Thursday, April 19, 2007

Mengenali Tuan Guru Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari

Al-Fadhil Tuan Guru Sheikh Muhammad Nuruddin Bin Haji Marbu Bin Abdullah Thayyib al-Banjari dilahirkan pada 1 September 1960M di desa Harus, Amuntai, Banjar Masin, Kalimantan Selatan, Indonesia. Beliau anak yang ketiga dari tujuh bersaudara, dari sebuah keluarga yang taat beragama.

Beliau sekeluarga telah berhijrah ke tanah suci Makkah Al-Mukarramah pada tahun 1974 dan beliau meneruskan pengajiannya di Madrasah Shaulathiyah sehingga tahun 1982.

Diantaranya guru-gurunya di Makkah termasuklah ulama’-ulama’ ternama seperti Sheikh Ismail Utsman Zain Al-Yamani, Sheikh Mohammad Yasin Al-Fadani serta Sheikh Hassan Mashshath. Pada tahun 1983 beliau telah melanjutkan pengajiannya ke Mesir di Universiti al-Azhar, Kaherah dalam jurusan Syariah hingga mendapat gelaran Sarjana Muda.

Kemudian beliau meneruskan lagi pengajiannya di Ma'had 'Ali Liddirasat Al-Islamiah di Zamalek sehingga memperolehi Diploma ‘Am "Dirasat 'Ulya" pada tahun 1990.Setelah menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar beliau menumpukan perhatiannya untuk mencurahkan ilmunya kepada ribuan para pelajar yang datang dari Asia Tenggara termasuk Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand yang menuntut di Universiti Al-Azhar, sehingga beliau mendapat gelaran al Azharus Tsani (“Universiti Al-Azhar Kedua”), suatu gelaran yang terhormat dan tulus dari masyarakat Universiti Al-Azhar sendiri.

Antara keistimewaan Sheikh Nuruddin ialah beliau mewarisi metodologi pengajian berasaskan sanad ataupun silsilah.Sebagai contoh, hadits-hadits yang dipelajari beliau sampai silsilah periwayatannya sehingga kepada Rasulullah SAW. Kitab-kitab ulama’ muktabar yang dipelajari beliau sampai silsilahnya kepada pengarang asal kitab-kitab tersebut ini seperti Imam As-Shafie, Imam As-Sayuti, Imam Nawawi dan lain-lain lagi. Di sinilah ketulinan dan keberkatan ilmu Sheikh Nuruddin.

Di samping mengajar beliau juga menghasilkan kitab-kitab agama berbahasa Arab dalam pelbagai bidang yang banyak tersebar luas di Timur Tengah dan juga di negara Malaysia. Semenjak mula mengarang kitab ‘Permasalahan Haid, Nifas & Istihadhah’ pada tahun 1991, beliau telah mengarang, mentahqiq serta mensyarahkan tidak kurang dari 50 buah kitab. Beberapa kitab beliau kini telah digunakan sebagai sumber rujukan dibeberapa buah pusat pengajian tinggi termasuk kitab beliau dalam jurusan Qawa’id Fiqhiyyah yang kini digunakan sebagai salah satu dari teks rujukan di Kuliyyah Syari’ah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Dari tahun 1998 – 2001, beliau telah mencurahkan tenaga dan masa untuk membimbing para pelajar di Maahad 'Ali Littafaqquh Fiddin, Madrasah Tarbiah Islamiah, Derang, Kedah, dan pada pertengahan tahun 2004 beliau telah mengasaskan Ma’had Az-Zein Al- Makki Al-Ali Littafaqquh Fiddien di Bogor, Jawa Barat Indonesia dan kini beliau merupakan Sheikhul Ma’had pesantren tersebut. Para pelajar di Ma’had Az-Zein adalah merupakan pelajar-pelajar yang terpilih dari beberapa buah pesantren di seluruh Indonesia khususnya dari daerah Banjar Masin yang terkenal dengan kelahiran ramai tokoh ulama’ yang ternama.

Kini hasil dari usaha dan bimbingan Sheikh Nuruddin, 5 buah kitab telah berjaya diterjemahkan dan diterbitkan sepenuhnya oleh para pelajar dari Ma’had Az-Zein.Kini beliau giat berulang-alik ke Banjar Masin setiap bulan dalam siri pengajian dan diskusi tetap beliau, disamping sessi pengajian yang sama di Malaysia serta Mesir.