Saturday, May 26, 2007

Respon terhadap Tulisan Sohibus Samahah Dr. Asri Zainal Abidin.

ENGGAN JAWAB SALAM GURIS WAJAH ISLAM
Oleh : Syed Noor Muhammad Syed Jamal Trengganu


Saya merujuk kepada tulisan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yangdisiarkan di Berita Harian pada 24 Mac 2007 di bawah tajuk ‘Enggan JawabSalam Guris Wajah Islam’.

Saya seperti terpanggil untuk memberi respons terhadap isu yang dibangkitkan. Terdapat beberapa kekeliruan yang timbul dari tulisan beliau walaupun dikatakan ia dipenuhi fakta dan hujah untuk membuktikan bahawa hukum memberi salam kepada bukan Islam adalah harus bahkan wajib.

Yang agak menyedihkan ialah tulisan beliau telah dimulai dengan sindiran sinis terhadap golongan yang tidak sependapat dengan beliau dan dilabel sebagai golongan agama konservatif yang jumud.

Kita hairan dengan tuduhan seperti ini kerana dalam tulisannya, Dr Mohd Asri sendiri tidak menafikan perbezaan pendapat para ulama’ mengenai masalah ini. Sebelum saya melanjutkan tulisan ini, saya membawa sebuah hadis Nabi(sallallahu ‘alaihi wasallam) yang maksudnya;

“Dari Wabisat bin Ma’bad(radiallahua’anh) katanya: Aku datang kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam lalu ia bertanya; Kamu datang bertanya dari hal kebaikan? Aku menjawab: Ya! Ia berkata: Mintalah fatwa dari hatimu. Kebaikan itu ialah apa yang mententeramkan dirimu kepadanya dan mententeramkan hati. Dan dosa itu ialah apa bergetar dalam hati dan ragu dalam dada, sekalipun manusia yang berfatwa telah memberi fatwa kepadamu.” (Hadis Ahmad dan ad-Darimi dengan sanad ‘hasan’)

Dalam membuktikan keharusan atau kewajipan menjawab salam bukan Islam, Dr Mohd Asri telah memetik pandangan al-Imam Ibn Qayyim (rahimahullah) dan membahaskan hadis-hadis Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam) dan beberapa ayat suci al-Qur’an.

Saya nyatakan semula hadis-hadis tersebut bagi tujuan rujukan dan perbahasan. HADIS Pertama: Riwayat Ibrahim al-Nakha’i dan ‘Alqamah Kata al-Auza’i,

“Jika engkau memberi salam kepada mereka (Yahudi dan Kristian), telah pun memberi salam kepada mereka golongan soleh. Jika engkau tidak memberi salam kepada mereka, telah pun tidak memberi salam kepada mereka golongan soleh yanglain”. (Zad al-Maad, 2/425-426).

Kedua: “Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam) lalu dalam satu majlis yang bercampur antara Muslim, musyrikin penyembah berhala dan Yahudi, lalu baginda memberi salam untuk mereka semua.” (Ibid)

Ketiga: Kata-kata Ibn Abbas “Jawablah salam sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi. Ini kerana Allah berfirman (maksudnya dari surah an-Nisa’ ayat 86) “Dan apabila diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah ia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.” (Bukhari dalam Al-Adab al-Mufrad dengan sanad ‘hasan’, Bab Menjawab Salam Kafir Zimmi)

Keempat: Abu Musa al-Asya’ri menulis surat kepada seorang paderi lalu memberi salam dalam surat itu. Maka dia ditanya: Adakah engkau memberi salam kepadanya, sedangkan dia kafir? Jawab Abu Musa: “Dia telah menulis surat kepadaku dengan memberi salam, maka aku pun menjawabnya”. (Ibid, Bab Apabila Kafir Zimmi Menulis Surat Dengan Memberi Salam, Maka Dijawab Salamnya).

AL-QUR’AN Pertama: Surah al-Nisa’ ayat 86 (maksudnya) “Dan apabila kamu diberikan penghormatan (huyyitum) dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah ia(dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.”

Kedua: Surah al-Mumtahanah ayat 8-9 (maksudnya) “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberi sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu, dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Dalam menghuraikan ayat surah al-Mumtahanah ini Sheikh Al-Albani(rahimahullah) menyebutnya dalam bentuk qiyas; “Tidak syak lagi, jika seseorang di kalangan mereka memberi salam dengan menyebut secara jelas as-salamu’alaikum, lalu kita menjawabnya sekadar wa’alaika, adalah sesuatu yang tidak adil dan meninggalkan sikap baik. Ini kerana kita menyamakan antara dia dengan orang yang mengucapkan as-saamu ‘alaikum (kemusnahan keatas kamu). Inilah kezaliman yang nyata”.

Daripada fakta-fakta di atas, Dr Mohd Asri membuat kesimpulan, “... Maka menjawab salam bukan Islam di zaman ini adalah satu kewajipan dari segi nas dan tanggungjawab dakwah.”


ULASAN DAN PERBAHASAN

1. Dalam membahaskan dalil-dalil di atas, kita hendaklah mengikut kaedah dan usul al-Qur’an dan hadis yang betul.

Dari segi matan (teks) al-Qur’an dan hadis yang dijadikan dalil tidak ada satu pun bukti bagaimana bentuk penghormatan atau salam diterangkan. Maka, di sinilah punca perselisihan dikalangan para ulama’.

Di dalam tulisan Dr Mohd Asri sendiri tidak menyatakan bagaimanakah ucapan yang diharuskan untuk memberi dan menjawab salam bukan Islam. Kita ingin bertanya bagaimanakah bentuk dan caranya berdasarkan nas al-Qur’an dan hadis itu?

Adakah ianya hanya ucapan ‘selamat pagi’ atau ‘selamat sejahtera’ dan adakah boleh kita memberi salam dengan kalimah assalamu ’alaikum, assalamu ‘alaikum warahmatullah atau assalamu‘alaikum warahmatullahhi wabarakatuh’?

2. Terdapat hadis-hadis yang menunjukkan larangan memberi dan menjawab salam kepada orang bukan Islam seperti berikut:

Pertama:
Dari Abu Hurairah (radiallahua’anh) Rasulullah (sallallahu ‘alaihiwasallam) bersabda yang maksudnya; “Janganlah memulakan ucapan salam kepada Yahudi dan Nasrani dan jika kamu bertemu dengan mereka di perjalanan, tolaklah mereka ke arah sudut yang sempit”. (Hadis Muslim)

Kedua:
Dari Qatadah, dari Anas bin Malik (radiallahua’anh) bahawa sahabat Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam) telah bertanya kepada baginda: “Bahawa ahli kitab (Yahudi dan Kristian) memberi salam kepada kami, maka bagaimana kami membalasnya? Baginda menjawab: Jawablah dengan ucapan wa’alaikum”. (Hadis Muslim, Abu Daud, an-Nasai dan Ibn Majah)

Hadis di atas jelas menyatakan bahawa orang Islam tidak boleh memulakan salam kepada Yahudi, Kristian dan orang-orang Musyrikin. Ucapan salam menumbuhkan perasaan kasih sayang, tetapi berkasih sayang di antara orang kafir adalah dilarang sama sekali.

Al-Qur’an menyebutkan bahawa, “Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya...” (al-Mujaadilah, ayat 22).

Sebagai gantinya, ucapan yang menjadi kebiasaan boleh digunakan. Para ulama’ bersetuju bahawa cara yang dibolehkan menjawab salam orang bukan Islam hanyalah sekadar menyebut ucapan “wa’alika” atau “wa’alaikum” dan ia hendaklah dikhususkan kepada kafir zimmi sahaja. (Tafsir al-Mazhari,2/175)

Ketiga :
Tidak dinafikan daripada hadis-hadis yang dijadikan hujah oleh Dr Mohd Asri seakan-akan ada bukti keharusan memberi dan menjawab salam kepada bukan Islam tetapi malangnya ia terlalu umum dan menimbulkan pelbagai tafsiran.

Setiap yang umum memerlukan bukti yang jelas bagi menjadikan ianya khusus. Apabila tiada bukti yang jelas, maka kita perlu melihat kepada hadis lain yang menerangkan maksud tersebut.

Ini adalah petunjuk yang benar bagi mengelakkan fatwa yang mengelirukan.

Keempat :
Hadis yang menunjukkan Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam) memberi salam kepada satu majlis yang bercampur di antara Muslim dan orang kafir sebenarnya salam itu ditujukan kepada orang Islam yang ada di majlis tersebut.

Kefahaman ini sejajar dengan maksud hadis Nabi (sallallahu‘alaihi wasallam) yang melarang kita memulakan salam kepada bukan Islam seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Muslim di atas.

Berdasarkan riwayat dari Ibn Abbas (radiallahua’anh) yang menyuruh orang Islam menjawab salam orang kafir dari kalangan Yahudi, Kristian dan Majusi, pertamanya riwayat ini tidak menerangkan bagaimanakah caranya. Jika benar sekalipun riwayat ini boleh dijadikan hujah, kita hendaklah menilainya berdasarkan satu kaedah bahawa apabila amalan sahabat (radiallahua’anh)bertentangan dengan sabdaan Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam) yang berbentuk perintah, maka hadis perintah hendaklah didahulukan dan diutamakan.

Kelima :
Ayat 86 surah an-Nisa’ yang menjadi dalil boleh menjawab salam dengan cara yang lebih baik atau cara yang sama hendaklah difahami bahawa ia merujuk kepada ucapan salam sesama Islam.

Mengikut usul al-Qur’an,ayat-ayat seperti ini perlu ditafsir seperti berikut:-

Pertama:
Apakah kewujudan hukum memberi salam kepada bukan Islam di dalam ayat tersebut bersifat ibāratun nash (hitam putih nas) atau dalālatun nash (petunjuk nas) atau isyāratun nash (isyarat nas)?

Dan kalau ia wujud, adakah ia mutabaqah atau tadammuni atau al-iltizam sahaja?

Kedua:
Perkataan penghormatan yang digunakan dalam ayat 86 surah al- Nisa’ adalah ‘tahiyyah’ (waizaa huyyitum bitahiyyatin).

Perkataan ini berasal dari ucapan atau doa orang-orang Arab di antara sesama mereka sebelum datangnya Islam seperti ucapan ‘hayyakallah’ (moga panjang umur) atau seumpamanya.

Apabila Islam datang, ucapan seperti ini telah dilarang dan diganti dengan ucapan salam yang hanya diucapkan sesama Islam. (Tafsiral-Mazhari, 2/175 )

Seterusnya, saya ingin bertanya apakah perkataan “tum” (kamu) dalam konteks ayat tersebut merujuk kepada ‘nau’iyyah’, ‘jinsiyyah’ atau ‘istighraqiyyah’?

Ayat ini sebenarnya merujuk kepada ‘nau’ iyyah’ kerana perbuatan Nabi (sallallahu ‘alaihi wasallam) yang tidak memberi salam kepada bukan Islam.

Dalil-dalil yang yang ada tidak mencukupi bagi ianya merujuk kepada ‘jinsiyyah’ atau pun ‘istighraqiyyah’.

Keenam :
Tafsiran Syeikh Al-Albani (rahimahullah) terhadap ayat 8-9 surah al-Mumtahanah juga kurang tepat dan agak mengelirukan. Sebagaimana yang disebut dalam kitab-kitab tafsir, ayat ini sebenarnya mempunyai asbābun nuzul (sebab kenapa ayat itu diturunkan) yang tersendiri dan tiada langsung berkaitan dengan hukum memberi dan menjawab salam kepada orang bukan Islam.

Kaedah qiyas yang dilakukan oleh al-Albani berhubung menjawab salam bukan Islam juga menyimpang dan tersasar. Pandangan Syeikh al-Albani atau sesiapapun tidak semesti menjadi hujah yang benar melainkan pandangan mereka menepati kaedah dan disiplin ilmu yang diterima dan disepakati oleh ahli-ahli ilmu yang berautoriti dan berkelayakan.

Ketujuh :
Memberi salam bermakna kita mendoakan seseorang. Memberi dan menjawab salam ada hubung kaitnya dengan urusan pahala. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah (radiallahua’anh) yang bermaksud: “Seorang lelaki melintasi Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wasallam) sewaktu baginda duduk bersama beberapa orang yang lain dan berkata “Salaamu‘alaikum (salam sejahtera ke atas kamu). Rasulullah bersabda: Dia mendapat sepuluh kebaikan (ganjaran). Lelaki lain melintas dan berkata: Salaamu‘alaikum warahmatullah (salam sejahtera ke atas kamu dan dengan rahmat Allah). Rasulullah bersabda: (Dia akan mendapat) dua puluh kebaikan. Lelaki lain melintas dan berkata “Salaamu ‘alikum warahmatullahi wabarakatuh” (salam sejahtera ke atas kamu dan dengan rahmat Allah dan berkat daripada Allah). Rasulullah bersabda: (Dia akan mendapat) tiga puluh kebaikan.” (Hadis Bukhari, al-Nasaai dan Ibn Hibban)

Persoalannya, adakah doa orang bukan Islam diterima di sisi Allah (subhanahu wata’ala)? Dan bagaimana pula kedudukan doa kita kepada orang bukan Islam tersebut?

Bagaimana pula maksud hadis yang diriwayatkan olehAbu Hurairah (radiallahua’anh) di atas dapat disesuaikan bagi menentukan peringkat-peringkat pembahagian pahala dalam hal seperti ini?

Semuanya itu memerlukan penjelasan. Dalam al-Qur’an, Allah (subhanahu wata’ala) berfirman yang maksudnya:

“..Dan tiadalah ibadah dan doa permohonan orang-orang kafir itu melainkan dalam kesesatan” (Surah ar-Ra’d ayat 14)

Kelapan :
As-Salaam adalah di antara nama-nama Allah yang Mulia. Malahan, salah satu daripada nama syurga juga merujuk kepada kalimah as-Salam iaitu Darulas-Salam (rumah yang sejahtera).

Ucapan salam ini adalah ucapan penghormatan dari Allah (subhanahu wata’ala) kepada hamba-hambanya yang berjaya di dalam syurga nanti. Ucapan ini juga diucapkan oleh para malaikat, para rasul, para penghuni syurga dan di kalangan orang-orang yang beriman di muka bumi ini.

Ucapan yang semulia itu tidak sepatutnya diguna secara sewenang-wenangnya kerana dibimbangi boleh dipermain-mainkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Kata guru saya, jika bukan Islam memberi salam, jawablah ‘hadakallah’ (moga Allah beri petunjuk kepada kamu (masukIslam)).

Pengalaman saya apabila disebut perkataan ini, mereka tidak berani menyebutnya lagi kerana sebenarnya mereka tidak berminat pun kepada Islam.

Allamah Ibn Abidin (rahimahullah) menyatakan bahawa boleh dijawab salam bukan Islam dengan ucapan ‘assalamu ala man ittaba’a al-huda’ (sejahtera keatas mereka yang telah diberi petunjuk) (Radd Mukhtar ala al-Durral-Mukhtar, 6/412)

Kesembilan :
Berhubung dengan keharusan menjawab salam orang bukan Islam yang tergolong dalam kafir zimmi, kita ingin bertanyakan kepada Dr Mohd Asri apakah tafsiran beliau terhadap kafir zimmi dan kafir harbi serta apakah ciri-ciri mereka yang sebenarnya?

Berdasarkan maksud surah Mumtahanah ayat8-9 di atas dan surah Ali Imran ayat 28, kafir zimmi sekurang-kurangnya perlu memenuhi ciri-ciri berikut:-

(a) Orang kafir yang tinggal di negara Islam di atas kebenaran pemerintah Islam,
(b) Kafir yang tidak terlibat secara langsung dalam urusan politik kerajaan Islam, dan
(c) Kafir yang tunduk dan patuh di bawah sistem perundangan kerajaan Islam Mereka dikenali dengan kafir zimmi kerana bersetuju membayar jizyah kepada negara Islam yang memelihara dan melindungi kehidupan, kehormatan dan harta benda mereka.

Persoalannya, apakah orang bukan Islam di negara ini menepati ciri-ciri tersebut? Kita sedia maklum, mereka terlibat secara langsung dalam urusan pemerintahan dan mempunyai hak yang sama seperti orang Islam dalam merebut kuasa politik.

Berdasarkan perlembagaan, mereka juga boleh memerintah dan boleh menjadi ketua negara. Mungkin ada yang beralasan mereka tidak semua seperti itu, tetapi saya katakan mereka semuanya sama dari sudut perundangan dan di dalam menuntut hak.

Janganlah kerana satu atau dua peristiwa apabila kita menjawab salam bukan Islam menyebabkan orang bukan Islam itu menganut Islam maka kita terus meninggalkan nas-nas yang jelas wujudnya larangan tersebut semata-mata diatas alasan mahu melihat imej Islam lebih cantik.

Sebenarnya masih banyak lagi cara lain yang boleh kita berikan penghormatan kepada mereka sebagai ganti ucapan salam itu. Bukankah bahasa ini luas?