Saudara Pengerusi Tetap; YB Saudara Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahli Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Timbalan Ketua, Naib Ketua dan Ahli-ahli Jawatankuasasa Dewan Pemuda PAS Pusat, Saudara Ketua-ketua Dewan Pemuda PAS negeri-negeri, Pimpinan dan wakil-wakil Pemuda BA dan para NGO; Para diplomat dan dif-dif jemputan kehormat.
Para perwakilan, pemerhati dan hadirin yang dihormati sekalian,
Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah swt di atas limpah keizinan Nya dapatlah sekali lagi saya pada hari ini diberikan kesempatan untuk merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat kali yang ke 48.
Sebagai seorang yang pernah terlibat dan berperanan dalam Dewan ini satu ketika dahulu, saya merasakan begitu bertuah kerana dapat sekali lagi duduk bersama saudara-saudara sekalian dan apalagi diberikan pula penghormatan untuk merasmikan Muktamar sayap terpenting parti, yang dari saf saudara-saudaralah kelak nanti akan tumbuh dan terbentuk pula saf kepimpinan parti pada satu hari nanti insyallah.
Sidang muktamirin sekalian
Dalam kita meredah arus perjuangan ini kita perlu menginsafi bahawa di samping PAS berdaftar sebagai sebuah badan siasah, sebuah parti politik menurut peruntukkan undang-undang negara, kita pada hakikatnya adalah sebuah gerakan Islam.
Inilah sesungguhnya keutamaan perjuangan kita, inilah wajah kita, dan dari wajah dan bentuk inilah kita bergerak, berjuang dan mempertahankan Islam sebagaimana yang pernah ditunjukkan kepada kita oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Kita mungkin parti politik pada zahirnya tetapi jiwa dan gerak nadi kita adalah jiwa dan gerak nadi gerakan Islam sambung menyambung dari zaman Rasulullah s.a.w sehinggalah ke hari ini.
Sidang muktamirin sekalian
Dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat yang ke 47 tahun lepas, dalam ucapan perasmian saya, saya telah menyentuh berkenaan FIQHUL TAGHYIR atau FIQH PERUBAHAN yang seharusnya dirintis dan diterokai oleh Dewan Pemuda PAS. Alhamdulillah kita telah menyaksikan betapa kita telah sama-sama merintis dan menerokai jalan ini sehinggalah jalan-jalan perubahan itu telah sedikit sebanyak berjaya kita bina dan buka sekaligus mampu merobah persepsi masyarakat ramai terhadap PAS dan semakin mendekatkan kita dengan masyarakat ramai yang merupakan fokus sasaran kita.
Pemimpin-pemimpin Dewan Pemuda PAS pada hari ini sudah dianggap sebaris dengan pemimpin pemuda lain, malah hasil perubahan ini kita makin mendapat tempat, dikenali dan disenangi oleh masyarakat. Banyak persepsi buruk yang ditaburkan kepada kita sebelum ini nyata semakin luput dan beransur hilang dari hati rakyat.
Tahun ini saya mahu menekankan pula kepada para muktamirin sekalian akan aspek FIQHUL AWLAWIYAT atau FIQH KEUTAMAAN ataupun FIQH OF PRIORITY. Aspek ini menekankan betapa pentingnya Dewan Pemuda mengenal pasti dan menyusun keutamaan dalam merangka pelan tindakan mengikut keutamaan supaya gerak kerja kita sentiasa rapi dan tersusun dan lebih penting lagi menepati tuntutan kita sebagai sebuah Gerakan Islam.
Diperingkat ini keutamaan kita sudah pasti adalah memperbetulkan saf kita, dan merujuk kepada Ucapan Dasar Dato Seri Tuan Guru Presiden pada Muktamar PAS yang ke 51 dahulu, betapa penegasan dan keutamaan perlu diberikan kepada AQIDAH SOMIMAH iaitu AQIDAH YANG JITU ke arah pemantapan pegangan kita supaya sentiasa dalam apa suasana sekali pun ianya selari dan seiringan dan tidak sekali-kali bertentangan dengan AQIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH yang sama-sama kita pegang. Segala aspek yang menyentuh perkara-perkara USULI hendaklah sentiasa kita pertahankan dengan penuh cemburu manakala perkara-perkara yang FURU’ sepatutnya tidak lagi mengikat kita dalam perbalahan yang tidak berkesudahan.
Sidang muktamirin sekalian
Apabila AQIDAH SOMIMAH ini telah jelas insyallah ianya akan mampu memantapkan saf kita disemua peringkat dalam satu ukhuwah yang nanti akan diikat dengan kemas dan teguh yang dibina diatas sifat MAHABBAH yakni kasih-sayang serta saling hormat-menghormati. Percayalah saf yang teguh dan mantap ini nanti akan memberikan kita kekuatan dan keyakinan apabila menghadapi masyarakat luar yang akan sentiasa memerhati dan menilai kita.
Kerana itu sidang muktamirin sekalian setiap kita ahli Dewan Pemuda PAS perlulah berupaya menghidup dan menzahirkan imej petugas Islam dalam setiap diri kita masing-masing yang sentiasa membawa bersamanya sifat-sifat dan ciri-ciri seorang daie.
Almarhum Profesor Zulkifli Muhammad semasa hidupnya pernah mengungkapkan:
"Tiap-tiap kita sebagai pejuang cita-cita Islam mestilah dalam perjuangan kita memberikan gambaran yang terang kepada masyarakat, usahakanlah supaya diri kita menjadi bersih supaya dapat kita melakukan perkara yang bersih."
Imej Islam yang dimaksudkan di sini adalah imej yang sederhana dan bersih dari sudut dalaman. Yang tidak mudah tunduk dan lesu kepada pujuk rayu material tetap teguh dan mampat, berdisiplin dan sentiasa bersedia untuk Islam. Imej sederhana yang mahu kita tampilkan itu tidak bertaut pada imej mana-mana individu atau kumpulan tetapi ianya sederhana yang menepati setepat-tepatnya kontek tafsiran Islam itu sendiri.
Sidang muktamirin sekalian
Dari kejayaan menghidupkan keutamaan-keutamaan dalaman tadi akhirnya akan mendorong kita untuk memperolehi kemampuan bagi berfikir untuk Islam. Lalu kita kelak akan memiliki keupayaan untuk merencana, merancang dan melahirkan strategi yang paling berkesan untuk parti. Yakinlah bahawa menerusi kekuatan dalaman kita nanti, kita akan diberikan kekuatan oleh Allah swt untuk melahirkan strategi yang efektif untuk menyelamatkan ummah dan negara dari kekalutan dan kekusutan hasil kerja tangan Umno dan Barisan Nasional selama ini.
Sidang muktamirin sekalian
Dari aspek-aspek keutamaan dalaman tadi kita beralih pula kepada aspek-aspek keutamaan luaran yang juga perlu diberikan perhatian oleh Dewan Pemuda. Seluruh kekuatan saf Dewan Pemuda perlulah mampu menzahirkan imej dan perwatakan yang mesra rakyat dan tidak asing dari naluri dan budaya golongan muda.
Insaflah bahawa anak-anak muda di luar sana akan lebih senang memberikan respon kepada kita apabila kita mampu bercakap dalam bahasa mereka. Di sinilah kemampuan berinteraksi dan berkomunikasi secara efektif penting bagi memastikan sasaran tidak berasa janggal dan terasing apabila bergaul dengan kita, sebaliknya merasa tenang dan senang dan bersedia akhirnya nanti mengikut rentak dan jejak kemahuan kita.
Jika Pergerakan Pemuda Umno dan Putera Umno berlumba-lumba untuk menunjukkan siapakah yang lebih ganas, biadap dan samseng di antara mereka, Pemuda PAS tidak perlu membuang masa mengikut rentak mereka itu. Mereka bertindak liar sedemikian kerana mereka bimbang hilang pengaruh dikalangan anak-anak muda. Kerana itulah pendekatan “superficial” terpaksa diambil oleh mereka untuk kononnya mendekati golongan contohnya Mat Rempit yang sebenarnya kita yakin akan lebih membawa parah dan padah kepada mereka dari keuntungan.
Ternyata budaya ganas, biadap dan samseng Pemuda Umno direncanakan untuk mewujudkan ketegangan dan huru-hara sebagaimana terbukti semasa kempen Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Ijok di Selangor baru-baru ini. Adakah budaya ini akan terus dipupuk dan diaktifkan dikalangan Pemuda Umno sebagai sebahagian dari gerak kerja mereka yang "desperate" dan mula hilang pengaruh itu?
Dewan Pemuda PAS mestilah beriltizam untuk menjadi pemimpin kepada golongan muda dan remaja di luar sana. Kejayaan Dewan Pemuda nanti akan diukur berdasarkan sejauh manakah reaksi positif yang diperolehi dari anak-anak muda terhadap pelawaaan PAS itu. Saya yakin jika susunan keutamaan kita terpelihara dan kita sentiasa mempamirkan komitmen yang tinggi insyallah berbekalkan Islam yang kita junjung, anak-anak muda dan remaja yang tidak berkesempatan menerima mesej kita yang sebenar akhirnya nanti akan mengeremuni cahaya kebenaran Islam yang kita julang.
Sidang muktamirin sekalian
Ternyata masalah kebejatan sosial dikalangan para remaja dalam negara hasil dari kegagalan program-program kerajaan pada hari ini telah mengakibatkan ramai anak-anak muda kita kecundang dan ini sekaligus merumitkan lagi tugas kita. Para mahasiswa di kampus yang diharapkan dapat menyumbang tenaga ke arah membina sebuah negara yang memiliki peradaban minda kelas pertama terus dikongkong dengan pelbagai peraturan khasnya Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU yang telah melahirkan masyarakat kampus yang lesu dan terus cenderung kepada hiburan dan kelalaian.
Lantaran itu Dewan Pemuda PAS yang teguh dan dinamik diharapkan dapat memain peranan menyelamat dan memperbetulkan keadaan ini agar masyarakat dan negara dapat dipulih, diselamatkan dan kembali ke arah menuju keredhaan Allah swt.
Sidang muktamirin sekalian
Saya melihat Dewan Pemuda PAS telah menempa beberapa kejayaan yang seharusnya menjadi perangsang dan membangkitkan lagi semangat untuk kita terus bekerja bagi melontarkan Gerakan Islam PAS ini ke persada kejayaan.
Himpunan Pemuda PAS di Kota Bharu Kelantan ini yang telah berjaya menghimpunkan 15,000 petugas dan para amillin dikalangan tenaga Pemuda sesungguhnya telah berjaya bukan sekadar menggemparkan Bumi Serambi Mekah ini tetapi memberi isyarat kepada Umno dan Barisan Nasional bahawa Pemuda PAS sudah bersedia untuk menebus maruah agama dan bangsa dalam Pilihanraya Umum yang akan datang nanti.
Saya ingin menekankan di sini bahawa kerja-kerja amal kita yang diterajui dan dipelopori oleh Pemuda PAS melalui Unit Amal pada hari ini telah bukan sekadar memperolehi pengiktirafan diperingkat nasional malah telah menempa nama dan mengharumkan negara dan parti sehingga keperingkat internasional, alhamdulillah.
Penglibatan unit amal dalam kerja-kerja bantuan kemanusiaan khasnya semasa tragedi banjir besar di Johor baru-baru ini telah membuka mata rakyat Malaysia bahawa inilah tenaga sukarelawan yang diperlukan oleh negara yang bergerak bukan atas habuan wang ringgit tetapi oleh keikhlasan dan didorong kerana mahu beramal semata-mata kerana Allah. Syabas kami ucapkan.
Selain itu Pemuda PAS terus unggul dan terlibat serius dalam pembinaan modal insan yang taat dan patuh kepada Allah swt. Pusat-pusat pendidikan pra sekolah iaitu PASTI atau Pusat Asuhan Tunas Islam yang digerakkan oleh Pemuda PAS terus berkembang dalam menawarkan pendidikan alternatif pra sekolah yang bersepadu antara ilmu akhirat dan dunia, yang semakin berkualiti dan diterima masyarakat pada hari ini.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengalu-alukan dan mengucapkan syabas di atas usaha berani Dewan Pemuda PAS untuk berinteraksi dan menjalinkan hubungan akrab dengan masyarakat. Tiada gunanya Islam yang kita perjuangkan ini kiranya mesej yang ingin dibawanya sekadar berligar sesama kita tetapi tidak turun bertapak di hati rakyat.
Usaha-usaha berdakwah, mengedarkan risalah, mengunjungi dan menziarahi individu dan kumpulan masyarakat yang bermasalah dan perlukan bimbingan mestilah dipertingkatkan. Saya mahu melihat Pemuda PAS berada dimana-mana sahaja ceruk dan rantau negara sentiasa kehadapan dalam apa juga masalah dan malapetaka yang melibatkan masyarakat dan negara sehinggalah nanti sampai keperingkat dimana masyarakat membuat kesimpulan bahawa yang hanya mampu menyelamat dan membantu mereka dalam apa juga keadaan dan situasi adalah rakan mereka iaitu Dewan Pemuda PAS.
Sidang muktamirin sekalian
Kita nanti akan keluar melangkah dari Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat di PUTIK ini untuk menghadapi Pilihanraya Umum yang ke 12. Umno dan Barisan Nasional begitu ghairah dan taksub dengan kononnya FEEL GOOD FACTOR yang telah berjaya dicetuskan oleh pimpinan mereka. Diperingkat ini kita yakin yang rakyat sesungguhnya bersama kita kerana dalam keasyikkan dendangan lagu FEEL GOOD FACTOR ini mereka terus terperosok parah dan berdarah. Kos hidup semakin mencengkam, rasuah dan penyelewengan berlalu tanpa sebarang tindakan, akhlak dan moral generasi muda semakin runtuh musnah, jenayah semakin berleluasa.
Dalam situasi seumpama ini, Dewan Pemuda PAS perlu proaktif dan menyusun gerakerja yang pintar dan produktif. Hubungan baik antara Dewan Pemuda PAS dan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat dalam pakatan Barisan Alternatif (BA) perlulah berada ditahap yang terbaik. Demikian juga dengan rakan-rakan lain dan NGO yang terus bersama-sama kita.
Saya begitu yakin yang Dewan Pemuda PAS faham dan akur akan kepentingan kerjasama ini. Malah Pemuda PAS telah membuktikannya dalam bentuk praktikal semasa membantu jentera BA dalam Pilihnaraya Kecil DUN Ijok baru-baru ini. Kesungguhan dan komitmen Dewan Pemuda PAS dalam hal ini sehingga menyaksikan beberapa dikalangan mereka telah tercedera parah dikerjakan oleh samseng-samseng biadap Umno dan Barisan Nasional, namun terus bekerja tanpa gentar dan sedikit pun berputus asa, membutikan inilah rakan yang paling komited dan terbaik untuk pakatan pembangkang kiranya kita serius mahu menongkah kejayaan dalam pilihanraya umum nanti.
Tahniah saya ucapkan kepada Ketua dan Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Langat, Selangor kerana berjaya melahirkan para amillin anggota-anggota jundullah yang sangat diperlukan oleh parti.
Sidang muktamirin sekalian
Pilihanraya Umum ke 12 nanti akan sekali lagi meguji kebersediaan kita menghadapi Umno dan Barisan Nasional. Saya menyeru Dewan Pemuda PAS agar memastikan yang jentera pilihnaraya Dewan Pemuda kita sudah berada ditahap bersedia yang paling maksima. Dalam hal ini Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan memikul tanggungjawab dan amanah yang paling berat iaitu untuk mempertahankan bumi Serambi Mekah ini dari runtuh dan jatuh ke tangan Umno dan Barisan Nasional.
Inilah benteng Islam inilah negeri yang akan menentukan samada Islam nanti berjaya bersinar ke seluruh bumi Malaysia ataupun tidak. Diperingkat ini kita tidak ada masa untuk sebarang perbalahan atau persengketaan sesama kita, diperingkat ini kita tidak ada ruang untuk pemimpin atau individu yang sekadar retorik tetapi kosong dan tidak mampu bekerja dan menggerakkan jemaah.
Saya menaruh sepenuh harapan kepada kepimpinan Dewan Pemuda Negeri agar memacu dan memimpin jentera pemuda negeri ke arah memastikan terus kekalnya Kerajaan Islam Kelantan ini insyallah.
Sidang muktamirin sekalian
Akhirnya saya berpesan kepada suadara-saudara semua agar kita semua terus menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah dimanahkan. Pemuda bebas memberikan teguran dan pandangan ikhlas pada bila-bila masa sahaja tanpa perlu bimbang dan segan, kerana semua kita kasih dan cintakan jemaah ini belaka. Pemuda juga perlu bersedia ditegur dan menerima teguran kerana itulah sebaik-baik pekerti dan akhlak yang perlu sentiasa kita budayakan.
Ustaz Nasharudin Mat Isa
Timbalan Presiden PAS
13 Jamad al-Awwal 1428/30 Mei 2007