Thursday, February 22, 2007

Memahami Tarbiyyah (4)

Tarbiyyah : Satu Keperluan Harakah

MUQADDIMAH

Umat Islam telah dijajah begitu lama. Penjajah bukan sahaja telah memunggah kekayaan bumi mereka, tetapi lebih dahsyat daripada itu penjajah juga telah memesongkan agama mereka. Umat Islam telah dijajah begitu lama. Penjajah bukan sahaja telah memunggah kekayaan bumi mereka, tetapi lebih dahsyat daripada itu penjajah juga telah memesongkan agama mereka.

Di antara yang paling ketara ialah memisahkan urusan politik daripada agama ataupun dengan lain perkataan menjajah umat Islam bukan berdasarkan kepada ajaran Islam bahkan memerintah umat Islam berdasarkan kepada agama mereka iaitu Kristian.

Adapun yang tidak diganggu oleh penjajah hanyalah sembahyang, puasa, haji, zakat manakala perkara-perkata yang berhubung dengan ibadah lain semuanya menurut undang-undang mereka. Lama-kelamaan, umat Islam yang dibiarkan dalam keadaan jahil itu menyangka bahawa itulah Islam.

Penjajah tidak keluar dari negeri yang dijajahnya melainkan sesudah mendidik pengganti yang setia kepadanya bagi meneruskan ajarannya iaitu Islam suku dan politik suku.

Sesiapa juga yang cuba melawan ajaran sesat itu dianggap sebagai pelampau, ekstrim, taksub, fanatik, bodoh dan tidak relevan dengan tuntutan semasa. Adapun orang yang mengajak muslimin menghayati kembali ajaran Islam yang sebenar sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dianggap mengajak manusia kembali ke zaman unta dan hidup di dalam khemah sebagai orang yang menolak kemajuan.

Apabila umat Islam mencapai kemerdekaan, maka bangkitlah para ulama’, fuqaha’ dan guru-guru agama bagi mengajak umat Islam menghayati agama yang sebenarnya dan mentafsirkan apakah ertinya firman Allah:

Maksudnya:
“Bahawasanya agama di sisi Allah hanyalah Islam.” (Ali ‘Imran: 19)

Dan apakah ertinya: Maksudnya:

“Dan sesiapa yang mengambil selain daripada Islam sebagai cara hidup (agama), maka tuhan tidak akan menerima daripadanya dan di akhirat nanti daripada orang-orang yang rugi.” (Ali ‘Imran: 85)

Mereka mengajak umat Islam bersatu dalam satu jamaah, kumpulan atau parti. Pada tahun 1951, Parti Islam Se-Malaysia ( PAS) telah ditubuhkan di Malaysia. PAS bukanlah sebuah parti politik yang hanya berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan dan bergerak cergas di dalam siasah semata-mata, tetapi di antara usahanya yang utama ialah ta’lim dan tarbiyah.

Para pimpinannya yang terdiri daripada para ulama’, fuqaha’, penulis dan guru adalah mereka yang berkecimpung di dalam bidang ta’lim dan tarbiyah yang memberi pengajaran, menyampaikan ilmu-ilmu Islam kepada orang ramai dan mendidik manusia dengan pendidikan agama.

Rata-rata penyokong PAS terdiri daripada tuan-tuan guru pondok, guru-guru agama yang mengajar di sekolah-sekolah, ma’had -ma’had atau madrasah-madrasah atau lain-lain golongan yang sedar bahawa Islam itu adalah politik dan pemerintahan.

Oleh yang demikian, al-ta’lim dan al-tarbiyah menjadi salah satu daripada program yang pertama dan utama di dalam perjuanga Islam yang dibawa oleh PAS.

Apakah Bentuk Ta'lim dan Tarbiyyah Yang Disusun Oleh PAS

Di sana terdapat dua bentuk ta’lim dan tarbiyah:

PERTAMA : Yang berbentuk tarbiyah nizamiyah melalui:

1. Pondok-pondok, pusat pengajian yang bersifat tradisi dan pusat-pusat pengajian tinggi
2. Sekolah-sekolah agama dan ma’had-ma’had
3. PASTI dan sebagainya

KEDUA : Tarbiyah yang tidak nizamiyah;

1. Kuliah-kuliah umum di masjid-masjid dan surau-surau
2. Halaqah-halaqah khusus yang mengajar matapelajran yang tertentu seperti tafsir, hadith, tauhid dan sebagainya
3. Usrah
4. Qiamullail
5. Mukhaiyam (perkhemahan)
6. Nadwah, seminar, bengkel, liqa’ al-fikri
7. Rehlah, ziarah dan lain-lain

Program-program tarbiyah dalam Harakah Islamiyah di tahap mana sekalipun bertujuan untuk membentuk jiwa, mental dan jasmani ahli mengikut keperluan perjuangan kerana kita berpendapat ahli jamaah Islam tidaklah sama kualitinya dengan orang -orang awam.

Mereka mestilah seorang ‘jundiy’ bagi Hizbullah yang mempunyai sifat-sifat yang mulia iaitu:

1. Bertaqwa kepada Allah
2. Beriltizam kepada jamaah
3. Berkemampuan memikul tanggungjawab dan boleh memimpin
4. Memiliki aqidah yang sahih
5. Ibadah yang sempurna
6. Memahami syari’at Islam dan sirah Rasulullah s.a.w. dan sahabat baginda
7. Muamalahnya mestilah betul
8. Menghayati Islam sepenuhnya

Sasaran Tarbiyyah

Semua orang Islam menjadi sasaran ta’lim dan tarbiyah, tetapi anggota jamaah adalah menjadi sasaran tarbiyah yang utama di tempat dan tahap masing-masing:

1. Kepimpinan di semua peringkat dan dewan
2. Ahli-ahli
3. Anggota masyarakat di semua peringkat

Bagi memastikan tarbiyah berjalan dengan baik dan teratur, maka perlu kepada sasarannya kepada beberapa tahap atau marhalah yang tertentu seperti:

1. Marhalah al-ta’rif (pengenalan)
2. Marhalah al-takwin (pembentukan)
3. Marhalah al-tanfiz (pelaksanaan)

Pada umumnya, sekiranya kita mahu mengkelaskan anggota-anggota harakah menurut susunan tanzim yang ada, maka bolehlah kita mengatur dan menyusun maudu’ atau tajuk yang diberikan dan diminta memahami dan menghayatinya adalah seperti berikut:

PERTAMA : Tahap cawangan (al-ansar)
1. Aqidah
2. Ibadah
3. Al-Wala’
4. Ikhlas
5. Awrad (wirid-wirid)
6. Menghadiri majlis-majlis ilmu

KEDUA : Tahap kawasan (al-‘amilin)
1. Merendah diri kepada orang-orang yang beriman
2. Ikhwah – bersaudara
3. Mahabbah – berkasih sayang kepada orang-orang yang beriman
4. Jihad – dengan mengenali syarat, bahagian dan tahap
5. Kerohanian – tasawuf
6. Beberapa kursus keselamatan (al-Kitman)
7. Qiamullail
8. Amar ma’ruf dan nahi mungkar
9. Ziarah

KETIGA : Tahap perhubungan (al-nuqaba’)
1. Pemerintahan (al-hukm wa al-hukumah)
2. Pengamatan (al-anah)
3. Kesediaan membantu (al-khidmat)
4. Pemurah (al-karam)
5. Berani (al-syaja’ah)
6. Kepatuhan (al-ta’ah)
7. Permesyuaratan (al-syura)
8. Program (al-‘amal)
9. Perbincangan (al-munaqasyah fi al-halaqat)
10. Penyampaian dakwah (tahkrij al-da’wah)

KEEMPAT : Tahap Pusat (al-nawab)
1. Benar (al-sidq)
2. Amanah
3. Iltizam
4. Pintar (al-fatanah)
5. Tabligh
6. Mursyid
7. Mujtahid – dan lain-lain

Jikalau kita mahu menjadikan sektor kemasyarakatan dalam kehidupan untuk memudahkan kita memahami kumpulan sasaran dalam usaha pembinaan masyarakat harian, bolehlah kita gambarkan mengikut tahap-tahap berikut:

1. Pembinaan individu muslim
2. Pembinaan rumahtangga muslim
3. Pembinaan parti Islam
4. Pembinaan kepada masyarakat umum
5. Pembinaan baldatun taiyibatun wa rabbun ghafur

KESIMPULAN

Bahawa tarbiyah adalah satu-satunya proses pembentukan muslim yang mesti wujud di dalam mana-mana Harakah Islamiyah yang mahu mewujudkan baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur.

Tasawur Islami (gambaran Islam) mestilah jelas kepada semua orang Islam apatah lagi anggota Harakah Islamiyah di peringkat ansar, ‘amilin, nuqaba’ dan nawab yang menghasilkan penghayatan dalam kehidupan seharian sehingga dapat dirasai kehadiran mereka di tengah-tengah masyarakat umum.

Mudah-mudahan kertas yang tidak sepertinya ini dapat memberi sedikit panduan kepada rakan-rakan seperjuangan khususnya sahabat-sahabat yang ditugaskan untuk mengendalikan urusan tarbiyah di semua tahap.