Monday, May 14, 2012

Tok Ayah Musa : Ulama yang sentiasa merendah diri. (siri 2)


TAWADHU' TUAN GURU YANG 'ALIM.

Ketika faqir meminta nasihat daripadanya, beliau berkata : "Apalah yang Tok Ayah boleh nasihatkan.. Tok Ayah sendiri masih perlukan nasihat daripada orang 'alim yang lain.."

Namun sebagai insan yang dahagakan nasihat daripada Tuan guru, faqir memujuknya dengan lembut, faqir katakan : "Muqaddimah Tok Ayah tu membuatkan kami bertambah haus.. Tambahkanlah lagi nasihat buat kami.. Semoga menjadi bekal yang bermanfaat buat kami.. "

Tuan guru tersenyum. Wajahnya bertambah seri lagi dengan senyumannya. Akhlaknya lebih berseri daripada seri wajahnya itu. Beliau meneruskan kata-katanya : "Tok Ayah takut nak bercakap banyak.. takut nanti banyak yang salah.. sekalipun Tok Ayah bercakap quran dan hadis, Tok Ayah bimbang tersalah tafsir.."

Allahu Rabbi.. Demikianlah perkataan seorang alim yang tawadhu'. Yang selalu memakai pakaian khauf terhadap Rabbnya. Sungguh bererti nasihatnya. Sungguh mendalam pengajarannya. Di saat itu faqir terus teringat sebuah athar :

من كثر كلامه كثر سقطه ، ومن كثر سقطه كثرت ذنوبه ، ومن كثرت ذنوبه كانت النار أولى به
"Barangsiapa banyak cakapnya, banyaklah salahnya. Barangsiapa banyak salahnya, banyaklah dosanya. Barangsiapa banyak dosanya, maka neraka itu terlebih aula baginya."

Bagi faqir, Tuan guru itu hanya mahu menjaga kesempurnaan iman. Beliau sedang beramal dengan sebuah hadith yang berbunyi :

من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا أو ليصمت
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam."

Jika sekadar itu sahaja nasihatnya, nescaya memadailah menjadi nasihat yang paling berguna buat faqir selaku murid kecil ini dalam meneruskan perjuangan para ulama. Di fikiran faqir tidak lain melainkan hanya mengharap agar Allah Yang Maha Mengetahui mengerakkan lidah Tuan guru untuk sudi menambah nasihat dan kalam hikmahnya, agar dengan nasihat itu dapat faqir semai dan suburkan dalam jiwa faqir serta faqir sampaikan kepada murid-murid yang lain.

Tiba-tiba Tuan guru mula bersuara lagi, wajahnya tetap tersenyum sambil mengutip pahala shadaqah sebagaimana yang dijanjikan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

تبسمك في وجه أخيك صدقة
" Senyum engkau terhadap wajah saudara engkau adalah shadaqah"

Kata Tuan guru : "Beginilah.. Tok Ayah nasihatkan pada diri Tok Ayah dan pada antum supaya selalu shalawat ke atas rasul صلى الله عليه وسلم , shalawatlah dengan rasa penuh ta'zim ke atas rasul kita.."

Tuan guru meneruskan nasihatnya dengan menyebutkan dalil ayat al-quran yang berbunyi:


إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
"Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat ke atas Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." ( al-Ahzab : 56)

Tuan guru menjelaskan : "Ibadat-ibadat yang lain, Allah perintahkan terus dengan menyebutkan ibadat itu. Tapi untuk shalawat, Allah menyebut dirinya, Allah menyebut dengan para malaikatnya.. Itu menunjukkan ibadat shalawat ini memiliki kemuliaan dan kedudukan yang tinggi di sisi Allah."

Tuan guru terus menyatakan kemuliaan dan budi pekerti rasulullah صلى الله عليه وسلم , sehinggalah..

LINANGAN AIRMATA MAHABBAH & KASYAF TUAN GURU

Tak semena-mena faqir sendu tersedu-sedu.. Airmata tumpah setelah kelopak mata tak mampu menanggung linangannya.. Faqir terlalu rindukan Rasul.. Faqir ingin sekali berada di bawah Liwa'il hamd, faqir ingin meneguk walau seteguk cuma daripada air telaga al-Kauthar, faqir ingin menyarungkan selipar kepada kaki Baginda yang mulia itu.. Tapi..

Faqir ini seorang yang jauh.. Jauh serba serbi.. Apakah bisa dapat merasai nikmat syafaat Rasul? Apakah mampu berada di bawah kibaran bendera Liwa'il hamd? Bisakah memeluk jasad Baginda yang mulia itu? Akan sampaikah giliran faqir untuk meneguk air kauthar?


Ternyata himbaun itu tidak mampu faqir kawal, terasa berat sekali.. Namun faqir cuba gagahi dengan mengenangkan rahmat Allah yang tidak bertepi..

Rupa-rupanya Tuan guru menyedari.. Lalu Tuan guru berhenti daripada berkata-kata. Faqir menjadi serba salah. Faqir menundukkan kepala kerana bimbang kelakuan faqir itu membuatkan Tuan guru terganggu.

Jika Imam Asy-Syafie رحمه الله تعالى pernah berkata :

كنت أصفح الورقة بين يدي مالك رحمه الله تعالى صفحا رقيقا هيبة له, لئلا يسمع وقعها
"Apabila aku membuka helaian-helaian kitabku di hadapan Imam Malik رحمه الله تعالى, aku buka dengan perlahan-lahan kerana aku gerun kepadanya, takut-takut dia terganggu bila mendengar bunyi kertas itu."

Maka bagaimana dengan esakan sendu faqir? Tentu sekali telah mengganggu Tuan guru! Ya Allah!.. Maafkan faqir..


Tiba-tiba Tuan guru membacakan beberapa potong ayat yang berbunyi :

إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِنْ قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَى عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ سُجَّدًا. وَيَقُولُونَ سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنْ كَانَ وَعْدُ رَبِّنَا لَمَفْعُولاً . وَيَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ يَبْكُونَ وَيَزِيدُهُمْ خُشُوعًا
"Sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelumnya, apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud dalam keadaan hiba dan khusyuk. Dan mereka berkata: "Maha suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan Kami tetap terlaksana." Dan mereka segera tunduk sujud sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk." (Al-Israa' : 107-109)


Lalu Tuan guru juga tidak dapat menahan airmatanya.. Kami sama-sama mengalirkan airmata mahabbah! Kami sama-sama rindukan penghulu kami!. Kami sama-sama rindukan syafaatnya!. Kami sama-sama bimbangkan nasib kami di padang mahsyar kelak!. Namun kami Sangat yakin janji Allah dan rasulNya pasti berlaku!.

Kami harapkan keampunan Allah!. Kami dambakan rahmatNya!. Kami mengharapkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengenali kami sebagai ummatnya!. Kami dambakan belas kasihan Tuan Rasul kepada kami selaku ummatnya!. Ya Allah! Perkenankanlah..

والحاصل أن المحبة تهين الصعب # وتقود للطاعة الجسم والقلب
"Dan hasilnya, cinta itu dapat menyenangkan yang susah, dan memandu jasad serta hati ke arah ketaatan kepada Allah."


MUSALSAL BIL AWWALIYAH

Memikirkan murid-murid dan sahabat-sahabat yang turut serta bersama faqir, di antara mereka itu ada yang baru dengan periwayatan hadith musalsal, maka faqir sempat meminta Tuan guru agar mengijazahkan hadith musalsal bil awwaliyyah.


Harapan faqir moga ia bermanfaat buat diri faqir dan yang lainnya. Tambah pula sebagai adab apabila bertemu dengan ulama yang memiliki sanad, seharusnya terlebih awal kita memohon diperdengarkan hadith tersebut. Inilah sebabnya hadith itu dinamakan dengan hadith musalsal bil awwaliyyah.

Tuan guru tersenyum. Beliau memejamkan mata. Kemudian Tuan guru berkata : "Baiklah.. Tok Ayah ijazahkan.. Tok Ayah ijazahkan hadith musalsal ini.."

Tuan guru teruskan katanya : " Tok Ayah terima hadis ini daripada Tok Guru Omar Zuhdi dan Tok Guru Haji Omar terima daripada Syeikh Yassin Al-Fadani dan sanadnya bersambung sampai kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم . Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

الراحمون يرحمهم الرحمن، ارحموا من في الأرض يرحمكم من في السماء
"Orang-orang yang saling menyayangi, sentiasa Tuhan Ar-Rahman Tabaraka Wa Ta'ala menyayangi mereka. Sayangilah penduduk di bumi, sentiasa penduduk di langit akan menyayangi kamu."

Tuan guru bukan sahaja pandai meriwayatkan hadith tersebut, bahkan Tuan guru mengamalkannya dalam kehidupan beliau. Siapa saja yang mengenali dan pernah bertemu dengan beliau pasti merasai sifat penyayang Tuan guru itu.

[Catatan] Tok Ayah pernah memondok dengan Tuan Guru Asy-Syeikh Haji Umar Az-Zuhdi di Banggol Berangan Lanai, Kupang Kedah. Pondok gurunya itu bernama Madrasah Misbahul Falah. Tuan Guru Haji Umar adalah guru kesayangan Tok Ayah, guru yang banyak memberi kesan peribadi dan kerohanian Tok Ayah. Beliau adalah murid kepada Tuan Guru Haji Yahya Thaha Kampung Pisang. Dan ketika menuntut ilmu di Makkah, beliau sempat berguru dengan Tuan Guru Sheikh Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir (Pak Da’el), Sheikh Abdul Qadir bin Abdul Muthalib Al-Mandili, Sheikh Muhammad Daud Sulaiman Al-Kelantani Al-Makki dan Syeikh Muhammad Yasin Al-Fadani Al-Makki. Semoga Allah merahmati mereka semua serta melimpah manafaat ilmu mereka kepada kita semua. Amin..


TAWADHU' TUAN GURU

Ketika faqir memohon agar Tuan guru mendoakan kami, Tuan guru berkata : "Tok Ayah harap antum yang doakan Tok Ayah.. Doa musafir itu mustajab.."

Kami saling mendoakan.. Faqir bermohon agar Tok Ayah dikurniakan kesihatan tubuh badan, mampu mencurahkan ilmu kepada masyarakat.. Mampu berkhidmat kepada ilmunya.. Dapat terus beramal untuk menjadi bekal di alam yang kekal.. Allah jua tempat kami meminta pertolongan dan petunjuk.. Amin.. Ya Rabbal 'Alamin..


Faqir mengusap lembut kaki Tuan guru. Semoga Allah menyembuhkan kakinya yang sering tak berdaya. Kaki yang telah mendahului faqir dalam berbuat ibadah kepada Allah. Kaki yang telah melangkah jauh mencari ilmu-ilmu Allah. Kaki yang sentiasa digunakan untuk mencari redha Allah.

Tanpa disangka-sangka, Tok Ayah berkata : "Nasihatkan Tok Ayah pula.."

Faqir terkedu. Siapalah faqir ini untuk menasihati Tuan guru?! Tok Ayah merenung dalam ke mata faqir. Matanya seolah-olah mengharap sesuatu.

Faqir katakan : "Maulana Husin ada berkirim salam dengan lafaz السلام عليكم pada Tok Ayah.." Faqir cuba mengalihkan tumpuannya. Setelah menjawab salam tersebut, ternyata mata Tuan guru masih berkata-kata.

Akhirnya faqir meminta salah seorang murid faqir mengambilkan beberapa kitab karangan faqir untuk faqir hadiahkan kepada Tuan guru, sekaligus ingin memohon restu dan doanya agar faqir istiqamah untuk menjadi khadim ilmu.


Dengan cara itu, faqir dapat mengelakkan daripada memberi nasihat secara suara kepada Tuan guru yang jauh lebih 'alim, lebih wara', lebih tawadhu', lebih zuhud dan lebih tua dalam ilmu dan amal ibadahnya berbanding faqir yang kerdil ini.

Ketika Tuan guru menerimanya, beliau terus mengucapkan ; "!سبحان الله" Wajahnya tersenyum bersinar. Faqir turut tersenyum sama apabila melihat wajah kasih Tuan guru.

Tuan guru terus membaca risalah kecil itu. Ketika sampai pada perkataan As-Sayyid Ahmad Bin Idris Al-Hasani رضى الله عنه, beliau terus memandang faqir.


"Adakah ini Sayyid Ahmad Tariqat Ahmadiyyah Al-Idrisiyyah?" Tanya Tuan guru sambil tersenyum. Faqir menganggukkan kepala.

Tuan guru terus berkata "Ya saiyyidi.. Ijazahkan pada Tok Ayah ya..".

Allahu Rabbi.. Faqir semakin malu dengan sifat rendah diri Tuan guru.. Demi ilmu, beliau sanggup mengambilnya daripada faqir.

"Ijazahkan ya?.." Tuan guru menyebutkannya lagi.. Sehingga faqir terpaksa melafazkan :أجزتكم يا شيخي بما في هذه الرسالة وبجميع مروياتي وبسائر مؤلفاتي

"Tok Ayah doakan ya moga saya dapat menulis dan menerbitkan lagi kitab-kitab kecik macam ni.." Sambung faqir sambil merayu pada Tuan guru. Faqir sangat mengharapkan Tuan Guru merestui dan terus membimbing faqir bagi menerbitkan lebih banyak lagi kitab-kitab selama faqir terdaya menulisnya.


Bibir Tuan Guru melafazkan "Qobiltu ya sayyidi.. besar atau kecik bukan ukuran.. Tok Ayah gembira Sangat bila ada orang muda yang menjiwai cara ulama kita yang dulu-dulu.. tulislah lagi.. dengan peninggalan tulisanlah, maka kita dianggap hidup walaupun telah mati nanti.."

Allahu Rabbi.. Sifat tawadhu' Tuan guru.. Sanggup menyeru faqir yang haqir ini dengan kalimah sayyidi. Faqir merasa amat malu sekali.. Akhlaknya membekas di hati.. Namun restu dan nasihatnya itulah lebih faqir utamakan. Terima kasih wahai syaikhuna Tok Ayah.. atas segala ilmu yang dicurahkan..

Faqir teringat ketika bertemu dengan Syaikhi Asy-Syeikh Pak Su Mid Gunong, semoga Allah memeliharanya. Beliau juga pernah berpesan dengan pesan yang sama. Dan beliau meminta faqir agar meneruskan mengajar kitab-kitab tua para ulama terdahulu dan menulis kitab dengan tulisan jawi.

Sebenarnya guru yang amat berpengaruh dalam diri faqir terutama dalam disiplin meriwayatkan dan menulis kitab adalah syaikhuna Asy-Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari, semoga Allah memeliharanya. Restu dan tunjuk ajar beliau Sangat faqir hargai. Pernah faqir katakan padanya, "Syaikh, tidak sedikit kesalahan dari sudut ejaan dan nahu dalam kitab-kitab ana ni." Beliau segera menjawab "Perlahan-lahan kita baiki.. Ana dulu macam tu jugak.. Sebenarnya tidak ada kitab yang sempurna melainkan al-Quran al-Karim.." Demikian syaikhuna ketika memberikan komentarnya.

Faqir sedar bahawa Tuan guru juga adalah pengamal Tariqat Ahmadiyah Al-Idrisiyah Ad-Dandarawiyah dan memiliki tiga jalur sanad yang berbeza. Namun sifat tawadhu' Tuan Guru, Tuan Guru telah meminta izin untuk membaca sanad yang dimuatkan dalam kitab faqir tersebut.

Satu persatu nama disebutkan sehinggalah sampai kepada Al-Imam Sayyidul 'Arifin Wa Qutbul Muhaqqiqin As-Sayyid Ahmad Bin Idris Al-Hasani رضى الله عنه. Kemudian Tuan guru berdoa :

اللهم اغفرلهم وارحمهم وانفعنا بهم وبعلومهم وبأسرارهم وبأنوارهم في الدارين. وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم في كل لمحة ونفس عدد ما وسعه علم الله. والحمد لله رب العالمين.آمين. يا رب العالمين

"Aminn.. Amin..Ya Rabbana.. " Kami menyambut doa tersebut.. Tuan guru tersenyum seakan-akan merasakan berkah para auliya' sedang menyelimutinya dan kami juga dapat merasai tambahan kebaikan itu.


TOK AYAH SEORANG YANG TAWADHU' TERHADAP ILMU LAGI MENGHORMATI PARA MASYAIKHNYA.


Ketika Tuan Guru melihat tertera nama Al-Banjari pada kitab-kitab faqir, beliau terus berkata "Semoga ilmu dan berkah Syeikh Abdul Karim Al-Banjari tercurah kepada syeikh.."

"Amin.." Semoga Allah perkenankan.. Segera faqir membalas. Faqir terharu dengan doa yang dilafazkan oleh Tuan guru.

Beliau teringat akan gurunya Syeikh Abdul Karim Al-Banjari ketika beliau menuntut ilmu dengannya sewaktu di Makkah dahulu.

Begitulah Tok Ayah.. Seorang yang selalu mengingati para masyaikhnya. Beliau tidak pernah melupakan jasa guru-gurunya yang pernah mencurahkan pelbagai ilmu kepadanya. Sempat juga Tuan guru memuji gurunya tersebut.

Memang wajar Allah memuliakan Tuan Guru. Sebagai murid yang tahu adab dan hak seorang guru, memang layak Tuan guru menerima kemuliaan daripada Allah Taala. Faqir teringat perkataan Imam al-Munawi رحمه الله تعالى dalam Faidhul Qadir :

تواضع الطالب لشيخه رفعة وذلة عز وخضوعه فخر
"Sebenarnya sikap merendah diri seorang penuntut ilmu terhadap gurunya adalah membawa kepada ketinggian darjatnya, kehinaan diri di hadapannya adalah kemuliaannya dan tunduknya terhadapnya adalah suatu kebanggaan."


SALING TAWADHU' TERHADAP KALAM SAYYIDUL ANAM

Tuan Guru gembira sekali di saat melihat kitab Jawami'ul Kalim yang faqir himpunkan. Beliau berkata "Inilah sebaik-baik khidmat.. Rasulullah pasti suka dengan khidmat anak.."


Tuan Guru juga meminta faqir bacakan beberapa buah hadith yang terkandung dalam kitab tersebut dan faqir juga meminta Tuan Guru membaca beberapa hadis yang lainnya. Suasana begitu indah sekali. Semoga kami termasuk dalam sabda dan doa Nabi صلى الله عليه وسلم :

عن ابن عباس قال: قال النبي صلى الله عليه وسلم: اللهم ارحم خلفائي قلنا: يا رسول الله ومن خلفاؤك قال: الذين يأتون من بعدي يروون أحاديثي ويعلمونها الناس

"Daripada Ibnu Abbas katanya, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda : "Ya Allah, Rahmatilah khalifah-khalifahku!, Tanya kami, wahai Rasulullah, siapakah khalifah-khalifahmu? Jawab Baginda : Ialah orang-orang yang datang selepasku dan meriwayatkan hadith-hadithku serta mengajarkannya kepada manusia." Amin Ya Rabb..

Tuan guru meminta agar faqir memberi tumpuan menulis dan membela sunnah-sunnah nabi صلى الله عليه وسلم . Sebenarnya faqir malu dengan Tuan guru. Tuan guru jauh lebih 'alim dalam ilmu hadith. Beliau memang mendalami ilmu hadith ketika menuntut ilmu di Sudan, di Makkah al-Mukarramah dan sewaktu di Madinah al-Munawwarah.


Tuan guru memiliki Syahadah 'Aliyyah daripada Madrasah Darul 'Ulum Ad-Diniyah, Makkah Al-Mukarramah dan Ijazah 'Aliyyah daripada Kuliyah Hadith Asy-Syarif dan Dirasah Islamiyah, Jami'ah Islamiyah, Madinah Al-Munawwarah.

Insya' Allah faqir akan berusaha menunaikan pesan Tuan Guru itu sedaya dan semampu faqir. Mudah-mudahan dengan berkat dan doa daripada beliau, faqir diberi istiqamah dan kemampuan dalam meneruskan usaha-usaha tersebut. Amin..

Faqir bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dapat menimba ilmu daripada Tuan Guru yang memakai pakaian tawadhu', rendah diri, penuh kasih sayang dan saling memuliakan antara hamba Allah.

Mana mungkin faqir dapat berlebih kurang dengan Tuan guru. Menta'zimkan beliau adalah kewajipan bagi faqir selaku murid kecilnya ini. Terngiang-ngiang syair Imam Asy-Syafie رضى الله عنه:

أهين لهم نفسى فهم يكرمونها # ولن تكرم النفس التي لا تهينها
"Patutkah diriku ini bersikap lebih kurang terhadap para ulama?, sedangkan mereka sudi memuliakan diriku. Ingatlah, sekali-kali tidak akan dimuliakan diri yang angkuh, yang tidak mahu merendahkannya."


Di kala faqir menerangkan tentang isi risalah Ratib al-Banjari, Tuan guru mendengar dengan begitu semangat sekali. Faqir melihat mata Tuan guru bergelinangan air mata.

Tuan guru bicara lembut : "Sayyidi.. berkahnya hari ini.. Inilah bekal utama kita untuk bertemu Allah.." Tuan guru berkata lagi "Hanya dengan mengingati Allah, hati kita menjadi tenang.. dengan bertawakkal kepada Allah, urusan kita pasti menjadi mudah.."

Perkataan Tuan guru itu adalah manifestasi daripada tiga firman Allah iaitu :
1) أَلا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ (الرعد/28)
2) وَتَوَكَّلْ عَلَى الْحَيِّ الَّذِي لَا يَمُوتُ(الفرقان/58)
3) وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا (الطلاق/2)

Sejuk hati mendengarkan perkataan Tuan guru itu.. Sebenarnya Tuan Guru adalah orang yang sentiasa beramal dengan ilmunya. Di saat Tuan guru terlupa beramal sesuatu anjuran daripada Allah atau RasulNya, Tuan Guru akan beristighfar dan berzikir sebagai menampung keterlupaannya itu. Dan memang zikrullah sentiasa bermain di bibir Tuan Guru yang wara' itu.

Pernah ketika Tuan Guru mengajar, beliau berhenti mengajar kerana mahu mengamalkannya terlebih dahulu sebelum beliau mengajarkannya kepada murid-muridnya.


Tuan guru sempat berkata "Tok Ayah ijazahkan semua ilmu Tok Ayah pada syeikh.. Tok Ayah harap kalau ada majlis khatam, syeikh dapat sebut nama Tok Ayah.. doakan Tok Ayah.. doakan Tok Ayah dengan nama penuh Tok Ayah.. doakan kedua orang tua Tok Ayah.. "

Allahu Rabbi.. Tawadhu' Tuan guru membuatkan faqir merasa kerdil sekali. Faqir katakan kepadanya "Doa daripada Tok Ayah juga sangat saya perlukan.. Tok Ayah sudah banyak menambur ilmu.. saya tak akan lupakan Tok Ayah dalam doa-doa saya.. terutama pada waktu sahur.."

"Saya mendoakan agar Tok Ayah sentiasa dipelihara Allah, diberi kesihatan, dikurnia istiqamah dan hikmah, dapat mencurahkan ilmu, dapat terus mengerjakan amal soleh, Semoga Tok Ayah sentiasa dirahmati dan diberkati oleh Allah Jalla wa 'Alla.. Menjadi sebahagian wali min auliya'illahis solihin.. Menjadi kebanggaan dan penyejuk mata Rasulullah صلى الله عليه وسلم . Semoga kita dapat selalu bertemu di alam nyata dan di alam ghaib menurut kehendak Allah 'Alimul Ghaibi wasy Syahadah.."

اللهم اغفر لمشايخنا ولمن علّمنا وارحمهم, واكرم مكانتهم و مثواهم, يا أرحم الراحمين. آمين
"Ya Allah, ampunilah guru-guru kami dan orang yang pernah mengajar kami, serta rahmatilah mereka semua, Engkau muliakanlah kedudukan mereka dan tempat kembali mereka, wahai Tuhan Yang Paling Pengasih."


Demikian sempat faqir katakan di hadapan Tuan guru yang mulia. Semoga Allah perkenankan dengan berkah Tuan guru dan dengan Jah Rasulullah صلى الله عليه وسلم .

"Amin.. Aminn.. Ya Rabbal 'Alamin.." Balas Tuan guru bersemangat.

Mungkin ramai juga yang tidak mengetahui, nama sebenar Tuan guru adalah asy-Syeikh 'Abdul Qadir bin Muhammad Yusuf. Ayahnya bernama Muhammad Yusuf Bin Muhammad Soleh dan ibunya pula bernama Aminah Binti Che Wok.

Semoga murid-murid Tuan Guru yang lain juga tak lupa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan kepada Tok Ayah Musa yang telah banyak memberi tunjuk ajar kepada kita semua..


YANG SAYUGIA DIPERGAULI

Tuan Guru adalah manusia pilihan Allah. Akhlaknya sahaja sudah mampu memberi nasihat. Kalamnya sangat berhikmah. Ucapannya mampu membungkah hati yang keras. Tawadhu'nya mampu melemahkan jiwa yang takabbur. Senyumnya mampu menghiburkan hati yang gundah. Kasih sayangnya tak mengira darjat. Zuhud dan wara'nya, sangat terpamer di mata yang melihatnya. Beliau memang layak dijadikan sahabat, guru, ayah, bahkan muallim, murabbi dan mursyid. Teringat faqir akan sebuah hadith :

عن ابن عباس رضى الله عنهما قال : قيل يا رسول الله، أي جلسائنا خير؟ قال : من ذكركم بالله رؤيته وزاد في علمكم منطقه وذكركم بالآخرة عمله
"Daripada Ibni Abbas رضى الله عنهما dia berkata, para sahabat bertanya kepada ِRasulullah, mana yang baik untuk kami pergauli? Rasulullah bersabda : ialah orang yang jika kamu lihat padanya, kamu menjadi ingat kepada Allah, dan jika kamu mendengar kalamnya, ilmu kamu menjadi bertambah, dan jika kamu melihat akhlak kelakuannya, kamu menjadi ingat akan akhirat." .

Demikian terhimpun pada Syaikhuna Al-'Alim Al-'Allamah Asy-Syaikh Tuan Guru Haji 'Abdul Qadir Bin Muhammad Yusuf Hafizahullah Ta'ala. Yang Dikenali sebagai Tok Ayah Musa Tumpat.


اللهم استر عيب معلمي عني ولا تذهب بركة علمه مني
"Ya Allah, tutupilah aib guruku dari pandanganku dan janganlah Engkau hilangkan keberkatan ilmunya daripadaku!"

اللهم اغفر لمشايخنا ولمن علّمنا وارحمهم, واكرم مكانتهم و مثواهم, يا أرحم الراحمين.
"Ya Allah, ampunilah guru-guru kami dan orang yang pernah mengajar kami, serta rahmatilah mereka semua, Engkau muliakanlah kedudukan mereka dan tempat kembali mereka, wahai Tuhan Yang Paling Pengasih."

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم عدد ما ذكره الذاكرون
وغفل عن ذكره الغافلون سبحان ربك رب العزة عما يصفون
وسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين
آمين بجاه الأمين