Friday, May 30, 2008

Perkembangan Proses Pentarbiyyahan...

PERKEMBANGAN PROSES TARBIYYAH PEMUDA PAS JOHOR.

بسم الله الرحمن الرحيم


Alhamdulillah, kami bersyukur ke hadrat Ilahi yang telah memberikan “semangat baru” kepada Lajnah Tarbiyyah dan Latihan Perkaderan DPPNJ. Jika pada muktamar yang lalu, Ketua Pemuda ada menyebut soal pemerkasaan Lajnah Tarbiyyah, maka kami dapati usaha pemerkasaan itu sedang berjalan lancar dengan Inayah Allah SWT.

Proses pentarbiyyahan terus berjalan mengikut perancangan samada melibatkan peringkat DPPNJ mahupun di peringkat DPPK. Gabungan ulama’ muda lepasan timur tengah dan pondok yang memimpin Lajnah Tarbiyyah DPPNJ terus mewarnai proses pentarbiyyahan dan mendapat kerjasama yang baik di setiap program anjuran Lajnah Tarbiyyah DPPK mahupun program-program tarbiyyah yang dianjurkan oleh pihak lain.

Lajnah Tarbiyyah DPPNJ juga dilihat berjaya membina karisma “Murabbi” apabila khidmat mereka sering diperlukan dan diiktiraf dalam lapangan ruang tarbiyyah, sehingga program khusus melibatkan Muslimat juga mengundang mereka untuk memberikan suntikan Jihad dan Tarbiyyah Rohaniyyah.

Tidak ketinggalan adik-adik pelapis kita di peringkat pengajian tinggi awam, mereka sentiasa mendapatkan khidmat Lajnah Tarbiyyah DPPNJ sebagai Murabbi mereka dalam pelbagai program perkaderan yang mereka anjurkan.

Tak kurang juga program tarbiyyah anjuran Urusan Ulama’ di sesetengah kawasan yang mengundang dan memberi ruang kepada wakil Lajnah Tarbiyyah DPPNJ. Proses pentarbiyyahan juga terus menjalar ke medan masyarakat apabila wakil Lajnah Tarbiyyah DPPNJ diberi kepercayaan memainkan peranannya melalui YAMJ, sebuah NGOs yang aktif di Johor ini.

Pilihanraya umum yang lalu menyaksikan kepimpinan Lajnah Tarbiyyah DPPNJ dan DPPK terlibat secara menyeluruh dalam siri ceramah kelompok mahupun ceramah umum, qiamulail, solat hajat dan majlis zikir.


PERKEMBANGAN DI PERINGKAT PEMUDA NEGERI (DPPNJ)

Alhamdulillah, tazkirah yang diadakan pada muqaddimah mesyuarat penuh DPPNJ kini menjadi medan penambahan ilmu bagi kepimpinan pemuda negeri. Dengan variasi penyampai yang berbeza, namun bermatlamatkan yang satu. Ketua-ketua DPPK berserta EXCO-EXCO DPPNJ yang hadir dibentuk fikrahnya, dijana jiwanya, disuntik semangatnya, dengan Tarbiyyah Islamiyyah Syamilah. Semuanya dengan harapan agar menjadi pemimpin yang bertaqwa dan pejuang yang ikhlas.

Tamrin Qiyadi, Ijtima’ Nuqaba’, Himpunan Pemuda, Liqa’ al-Fiqri, Mukhayyam, menjadi sebahagian proses pentarbiyyahan di peringkat pemuda negeri. Dengan kehadiran yang memberangsangkan, minat dan kecintaan terhadap proses tarbiyyah di kalangan ahli pemuda jelas kelihatan.

Alhamdulillah, kini Lajnah Tarbiyyah DPPNJ mempunyai ahli jawatankuasa yang iltizam dan istiqamah dalam membantu proses pentarbiyyahan di segenap peringkat. Program-program tarbiyyah di peringkat negeri mampu dilaksana dan dikendalikan sepenuhnya oleh Ahli Jawatankuasa Lajnah Tarbiyyah DPPNJ.

Lajnah Tarbiyyah DPPNJ kini sedang berusaha membina dan memantapkan “Team Tamrin” yang berfungsi mengendalikan pelbagai tamrin dalaman dan luaran dengan berpengkalan di Mersing dan Pasir Gudang.


PERKEMBANGAN DI PERINGKAT PEMUDA KAWASAN (DPPK)

Alhamdulillah, proses pentarbiyyahan di peringkat pemuda kawasan (DPPK) amat menggembirakan. Kini istilah-istilah Usrah, Tamrin Thaqafi, Tamrin Tarbawi, Tamrin Qiyadi, Ijtima’ Nuqaba’, Liqa’ al-Fiqr, Mukhayyam, Rehlah, semakin sinonim dikalangan ahli pemuda kita.

Sengaja Lajnah Tarbiyyah DPPNJ mengekalkan istilah-istilah tersebut kerana beberapa faktor. Antaranya;

1) Selari dengan perlembagaan PAS :

“Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi Negara yang tunggal dalam amalannya di samping berusaha mengembangkan bahasa al-Quran.” [rujuk Perlembagaan PAS, Pindaan 2001, Fasal 6 (7)]

2) Istilah-istilah tersebut menjadi sebahagian proses tarbiyyah yang mengajak ahli pemuda memahami, menghayati dan mempelajari bahasa al-Quran.

3) Meneruskan usaha-usaha murabbi yang terdahulu, dalam penggunaan istilah-istilah tersebut.

Berdasarkan pemantauan dan maklumat yang diterima, hampir keseluruhan DPPK-DPPK berjaya menjalankan aktiviti Usrah secara berterusan. Kami juga mendapati beberapa DPPK-DPPK yang berjaya melaksanakan program tarbiyyah dan tamrin secara berkala samada secara tunggal mahupun gabungan.

Terkadang kami “tidak cukup langkah” untuk menghadiri jemputan atas program tarbiyyah anjuran mereka, disebabkan program tarbiyyah yang bertindan[1]. Bagi Lajnah Tarbiyyah DPPNJ, ini perkembangan yang baik.

Kini di peringkat DPPK, proses tarbiyyah tidak lagi menjurus kepada usrah dan kuliah semata-mata, bahkan tamrin-tamrin dalaman dan luaran yang bersifat thaqafi, tarbawi dan qiyadi sudah berjaya diterapkan. Majlis Ilmu dan qiamulail pula semakin menjadi rutin.

Kawasan-kawasan seperti Pasir Gudang, Tebrau, Batu Pahat, Segamat, Pulai, Pontian dilihat berjaya menggerakkan peranan dalam usaha pentarbiyyahan ahli. Manakala kawasan-kawasan yang lain bergerak secara gabungan sebagaimana yang dianjurkan oleh Lajnah Tarbiyyah DPPNJ.

Hanya beberapa kawasan yang agak ketinggalan dalam hal ini. Kami masih lagi dalam usaha menanganinya. Semoga Allah Yang Maha Kaya membuka jalannya. Amin..


MANHAJ MADRASAH TARBIYYAH DPPNJ

Alhamdulillah, Lajnah Tarbiyyah DPPNJ berjaya menghasilkan sebuah buku panduan Manual Pelaksanaan Tamrin Pemuda Kawasan & Negeri di atas tajuk MANHAJ MADSARAH TARBIYYAH DPPNJ.

Buku manual pelaksanaan ini telah pun di edar ke setiap kawasan. Buku manual pelaksanaan ini diterbitkan sebagai usaha untuk menyatukan fikrah (wahdatul fiqr) dan amal Islami (wahdatul amal) di kalangan pemuda PAS Johor.

Bagi proses pentarbiyyahan di peringkat DPPNJ dan di peringkat DPPK, buku manual ini sentiasa dirujuk oleh lajnah tarbiyyah.


PERANAN NUQABA’

Alhamdulillah, seramai 27 orang nuqaba’ yang ada dalam senarai maklumat kami telah memainkan peranan mereka sebagai naqib usrah. Itu tidak termasuk naqib-naqib yang terdiri daripada ketua pemuda yang menyumbang tenaga mereka dalam mengendalikan usrah-usrah.

Para nuqaba’ ini juga tidak ketinggalan memberi sumbangan yang besar mahupun kecil kepada parti dalam pilihanraya umum lalu sebagai tenaga penceramah kelompok dan ceramah umum. Sebahagian mereka juga memimpin majlis solat hajat, qiamulail, majlis zikir dan mengobarkan semangat jihad kepada ahli pemuda khususnya.

Sebahagian nuqaba’ ini juga berjaya mendapat tempat di masjid-masjid dan surau-surau milik kerajaan dan berjaya memainkan peranan mereka dalam mentarbiyyah dan menyedarkan masyarakat umum.

Bagi memastikan para nuqaba’ ini bijak memainkan peranan mereka dalam proses pentarbiyyahan ahli dan juga masyarakat umum, Lajnah Tarbiyyah DPPNJ telah pun menerbitkan sebuah buku khas buat nuqaba’. Buku itu diberi tajuk PERANAN NUQABA’ DALAM MENJANA KEBANGKITAN POLITIK SEMASA.

Buku tersebut asalnya adalah kertaskerja yang dibentangkan dalam program Ijtima’ Nuqaba’ DPPNJ. Ia diterbitkan atas permintaan beberapa kawasan dan telah pun di edar kepada pemuda kawasan-kawasan sewaktu Himpunan Pemuda Johor yang lalu.


HARAPAN

Lajnah Tarbiyyah DPPNJ memikul tugas dan amanah yang besar. Dalam keadaan serba kekurangan, kami bergabung tenaga dan idea dalam usaha memperkasakan Lajnah Tarbiyyah dan proses pentarbiyyahan ahli.

Tidak dinafikan beberapa ‘wabak’ telah menghinggapi sahabat-sahabat seperjuangan. Namun itu semua kami jadikan i’tibar, bukan alasan. Telah kami bentangkan segala macam ‘wabak penyakit’, segala mehnah dan ibtila’ dalam perjuangan. Jika mengenai atas kami (na’uzubillahi min zalik), segeralah menasihati kami.

Jika terkena sahabat seperjuangan, kami bersemuka dengan mereka dan bertanyakan masalah mereka. Kami mengharap ia segera kembali ke pangkal jalan.. dan kami jadikan pengajaran buat kami.

Namun jika mereka masih mahu tenggelam dan hanyut dengan dunia mereka. Kami berdoa agar Allah segera menggantikan mereka dengan hamba-hambaNya yang lain, yang lebih bagus dan lebih berqualiti daripada mereka. Allah sentiasa memustajabkan doa hamba-hambanya..

Lajnah Tarbiyyah DPPNJ sentiasa membuka ruang kepada sesiapa yang sudi me’waqaf’kan diri mereka sebagai murabbi yang intima’ dengan jamaah, iltizam serta istiqamah dalam perjuangan.

Bagi DPPK-DPPK yang agak corot dalam proses ini, kami harap mereka dapat meningkatkan mujahadah dan pengorbanan, kerana proses pentarbiyyahan ini adalah satu usaha yang murni, bahkan menjadi amal soleh yang bisa kita jadikan sebagai bekal untuk bertemu Rabbul Jalil.

Lajnah Tarbiyyah DPPNJ juga sentiasa memikirkan dan berusaha membantu kamu dalam mengihya’kan proses tarbiyyah sehingga menjadi program yang segar di kawasan kamu.

Akhirnya, Kami juga mengharapkan agar DPPNJ tidak menilai tugas kami dari sudut kuantiti semata-mata, tetapi tiliklah kepada qualiti pentarbiyyahan. Kerana pemuda terpilih (Sofwah al-Mukhtarah) itu lazimnya tidaklah ramai.

Sekian banyak kejadian manusia, hanya sebahagian sahaja yang menyerah diri (Islam). Dari sekian banyak yang Islam (muslim) itu, hanya sebahagian sahaja yang beriman. Dari sekian banyak yang beriman (mukmin) itu, hanya sebahagian sahaja yang bertaqwa (Muttaqi).

Maka untuk menghasilkan pemuda yang bertaqwa (muttaqi), memerlukan kesungguhan (mujahadah), masa yang panjang (Thuliz zaman), contoh teladan pimpinan (qudwah hasanah) dan bantuan serta limpahan taufiq dan hidayat Allah SWT.

“Ya Allah! Engkaulah yang menjadikan ashabul kahfi, dan Engkaulah yang menjadikan sohibul Yaasin, jadikanlah kami pejuang-pejuang agamaMu yang ikhlas, jadikanlah kami pemuda-pemuda yang terpilih. Ya Allahu ya Rahman!, perkenankanlah doa kami, dengan berkat kekasihMu Nabi Muhammad SAW, dengan berkat al-Quran al-Karim, dan dengan berkat amal kami yang paling ikhlas… Ya Allahu ya Rahim, perkenankanlah…”

Khalas, sekian catatan hamba. Semoga ada manfaatnya.

al- Haqir wal- Faqir ar-Rajiy Ila Rahmati Allah al-Ghaniy :
Ibnu Masran al-Banjari

Timbalan Pengerusi,
Lajnah Tarbiyyah & Latihan Perkaderan
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor


SMS : 019-777 ####
Email :
ibnumasran@yahoo.com
Weblog :
http://tarbiyyahibnumasran.blogspot.com
Masa : 05.33 p.m
Tarikh : 23 Jamadil Awal 1429H
Tempat : Dalam Bas : KL- JB



* Ini bukan laporan aktiviti Lajnah Tarbiyyah DPPNJ. Sekadar catatan perkembangan proses pentarbiyyahan oleh Lajnah Tarbiyyah DPPNJ.
* Catatan ini dibuat bagi agak bercampurbaur (laporan + catatan = lapotan).. Namun masih terdapat beberapa point yang boleh diambil bagi memenuhi kehendak UcapTema Ketua DPPNJ.
* Harap maklum dan harap maaf..
– al-Banjari


[1] Kekadang tu jugak, disebabkan kami tak cukup wang nak isi minyak…

Thursday, May 22, 2008

Lagi Hadiah buat pelawat blog ini..

Telah berfirman Allah SWT :-

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَالْفُلْكِ الَّتِي تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِمَا يَنْفَعُ النَّاسَ وَمَا أَنْزَلَ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مِنْ مَاءٍ فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِنْ كُلِّ دَابَّةٍ وَتَصْرِيفِ الرِّيَاحِ وَالسَّحَابِ الْمُسَخَّرِ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ لَآَيَاتٍ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)-nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis hewan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan.” [al-Baqarah : 164]

Ayat di atas adalah di antara sekian banyak ayat-ayat al-Quran al-Karim yang mempamerkan tanda-tanda kebesaran Allah SWT melalui penciptaan-Nya. Ayat sedemikian jugalah menjadi pendorong kepada saya (Faqir IlalLah) berjinak-jinak dengan dunia fotografi.

Tujuannya tidak lain melainkan bagi merakamkan dan mempamerkan lukisan alam ciptaan Allah Yang Maha Bagus Ciptaan-Nya. Supaya manusia sentiasa sedar akan kebesaran Allah SWT..

Telah berfirman Allah SWT :-

يُسَبِّحُ لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi; hanya Allah lah yang mempunyai semua kerajaan dan semua pujian, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.” [at- Taghaabun : 1]

Dan firman-Nya lagi :

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

“Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Tentu mereka akan menjawab: "Allah." Katakanlah : "Segala puji bagi Allah"; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” [Luqman : 25]

Bagi sahabat-sahabat yang sering bertanya mengapa saya akhir-akhir ini suka mengambil gambar, maka itulah jawapannya.. Saya bukanlah jurugambar professional, baru peringkat mubtadie. Jika tidak ada nilai di sisi sahabat-sahabat, ia tetap bernilai di sisi saya.. Semoga ada manfaatnya..

Saya izinkan jika ada yang sudi mengambilnya untuk dijadikan wallpaper, headblog atau sebagainya.. -al-Banjari-
Gambar-gambar di bawah, saya ambil sewaktu siri dakwah & tarbiyyah di Mersing baru-baru ni..













Thursday, May 15, 2008

Majlis Penyerahan Syahadah Talaqqi & Ijazah Sanad ke -3

Alhamdulillah, hampir tidak terasa tempoh setahun empat bulan saya mengajar kitab Matnu Safinatun Naja (feqh mazhab syafie) di surau ledang. Kami menggelarnya Pondok Ledang. Maka telah khatamlah sebuah lagi kitab, setelah para penuntut ilmu bersabar mengharungi pengajian, menadah kitab bertalaqqi bersama saya yang faqir ini selama setahun lebih. Walaupun sebenarnya kitab ini hanya kecil dan nipis sahaja.

Hampir lima tahun saya yang hina ini menjadi khadim menyampaikan ilmu di Surau Ledang, yang akhirnya saya jadikannya sebagai Pondok Ledang (tempat saya mengajar kitab2 kuning).
Bererti hampir lima tahun juga orang-orang seperti Haji Omar, Haji Osman, Haji Azman, Haji Elias, Imam Misran, Hamdan, dan ramai lagi penuntut ilmu sabar bertalaqqi bersama saya.

Dalam tempoh tersebut mereka telah pun mengkhatamkan beberapa buah kitab dalam beberapa fan seperti:-

Fan/Ilmu Tajwid :- Miftahut Tajwid (khatam), Tajwid al-Faatihah (khatam).

Fan/Ilmu usuluddin :- Manzumah Aqa’idul Awwam (khatam). Jawahirul Kalamiyyah (masih mengaji/belum khatam). Tuhfatur Raghibin (masih mengaji/terhenti/belum khatam).

Fan/Ilmu Nahu & Saraf :- Matnu al-Ajurumiyyah (khatam). Syarah Mukhtasar Jiddan, (khatam). Ta’lim Lughatul ‘Arabiyah (masih mengaji/belum khatam). Dhammun serta madkhul (masih mengaji/belum khatam).

Fan/Ilmu Feqh:- Matnus Safinatun Naja, (baru khatam). Kifayatul Ghulam, (akan menyusul, insya’ Allah). Munyatul Musolli, (masih mengaji/belum khatam).

Fan/Ilmu Hadis:- 40 Hadis Mendidik Jiwa siri 1 (khatam). 40 Hadis Mendidik Jiwa siri 2 (khatam). Arba’in lin Nawawi (akan menyusul, insya’ Allah).

Pengajian Tafsir:- Surah al-Faatihah, (khatam). Surah Yunus, (khatam). Surah al-Kahfi, (khatam). Surah al-Humazah, (khatam). Surah an-Naas, (khatam). Surah al-Falaq, (khatam). Surah al-Kauthar, (khatam). Surah an-Naazi’at, (khatam). Surah al-Fil, (khatam). Surah al-Insyirah, (masih mengaji/belum khatam). Surah Sajdah (akan menyusul, insya’ Allah).

Fan/Ilmu Tasauf dan lain-lain:- Adab Imam dan Makmum, (khatam). Muhimmah, (masih mengaji/belum khatam). Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatil Qulub, (masih mengaji/belum khatam). Durratun Naasihin, (masih mengaji/belum khatam). Bahrul Maazi, (khatam bab janaiz, jilid 7). Sairus Saalikin, (khatam Muqaddimah, Fasal pertama, Fasal kedua, Fasal ketiga & Fasal keempat. Juzuk 1). Hidayatus Saalikin, (khatam Fasal pada menyatakan adab orang yang belajar).

Demikianlah beberapa buah kitab yang dibaca dan akan dibaca dari kulit ke kulit. Dimulakan dengan kitab2 peringkat rendah membawa ke peringkat tinggi. Mudah-mudahan semua usaha ini dikira sebagai amal yang soleh, yang diberi ganjaran pahala dan keberkatan serta keredhaan Allahu subhanahu wa taala.. Amin.

Kepada murid-murid yang dikasihi, telah diberi ijazah talaqqi, telah disertakan sanad pengajian, telah diberi wasiat demi wasiat. Maka beramallah dengan ilmu yang diperolehi.

Berkata Syeikh Ibnu ‘Abbad di dalam Syarah Hikam, ia naqal daripada Ibnu ‘Athaillah rahimahullahu taala : -

اِعْلَمْ أَنَّ الْعِلْمَ حَيْثُمَا تَكَرَّرَ فِى الْكِتَابِ الْعَزِيْزِ وَالسُّنَّةِ ، إِنَّمَا الْمُرَادُ بِهِ الْعِلْمُ النَّافِعُ الَّذِىْ تُقَارِنُهُ الْخَشْيَةُ وَتَكْتَنِفُهُ الْمُخَافَةُ . قاَلَ اللهُ تَعَالَى: إِنَّمَا يَخْشَ اللهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ، فَتَبَيَّنَ أَنَّ الْخَشْيَةَ تُلاَزِمُ الْعِلْمَ ، وَفُهِمَ مِنْ هَذَا أَنَّ الْعُلَمَاءَ إِنَّمَاهُمْ مِنْ أَهْلِ الْخَشْيَةِ . وَكَذَلِكَ قَوْلُهُ تَعَالَى: وَقاَلَ الَّذِيْنَ أُوْتُوْاالْعِلْمَ ، وَالرَّاسِخُوْنَ فِى الْعِلْمِ ، وَقُلْ رَبِّ زِدْنِىْ عِلْماً ، وَقَوْلُهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم : إِنَّ الْمَلاَ ئِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا لِطَالِبِ الْعِلْمِ ، وَقَوْلُهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم : اَلْعُلَمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ ، وَقَوْلُهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم : طَالِبُ الْعِلْمِ تَكَفَّلَ اللهُ تَعَالى بِرِزْقِهِ . إِنَّما الْمُرَ ادُ بِالْعِلْمِ فِى هَذِهِ الْمَوَاطِنِ الْعِلْمُ النَّافِعُ

Ertinya : “Ketahui olehmu bahawasanya kelebihan ‘ilmu yang berulang-ulang sebut di dalam ( قرآن ) yang ‘aziz yakni yang mulia dan di dalam Hadits Nabi ( صلى الله عليه وسلم ) hanya sungguhnya murad ( - yang dimaksudkan - ) dengan dia itu iaitu ‘ilmu yang memberi manafaat yang menyertai akan dia takut akan ( الله تعالى ) dan melengkapi akan dia itu haibah kepada ( الله تعالى ), seperti firman ( الله تعالى ) (Surah Fathir, ayat 28, yang ertinya) : “Hanya sanya mereka yang takut akan ( الله تعالى ) itu iaitu daripada hamba-Nya yang ‘ulama.” Maka menyatakan Ia akan bahawasanya takut itu melazimkan akan ‘ilmu dan (di) faham daripada ini bahawa ‘ulama itu hanya sanya mereka itulah orang yang takut akan ( الله تعالى ). ( Dan ) demikian lagi firman ( الله تعالى ) ( Surah Al-Qashash, ayat 80) : yakni (maksudnya) “( Dan ) berkata mereka yang mempunyai ‘ilmu.” ( Dan ) firman ( الله تعالى ) (Surah Ali Imran, ayat 7) : yakni (maksudnya) “( Dan ) mereka yang mahir di dalam ‘ilmu.” ( Dan ) firman ( الله ) (Surah Thaha, ayat 14) : yakni (maksudnya) “Kata olehmu ya Muhammad tambahi oleh-Mu ya Tuhan-ku akan ‘ilmuku.” ( Dan ) demikian lagi sabda Nabi ( صلى الله عليه وسلم ): yakni (yang ertinya ) : “Bahawasanya segala Malaikat itu merendahkan akan sayapnya itu kerana membesarkan orang yang menuntut ‘ilmu.” ( Dan ) sabda Nabi ( صلى الله عليه وسلم ): yakni (yang ertinya) : “(Bermula) ‘ulama itu mempusakai akan Anbiya’.” ( Dan ) sabda Nabi ( صلى الله عليه وسلم ) : yakni (yang ertinya) : “( Bermula ) orang yang menuntut ‘ilmu itu telah mengakui ( - menjamin oleh - ) ( الله تعالى ) dengan rezkinya.” ( Hanya sesungguhnya ) murad ( yang dimaksudkan ) dengan ‘ilmu pada segala tempat ini, yakni pada segala ‘ilmu yang tersebut di dalam ( قرآن ) dan segala yang tersebut di dalam Hadis Nabi ( صلى الله عليه وسلم ) itu, iaitu semuanya dikehendaki dengan dia itu (adalah) ‘ilmu yang memberi manafaat pada agama ( dan ) di dalam Akhirat. ” [lihat Sairus Salikin, Syekh Abdul Samad al-Falembani]

Kepada pembaca dan pelawat blog ini, doakan saya agar terus belajar dan mengajar ilmu-ilmu Islam kepada sekalian ummat. Semoga saya diberi kekuatan sebagaimana yang telah dilalui dan ditempuh oleh tok-tok guru dan ulamak yang telah meninggalkan kita atau yang masih menabur bakti mencurah ilmu di pondok2 atau di mana saja.

Ya Allah!. Terimalah doa dari kami semua. Amin..
Berikut memori sebahagian tonggak pondok ledang (terbaru) ... dan penerima syahadah talaqqi & ijazah sanad & riwayat siri ketiga..


kenangan bersama sebahagian penuntut ilmu..
turut kelihatan Imam Satu Masjid Bandar Baru Uda, al-Fadhil Imam Munadi..








Kepada mereka yang gambarnya tidak sempat saya masukkan dalam blog ini, harap tidak kecil hati.. yang penting kita ikhlas dalam menuntut ilmu..

Tuesday, May 13, 2008

KENYATAAN MEDIA : ISU SITI FATIMAH TAN MURTAD

KENYATAAN MEDIA
(13 Mei 2008, 7 Jamadil Awal 1429)
No Rujukan : PAS/DPP.12/2.07(04/08)
TAJUK :

ISU SITI FATIMAH TAN KELUAR ISLAM MENGECEWAKAN UMAT ISLAM

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) telah meneliti terhadap kes murtad yang melibatkan seorang wanita warganegara Malaysia yang telah memeluk agama Islam pada tahun 1998 dan akhirnya telah diistiharkan murtad atau keluar daripada agama Islam pada 8 Mei 2008 yang lalu.

Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang telah membuat keputusan tersebut dengan mengambil kira hujah-hujah yang telah disampaikan oleh peguambela Siti Fatimah Tan dengan menyatakan bahawa Siti Fatimah Tan sejak daripada memeluk agama Islam tidak pernah mengamalkan ajaran Islam malah masih lagi mengamalkan agama asalnya iaitu agama Buddha.

DPPNJ memandang serius terhadap perkara ini kerana ia adalah merupakan satu keputusan yang memeranjatkan umat Islam di Malaysia. Walaupun penghujahan terhadap kes ini adalah untuk menentukan status agama Siti Fatimah setelah beliau telah memeluk agama Islam kerana ingin berkahwin dengan seorang lelaki Iran dan selama mana beliau mendaftarkan diri sebagai seorang Islam, beliau tidak pernah mengamalkan amalan sebagai penganut Islam malah masih lagi mengamalkan agama asalnya iaitu agama Buddha.

DPPNJ melihat bahawa apapun penghujahan yang diberikan terhadap kes ini sehinggalah Siti Fatimah berjaya menukarkan status agamanya kepada agama Buddha namun ia tetap bermakna bahawa Siti Fatimah telah keluar daripada agama Islam. Perkara ini tidak disangkal lagi kerana realitinya Siti Fatimah telahpun mengucap syahadah ketika memohon untuk memeluk Islam pada tahun 1998.

Kes seperti yang dialami oleh Siti Fatimah sebenarnya bukanlah perkara yang pelik di Malaysia ini kerana kes orang bukan Islam memeluk agama Islam di atas tujuan berkahwin dengan orang Islam sudah menjadi perkara biasa. Orang bukan Islam yang ingin berkahwin dengan orang Islam mestilah menukarkan agamanya kepada Islam supaya perkahwinan dapat diteruskan. Namun, kes menukarkan agama hanya kerana mahu berkahwin dengan orang Islam tidak menjadi persoalan sama ada penganut baru itu mengamalkan Islam atau tidak dalam kehidupan sehariannya namun statusnya tetap Islam. DPPNJ percaya bahawa kes memeluk Islam kerana berkahwin sekiranya tidak ada susulan bimbingan kepada penganutnya maka akan menyebabkan seseorang itu akan hanya tinggal nama Islam sahaja pada nama.

Apa yang pastinya, dalam kes Siti Fatimah, beliau tidak pernah dipaksa untuk menganuti agama Islam namun beliau telah bersetuju untuk menganuti agama Islam sebelum ini kerana ingin berkahwin dengan seorang lelaki Iran yang akhirnya meninggalkan Siti Fatimah tanpa khabar berita.

DPPNJ cukup bimbang dengan perkembangan ini kerana keputusan kes ini sudah pasti akan menjadi kes rujukan kepada mana-mana kes yang akan dibawa ke mahkamah Syariah pada masa akan datang. Seperti mana yang telah disebut oleh Presiden MCA, Ong Ka Ting bahawa ia adalah merupakan hak Siti Fatimah untuk memeluk Islam sebagaimana beliau juga berhak untuk kembali ke agama asalnya. Ianya adalah sesuatu bagi beliau untuk memutuskan dan bukan pihak lain.

Tidak mustahil selepas daripada ini, golongan muallaf yang terasa sudah tidak mahu lagi menjadi penganut agama Islam akan menggunakan penghujahan yang sama iaitu pemohon tidak pernah mengamalkan agama Islam sejak menganuti agama Islam malah masih lagi menganuti agama asalnya.

Kes ini juga bukan sahaja boleh dijadikan rujukan oleh golongan muallaf tetapi juga kepada penganut agama Islam sejak daripada kecil yang mereka telah diislamkan oleh keluarga mereka. Permohonan untuk menukar status agama akan berhujah di atas perkara bahawa pemohon tidak pernah mengamalkan ajaran agama Islam seperti tidak penah berpuasa, sembahayang dan membayar zakat tetapi terpaksa menganuti agama Islam kerana telah ditentukan oleh keluarga.

Apapun keadaannya, sesuatu perlu dilakukan untuk menyelamatkan akidah umat Islam di Malaysia. Sebelum perkara ini akan menjadi lebih parah, DPPNJ mendesak agar kerajaan :-

1. Melaksanakan segera Undang-undang Murtad di Malaysia. Dengan cara ini, agama Islam tidak akan dipermain-mainkan. Apabila ingin berkahwin maka mereka akan memeluk Islam manakala bila sudah berpisah atau seumpamanya mereka boleh keluar sesuka hati dengan pelbagai alasan.

2. Memperkasakan kembali institusi agama seperti Jabatan Agama, Majlis Agama dan Mahkamah Syariah agar ia benar-benar dapat menjalankan perintah Allah tanpa sekatan dan halangan.

3. Mengadakan sesi kaunseling, temubual dan tarbiyah kepada mana-mana pemohon yang ingin menganuti agama Islam terutamanya kerana atas dasar ingin berkahwin. Ini terbukti apabila Siti Fatimah menyebut bahawa beliau tidak pernah yakin dengan Islam walaupun telah memeluk Islam.

4. Mewajibkan kelas pendidikan agama secara berkala kepada muallaf. Majlis Agama Islam tidak sepatutnya melepaskan tanggungjawab ini kepada pihak yang lain kerana perkara ini memerlukan perhatian yang serius.

DPPNJ juga mengesak agar tokoh-tokoh Islam termasuk Mufti-mufti dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) supaya mengeluarkan pandangan dan pendirian mereka terhadap perkara ini.

DPPNJ menegaskan bahawa tujuan membangkitkan perkara ini bukan kerana DPPNJ memusuhi kepada mana-mana agama tetapi desakan ini dibuat di atas dasar untuk menjaga kesucian agama Islam yang semakin dipandang rendah oleh pelbagai pihak. Lebih-lebih lagi selepas Islam Hadhari dilaksanakan di Malaysia, kefahaman umat Islam terhadap agama semakin bertambah bercelaru dan keliru.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://minda-kembara.blogspot.com/

Monday, May 12, 2008

Nama Junjungan s.a.w.

Nama Junjungan s.a.w.
Tiadalah menjadi apa-apa kesalahan untuk kita menghiasi rumah-rumah kita, masjid-masjid kita, tempat-tempat kita dengan tulisan khat nama Junjungan Nabi s.a.w. Perkara ini sebenarnya telah lama dilakukan oleh umat ini tanpa ada kritikan dan tentangan, sehingga dua masjid yang mulia turut dihiasi dengan nama Junjungan Nabi s.a.w. di samping nama Allah yang Maha Agung.
Sebenarnya bukan sahaja alam syahadah kita ini yang dihiasi dengan nama Junjungan s.a.w., bahkan disebutkan dalam sesetengah riwayat yang menyatakan bahawa alam malakut yang tertinggi turut dihiasi Allah dengan nama kekasihNya, Junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Inilah antara keistimewaan anugerah Allah buat Junjungan Nabi s.a.w.
Dan inilah antara manifestasi firman Allah s.w.t. tentang baginda dalam surah al-Insyirah ayat 4 yang berbunyi:-

وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ

"Dan Kami telah meninggikan bagimu sebutan namamu."
Atas keistimewaan inilah maka Allah telah menyiar serta menyebarkan sebutan nama Junjungan Nabi s.a.w. ke seluruh pelosok alam malakut yang tertinggi. Imam Ibnu 'Asaakir meriwayatkan bahawa Ka`ab al-Ahbaar berkata:-

Bahawasanya Allah telah menurunkan kepada Nabi Adam a.s. tongkat-tongkat menurut jumlah para nabi dan rasul. Kepada anaknya, Nabi Syits a.s., Nabi Adam a.s. berpesan: " Anakku engkaulah penggantiku, maka ambillah segala tongkat ini dengan penuh ketakwaan dan pegangan yang kukuh. Setiap kali engkau berzikir menyebut dan mengingati Allah, maka sebut dan ingatlah bersamaNya akan nama Muhammad. Sesungguhnya aku telah melihat namanya tertulis di kaki arsy sedangkan aku waktu itu berada antara roh dan tanah. Kemudian aku dibawa berkeliling ke segala pelosok langit, maka tiada aku lihat satu tempat pun melainkan tertulis padanya nama Muhammad. Dan telah aku lihat nama Muhammad tertulis atas dada para bidadari, atas dedaunan syurga, atas daun-daun pokok Thuba, atas daun Sidratul Muntaha, atas segala hijab dan antara mata para malaikat, maka perbanyakkanlah menyebut mengingatinya kerana bahawasanya para malaikat menyebut mengingatinya pada setiap masa.
Almarhum Dr. Habib Muhammad bin 'Alawi al-Maliki rhm. dalam "Mafahim" setelah mengemukakan riwayat di atas menyatakan bahawa Ibnu Taimiyyah turut meriwayatkan apa yang selari dengan riwayat Imam Ibnu 'Asaakir tersebut. Ibnu Taimiyyah menyatakan dalam himpunan fatwanya:-

Dan telah diriwayatkan bahawasanya Allah telah menulis nama Junjungan Nabi Muhammad pada arsy, pada segala isi syurga, baik pintu-pintunya, kubah-kubahnya dan segala dedaunnya. Berhubung masalah ini, ada berbilang atsar yang selari dengan hadits-hadits yang tsabit pada menjelaskan keagungan nama Junjungan Nabi s.a.w. dan ketinggian sebutannya.
Pada riwayat Ibnul Jawzi daripada Maisarah di mana dia berkata: "Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: "Wahai Rasulullah, bilakah engkau menjadi nabi?" Baginda menjawab: " Setelah Allah menciptakan bumi, Dia berpaling kepada langit lalu mencipta 7 petala langit dan menciptakan arsy serta menulis di kakinya "Muhammad adalah utusan Allah, penutup para nabi". Allah menciptakan syurga yang dihuni oleh Nabi Adam dan Siti Hawa, lalu dituliskan namaku atas segala pintu, dedaun, kubah dan khemahnya sedangkan Nabi Adam ketika itu berada antara roh dan jasad. Tatkala baginda dihidupkan Allah ta`ala, baginda telah memandang ke arsy dan melihat namaku, maka Allah telah memberitahu baginda bahawa yang empunya nama tersebut (yakni Junjungan Nabi s.a.w.) adalah pemimpin anak cucunya. Tatkala mereka berdua diperdaya oleh syaithan, mereka berdua telah bertaubat dan memohon syafaat dengan namaku kepada Allah.
Allahu ... Allah, jika sahaja Allah menghiaskan syurgaNya dengan nama Junjungan Nabi s.a.w., maka di mana salahnya jika umat Muhammad menghiasi kediaman mereka dengan nama baginda yang mulia. Sejuklah segala mata yang memandang keindahan khat nama Junjungan serta terlancar di lidah si pemandang akan ucapan sholawat dan salam buat baginda. Qadhi 'Iyadh al-Yahsubi dalam "Syifa`" menukilkan satu riwayat daripada Ibnu al-Qaasim dan Ibnu Wahb daripada Maalik yang menyatakan:-

سمعت اهل مكة يقولون ما من بيت فيه اسم محمد إلا نمى و رزقوا و رزق جيرانهم

Aku telah mendengar penduduk Makkah (yakni sebahagian ulamanya) berkata: "Tidak ada satu rumah yang padanya ada nama Muhammad melainkan akan bertambah keberkatan dan pemberian rezeki ahli-ahli rumah tersebut serta jiran-jiran mereka."
Mudah-mudahan sahaja apa yang tersebut di atas tetap atas keumuman lafaznya yang merangkumi bukan sahaja penghuni rumah yang namanya Muhammad tetapi juga akan khat nama Junjungan s.a.w. yang berada di rumah tersebut.

Monday, May 5, 2008

Lagi Misi Dakwah dan Tarbiyyah..

Inilah lorong menuju medan tarbiyyah...







Sila klik pada gambar untuk lihat lebih jelas!

Kenangan bersama Pemuda Islam Tebrau...

Bersama sahabat lama al-Fadhil Ustaz Khaled..
ana suka jadi makmum solat jamaah berimamkan Ust Khaled..
Teruskan perjuangan mentarbiah diri dan umat..

Bersama al-Fadhil Ustaz Khaled dan akhie Shamsul Bakri..
(Ketua Pemuda PAS Kawasan Tebrau)
Syabas dan tahniah atas program yang dianjurkan,,
semoga program sebegini dapat diteruskan di masa-masa mendatang..

al-Faqir bersama dengan orang kuat Tebrau..


Bersama pemuda Tebrau gagah perkasa, generasi muttaqin..
Teruskan perjuangan membela Islam dan segala syiarnya... Allahu Akbar!!

Sila klik pada gambar untuk lihat lebih jelas.


Penghapus Dosa

Sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. adalah antara sebesar-besar amalan yang menjadi kaffarah bagi noda dosa kecil yang kita lakukan. Dosa-dosa kecil bilangannya amat banyak menjadikan ianya sukar dihindari bahkan kadangkala tak sedar atau tak terasa pula kita yang sesuatu perbuatan yang kita lakukan itu merupakan satu dosa di sisi Allah s.w.t. Manakala sikap memperlekehkan atau meremehkan dosa kecil adalah satu dosa besar yang memerlukan kita memohon ampun dengan bertaubat kepada Allah at-Tawwab.

Oleh itu, jangan sesekali meremehkan sesuatu dosa, baik kecil apatah lagi yang besar. Begitu pula jika dibiarkan dosa-dosa kecil itu berkumpul sehingga berlonggok-longgok dan bertimpa-timpa lalu menggelap serta menghitamlegamkan hati sanubari menjadikannya keras seperti batu. Atau dosa-dosa tersebut dilakukannya berulang-ulang, tanpa dikaffarahkannya dengan amalan sholeh atau dengan taubat kepada Allah, ianya juga menjadikan dosa-dosa tersebut sebagai dosa besar, sebagaimana dinyatakan oleh Hujjatul Islam al-Ghazali dalam "al-'Arba`in fi Ushuliddin":-


و الإصرار على الصغيرة أيضا كبيرةفلا صغيرة مع إصرار و لا كبيرة مع رجوع و استغفار

"Berkekalan atas dosa-dosa kecil adalah juga dosa besar. Maka tidaklah dikatakan dosa kecil jika ianya dikekalkan dan tidaklah dikatakan dosa besar jika ianya ditaubati dan dipohon keampunan Allah."

Berbalik kepada sholawat, maka telah masyhur beberapa hadis yang menyatakan ianya menjadi kaffarah dan penghapus bagi noda dosa. Sebagai tambahan sahaja kepada hadis-hadis yang telah masyhur tersebut, satu nukilan dari "asy-Syifa`" karya Qadhi 'Iyadh al-Yahsubi, sebuah atsar yang dinisbahkan kepada Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq r.a. yang menyatakan:-


الصلاة على النبي صلى الله تعالى عليه و سلمامحق للذنوب من الماء البارد للنارو السلام عليه افضل من عتق الرقاب

"Ucapan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. dapat memadamkan yakni menghapuskan dosa lebih daripada air sejuk memadamkan api. Ucapan salam kepada baginda lebih afdhal daripada memerdekakan hamba sahaya."


Maka sewajarnya kita hamba yang dosanya sudah bertimpa-timpa memperbanyakkan sholawat dan salam ke atas Junjungan Nabi s.a.w. Apatah lagi pada malam dan hari Jumaat, hari dan malam di mana ganjaran amalan digandakan Allah. Kita sedia maklum dari hadis-hadis yang biasa kita dengar menyatakan bahawa bagi setiap ucapan sholawat kita ke atas Junjungan akan diberi balasan 10 kali lipat oleh Allah s.w.t. Di samping itu ada juga riwayat yang menyatakan bahawa balasan bagi setiap sholawat diberi balasannya oleh Allah dengan 70 kali ganda, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya yang menyatakan:-


من صلى على النبي صلى الله تعالى عليه و سلم مرةصلى الله تعالى عليه بها سبعين مرة

"Sesiapa yang bersholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. sekali, maka Allah akan merahmatinya 70 kali" .

Mulla 'Ali al-Qari dalam syarahnya kepada kitab "asy-Syifa`", menyatakan bahawa kedua-dua hadis tersebut tidaklah bercanggah kerana gandaan 70 kali tersebut berkemungkinan adalah bagi sholawat yang dilakukan pada hari Jumaat. Beliau menyatakan, antara lain:-

إن هذه المضاعفة تكون بخصوص يوم الجمعةاذ قد ورد ان الأعمال كلها تضاعف فيه بسبعين ضعفاو هو يؤيد ما ورد انه اذا وافق يوم عرفة يوم الجمعة كان حجه بسبعين حجة


"Bahawasanya gandaan pahala ini berlaku kerana kekhususan hari Jumaat yang mana telah warid bahawa segala amalan pahalanya diganda 70 kali ganda pada hari Jumaat. Dan ianya menguatkan apa yang warid bahawasanya apabila bertepatan hari 'Arafah (hari wuquf) dengan hari Jumaat, maka ganjaran hajinya akan diganda dengan pahala 70 kali haji."


Allahu ... Allah, moga penghulunya segala hari kita ini dipenuhi dengan ucapan sholawat dan salam ke atas Junjungan Nabi s.a.w.

Kereta baru Ust Ijam setelah di"Bengkel"kan.. di Penyabong Resort.

Ini kereta kesayangan Ust Ijam waktu berteduh di bawah pohon Ketapang,
Pantai Penyabong Resort.. Kereta beliau telah di"Bengkel"kan dan di"PAS"kan..
Bukan main berkilat dan berkilau lagi.. Beliau pasti gembira sambil terkezut!..
- al-Banjari -
Klik gambar untuk besarkan