Saturday, January 10, 2009

Qunut Nazilah

Qunut Nazilah dalam praktik amalan Mazhab Syafi'i hanya sunnat dilakukan dalam sholat fardhu yang lima (termasuklah sholat Jumaat), sama ada dalam kesemua sholat yang lima tersebut atau mana - mana sholat fardhu, ketika umat Islam ditimpa musibah atau menghadapi ancaman sesuatu bahaya seperti wabak, penindasan, penganiayaan, peperangan, kemarau dan sebagainya. Pernah sewaktu ancaman jerubu dahulu Mufti Negeri Sarawak menyarankan agar dibacakan Qunut Nazilah dalam sholat fardhu yang lima dan sholat Jumaat. Menurut fuqaha' kita, tidaklah semestinya bahaya-bahaya atau musibah-musibah itu mengancam umat keseluruhannya, disunnatkan juga berqunut nazilah apabila ada sebahagian umat yang mengalaminya. Dan tidak juga disyaratkan yang menerima atau menghadapi musibah itu diri orang yang berqunut itu sendiri.

Dalam perlaksanaannya, Qunut Nazilah dilakukan seperti Qunut Subuh, iaitu dibacakan pada i'tidal rakaat terakhir sholat fardhu tersebut. Sebagaimana Qunut Subuh ianya dibaca dengan jahar ketika berjemaah walaupun dalam sholat-sholat sirriyyah - Zohor dan Asar. Jika dibaca dalam sholat sendirian, maka ianya dibaca secara perlahan (sir.) Selain sholat-sholat fardhu yang lima tidaklah disunnatkan berqunut padanya. Maka dalam sholat jenazah, sholat nazar dan sholat sunnat tidak disunnatkan berqunut nazilah, bahkan dalam sholat jenazah ianya dihukumkan sebagai makruh, manakala dalam sholat sunnat dan sholat nazar, ianya dihukumkan sebagai khilaful awla.
Seperkara lagi yang perlu kita ingat ialah walaupun Qunut Nazilah ini seumpama Qunut Subuh, tetapi hukumnya tidaklah sama kerana Qunut Subuh itu adalah sunnat ab'adh yang sunnat ditampal dengan sujud sahwi jika ditinggalkan. Manakala Qunut Nazilah jika ditinggalkan dengan sengaja atau lupa tidak sunnat dijabar dengan sujud sahwi. Berhubung lama masa mengerjakan Qunut Nazilah, kebanyakan ulama kita berpendapat ianya dilaksanakan sehingga hilang musibah atau bahaya tersebut dan ada juga segelintir yang hanya membatasi perlaksanaannya dalam tempoh sebulan.
Berhubung bacaan pula, maka apa-apa doa yang munasabah bagi tujuan nazilah adalah memadai. Juga memadai jika dibaca Qunut Subuh yang lazim, dengan atau tanpa apa-apa penambahan doa-doa lain. Cuma pada kebiasaannya amalan ulama kita, ianya diawali dengan membaca Qunut Subuh lalu sebelum bersholawat ditambah dengan doa-doa yang munasabah seperti doa tolak bala' dan sebagainya. Dan biasa juga dibaca Qunut Sayyidina 'Umar r.a. sebagai Qunut Nazilah.

***********************************
Qunut Sayyidina 'Umar

" Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pertolonganMu, kami memohon keampunanMu, tidaklah kami mengkufuriMu, kami beriman denganMu dan kami berlepas diri daripada orang-orang yang menderhakaiMu. Ya Allah, Engkaulah yang kami sembah dan keranaMulah kami bersholat dan bersujud, kepadaMu kami arahkan segala usaha dan khidmat, kami mengharapkan rahmatMu dan takut akan azabMu, sesungguhnya azabmu yang dahsyat layak untuk ditimpakan kepada orang-orang kafir. Ya Allah, azabkanlah orang-orang kafir yang menghalangi jalanMu, yang mendustakan para utusanMu, yang membunuh para waliMu. Ya Allah, ampunilah sekalian mukminin dan mukminat, muslimin dan muslimat, perbaikilah hubungan antara mereka, satukanlah antara hati-hati mereka, jadikanlah hati-hati mereka dipenuhi keimanan dan hikmah, tetapkanlah mereka atas agama Rasulullah s.a.w., teguhkanlah mereka dalam melaksanakan janjiMu yang telah Engkau janjikan bagi mereka, Bantulah mereka dalam menghadapi musuhMu dan musuh mereka, wahai Tuhan Yang Maha Benar, jadikanlah kami daripada kalangan mereka."