Friday, November 23, 2012

Asy-Syaikh Muhammad Husni Ginting Al-Langkati Al-Azhari : Sedetik cuma, namun menghasilkan timbunan ibrah. (siri 2)


SEBAHAGIAN ADAB THOLIB DAN MANFAAT MASA

Ketika kami dalam perjalanan ke Singapura, Allah Ta'ala telah mentaqdirkan keadaan jalan yang begitu sesak dan macet sekali. Sehingga perjalanan daripada Johor Bahru ke Bangunan Tradisi Halaqah, Raden Mas, di Jalan Joo Chiat Road hampir melewati 4 jam.

Saya melihat ini adalah hikmah mengapa Allah Ta'ala melewatkan perjalanan kami. Masakan tidak, dalam tempoh tersebut, kami dapat gunakannya dengan bermuzakarah pelbagai perkara dan ilmu khususnya ilmu mustholah hadits.  

Di saat itu juga, kami dapat mendengar hadits-hadits yang termaktub dalam Syama'il Muhammadiyah yang dibacakan oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Ariff Jasiman. Hampir 80 buah hadits juga telah dibacanya. Alhamdulillah..

Al-Fadhil Ustaz Ariff sangat menjaga adab-adab terhadap masyaikh. Sungguh pun beliau mahu membaca hadits-hadits tersebut, beliau terlebih dahulu menghantar "sms" kepada faqir untuk menyatakan hajatnya itu, sekalipun ketika itu beliau hanya duduk di belakang kami. Lalu faqir menyampaikannya kepada syaikhina Asy-Syeikh Muhammad Husni Al-Langkati حفظه الله تعالى .

Mengapa beliau tidak berterus terang saja menyuarakan hasratnya itu? Barangkali beliau bimbang jika diucapkan hasratnya itu akan mengganggu kerancakan perbualan faqir bersama Syeikh Husni. Atau kerana meletakkan sikap gerun dan rasa hormat kepada guru-gurunya. Adalah kurang adab jika si tholib itu bertanya atau meminta sesuatu secara melulu terhadap gurunya.

Hal ini mengingatkan faqir kepada beberapa kisah yang pernah diriwayatkan oleh guru-guru faqir.  Antaranya pernah satu hari datang anak khalifah al-Mahdi kepada Syuraik رحمه الله تعالى sambil bersandar kepada dinding dan bertanyakan tentang satu hadits. Maka Syuraik tidak menghiraukannya. Kemudian ditanya lagi oleh anak khalifah itu, tetapi Syuraik tetap tidak melayaninya.

Lalu si anak khalifah itu berkata : "apakah patut tuan syeikh menghina anak-anak khalifah?" Mendengarkan itu, lalu Syuraik menjawab :

لا, ولكن العلم أجل عند الله من أن أضيعه

"Tidak, tetapi ilmu itu lebih agung di sisi Allah Ta'ala dan tidak patut samasekali saya menghinanya."

Kemudian anak khalifah tadi terus duduk melutut dengan penuh tawadhuk. Lalu Syuraik berkata :

هكذ يطلب العلم
Beginilah cara orang yang menuntut ilmu." (intaha)

Daripada AbdurRahman Bin Harmalah al-Aslami katanya :

 ما كان إنسان يجترئ على سعيد بن المسيب يسأله عن شيء حتى يستأذنه كما يستأذنا لأمير 
"Tiada siapa berani bertanya sesuatu kepada Said bin al-Musayyib sehinggalah beliau mengizinkannya sepertimana sikap seorang rakyat terhadap penguasa yang tidak berani bertindak sewenang-wenang kecuali setelah diizinkan." (intaha)

Demikianlah akhlak tholib terhadap mathlub. Ilmu dan berkah itu pasti terhasil selama mana kita sentiasa menjaga ilmu dan adab.

Dalam kitab Dhabtul Lisaan yang ditulis oleh Syeikh Abdul 'Adzim Bin Sya'ban Al-Mishri حفظه الله تعالى, terdapat satu ibarat yang begitu berharga.. katanya :

العلم والأداب كنزان لا ينفذان, وسراجان لا يطفأن, وحلتان لا تبليان, من نالهما أصاب الرشاد وعرف طريق المعاد وعاش رفيعا بين العباد
"Ilmu dan adab adalah dua simpanan yang tidak putus, dua cahaya yang tidak pudar, dan dua bejana yang tidak lapuk, barangsiapa yang menerima keduanya, maka akan mendapat kemuliaan dan mengetahui jalan yang lurus dan dia hidup dalam kesejahteraan antara manusia." (intaha)

Maka beruntunglah orang-orang yang meletakkan ilmu dan adab di hadapan mereka. Akan selalulah berbahagia bagi mereka yang sentiasa memakai selendang ilmu dan adab.

Dahulu pernah syaikhuna al-Faqih asy-Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari حفظه الله تعالى menceritakan tentang perjalanan ilmunya. Beliau selalu mengikuti rehlah dan jaulah gurunya asy-Sٍyeikh al-Lahji رحمه الله تعالى . Dalam perjalanan mereka, guru kami yang 'alim asy-Syeikh Nuruddin pasti mengambil kesempatan untuk membacakan kepada gurunya itu khususnya kitab-kitab hadits.

Faqir juga sering menganjurkan kepada murid-murid faqir agar mencontohi bagaimana para ulama  memanfaatkan masanya untuk meraih ilmu dan berkah. Sungguhpun berada dalam perjalanan, ambillah peluang untuk menambah ilmu. Jangan biarkan masa yang terluang itu terbiar begitu sahaja.

Ambil ingatlah akan Sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم :

نعمتان مغبون فيهما كثير من الناس الصحة والفراغ
"Dua ni'mat yang ramai manusia terpedaya dengannya : ni'mat sihat dan ni'mat lapang masa."

Maka manfaatkanlah masa sebaiknya. Khalifah Umar bin Abdul Aziz رضي الله عنه pernah berkata :

إن الليل والنهار يعملان فيك, فاعمل فيهما
"Sesungguhnya malam dan siang itu ditugaskan Allah untuk berkhidmat kepadamu, maka hendaklah kamu bijak menggunakan masa yang ada padanya." (intaha)

Berkata al-Imam al-Hasan Al-Bashri رحمه الله تعالى :

يابن آدم! إنما أنت أيام, فإذ ذهب يوم ذهب بعضك
"Wahai anak adam, sesungguhnya kamu adalah umpama hari-hari. Maka apabila berlalu satu hari, bererti telah berlalu sebahagian hidupmu." (intaha)

Janganlah dikenang dengan sedikitnya ilmu yang didapati dalam perjalanan atau dalam kenderaan itu. Tetapi himpunlah yang sedikit itu agar dia menjadi banyak dan berguna di hari kemudian.

Perhatikanlah perkataan yang diucapkan oleh Imam Baha'uddin al-Halabi an-Nahwi رحمه الله تعالى :

أن ضم القليل إلى القليل مع الدوام عليه، يتكون منه الكثير الهائل العجيب
"Bahawasanya menghimpunkan sedikit demi sedikit secara berterusan itu akan menghasilkan hasil yang banyak lagi menakjubkan." (intaha)

Imam Ibnu 'Aqil رحمه الله تعالى meninggalkan pesan yang indah, katanya :

اليوم شيء وغداً مثله  *** من نخب العلم التي تلتقط
يحصل المرء بها حكمةً ***  وإنما السيل اجتماع النقط

"Hari ini sedikit esok sedikit lagi, daripada mutiara ilmu yang dikutip, dengan cara ini seseorang itu akan mencedok hikmah, kerana sesungguhnya bah itu hanya akan berlaku dengan berhimpunnya air hujan."

Untuk menghayati bagaimana para ulamak dahulu memanfaatkan masa mereka, maka faqir anjurkan kepada semua pembaca blog ini agar meneliti kitab berharga karangan al-'Allaamah Syaikhul Muhaddits al-Faqih Abdul Fattah Abu Ghuddah al-Halabi رحمه الله تعالى yang bertajuk :

 "قيمة الزمن عند العلماء "

Kitab itu sangat penting untuk di baca dan dibuat muhasabah bukan sahaja kepada para ulama dan asatizah, bahkan juga kepada para penuntut ilmu agama.

Dahulu faqir ada mencatatkan sedikit kisah mengenai beliau (Al-Fadhil Ustaz Ariff) di : SINI & SINI.


KETELITIAN SYEIKH MUHAMMAD HUSNI GINTING AL-LANGKATI

Berbalik kepada pembacaan Hadits Syama'il Muhammadiyyah dalam kenderaan tersebut, ia tidak terhenti kepada semata-mata pembacaan, tetapi juga sempat dita'liq pula oleh Syeikh Muhammad Husni Ginting حفظه الله تعالى pada beberapa buah hadits. Kami juga memberikan hasyiah pada beberapa kalimah dan istilah yang perlu.

Apabila al-fadhil ustaz Ariff menemui beberapa kemusykilan, beliau segera bertanya untuk mendapatkan penjelasan. Begitulah sikap yang sepatutnya ada pada setiap penuntut ilmu. Jangan malu bertanya, kerana bertanya itu merupakan anak kunci untuk mendapatkan khazanah ilmu.

Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda :

العلم خزائن ومفتاحها السؤال فاسألوا يرحمكم الله، فإنه يؤجر فيه أربعة: السائل والمعلم والمستمع والمجيب لهم
"Ilmu itu merupakan khazanah berharga, dan anak kunci untuk memperolehinya adalah dengan bertanya. Maka bertanyalah kamu, semoga Allah merahmati kamu. Kerana sesungguhnya diberi pahala padanya empat golongan : orang yang bertanya, dan orang yang mengajarkan, dan orang yang mendengar dan orang yang kasih kepada tiga golongan tersebut."

Berkata Al-'Allaamah Asy-Syeikh Zainuddin Bin Ali Al-Malibariy رحمه الله تعالى :

واستفسر الأستاذ واترك ما بدا *** لبديه فهمك من كتاب واسألا
"Mintalah penjelasan kepada gurumu dan tinggalkanlah pemahamanmu dari sebuah kitab yang datang secara spontan, dan janganlah malu untuk bertanya." (intaha)

Kami juga bertukar-tukar pandangan berkenaan beberapa masalah yang timbul berkait dengan hadits-hadits yang dibacakan. Ke'aliman Syeikh Husni terserlah apabila beliau sempat mentahqiq beberapa kesalahan baris yang mengakibatkan kesalahan makna dan maksud.

Contohnya : pada hadits yang ke 7, pada kalimah ( رجلا ) , kitab "Keagungan Peribadi Rasulullah " terbitan Ikatan Penuntut Ilmu Pulau Pinang yang digunakan oleh Ustaz Ariff itu telah memberi baris dhammah (depan) pada huruf jim ( رَجُلاً ), sedangkan sepatutnya huruf jim itu mesti dibaris dengan kasrah (bawah) ( رَجِلاً ).

Jika huruf jim itu dibaca dengan baris dhammah (depan), maka ia membawa makna lelaki. Dan jika ia dibaris kasrah (bawah), maka ia membawa makna kerinting. Dan inilah makna yang sebenar yang dikehendaki dalam hadits tersebut.

Contoh yang lain pula, pada hadits ke 47, pada kitab tersebut tertulis : ( وبرأسه ردغ أو قال ردغ من حناء ), sedangkan yang betul adalah ( وبرأسه ردع أو قال ردغ من حناء ), dengan ada perbezaan antara mu'jamah dan muhmalah di antara huruf  ghin dan 'ain (  غ & ع) tersebut.

Ini sebahagian sahaja yang faqir sebutkan di sini daripada ketelitian dan ke'aliman Syaikhuna Asy-Syeikh Muhammad Husni Ginting Al-Lankati Al-Azhari. Semoga Allah Ta'ala sentiasa memelihara beliau.


MENGAMBIL ILMU DARI GURU DAN AHLINYA

Beginilah beruntungnya apabila mendapatkan sesuatu ilmu itu daripada seorang guru dan bukan mendapatkannya semata-mata daripada buku atau internet dengan tanpa guru.

Seringkali sudah faqir berpesan, kepada diri faqir dan kepada sekelian murid mahupun sahabat, berusahalah mendapatkan ilmu dengan berwasilahkan guru yang ahli. Ianya sangat menguntungkan duniamu dan akhiratmu.

As-Sayyid Alawi Bin Ahmad As-Saqaf رحمه الله تعالى pernah berkata :

إن المشيخة شأنها عظيم, وامرها عال جسيم
"Sesungguhnya guru itu kedudukannya sangat penting dan peranannya amat tinggi lagi besar." (intaha)

Lihatlah para a'immah terdahulu dan para ulama terkemudian, luar biasa kepandaian mereka kerana mereka belajar dan mendapat bimbingan daripada para guru. Hati mereka terus disingkapkan segala futuh oleh Allah Ta'ala lantaran usaha mereka mendahulukan guru sebagai pembukanya.

Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali رحمه الله تعالى pernah mengingatkan kita dengan katanya :

فاعلم, أن الاستاذ فاتح ومسهل, والتحصيل معه اسهل واروح
"Ketahuilah olehmu, bahawasanya guru itu adalah pembuka (yang masih tertutup) dan memudahkan (yang rumit). Mendapatkan ilmu dengan adanya bimbingan guru akan lebih mudah dan lebih menyenangkan." (intaha)

Perhatikanlah juga kalam al-Habib Ahmad Bin Abi Bakar Al-Hadhrami رحمه الله تعالى :

إن الأخذ من شيخ له تمام الاطلاع مما يتعين على طالب العلم. واما مجرد المطالعة بغير شيخ اتكالا على الفهم فقليلة الجدوى اذ لا بد ان تعرض عليه مشكلات لا تتضع له إلا إن حلها شيخ

"Bahawasanya mengambil ilmu dari seseorang guru yang sempurna pembacaannya itu dipandang penting bagi orang yang menuntut ilmu. Dan adapun semata-mata muthala'ah tanpa ada bimbingan seorang guru kerana mengikut pemahaman sendiri sahaja, maka adalah sedikit hasilnya, kerana jika dia menemukan kemusykilan-kemusykilan, tidak akan jelas baginya kecuali adanya huraian daripada seorang guru." (intaha)

Mengambil ilmu langsung dari kitab atau dari internet dengan tanpa melalui keterangan guru itu bukan sahaja tidak mendatangkan hikmah dan meluaskan pencerahan, bahkan seringkali menghasilkan kesalahan yang lebih banyak daripada kebenaran.

Telah berkata Al-'Allaamah Ahmad an-Nahrowi رحمه الله تعالى :

 فمن أخذ العلوم من الكتب ولم يأخذها من أفواه المشايخ كان خطؤه أكثر من صوابه
"Barangsiapa mengambil ilmu langsung dari kitab dan tidak dari lisan para masyaikh, maka kesalahannya lebih banya daripada kebenarannya." (intaha)

Marilah kita hayati beberapa gubahan syair yang indah, yang dapat memahamkan kita betapa perlunya mengambil ilmu daripada seorang guru.

من يأخذ العلم عن شيخ مشافهة *** يكن عن الزيغ والتحريف في حرم
"Barangsiapa yang mengambil ilmu dari seorang guru secara langsung berhadap-hadapan, nescaya akan terjagalah dia dari kesesatan dan kekeliruan."

وإن بتغاء العلم دون معلم *** كموقد مصباح وليس له دهن
"Dan bahawasanya menuntut ilmu tanpa ada bimbingan dari guru, laksana seseorang yang menyalakan pelita, padahal pelita itu tidak berminyak."

اذا رمت العلوم بغير شيخ *** ضللت عن الصراط المستقيم
"Apabila engkau mencari ilmu tanpa guru, maka engkau akan sesat dari jalan yang lurus."

كل من يطلب العلوم فريد *** دون شيخ فإنه في ضلال
"Setiap orang yang menuntut ilmu secara tersendiri tanpa guru, maka sesungguhnya dia berada dalam kesesatan."

Setelah kita memahami kepentingan ini, maka tidak hairanlah kita sering mendengar kalam ulama yang mengatakan :

من تعلم العلم وليس له شيخ فشيخه شيطان
"Barangsiapa yang belajar sesuatu ilmu, dan tiada baginya guru, maka gurunya adalah syaithan."

Kenyataan ini terbit adalah kerana para ulama kita hanya ingin menjaga dan memelihara sanad aliran ilmu daripada guru kepada murid. Guru manakah yang mahukan muridnya tersesat jalan?. Apatah lagi jika ilmu yang ingin dituntut itu adalah ilmu agama!

Perkara ini sebenarnya telah pun menjadi ijma'. Perhatikanlah kalam al-Imam al-Muhaqqiq Ibn Arafah al-Maliki رحمه الله تعالى :

أن الإجماع على أن علم الشرائع لا يكون إلا بقصد التعليم
"Bahawa ijma' telah menyimpulkan bahawa ilmu agama itu tidak boleh diperoleh kecuali dengan sengaja belajar iaitu mengambil ajaran guru." (intaha)

Dalam tafsir Ruuhul Bayan, dicatatkan bahawa al-Imam Abu Yazib al-Bustami قدس الله سره pernah menegaskan :

من لم يكن له شيخ فشيخه الشيطان
"Barangsiapa tidak ada baginya guru (dalam bimbingan agamanya), nescaya gurunya adalah syaithan." (intaha)

Apa lagi jika ada orang yang mahu mempelajari ilmu tasawuf yang daqa'iq, yang halus-halus, yang tinggi-tinggi, tetapi tidak mahu berguru. Tidak takutkah bahawa hasilnya nanti adalah pancaran nur yang dihasilkan oleh tipudaya syaithan?? dan bukannya pancaran nur ladduni Ilahi?!

Renungkanlah sebaris bait ini baik-baik :

من لم يكن خلف الدليل مسيرة *** كثرت عليه طرائق الأوهام
"Sesiapa yang tidak berjalan dibelakang petunjuk (syeikh mursyid), nescaya banyaklah menimpa atasnya jalan-jalan kesamaran." (intaha)

Semoga ambil insaf bagi mereka yang sering meremehkan pengajian bertalaqqi dan bermusyafahah bersama guru, murabbi dan mursyid. Demikian juga kepada insan yang gemar mendewa-dewakan ilmu dihujung jari bersama syeikh googlenya dan mursyid internetnya. Semoga taufiq dan hidayah Allah Ta'ala sentiasa bersama kita. Aamiin.

PERIHAL TONGKAT

Alhamdulillah, kami tidak dilalaikan oleh kesesakan dan kesibukan jalan raya. Bahkan kami menjadi asyik mendengarkan hadits-hadits mengenai sifat, akhlak dan kemuliaan Rasulullah .

Suasana menjadi indah walaupun pengajian ini hanya berlangsung di dalam sebuah MPV. MPV yang berkat, yang telah banyak berkhidmat dalam siri rehlah dan jaulah kami.

Dalam perjalanan itu, faqir sentiasa memegang tongkat milik Syeikh Husni. Tiba-tiba Syeikh Husni berkata : "Ya ustaz, antum seperti Syeikh Usamah (Al-Azhari). Beliau (Syeikh Usamah Al-Azhari) suka memegang tongkat saya bila kami bertemu.."

Faqir tersenyum saja.. semoga berkahnya para ulama itu mengalir kepada faqir yang haqir ini. Aamiin..

Tiba-tiba Syeikh berkata lagi : "ya ustaz, bila antum mahu pakai tongkat?"

"Insya'Allah.. hanya sekarang belum masanya ya syaikh.." Faqir menjawab perlahan sambil tunduk malu kepada Rasulillah صلى الله عليه وآله وسلم . Bukankah menggunakan tongkat ketika musafir itu sunnah Rasulullah?. Faqir mengingatkan diri sendiri di dalam hati. Ya Allah, ampunilah al-faqir..


Faqir juga teringat ketika bersama syaikhina Al-Murabbi Al-'Aalim Al-'Aamil Az-Zaahid Ash-Shufi Asy-Syeikh Hj Abdul Qadir Bin Muhammad Yusuf (Tok Ayah Musa)  حفظه الله تعالى, beliau pernah menyerahkan tongkatnya kepada faqir. Sungguh keberkatan itu masih dirasai. Dan yang lebih penting dari itu, beliau seakan-akan mengisyaratkan kepada faqir akan penggunaan tongkat yang merupakan sebahagian akhlak dan sunnah para Nabi.

al-Imam al-Qurtubiy رحمه الله تعالى ada meriwayatkan bahawa Maimun Bin Mahran رضي الله تعالى عنه berkata :

إمساك العصا سنة للأنبياء وعلامة للمؤمن
" Bertumpu pada tongkat itu adalah sunnah para anbiya' dan alamat bagi orang mukmin."

Tidak menjadi syarat bagi orang yang mahu menggunakan tongkat itu bahawa ia harus dhaif dan tidak berdaya. Sebahagian para solehin itu adalah orang yang gagah namun tetap menghayunkan tongkatnya kerana ia mengetahui apa yang tidak diketahui oleh orang-orang yang jahil.

Pernah al-Imam Asy-Syafi'e رضي الله تعالى عنه ditanya :

ما لك تكثر من إمساك العصا وأنت لست بضعيف
"Mengapakah tuan sering menggunakan tongkat, sedangkan tuan tidak lemah?"

Beliau menjawab ringkas :
لأتذكر أني مسافر
"Aku memakai tongkat untuk mengingati diriku bahawa aku sedang dalam musafir (dari negeri dunia menuju ke negeri akhirat)."(intaha)

Sungguh halus naluri dan cara fikir imam yang agung ini. Memang benar! Ini kerana tongkat adalah lambang kepada tempat berpaut. Ia menjadi isyarat bahawa dunia ini hanyalah tempat kita berpaut bagi mendapatkan bekalan untuk kehidupan yang kekal di negeri akhirat kelak.

Tidakkah kita pernah mendengar sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم :

كن في الدنيا كأنك غريب أو عابر سبيل
"Jadilah kamu di dunia ini seakan-akan kamu seorang pedagang atau orang yang melewati suatu jalan."

Beginilah cara para auliya' berfikir. Setiap yang Allah Ta'ala ciptakan itu tidaklah lain, melainkan dapat mengajak kita berfikir supaya kembali kepada Allah سبحانه وتعالى .

Berkenaan faedah dan manafaat menggunakan tongkat itu, cukuplah faqir datangkan perkataan Al-Imam Al-Hasan Al-Bashri رحمه الله تعالى :

فيها ست خصال: سنة للانبياء، وزينة الصلحاء، وسلاح على الاعداء، وعون للضعفاء، وغم المنافقين، وزيادة في الطاعات
"Bagi orang yang menggunakan tongkat itu, padanya ada enam kelebihan, iaitu : sunnah para anbiya', dan perhiasan orang-orang soleh, dan menjadi senjata terhadap musuh, dan pembantu bagi orang-orang yang lemah, dan mendukacitakan orang-orang munafiq, dan dapat meningkatkan ibadah dalam berbuat taat."

Jika ingin mengetahui faedah menggunakan tongkat ini dengan lebih luas, silalah rujuk dalam tafsir al-Qurthubiy.

BERSAMBUNG.. إن شاء الله