الله ، كفاه

“ketahuilah bahawa yang paling afdhal ialah menyebut [بسم الله الرحمن الرحيم] tetapi jika diucapkan dengan lafaz [بسم الله] sudah memadai” [Kitab al-Azkar, hal. 231]

Imam Al-Qasthallani ketika mensyarah sabda Rasulullah "سَمِّ اللَّهَ " beliau berkata sebagai berikut:

“Menyebut nama Allah itu sekurang-kurangnya sebagaimana telah dikatakan oleh Imam Nawawi, yaitu mengucapkan "بسم الله ". Afdalnya ialah mengucapkan "بسم الله الرحمن الرحيم " [Kitab Irsyadus Sari Syarah Shahih Bukhari, Juz VIII, hal. 211].


Bila di permulaan makan kita lupa membaca "بسم الله", kemudian baru ingat dipertengahan atau diakhir makan, maka disunatkan membaca " بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ ", sebagaimana sabda Rasulullah Saw.:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ بِسْمِ اللَّهِ فَإِنْ نَسِيَ فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ

"Dari Siti Aisyah r.a. ia berkata, Rasulullah Saw. talah bersabda "Apabila salah seortang kamu memakan makanan, maka ucapkanlah lafaz "بِسْمِ اللَّه ". Jika lupa membacanya di permulaan makan, maka ucapkanlah lafaz "بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِه " [Riwayat Turmuzi; kitab Sunan Turmuzi, Juz 3, hal. 190]

Atau mengucapkan lafaz " بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ ", berdasarkan sabda Rasulullah Saw.:

عَنْ أُمَيَّةَ بْنِ مَخْشِيٍّ وَكَانَ مَنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ :كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسًا وَرَجُلٌ يَأْكُلُ فَلَمْ يُسَمِّ حَتَّى لَمْ يَبْقَ مِنْ طَعَامِهِ إِلَّا لُقْمَةٌ فَلَمَّا رَفَعَهَا إِلَى فِيهِ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَالَ مَا زَالَ الشَّيْطَانُ يَأْكُلُ مَعَهُ فَلَمَّا ذَكَرَ اسْمَ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ اسْتَقَاءَ مَا فِي بَطْنِهِ

“Dari Umayyah bin Makhsyiy r.a, salah seorang sahabat Rasulullah Saw., ia berkata: Rasulullah Saw. pernah duduk dan ada seorang laki-laki sedang makan namun tidak membaca "بِسْمِ اللَّهِ ", hingga makanannya tinggal satu suap lagi. Tatkala orang itu mengangkat suapan (yang terakhir) ke mulutnya, ia mengucap " بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ ". Nabi Saw. tertawa, kemudian bersabda: "Syaithon itu senantiasa makan bersekali dengannya, maka tatkala ia menyebut nama Allah A'Azza wa Jalla, syaithon memuntahkan apa yang ada dalam perutnya." [Riwayat Abu Dawud, kitab Sunan Abu Dawud, Juz 3, hal. 347-348]


Tentang sunat hukumnya membaca "بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِه" atau "بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ" walaupun makannya telah selesai, Imam Ibrahim Al-Bajuri dengan tegas berkata:

“Sekalipun makan telah selesai, sunat membacanya agar syaithon memuntahkan makanan yang dimakannya (bersamanya)." [Kitab Hasyiah Al-Bajuri, Juz I, hal. 54]

Adapun pertanyaan adakah perlu baca lagi jika ada orang lain yang telah membaca doa (basmalah) ketika makan bersama?. Maka saya menjawab sebagaimana yang terdapat pada kitab al-Azkar ;

فلو سمى واحد منهم أجزأ عن الباقين ، نص عليه الشافعي رضي الله عنه

“sekiranya salah seorang sahaja yang membaca basmalah di antara mereka, sudah cukup bagi yang lainnya. Demikianlah menurut nash Imam Syafi’e r.a.”

وهو شبيه برد السلام وتشميت العاطس، فإنه جزئ فيه قول أحد الجماعة.

“Dan hukum basmalah ini sama serupa dengan hukum menjawab salam dan menjawab hamdalah orang yang bersin, maka sesungguhnya telah gugur tuntutan hukum apabila sudah di baca oleh salah seorang daripada suatu jamaah”. [Kitab al-Azkar an-Nawawiyah, hal. 231]

والله أعلم.. Demikianlah jawapan dari saya yang dhoif lagi faqir ini. Semoga ada manfaatnya. Amien..

Saturday, February 9, 2008

PERTANYAAN & JAWAPANNYA.. (MUQADDIMAH)

بسم الله الرحمن الرحيم

MUQADDIMAH

Alhamdulillah, syukur pada Allah dapat saya menulis lagi dalam kesempatan yang ada. Dalam kotak e-mail saya, terdapat banyak soalan-soalan / kemusykilan agama yang diajukan, dan alhamdulillah telah saya jawab dengan bantuan taufiq dan inayah Allah swt. Bagaimanapun masih ada yang belum dijawab kerana kesibukan dilapangan politik tanah air. Maklumlah, pilihanraya semakin hampir dan parti memerlukan tenaga pemuda sebagai jentera utamanya..

Oleh kerana ada pandangan yang baik daripada ikhwan, agar saya memasukkan semua jawapan yang telah saya berikan ke dalam blog saya. Maka saya merasakan hal ini akan lebih memberi manafaat kepada semua. Khususnya kepada saudara-saudara yang menjadi pengunjung blog Usrah Ibnu Masran Al-Banjari (http://tarbiyyahibnumasran.blogspot.com/)

Insyaallah saya akan masukkan ke dalam blog secara sedikit-sedikit. Semoga Allah swt permudahkan urusan saya. Amien..

Sebenarnya sudah lama sahabat-sahabat bertanya, mengapa dalam blog saya tidak dimasukkan ruangan soaljawab agama?. Saya kira saya yang amat dhaif ini bukanlah ahlinya.. Lagi pula banyak sudah terdapat website dan weblog yang menyediakan ruangan soaljawab kemusykilan agama.

Saya hanya menjawab kemusykilan pada siri-siri kuliah saya samada di masjid2, surau2, markaz2 tarbiyyah dan soalan2 yang saya terima melalui email sahaja. Namun bila mendengar cadangan seorang sahabat agar saya menghimpun dan menulis kembali dalam blog saya akan kemusykilan/soalan tersebut, saya merasakan ia satu cadangan yang baik.

Walaupun saya sedar saya bukan ahlinya, namun dengan cara ini saya dapat belajar dan saya sentiasa bersedia menerima ajaran dan teguran dari ‘alim ulama dan ahli agama yang faqih dalam menjawab kemusykilan agama.

Lagi teringat saya akan sebuah hadis,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ عَلِمَهُ ثُمَّ كَتَمَهُ أُلْجِمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ.

“Dari Abu Hurairah r.a berkata: telah bersabda Rasulullah SAW : Barangsiapa yang ditanya tentang satu ilmu sedang dia mengetahuinya, lalu dia menyembunyikan, nescaya dikekang mulutnya pada hari qiamat nanti dengan kekangan api neraka”. [Riwayat Imam Turmuzi, hadis Hasan]

Dalam kitab Bahrul Maazi karangan asy-Syeikh Muhammad Idris Abdur Ra’uf al-Marbawi al-Azhari asy-Syafi’e (pengarang Qamus al-Marbawi, lahir pada 28 Zulkaedah 1313H di Makkah al-Mukarramah dan wafat pada 13 Rabiul Awal 1409H) ketika mensyarahkan hadis ini, dibawah tajuk..

باب ما جاء في كتمان العلم

“bab : yang telah datang ia pada menyatakan hadis yang menunjukkan atas salah menyembunyikan ilmu”

Beliau telah mendatangkan sebuah riwayat berikut;

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ كَتَمَ عِلْمًا مِمَّا يَنْفَعُ اللَّهُ بِهِ فِي أَمْرِ النَّاسِ أَمْرِ الدِّينِ أَلْجَمَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِلِجَامٍ مِنْ النَّارِ .

“Diriwayatkan daripada seorang sahabat bagi nabi SAW namanya Abi Sa’id al-Khudri r.a katanya, telah bersabda Rasulullah SAW : Barangsiapa menyembunyi ia akan ilmu daripada ilmu yang memberi faedah Allah dengan dia akan orang-orang pada pekerjaan Ugama Islam pada dunianya dan akhiratnya seperti segala masalah feqh dan segala pekerjaan syara’ dan muamalahnya, nescaya dikekang akan dia oleh Allah dengan kekang daripada api neraka.” [Bahrul Maazi, Juz 19, hal. 10]

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah, terdapat dalam Sunan Ibnu Majah pada بَاب مَنْ سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ فَكَتَمَهُ..

Saya berlindung diri kepada Allah SWT daripada menjadi manusia yang dikekang pada hari kiamat nanti dengan kekangan api neraka.

Kepada ‘alim ulamak yang kitab-kitab mereka saya jadikan sebagai mashadir wal maraji’ (sumber rujukan), saya sering berdoa semoga mereka termasuk dalam maksud hadis..

... أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ...

“yaitu para ulamak yang ilmunya dimanfaatkan oleh orang lain.” [Riwayat Imam Muslim]

Tak lupa pada Syaikhuna al-Muhaqiq Tuan Guru Abdullah Pondok Lubuk Tapah Hafizahullah yang telah mencurahkan ilmunya dan asy-Syeikh Tuan Guru Nuruddin Marbu al-Banjari Hafizahullah yang banyak mengalirkan ilmunya. Ya Allah, kiranya ada pahala atas amal ini, saya hadiahkan buat kedua ibubapa dan kedua orang Tuan Guru ku ini. Juga kepada guru-guru ku yang lain. Ya Allah, perkenankanlah..

Semoga siri soaljawab kemusykilan agama ini memberi manfaat kepada banyak pihak dan berpanjangan faedahnya. Semoga himpunan kemusykilan agama ini menjadi kitab susunan saya yang seterusnya setelah kitab-kitab:

1) 40 Hadis Mendidik Jiwa (siri 1)
2) 40 Hadis Mendidik Jiwa (siri 2)
3) 40 Hadis Kemuliaan Ilmu & Ulama
4) Himpunan Doa-doa Daripada al-Quranul Kareem
5) Muzik : Pro Vs Kontra
6) Masalah Membaca Sayyidina Dalam Selawat
7) Masalah Sunat Qabliyah Jumaat
8) Kemuliaan Ilmu & Ulama Di sisi Allah SWT
9) Merungkai Kekusutan Dalam Memahami as-Sunnah & al-Bid’ah
10) Peranan Nuqaba’ Dalam Menjana Kebangkitan Politik Semasa (Dinisbahkan kepada Lujnah Tarbiyyah DPPNJ)
11) Perkara-perkara Yang Membatalkan Iman (dalam proses, Insya Allah akan dinisbahkan kepada DPPNJ)

Semoga Allah permudahkan urusan saya dalam berdakwah dan mengembangkan ilmu-ilmu Islam. Amien..

Saya akhiri muqaddimah ini dengan berdoa sebagaimana doanya Hujjatul Islam al-‘Allaamah al-Imam Muhammad Abi Hamid al-Ghazaly Rahimahullahu Ta’ala yang terdapat pada karya agungnya..

" إحياء علوم الدين "

.. dan mengambil keberkatan dengan doa yang terkandung di dalam Kitab Suci..

" القرآن الكريم "

نَسْتَغْفِرُ اللهَ تعالى مِنْ كُلِّ مَا زَلَّتْ بِهِ الْقَدَمُ أَوْ طَغَى بِهِ الْقَلَمُ فِي كِتَابِنَا هذا وَفِي سَائِرِ كُتُبِنَا، وَنَسْتَغْفِرُهُ مِنْ أَقْوَالِنَا الَّتِي لاَ تُوَافِقُهَا أَعْمَالُنَا، وَنَسْتَغْفِرُهُ مِمَّا ادَّعَيْنَاهُ وَأَظْهَرْنَاهُ مِنَ الْعِلْمِ وَالْبَصِيْرَةِ بِدِيْنِ اللهِ تعالى مَعَ التَّقْصِيْرِ فِيهِ وَنَسْتَغْفِرُهُ مِنْ كُلِّ عِلْمٍ وَعَمَلٍ قَصَدْنَا بِهِ وَجْهَهُ الْكَرِيْمِ ثُمَّ خَالَطَهُ غَيْرُهُ، وَنَسْتَغْفِرُهُ مِنْ كُلِّ وَعْدٍ وَعَدْنَاهُ بِهِ مِنْ أَنْفُسِنَا ثُمَّ قَصَّرْنَا فِي الْوَفَاءِ بِهِ، وَنَسْتَغْفِرُهُ مِنْ كُلِّ نِعْمَةٍ أُنْعِمَ بِهَا عَلَيْنَا فَاسْتَعْمَلْنَاهَا فِي مَعْصِيَتِهِ، وَنَسْتَغْفِرُهُ مِنْ كُلِّ تَصْرِيْحٍ وَتَعْرِيْضٍ بِنُقْصَانِ نَاقِصٍ وَتَقْصِيْرِ مُقَصِّرٍ كُنَّا مُتَّصِفِيْنَ بِهِ، وَنَسْتَغْفِرُهُ مِنْ كُلِّ خَطْرَةٍ دَعَتْنَا إلى تَصَنُّعٍ وَتَكْلِفٍ تَزَيُّنًا لَلنَّاسِ فِي كِتَابٍ سَطَرْنَاهُ أو كَلاَمٍ نَظَمْنَاهُ أو عِلْمٍ أَفَدْنَاهُ أَوِ اسْتَفَدْنَاهُ وَنَرْجُوْ بَعْدَ اْلاِسْتِغْفَارِ مِنْ جَمِيْعِ ذَلِكَ كُلِّهِ لَنَا وَلِمَنْ طَالَعَ كِتَابَنَا هَذَا أو كَتَبَهُ أو سَمِعَهُ أَنْ نَكَرَّمَ بِالْمَغْفِرَةِ وَالرَّحْمَةِ وَالتَّجَاوُزِ عَنْ جَمِيْعِ السَّيِّئَاتِ ظَاهِراً وَبَاطِناً فَإِنَّ الْكَرَمَ عَمِيْمٌ وَالرَّحْمَةَ وَاسِعَةٌ وَالْجُوْدَ على أَصْنَافِ الْخَلاَئِقِ فَائِضٌ، لاَ وَسِيْلَةَ لَنَا إِلَيْهِ إِلاَّ فَضْلُهُ وَكَرَمُهُ

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلإخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالإيمَانِ وَلا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلا لِلَّذِينَ آمَنُوا
رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ . رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ .
آمين..آمين.. ثمّ آمين...
يا ربّ العالمين.

العبد الفقير والحقير إلى رحمة الله :
ابن مسران البنجري