"MEMBINA KEYAKINAN, MENJANA KEMENANGAN"
Allah SWT telah berfirman:
Wahai orang-orang Yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang Yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan. (al-Maidah: 8)
Pembuka Bicara
Pertamanya, saya ingin merakamkan rasa syukur ke hadrat Allah kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya maka kita dapat bertemu dalam Muktamar DPPNJ untuk kali yang ke 35 pada malam ini.
Saya mengalu-alukan kehadiran perasmi muktamar pada malam ini, Tuan Haji Mahfuz Bin Omar yang saya kira bukanlah calang-calang pimpinan kerana beliau adalah mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang pernah membina dan menjana pemuda PAS di seluruh negara dalam era kebangkitan rakyat. Sudah semestinya sesuatu pandangan dan buah fikiran beliau pada malam ini sangat dinanti-nantikan oleh kita semua.
Saya juga mengalu-alukan kehadiran pimpinan PAS Negeri Johor, pimpinan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, pimpinan Badan Bukan Kerajaan (NGO), para perwakilan dan pemerhati yang saya hormati sekelian.
Terlebih dahulu, saya bagi pihak seluruh kepemimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Johor ingin merakamkan penghargaan kepada Panitia Muktamar yang bekerja keras menjayakan sidang muktamar kali ini dengan memastikan keberkesanan dan kelancarannya.
Mudah-mudahan sumbangan yang dicurahkan dalam muktamar ini akan dinilai oleh Allah SWT sebagai amal kebajikan yang bermanfaat di dunia dan akhirat, Insya Allah.
Menyingkap Tabir Semalam
Para muktamirin sekelian,
Getar dan gementar mengiringi saya untuk memulakan bicara pada malam ini kerana bicara pada malam ini terlalu penting untuk kita semua sama-sama muhasabah diri terhadap apa yang telah kita sama-sama lalui sepanjang setahun yang lalu.
Ruangan yang tersedia ini perlu kita gapai bagi membina kelangsungan perjuangan Pemuda PAS di Johor. 35 tahun Pemuda PAS Johor telah berjaya melayari batera perjuangan dengan penuh perit jerih. Pengorbanan pimpinan terdahulu yang merasai keperitan yang terlalu jauh daripada apa yang kita lalui ketika ini perlu diambil iktibar sebagai sejarah yang telah mematangkan Pemuda PAS Johor.
Para perwakilan sekelian,
Kita perlu jujur pada diri kita apakah sekian tahun kita bermuktamar selama ini, kita telah benar-benar menyelami hasrat dan harapan DPPNJ dengan sebenar-benarnya. Ataupun, kehadiran kita ke muktamar sekadar memenuhi kehendak dan arahan.
Merenung sejenak muktamar kita pada tahun lalu dengan tema Menjana Kebangkitan Rakyat dan itulah pertama kali dalam sejarah DPPNJ buku ucaptema telah disediakan bersama dan diedarkan kepada perwakilan untuk dijadikan panduan sebagai gerakerja di peringkat kawasan.
Penekanan terhadap beberapa perkara telah digariskan untuk memudahkan tindakan dapat dijelmakan. Tahun lalu fokus utama yang telah dinyatakan adalah bagaimana perlunya untuk kita membina kekuatan sebenar pemuda iaitu kekuatan tarbiyah dan kekuatan organisasi.
Lajnah Tarbiyah dan Latihan kepimpinan telah berjaya menyiapkan sebuah Manual Tarbiyah DPPNJ dan ini adalah satu langkah yang amat membanggakan sebagai usaha memantapkan tarbiyah namun apalah ertinya kita berbangga sedangkan manual dan panduan tarbiyah ini hanya disimpan sebagai barang perhiasan sahaja.
Persoalannya, berapa kerap kalikah usrah dapat dijalankan, berapa kalikah tamrin dapat dilaksanakan, berapa kalikah diskusi ilmu dapat dilaksanakan dan berapa kalikah muqayyam dapat dianjurkan. Ini adalah persoalan yang perlu kita lihat secara mendalam terhadap kesediaan kita untuk melaksanakan hasrat perjuangan kita.
Saudara sekelian,
Tanpa kemantapan dan pengukuhan tarbiyah dalam diri dan jamaah ini akan memudahkan kita terpesong daripada landasan sebenar perjuangan. Sejarah perjuangan Islam telah membuktikan bahawa tarbiyah dapat melahirkan pejuang Islam yang tahan lasak dan sanggup bekorban segala-segalanya untuk Islam.
Bukan itu sahaja, terasa bagaikan tidak berbaloi apabila kita telah melantik tiga EXCO DPPNJ yang pulang daripada lepasan Universiti Al-Azhar Mesir untuk menggerakkan lajnah Tarbiyah dan Latihan Kepimpinan tetapi mengapa peranan mereka ini tidak digarap dengan sebaik mungkin.
Dalam membicarakan soal pengorbanan, tidak keterlaluan rasanya sekiranya pada malam ini saya cuba mengimbas kembali dan menyebut beberapa nama yang dianggap tokoh dalam membina keupayaan pemuda PAS Johor sejak ditubuhkan kira-kira 35 tahun yang lalu. Mana mungkin kita boleh menafikan sejarah pengorbanan pimpinan yang terdahulu yang pernah mengemudi bahtera perjuangan gerakan ini sehingga kita mampu berdiri megah sebagai penyambung perjuangan. Mantan-mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Johor seperti Tuan Haji Hasan Bin Hussien, Allahyarham Haji Abd Hamid Bin Abdul Rahim, Tuan Haji Ismail Bin Ibrahim, Sdr Salahudin Bin Ayub dan Saudara Mazlan Bin Aliman telah berjaya mencorakkan Pemuda PAS Johor seperti yang ada pada hari ini. Nama-nama ini telah berjaya memimpin gerakan pemuda Islam di Johor walaupun terlalu banyak mehnah dan tribulasi yang terpaksa ditempohi.
Kita mungkin tidak pernah merasai cemuhan dan cacian seperti kepimpinan terdahulu, kita mungkin tidak pernah diboikot oleh masyarakat setempat, kita juga mungkin tidak pernah merasai keperitan menjelajahi seluruh pelusuk negeri Johor dengan kepayahan tetapi ‘abang-abang’ kita ini tetap gagah merentasi halangan-halangan ini. Inilah dia sifat pemuda Islam yang tidak ragu dan bimbang terhadap apa yang telah dijanjikan Allah.
Sejarah perjuangan Islam telah membuktikan bahawa pemuda-pemudalah yang menjadi harapan dalam membawa kegemilangan Islam. Keyakinan yang seharusnya dibina dalam diri pemuda terhadap perjuangan Islam ini dapat digambarkan melalui firmanNya ;
"Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka Dengan benar; Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda Yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka Dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan Kami ialah Tuhan Yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan Yang lain dari padanya; jika Kami menyembah Yang lainnya bermakna Kami memperkatakan dan mengakui sesuatu Yang jauh dari kebenaran." (Al-Kahfi : 13 & 14)
Sifat pemuda Islam yang sanggup mati demi menegakkan agama Allah tidak akan tercapai melainkan dengan adanya pengorbanan, kerahan tenaga ,harta dan masa dalam jihad fisabilillah. Dengan adanya pengorbanan inilah sejarah dan ketamadunan Islam terbina dan tersergam indah di mata dunia dan keagungangnya menjadi kegerunan musuh Allah .
Firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah ayat 214 yang berbunyi :
"Adakah patut kamu menyangka Bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti Yang telah berlaku kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang Yang beriman Yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)." (Al Baqarah 214)
Muktamar Peluang Kita Muhasabah
Sahabat perwakilan yang saya hormati sekelian,
Di dalam muktamar ini juga kita berpeluang untuk mengkoreksi diri kita sepanjang setahun kita bersama. Di sebalik kemampuan kita menguruskan Jawatankuasa Banjir dan menggerakkan jentera Unit AMAL Johor ataupun ketika ini sononim dengan gelaran ‘tentera merah’ sebenarnya masih terdapat lompang yang cukup ketara secara keseluruhannya jentera DPPNJ dalam mencapai hasrat visi dan misi DPPNJ.
Apakah kita telah berjaya menggarapkan peranan kita dalam menangani masalah sosial yang melanda golongan belia dan remaja ketika ini yang seharusnya dilakukan oleh Lajnah Sukan dan Kebajikan serta Jabatan Pembangunan Remaja? Bagaimana pula dengan pendekatan kita terhadap masyarakat melayu dan bukan melayu yang sepatutnya diambil peranan oleh Lajnah Penerangan dan Lajnah Perpaduan Nasional?
Apakah kita masih berharap kewangan DPPNJ berterusan dihulurkan daripada dermawan-dermawan sedangkan Lajnah ekonomi masih berlegar-legar menanti hasil yang tidak kunjung pasti?. Mampukah kita menangani masalah pengguna sekiranya tindakan kita hanya di sekitar kawasan ruang lingkup yang sama?
Saya menyebut tentang beberapa Lujnah dan Jabatan ini bukan untuk menuding jari kepada mana-mana EXCO yang sudah tentu dilihat seolah-olahnya tidak menjalankan amanah yang diberikan tetapi saya melihat perkara ini sebagai satu proses muhasabah secara total kepada kita semua bahawa kita perlu bekerja sebagai sebuah pasukan yang mantap di setiap sudut seperti mana yang telah di sebut di dalam Al-Quran :
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela ugamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh." (As-Saff : 4)
Peluang dan ruang yang terbentang luas di dalam muktamar ini mestilah dipergunakan dengan sebaik mungkin bukan nawaitunya untuk menghentam mana-mana pihak tetapi semuanya dijuruskan kepada pemerkasaan DPPNJ pada masa akan datang.
Negeri Johor Menuju Kehancuran
Para perwakilan yang dirahmati Allah,
Kecelaruan, kerakusan, ketidakadilan dan kezaliman yang dilakukan oleh UMNO/BN yang memerintah negara dan negeri Johor semakin lama semakin membimbangkan. Rasuah, salahlaku pemimpin, kes jenayah seperti kes ragut, rogol dan bunuh, penindasan rakyat seperti pengusiran rakyat daripada penempatan, kes gejala sosial sudah menjadi barah yang cukup mengerikan.
Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang dilihat kononnya sebagai projek mega yang mampu menjana ekonomi negara sebenarnya masih lagi dibayangi dengan kesamaran yang berpanjangan. Bermula dengan penafian hak YB Dr Mohd Ramli Kari (PAS-Senggarang) daripada memiliki dokumen rasmi WPI ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor membuktikan bahawa pimpinan UMNO/BN di Johor cukup bimbang sekiranya maklumat terperinci berkaitan WPI ini akan diketahui oleh rakyat.
Sehingga kini, rakyat di Johor khususnya masyarakat melayu tertanya-tanya apakah akan berlaku kepada nasib mereka yang terlibat dengan pembangunan WPI ini. Dikatakan bahawa WPI akan meliputi 221,634 hektar tanah yang merentasi bandar raya Johor Baharu, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang di sebelah timur, Kulai di utara dan Mukim Serkat, Pontian di sebelah barat dengan membabitkan lima pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Johor Baharu Tengah (MPJBT), Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang (PBTPG); Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan Majlis Daerah Pontian yang diketahui umum bahawa ia melibatkan tanah-tanah kepunyaan orang melayu.
Dikhabarkan, warga asing diberikan ruang untuk membeli yang harganya lebih RM 250,000 tanpa melalui FIC (Foreign Invesment Counsel). Ini memudahkan warga asing khususnya Singapura boleh membeli rumah dan tanah di WPI sewenanag-wenangnya. Yang tersepit adalah bumiputra di Malaysia kerana mereka tidak lagi mampu membeli rumah tersebut. Maka akan banyaklah taman-taman perumahan di WPI di kuasai oleh warga asing. Kita mungkin akan berbangga dengan kemajuan yang dicapai daripada WPI tetapi akhirnya pembangunan itu dinikmati oleh orang lain. Bak kata pepatah, ‘Menang Sorak Kampung Tegadai’.
Dua lokasi Zon Akses Bebas yang membenarkan pergerakan keluar masuk rakyat asing tanpa menggunakan pasport dicadang diwujudkan di Johor bagi membantu pembangunan WPI bertujuan memudahkan rakyat asing khususnya warga Singapura memasuki negara ini tanpa membawa dokumen perjalanan sangat membimbangkan rakyat Johor. Sikap kerajaan UMNO/BN yang lebih mementingkan kemajuan dan kebendaan akan menyebabkan nasib bangsa Melayu akan terus tergadai kerana rakyat asing akan dibenarkan untuk melabur dan membangunkan wilayah ini tanpa dikenakan apa-apa syarat. DPPNJ cukup bimbang WPI akhirnya akan menjadi ‘Singapura kedua’ selepas ini.
Pembinaan taman tema ala ‘Disneyland’ di Nusajaya yang diwujudkan untuk menarik minat pelancong dengan alasan untuk menjana ekonomi negeri adalah alasan yang paling dangkal sedangkan mendidik rakyat kepada hiburan memudahkan mereka terleka dan mereka lupa pada ajaran dan peraturan agama. Allah S.W.T telah mengingatkan kita bahawa kehidupan dunia ini penuh dengan tipu daya.
Firman Allah ;
"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan Yang sia-sia dan hiburan Yang melalaikan: dan Demi Sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang Yang bertaqwa. oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?" (Al-An’am:32)
Dalam kekeliruan rakyat menghadapi persoalan terhadap WPI, tiba-tiba diumumkan bahawa kuota 30 peratus terhadap penguasaan bumiputera digugurkan sedangkan umumnya kita telah pun mengetahui bahawa DEB masih berlegar disekitar 18 peratus sahaja penguasaan bumiputera. DPPNJ mempersoalkan apakah rasionalnya kuota ini digugurkan? Paling malang, pemimpin UMNO terutamanya pemimpin UMNO Johor terus membisu seolah-olahnya merestui pengguguran ini.
Pengambilan pekerja asing tanpa had oleh syarikat daripada dalam dan luar negara yang bernaung di bawah WPI terutamanya dalam bidang Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) telah menimbulkan kemarahan sedangkan hakikatnya di Malaysia ketika ini pengangguran kedua teramai adalah mereka yang lahir dalam pendidikan ICT. Apakah kerajaan yang ada pada hari ini tuli dan buta terhadap masalah pengangguran rakyat? Justeru apa perlunya pusat pengajian tinggi awam dan swasta berlumba-lumba melahirkan pakar dalam bidang ICT sekiranya pekerja asing diberikan peluang terlebih dahulu?. Jika inilah sikap kerajaan UMNO/BN maka dalam muktamar DPPNJ pada malam ini saya mencabar supaya agar semua Fakulti Komputer yang ada di Universiti di negara ini ditutup sahaja. Apa gunanya kita melahirkan pakar-pakar ICT tetapi akhirnya mereka merempat di negara sendiri.
Para perwakilan yang saya hormati sekelian,
VCD dan bahan lucah semakin tidak terkawal. Penjualan bahan lucah amat mudah didapati di mana-mana seperti mana didedahkan bagaimana seorang bapa terkejut apabila mendapati tiga anaknya yang berusia antara tiga sehingga sembilan tahun leka menonton cakera padat video (VCD) lucah yang dijual secara terbuka di pasar malam berhampiran kediamannya di Taman Perling, Johor Bahru. Rampasan demi rampasan telah dilakukan tetapi masalah penjualan VCD lucah semakin tidak terkawal. Tahun 2006 sahaja sebanyak 73,653 keping VCD lucah dalam 1357 kes yang telah dirampas oleh PDRM di bawah Akta Penapisan Filem.
Jenayah yang melibatkan golongan kanak-kanak dan remaja semakin membimbangkan. Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) pernah mendedahkan bahawa perlakuan jenayah membabitkan kanak-kanak atau pelajar bukan sahaja kesalahan ringan seperti mencuri atau pecah rumah malah jenayah berat termasuk bunuh, rogol, samun bersenjata api dan keganasan, malah dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun 2005 sahaja, kanak-kanak terbabit dengan 27 kes rogol, bunuh (3), keganasan yang menyebabkan kecederaan parah (76), kesalahan yang menyebabkan kecederaan ringan (33), samun berkumpulan (2), samun bersenjata api (1) dan 10 kes samun tanpa senjata api. Selain daripada itu, 246 kes membabitkan kes curi kenderaan, curi malam hari (112), curi siang hari (29), ragut (18) dan 188 kes jenayah lain.
Statistik juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah ini seawal usia tujuh tahun. Dalam tempoh tujuh bulan pertama, 76 kes melibatkan mereka yang berusia 7 tahun, 668 kes melibatkan di antara 13 dan 15 tahun manakala 1,008 kes melibatkan pelajar yang berusia 16 sehingga 18 tahun. Daripada 1,591 kes yang dilaporkan, 1,295 kes atau 79 peratus melibatkan pelajar melayu dan majoriti kes ini berlaku di dalam negeri Johor.
Jenayah seperti bunuh, rogol dan samun semakin meruncing keadaannya. Sepanjang tahun 2006 terdapat 604 kes bunuh, 2,435 kes rogol dan 18,446 kes samun/ragut tanpa senjata api telah berlaku diseluruh negara sedangkan pada tahun 2005 hanya terdapat 497 kes bunuh, 1,887 kes rogol dan 13,210 kes samun/ragut yang berlaku.
Kes kecurian kenderaan pada tahun 2006 yang melibatkan motosikal (64,858 kes) dan kereta (11,101 kes) berbanding pada tahun 2005 yang jumlah kecuriannya adalah lebih rendah iaitu motosikal (51,709 kes) dan kereta (9,711 kes). Kes pecah rumah pula dicatatkan bahawa terdapat 27,313 kes yang berlaku pada tahun 2006 berbanding 24,465 kes pada tahun 2005.
Dalam kepayahan mengawal jenayah yang berlaku ini, kehadiran ribuan generasi baru anak muda bergelar Mat Rempit terus subur dan tidak pernah jemu melakukan aktiviti perempitannya. Pelbagai pihak bingung dan celaru untuk menyelesaikan masalah ini sehingga akhir-akhir ini pelbagai nama dan cadangan dibincangkan secara umum. Ada yang tidak bersetuju dengan istilah Mat Rempit tetapi mencadangkan ditukar kepada Katak Rempit, Dajal Rempit, John Rempit dan John Pit. Ada yang mencadangkan agar kesalahan Mat Rempit dibayar dengan penggantungan lesen memandu seumur hidup, hantar mereka ke PLKN dan sebat pesalah rempit. Namun, masalah rempit berterusan sehingga telah menjadi barah.
Paling utama, kita sedang berhadapan dengan krisis penghinaan terhadap agama Islam. Akhir-akhir ini dilihat seolah-olahnya Islam adalah agama yang menindas, mengongkong, melanggar hak asasi manusia, tidak adil, lemah dan menyusahkan. Tokoh-tokoh agama diperlekeh bukan sahaja diperlekeh oleh mereka yang bukan beragama Islam tetapi juga ianya datang daripada manusia yang mengakui bahawa mereka beriman dengan Allah S.W.T. Apabila timbul isu pertembungan di antara agama di Malaysia yang melibatkan agama Islam, sudah terbayang bagaimana isu ini akan menunjukkan ketidakadilan terhadap Islam.
Kenapa ini berlaku? Tidak lain ianya berpunca daripada sikap pemimpin UMNO yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi merekalah yang menjadi juara dalam memperlekehkan Islam. Barangkali, ia amat bersesuaian dengan pendekatan Islam Hadari yang menjadi ‘pegangan baru’ pemimpin-pemimpin UMNO.
Tidak bersungguh-sungguhnya kerajaan Johor untuk menangani masalah agama Islam di Johor dibuktikan dengan ketidakseriusan mereka mengatasi masalah kekurangan pegawai penguat kuasa untuk menjalankan dan menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 di seluruh negeri. Apa yang mampu dilakukan sekiranya bilangan pegawai penguat kuasa JAJ ketika ini hanya 76 orang berbanding jumlah penduduk Islam di Johor iaitu seramai lebih 2.1 juta? Adakah ini menggambarkan bahawa UMNO/BN sangat serius untuk menangani masalah yang membelengu umat Islam di Johor.
Dalam masa yang sama, masjid dan surau semakin lama semakin tidak menjalankan fungsi sebagai pusat ibadah dan kemasyarakatan, hanya terkadang program-program tertentu sahaja yang dapat dilaksanakan sekadar mahu memperlihatkan kononnya masih terdapat aktiviti yang dilaksanakan. Masjid dan surau semakin sepi dan menyepi, agar sukar pada zaman kita ini untuk melihat masjid dan surau diimarahkan seperti zaman kita kecil-kecil dahulu. Ini semua terjadi kerana pemilihan jawatankuasa masjid dan surau yang ada di semua 2,528 masjid dan surau di negeri Johor yang sedia ada pada hari ini ditentukan oleh kerajaan UMNO/BN atas alasan AJK masjid di Johor dipilih untuk melaksanakan Islam Hadari seperti mana yang diumumkan dalam sidang DUN Johor.
Saudara-saudara yang saya hormati sekelian,
Persoalannya, apakah kita masih sanggup membiarkan kehancuran terus melanda negeri kita disebabkan kerakusan tangan-tangan pemimpin UMNO/BN?. Sudah tentu kita mengatakan TIDAK tetapi apakah dengan hanya menggeleng-gelengkan kepala sahaja mampu membuat perubahan kepada kerajaan yang ada. Justeru, kitalah yang mesti melakukannya, bukannya mengharapkan kepada orang lain atau sekadar menadah tangan tanpa kita melakukan apa jua tindakan. Kita mesti terkehadapan untuk menangani masalah yang sedang melanda ummah ketika. Adakah kita masih mampu lena dibuai mimpi sedangkan pada setiap malam anak-anak muda berterusan melakuan dosa dan maksiat. Adakah kita masih tertawa sedangkan anak-anak kecil seperti Nor Syafikah Borhan dan Nurulhuda Abd Ghani terus dirogol dan dibunuh? Adakah atas nama pejuang Islam kita masih boleh bersantaian sedangkan berbondong-bondong orang Islam murtad?.
Kitalah yang perlu melakukannya. Kitalah yang harus menjadi benteng untuk menyelamatkan ummah dan benteng mempertahankan akidah. Pemuda-pemuda Islam bukan sekadar sanggup mengorbankan harta tetapi pemuda-pemuda PAS sanggup menggadaikan nyawa untuk perjuangan ini.
Membina Keyakinan.
Para perwakilan sekelian,
Bertepatan dengan tema muktamar DPPNJ pada kali ini, pemuda perlu memfokuskan untuk membina keyakinan seterusnya menjana kemenangan. Membina keyakinan yang dimaksudkan di sini adalah keyakinan penyokong PAS, keyakinan pakatan BA dan keyakinan rakyat.
Sebelum kita bergerak lebih jauh dalam persada politik Johor khususnya bagi menghadapi pilihanraya yang akan datang, saya ingin menekankan kembali betapa kita perlu memulihkan kembali keyakinan penyokong PAS yang ada di seluruh Johor. Kita tidak dapat menafikan dengan tekanan yang telah dilakukan oleh UMNO/BN dan ‘gula-gula’ yang ditaburkan selama ini berjaya memudarkan hati dan keyakinan penyokong kita. Semakin lama semakin jauh, sekadar menyerahkan undi ketika hari pembuangan undi tetapi tidak tidak mampu bersama-sama seperti dulu membantu kita menggerakkan aktiviti yang dirancang.
Begitu juga dengan peranan kita membina keyakinan terhadap pakatan BA di Johor ini. Tahun lalu, saya telah menyatakan di dalam ucaptema muktamar ini bahawa dasar perjuangan PAS dan PKR adalah berbeza tetapi matlamatnya sama. Namun, hambatan-hambatan inilah yang mesti dihapuskan demi mencapai kesepaduan yang lebih kolektif. Himpunan Pemuda BA Johor yang telah diadakan di lokasi yang sama di sini pada 22 April 2007 yang lalu meperkukuhkan lagi hubungan pakatan Pemuda BA Johor. Hasrat untuk melebarluaskan lagi pakatan ini di peringkat Parlimen perlu digerakkan untuk memperkukuhkan kerjasama ini.
Walaupun sepanjang tempoh setahun yang lalu, kita hanya mampu untuk mengadakan beberapa program sahaja secara bersama namun ia setidak-tidaknya telah berjaya mempereratkan kerjasama ini. Saya sangat berharap agar ‘roadshow’ Pemuda BA Johor akan digerakkan untuk menjelajah ke seluruh pelusuk negeri selepas daripada muktamar DPPNJ ini.
Para perwakilan sekelian,
Saya mengucapkan tahniah kepada seluruh jentera pemuda di semua peringkat atas komitmen membantu mangsa banjir ketika Johor dilanda banjir besar sebanyak dua kali. Sama ada kita berada dalam masyarakat atas nama PAS ataupun Unit Amal, kesungguhan pemuda-pemuda khususnya telah berjaya merubah persepsi rakyat Johor terhadap PAS. Pendekatan kebajikan inilah juga menjadi gerakerja utama yang dilakukan gerakan Islam di negara lain untuk memenangi hati rakyat seperti Parti Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia.
Terlalu banyak peristiwa manis dan pahit kita rasai bersama sepanjang operasi banjir tersebut yang tak mampu saya nyatakan pada malam ini namun apa yang penting untuk kita adalah sejauh manakah kerja kebajikan ini berjaya dilahirkan sebagai tanda sokongan rakyat kepada kita.
Cuba renungkan sejenak, sepanjang kita menghulurkan bantuan kepada rakyat atas nama bantuan banjir, berapa ramaikah di kalangan mereka adalah daripada kaum bukan melayu berbanding dengan kaum melayu? Bukankah mereka juga adalah pengundi dan kehadiran mereka juga adalah penentu kepada kejayaan kita? Saya tidak mempersoalkan kerja buat kita terhadap mangsa di kalangan orang melayu tetapi kita sering berada dalam kepompong dan sasaran yang sama.
Sebenarnya, masyarakat bukan melayu di luar sana bukan tidak mahu memberikan sokongan kepada kita tetapi kita yang masih jauh daripada mereka. Kita masih lemah dalam perkara ini, kita perlu memperakui kelemahan kita ini. Kita masih sukar untuk bersama mereka dalam waktu-waktu terluang. Agak keberatan untuk kita mempelajari ucapan dalam bahasa mereka, justeru bagaimana untuk benar-benar menjiwai mereka?.
Menjana Kemenangan
Teman-teman seperjuangan sekelian.
Gendang pilihanraya telahpun dipalu. Bermakna, tumpuan kerja kita perlu dijuruskan kepada gerakerja pilihanraya. Segala persiapan mesti digerakkan dengan segera di semua peringkat. Muktamar ini menggariskan 5 perkara utama yang perlu diberikan perhatian yang sewajarnya oleh DPPK agar gerakerja kita akan lebih terarah.
a. Gerakerja Pilihanraya
Pertamanya, dalam proses untuk menjana kemenangan ini, DPPNJ akan memberikan tumpuan kepada gerakerja pilihanraya. Tumpuan kita adalah kepada pengundi muda sama ada pengundi muda melayu ataupun bukan melayu. Bukan hanya untuk menyeru mereka supaya dengan PAS/BA tetapi juga kita perlu pastikan bahawa anak-anak muda telah pun mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi.
Amat malang bagi kita apabila SPR telahpun mengumumkan bahawa terdapat 400 ribu rakyat Johor yang layak mengundi masih belum mendaftarkan diri mereka sebagai pemilih tetapi kita hanya berdiam diri sahaja. Perkara ini perlu diberi perhatian dengan serius. Mereka ini mungkin terdiri daripada keluarga kita, jiran tetangga kita, rakan kita dan mungkin juga anak-anak ahli PAS yang tidak peka untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
b. Pemerkasaan Tarbiyah.
Keduanya, Seperti yang telah dinyatakan tadi bahawa kita perlu memperkukuhkan tarbiyah dalam diri kita. Sejarah perjuangan Islam terbukti bahawa kemenangan dan kegemilangan Islam di sepanjang zaman telah diwarnai oleh perjuangan dan pengorbanan yang cukup hebat sehingga mengorbankan harta, tenaga, darah dan nyawa demi perjuangan.
Lajnah Tarbiyah dan Kepimpinan perlu diperkasakan semula. Sahabat-sahabat pemuda sekelian. Sebenarnya, terlalu tinggi pengharapan kita terhadap ulama’-ulama’ muda yang pulang daripada pengajian di timur tengah untuk melaksanakan peranan mereka dalam menggerakkan pentarbiyahan terhadap anak-anak muda yang ketandusan ilmu. Namun, saya masih lagi belum dapat menarik nafas kelegaan kerana harapan yang diletakkan kepada ulama’-ulama’ muda ini masih berkisar di sekitar kelompok yang sama sahaja.
Apakah kekangan yang mereka hadapi? Apakah hambatan-hambatan seperti pekerjaan, perniagaan, kehidupan ataupun tekanan keluarga menyebabkan ramai dikalangan golongan ini hilang dalam kesamaran takkala kaki mula memijak bumi Malaysia?.
Pesanan saya kepada ulama’ muda yang masih bersedia untuk menyerahkan diri kepada perjuangan ini melalui sepotong ayat Allah:
"Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka Dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding Dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak."(Al Maidah - 38)
Sampaikanlah salam perjuangan kepada sahabat-sahabat ulama’ muda yang masih teragak-agak untuk mengorbankan diri mereka untuk perjuangan Islam ini. Kata seorang sahabat, perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata.
c. Pemerkasaan Organisasi.
Perkara ketiga yang perlu diberikan penekanan adalah terhadap pemerkasaan organisasi. Kita dengan penuh sedar mengakui bahawa pengurusan DPP Johor amat jauh daripada negeri yang lebih ‘advance’ seperti DPP Kelantan dan DPP Kedah jika dibandingkan daripada sudut pentadbiran dan organisasi yang sangat tersusun namun ia bukanlah alasan untuk tidak menyahut seruan dan arahan daripada DPP Pusat agar meningkatkan pentadbiran dan organisasi pemuda di semua peringkat.
Penambahan ahli pemuda perlu dipertingkat, Jawatankuasa Pemuda Cawangan (JPC) perlu diperteguhkan, Unit Kerja Jamaah (UKJ) perlu diperkasakan semula diperingkat cawangan-cawangan, sistem pemfailan dan senarai keahlian perlu dikemaskini dan peralatan pejabat perlu dilengkapkan.
Saya mengharapkan agar DPPNJ dapat bergerak ke arah melaksanakan Total Quality Management (Pengurusan Kualiti Menyeluruh) dalam sistem pentadbiran yang menitikberatkan terhadap sistem Fail yang sistematik, sistem komunikasi yang cekap, persekitaran pejabat yang sempurna dan kecekapan pengurusan. Kursus pengurusan mesti dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi mendedahkan kepada Setiausaha-setiausaha di peringkat DPP kawasan kepada perlaksanaan TQM ini.
Bagi meransang DPP kawasan untuk terus istiqamah membina kekuatan sebenar ini, maka tahun ini DPPNJ telah bersetuju untuk menghidupkan kembali Anugerah Pengurusan DPPK Terbaik.
d. Penerangan.
DPPNJ meletakkan perkara ke empat yang perlu diberi perhatian adalah penerangan. Tugas memberikan penerangan perlu dilihat sebagai tugas yang amat penting kita lakukan bertepatan dengan firman Allah:
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya." (Ali Imran : 104)
Jentera penerangan DPPNJ agak kurang mendapat sambutan sejak kebelakangan ini sedangkan kepincangan kerajaan UMNO/BN terlalu banyak berlaku. Rakyat kurang mendapat maklumat daripada PAS kerana pelbagai batasan yang menyekat kebebasan kita. Sikap terlalu mengharapkan ‘penceramah import’ sering menghalang kita untuk mengadakan ceramah sedangkan ramai dikalangan pemimpin pemuda di Johor yang berkemampuan untuk menyampaikan ceramah dengan baik.
Sasaran ceramah dan lokasi ceramah juga perlu dikenal pasti. Kita perlu elakkan ceramah diadakan ditempat yang sama seperti markas PAS kerana akhirnya pendengar ceramah adalah peminat setia yang sama. Beberapa PAS diperingkat kawasan seperti di Muar telah pun memulakan aktiviti penerangan ini di kampung-kampung dan lokasi yang berlainan.
Saya mencadangkan pada sesi yang akan datang penerangan akan menjadikan agenda terpenting dan perlu diaktifkan semaksimum mungkin. Kita perlu pastikan bahawa pengundi-pengundi di seluruh ceruk kampung akan dapat menerima maklumat daripada kita.
e. Pendekatan kepada anak muda.
DPPNJ meletakkan perkara ke lima dalam usaha menjana kemenangan adalah pendekatan terhadap anak muda. Sahabatku sekelian, jika kita lihat kecenderongan anak-anak muda ketika ini, minat terhadap perkembangan politik agak meruncing. Kebanyakkannya terarah kepada hiburan, sukan dan rekreasi. Lihatlah bagaimana masjid dan surau bukan lagi menjadi pusat aktiviti golongan anak muda Islam.
Secara jujurnya, tanyalah diri kita apakah aktiviti harian kita telah betul-betul dapat dirasai oleh masyarakat setempat khususnya dikalangan anak-anak muda. Atau, kita hanya berlonggok semasa kita sedangkan kita biarkan sahaja anak-anak muda ini terus hidup dalam kegelapan dan fikiran mereka diracuni dengan propaganda UMNO/BN.
Saya ingin menegaskan bahawa setiap DPPK perlu mewujudkan pusat komuniti dan pusat aktiviti untuk digunakan bersama golongan pemuda di kawasan kita. Setiap DPPK mesti menyediakan satu aktiviti khas kepada anak muda dalam tempoh terdekat. Terpulanglah kepada DPPK untuk memilih apa jua bentuk aktiviti sama ada sukan seperti badminton, futsal, bolasepak, hoki, sepaktakraw, bola baling, bowling, sukan bermotor, sukan air atau yang seumpamanya. Apa yang penting pendekatan kepada anak muda mesti djelmakan dalam bentuk aktiviti yang saya nyatakan ini.
Lihatlah pendekatan DPP Kelantan yang berjaya menghimpunkan pemuda-pemuda Mat Rempit ataupun dikenali di sana sebagai Sahabat Motor. Apakah kita di Johor tak berupaya melakukan apa yang dilakukan oleh DPP Kelantan? Sudah tentu kita mampu tetapi terpulanglah kepada kita.
Bila berbicara tentang pendekatan terhadap anak-anak muda ini, saya terkenang bagaimana dalam satu perlawanan bolasepak sempena 50 tahun Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) di Sungai Pau, Sik Kedah yang menemukan DPPN Johor dan DPPN Kedah yang dibarisi oleh bintang-bintang bolasepak negara seperti Radhi Mat Din, Nizam Adha Yusof, Feriza Ismail, Farouk Ismail dan ramai lagi. Saya cukup mengimpikan bahawa satu hari nanti perkembangan seperti ini akan berlaku di Johor namun kita masih jauh lagi untuk mencapai hasrat ini.
Apa yang lebih utama sekarang ini adalah tugas kita untuk mendekati golongan muda. Untuk itu, DPPNJ akan melancarkan Pusat Komuniti Muda PAS Johor dalam tempoh terdekat sebagai langkah awal dalam merealisasikan hasrat ini.
PENUTUP BICARA
Sidang muktamirin sekalian,
Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua EXCO DPPNJ dan AJK DPPK kerana telah memberikan kerjasama yang sebaiknya sepanjang saya diamanahkan sementara sebagai Ketua DPPNJ.
Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan selamat ‘bersara’ kepada Ketua-Ketua DPPK yang telah menamatkan tempoh kepemudaan mereka seperti Sdr Samsudin Jaafar (DPP Pontian) Sdr Mohd Hatta (DPP Tebrau), Sdr Musa Abd Wahab (DPP Gelang Patah) Sdr Mohd Jahid Bin Zaini (DPP Air Hitam) Sdr Nor Mohamad (DPP Kota Tinggi), Sdr Ghazley Bin Ayub (DPP Tanjung Piai) dan Sdr Mohd Shabri Bin Mubin (DPP Ledang) di atas amanah yang telah berjaya mereka pikul selama ini dan pemergian mereka daripada organisasi DPPNJ sangat dirasai. Saya mengharapkan agar ‘pemergian’ mereka daripada pemuda bukan menjadi penyentap semangat kepemudaan. Biar usia kita meningkat tetapi jiwa tetap selamanya muda.
Akhir kata, saya bagi pihak seluruh ahli Dewan Pemuda PAS Negeri Johor sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada YBhg Tuan Haji Mahfuz Bin Omar yang sudi merasmikan muktamar kita pada malam ini, dan terima kasih juga kepada semua tetamu kita yang memberikan komitmen menjayakan majlis ini.
Marilah sama-sama kita memasang tekad dan azam untuk terus bangkit membina keyakinan dan seterusnya menjana kemenangan. Berazamlah dengan sepenuh keyakinan untuk kita membina kekuatan sebenar yang mampu membentuk jati diri pemuda Islam yang beriman dengan perancangan yang tersusun rapi. Semoga Allah SWT berkenan memberikan kekuatan dan kesabaran kepada kita dalam memacu perjuangan ini.
Sekian, wassalam.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!