Friday, May 30, 2008

Perkembangan Proses Pentarbiyyahan...

PERKEMBANGAN PROSES TARBIYYAH PEMUDA PAS JOHOR.

بسم الله الرحمن الرحيم


Alhamdulillah, kami bersyukur ke hadrat Ilahi yang telah memberikan “semangat baru” kepada Lajnah Tarbiyyah dan Latihan Perkaderan DPPNJ. Jika pada muktamar yang lalu, Ketua Pemuda ada menyebut soal pemerkasaan Lajnah Tarbiyyah, maka kami dapati usaha pemerkasaan itu sedang berjalan lancar dengan Inayah Allah SWT.

Proses pentarbiyyahan terus berjalan mengikut perancangan samada melibatkan peringkat DPPNJ mahupun di peringkat DPPK. Gabungan ulama’ muda lepasan timur tengah dan pondok yang memimpin Lajnah Tarbiyyah DPPNJ terus mewarnai proses pentarbiyyahan dan mendapat kerjasama yang baik di setiap program anjuran Lajnah Tarbiyyah DPPK mahupun program-program tarbiyyah yang dianjurkan oleh pihak lain.

Lajnah Tarbiyyah DPPNJ juga dilihat berjaya membina karisma “Murabbi” apabila khidmat mereka sering diperlukan dan diiktiraf dalam lapangan ruang tarbiyyah, sehingga program khusus melibatkan Muslimat juga mengundang mereka untuk memberikan suntikan Jihad dan Tarbiyyah Rohaniyyah.

Tidak ketinggalan adik-adik pelapis kita di peringkat pengajian tinggi awam, mereka sentiasa mendapatkan khidmat Lajnah Tarbiyyah DPPNJ sebagai Murabbi mereka dalam pelbagai program perkaderan yang mereka anjurkan.

Tak kurang juga program tarbiyyah anjuran Urusan Ulama’ di sesetengah kawasan yang mengundang dan memberi ruang kepada wakil Lajnah Tarbiyyah DPPNJ. Proses pentarbiyyahan juga terus menjalar ke medan masyarakat apabila wakil Lajnah Tarbiyyah DPPNJ diberi kepercayaan memainkan peranannya melalui YAMJ, sebuah NGOs yang aktif di Johor ini.

Pilihanraya umum yang lalu menyaksikan kepimpinan Lajnah Tarbiyyah DPPNJ dan DPPK terlibat secara menyeluruh dalam siri ceramah kelompok mahupun ceramah umum, qiamulail, solat hajat dan majlis zikir.


PERKEMBANGAN DI PERINGKAT PEMUDA NEGERI (DPPNJ)

Alhamdulillah, tazkirah yang diadakan pada muqaddimah mesyuarat penuh DPPNJ kini menjadi medan penambahan ilmu bagi kepimpinan pemuda negeri. Dengan variasi penyampai yang berbeza, namun bermatlamatkan yang satu. Ketua-ketua DPPK berserta EXCO-EXCO DPPNJ yang hadir dibentuk fikrahnya, dijana jiwanya, disuntik semangatnya, dengan Tarbiyyah Islamiyyah Syamilah. Semuanya dengan harapan agar menjadi pemimpin yang bertaqwa dan pejuang yang ikhlas.

Tamrin Qiyadi, Ijtima’ Nuqaba’, Himpunan Pemuda, Liqa’ al-Fiqri, Mukhayyam, menjadi sebahagian proses pentarbiyyahan di peringkat pemuda negeri. Dengan kehadiran yang memberangsangkan, minat dan kecintaan terhadap proses tarbiyyah di kalangan ahli pemuda jelas kelihatan.

Alhamdulillah, kini Lajnah Tarbiyyah DPPNJ mempunyai ahli jawatankuasa yang iltizam dan istiqamah dalam membantu proses pentarbiyyahan di segenap peringkat. Program-program tarbiyyah di peringkat negeri mampu dilaksana dan dikendalikan sepenuhnya oleh Ahli Jawatankuasa Lajnah Tarbiyyah DPPNJ.

Lajnah Tarbiyyah DPPNJ kini sedang berusaha membina dan memantapkan “Team Tamrin” yang berfungsi mengendalikan pelbagai tamrin dalaman dan luaran dengan berpengkalan di Mersing dan Pasir Gudang.


PERKEMBANGAN DI PERINGKAT PEMUDA KAWASAN (DPPK)

Alhamdulillah, proses pentarbiyyahan di peringkat pemuda kawasan (DPPK) amat menggembirakan. Kini istilah-istilah Usrah, Tamrin Thaqafi, Tamrin Tarbawi, Tamrin Qiyadi, Ijtima’ Nuqaba’, Liqa’ al-Fiqr, Mukhayyam, Rehlah, semakin sinonim dikalangan ahli pemuda kita.

Sengaja Lajnah Tarbiyyah DPPNJ mengekalkan istilah-istilah tersebut kerana beberapa faktor. Antaranya;

1) Selari dengan perlembagaan PAS :

“Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi Negara yang tunggal dalam amalannya di samping berusaha mengembangkan bahasa al-Quran.” [rujuk Perlembagaan PAS, Pindaan 2001, Fasal 6 (7)]

2) Istilah-istilah tersebut menjadi sebahagian proses tarbiyyah yang mengajak ahli pemuda memahami, menghayati dan mempelajari bahasa al-Quran.

3) Meneruskan usaha-usaha murabbi yang terdahulu, dalam penggunaan istilah-istilah tersebut.

Berdasarkan pemantauan dan maklumat yang diterima, hampir keseluruhan DPPK-DPPK berjaya menjalankan aktiviti Usrah secara berterusan. Kami juga mendapati beberapa DPPK-DPPK yang berjaya melaksanakan program tarbiyyah dan tamrin secara berkala samada secara tunggal mahupun gabungan.

Terkadang kami “tidak cukup langkah” untuk menghadiri jemputan atas program tarbiyyah anjuran mereka, disebabkan program tarbiyyah yang bertindan[1]. Bagi Lajnah Tarbiyyah DPPNJ, ini perkembangan yang baik.

Kini di peringkat DPPK, proses tarbiyyah tidak lagi menjurus kepada usrah dan kuliah semata-mata, bahkan tamrin-tamrin dalaman dan luaran yang bersifat thaqafi, tarbawi dan qiyadi sudah berjaya diterapkan. Majlis Ilmu dan qiamulail pula semakin menjadi rutin.

Kawasan-kawasan seperti Pasir Gudang, Tebrau, Batu Pahat, Segamat, Pulai, Pontian dilihat berjaya menggerakkan peranan dalam usaha pentarbiyyahan ahli. Manakala kawasan-kawasan yang lain bergerak secara gabungan sebagaimana yang dianjurkan oleh Lajnah Tarbiyyah DPPNJ.

Hanya beberapa kawasan yang agak ketinggalan dalam hal ini. Kami masih lagi dalam usaha menanganinya. Semoga Allah Yang Maha Kaya membuka jalannya. Amin..


MANHAJ MADRASAH TARBIYYAH DPPNJ

Alhamdulillah, Lajnah Tarbiyyah DPPNJ berjaya menghasilkan sebuah buku panduan Manual Pelaksanaan Tamrin Pemuda Kawasan & Negeri di atas tajuk MANHAJ MADSARAH TARBIYYAH DPPNJ.

Buku manual pelaksanaan ini telah pun di edar ke setiap kawasan. Buku manual pelaksanaan ini diterbitkan sebagai usaha untuk menyatukan fikrah (wahdatul fiqr) dan amal Islami (wahdatul amal) di kalangan pemuda PAS Johor.

Bagi proses pentarbiyyahan di peringkat DPPNJ dan di peringkat DPPK, buku manual ini sentiasa dirujuk oleh lajnah tarbiyyah.


PERANAN NUQABA’

Alhamdulillah, seramai 27 orang nuqaba’ yang ada dalam senarai maklumat kami telah memainkan peranan mereka sebagai naqib usrah. Itu tidak termasuk naqib-naqib yang terdiri daripada ketua pemuda yang menyumbang tenaga mereka dalam mengendalikan usrah-usrah.

Para nuqaba’ ini juga tidak ketinggalan memberi sumbangan yang besar mahupun kecil kepada parti dalam pilihanraya umum lalu sebagai tenaga penceramah kelompok dan ceramah umum. Sebahagian mereka juga memimpin majlis solat hajat, qiamulail, majlis zikir dan mengobarkan semangat jihad kepada ahli pemuda khususnya.

Sebahagian nuqaba’ ini juga berjaya mendapat tempat di masjid-masjid dan surau-surau milik kerajaan dan berjaya memainkan peranan mereka dalam mentarbiyyah dan menyedarkan masyarakat umum.

Bagi memastikan para nuqaba’ ini bijak memainkan peranan mereka dalam proses pentarbiyyahan ahli dan juga masyarakat umum, Lajnah Tarbiyyah DPPNJ telah pun menerbitkan sebuah buku khas buat nuqaba’. Buku itu diberi tajuk PERANAN NUQABA’ DALAM MENJANA KEBANGKITAN POLITIK SEMASA.

Buku tersebut asalnya adalah kertaskerja yang dibentangkan dalam program Ijtima’ Nuqaba’ DPPNJ. Ia diterbitkan atas permintaan beberapa kawasan dan telah pun di edar kepada pemuda kawasan-kawasan sewaktu Himpunan Pemuda Johor yang lalu.


HARAPAN

Lajnah Tarbiyyah DPPNJ memikul tugas dan amanah yang besar. Dalam keadaan serba kekurangan, kami bergabung tenaga dan idea dalam usaha memperkasakan Lajnah Tarbiyyah dan proses pentarbiyyahan ahli.

Tidak dinafikan beberapa ‘wabak’ telah menghinggapi sahabat-sahabat seperjuangan. Namun itu semua kami jadikan i’tibar, bukan alasan. Telah kami bentangkan segala macam ‘wabak penyakit’, segala mehnah dan ibtila’ dalam perjuangan. Jika mengenai atas kami (na’uzubillahi min zalik), segeralah menasihati kami.

Jika terkena sahabat seperjuangan, kami bersemuka dengan mereka dan bertanyakan masalah mereka. Kami mengharap ia segera kembali ke pangkal jalan.. dan kami jadikan pengajaran buat kami.

Namun jika mereka masih mahu tenggelam dan hanyut dengan dunia mereka. Kami berdoa agar Allah segera menggantikan mereka dengan hamba-hambaNya yang lain, yang lebih bagus dan lebih berqualiti daripada mereka. Allah sentiasa memustajabkan doa hamba-hambanya..

Lajnah Tarbiyyah DPPNJ sentiasa membuka ruang kepada sesiapa yang sudi me’waqaf’kan diri mereka sebagai murabbi yang intima’ dengan jamaah, iltizam serta istiqamah dalam perjuangan.

Bagi DPPK-DPPK yang agak corot dalam proses ini, kami harap mereka dapat meningkatkan mujahadah dan pengorbanan, kerana proses pentarbiyyahan ini adalah satu usaha yang murni, bahkan menjadi amal soleh yang bisa kita jadikan sebagai bekal untuk bertemu Rabbul Jalil.

Lajnah Tarbiyyah DPPNJ juga sentiasa memikirkan dan berusaha membantu kamu dalam mengihya’kan proses tarbiyyah sehingga menjadi program yang segar di kawasan kamu.

Akhirnya, Kami juga mengharapkan agar DPPNJ tidak menilai tugas kami dari sudut kuantiti semata-mata, tetapi tiliklah kepada qualiti pentarbiyyahan. Kerana pemuda terpilih (Sofwah al-Mukhtarah) itu lazimnya tidaklah ramai.

Sekian banyak kejadian manusia, hanya sebahagian sahaja yang menyerah diri (Islam). Dari sekian banyak yang Islam (muslim) itu, hanya sebahagian sahaja yang beriman. Dari sekian banyak yang beriman (mukmin) itu, hanya sebahagian sahaja yang bertaqwa (Muttaqi).

Maka untuk menghasilkan pemuda yang bertaqwa (muttaqi), memerlukan kesungguhan (mujahadah), masa yang panjang (Thuliz zaman), contoh teladan pimpinan (qudwah hasanah) dan bantuan serta limpahan taufiq dan hidayat Allah SWT.

“Ya Allah! Engkaulah yang menjadikan ashabul kahfi, dan Engkaulah yang menjadikan sohibul Yaasin, jadikanlah kami pejuang-pejuang agamaMu yang ikhlas, jadikanlah kami pemuda-pemuda yang terpilih. Ya Allahu ya Rahman!, perkenankanlah doa kami, dengan berkat kekasihMu Nabi Muhammad SAW, dengan berkat al-Quran al-Karim, dan dengan berkat amal kami yang paling ikhlas… Ya Allahu ya Rahim, perkenankanlah…”

Khalas, sekian catatan hamba. Semoga ada manfaatnya.

al- Haqir wal- Faqir ar-Rajiy Ila Rahmati Allah al-Ghaniy :
Ibnu Masran al-Banjari

Timbalan Pengerusi,
Lajnah Tarbiyyah & Latihan Perkaderan
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor


SMS : 019-777 ####
Email :
ibnumasran@yahoo.com
Weblog :
http://tarbiyyahibnumasran.blogspot.com
Masa : 05.33 p.m
Tarikh : 23 Jamadil Awal 1429H
Tempat : Dalam Bas : KL- JB



* Ini bukan laporan aktiviti Lajnah Tarbiyyah DPPNJ. Sekadar catatan perkembangan proses pentarbiyyahan oleh Lajnah Tarbiyyah DPPNJ.
* Catatan ini dibuat bagi agak bercampurbaur (laporan + catatan = lapotan).. Namun masih terdapat beberapa point yang boleh diambil bagi memenuhi kehendak UcapTema Ketua DPPNJ.
* Harap maklum dan harap maaf..
– al-Banjari


[1] Kekadang tu jugak, disebabkan kami tak cukup wang nak isi minyak…