Thursday, April 26, 2012

Majlis Khatam Kitab Al-Yawaqit Wal Jawahir Fi 'Uqubati Ahlil Kaba'ir.

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, pada hari rabu 11/4/2012 yang lalu. Satu lagi majlis khatam kitab diadakan di Pondok Ledang. Kali ini Kitab Al-Yawaqit Wal Jawahir telah tamat dikaji selama dua tahun. Saya yang hina ini mula mengajarkan kitab tersebut di Pondok Ledang pada awal bulan Januari tahun 2010 dan tamat pada 11 April 2012 yang lalu.


Kitab al-Yawaqit Wal Jawahir yang diajarkan adalah versi terjemahan jawi lama yang telah diterjemahkan daripada kitab asal berbahasa arab oleh Al-Imam Al-'Allamah Asy-Syeikh Abdul Wahab Asy-Sya'rani Ash-Shufi qaddasallahu sirrahu dan diterjemahkan kepada bahasa jawi lama oleh Al-'Alim Asy-Syeikh Muhammad Ali Ibn Abdur Rasyid Bin Abdullah Al-Jawi Al-Qadhi As-Sumbawi rahimahullah taala. Kitab jawi ini sudah berusia 190 tahun. Ia diselesaikan pada hari isnin selepas asar 18 Zulkaedah 1243H.


SEPINTAS LALU TENTANG PENTERJEMAH

Dikatakan bahawa Al-'Alim Asy-Syeikh Muhammad Ali Ibn Abdur Rasyid Bin Abdullah Al-Jawi Al-Qadhi As-Sumbawi hidup sezaman dengan Syeikh Muhammad Nafis Bin Idris Al-Banjari dan Syeikh Daud Bin Abdullah Al-Fathani rahimahumullah taala. Dalam thariqat Syaziliyah, beliau seguru dengan Syeikh Daud Al-Fathani. Kedua-duanya menerima bai'ah dari Syeikh Muhammad Sholih Bin Ibrahim Ar-Rais rahimahumullahu ta'ala.

Dikatakan bahawa beliau mengamalkan tiga jenis thariqat shufiyah iaitu thariqat Syaziliyah, Thoriqat Khalwatiyah Sammaniyah dan Thariqat Syathariyah.

Di antara murid beliau yang masyhur adalah Al'alim Al-'Allamah Al-Fahhamah Asy-Syeikh Muhammad Zainuddin Bin Muhammad Badawi As-Sumbawi rahimahullahu ta'ala. Muridnya ini adalah pengarang kitab Sirajul Huda (ilmu tauhid) dan Minhajus Salam (ilmu fiqh).


SEPINTAS LALU TENTANG PENGARANG ASAL

Manakala bagi Al-Arif Billah Syeikh Abdul Wahab Asy-Sya'rani, iaitu pengarang asal kitab tersebut dalam bahasa arab, maka kealimannya tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau menjadi tempat rujukan bagi kaum manusia dan jin dizamannya. Syeikh Zakaria Al-Ansari rahimahullah ta'ala telah memberi izin kepada beliau mengajar fiqh sejak beliau masih kecil lagi. Beliau banyak menulis kitab dan majoritinya menjurus kepada ilmu tasawwuf. Antaranya kitab Latha'iful Minan, Tanbihul Mughtarin dan banyak lagi. Beliau rahmatullahu 'alaih wafat pada 973H/1565M.

Pada majlis tersebut, dengan kurniaan nikmat Allah, faqir ijazahkan riwayah dan sanad yang bersambung kepada pengarang kitab jawi iaitu Al-'Alim Asy-Syeikh Muhammad Ali Ibn Abdur Rasyid Bin Abdullah Al-Jawi Al-Qadhi As-Sumbawi rahimahullah taala dan juga sanad yang bersambung kepada Al-Arif Billah Syeikh Abdul Wahab Asy-Sya'rani Ash-Shufi qaddasallahu sirrahu. Semoga bersinar berkahnya. Amin.



KITAB TERBARU

Pada majlis tersebut juga, faqir lancarkan kitab terbaru karangan faqir yang berjudul Al-Qaulul Mufid Fi Tarjumati Risalatil Qawa'id. Kitab ini termasuk bahagian Silsilah Rasa'il Ath-Tariq Ilal Jannah. Kitab ini insyaallah akan diajar kepada murid-murid di Pondok Ledang bagi menggantikan kitab Al-Yawaqit Wal Jawahir. Semoga Allah Subhanallahu Ta'ala permudahkan segalanya. Amin..


Faqir mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang bagi penerbitan kitab al-Qaulul Mufid, dan kitab-kitab lainnya. Tak lupa juga yang telah menyumbang jamuan makan dan seekor kambing untuk majlis tersebut. Jazakumullah khairal jaza'.

PENGUMUMAN

بسم الله الذي لا يضر مع اسمه شيء في الأرض ولا في السماء وهو السميع العليم, الحمد لله الذي لا اله الا هو عالم الغيب والشهادة هو الرحمن الرحيم, وصلاة والسلام على رسول الله الكريم, وعلى آله وصحبه ومن تبعهم في الصراط المستقيم.
أما بعد:

Diumumkan bahawa Akaun Facebook [ Ibnumasran Al-Banjari ] sudah tidak dapat diaktifkan lagi oleh saya dan admin berikutan akaun tersebut telah di"HACK" oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Mengikut data SKMM ia digodam pada 19/11/2011. Pengodam juga telah menukar emel ibnumasran@yahoo.com yang digunakan pada akaun tersebut kepada iqbalmukhlis11@yahoo.com .

Dua laporan polis telah dibuat bagi mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini termasuk penyalahgunaan akaun tersebut dan bagi membersihkan nama daripada sebarang fitnah dan khianat. Laporan tersebut dibuat pada 23/11/2011 (No. Report : BUKIT INDAH/007711/11) dan satu lagi pada 20/12/2011 (No. Report : BUKIT INDAH/008375/11).

Dengan ini saya memaklumkan bahawa akaun facebook tersebut (Ibnumasran Al-Banjari) bukan lagi dikendalikan oleh kami. Dan emel iqbalmukhlis11@yahoo.com bukan emel saya. Sekian.

حسبي الله لا اله الا هو عليه توكلت وهو رب العرش العظيم, ولا حول ولا قوة الا بالله العلي العظيم, وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.


P/S : Bagi yang ingin menambah rakan kepada akaun facebook saya, kini saya telah membuka akaun baru dengan menggunakan nama [ Ibnumasran Al-Banjari II ]. Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum.