Saturday, May 2, 2009

DPPNJ : SELAMAT BERMUKTAMAR

DPPNJ : SELAMAT BERMUKTAMAR

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِى اَنْزَلَ عَلى عَبْدِهِ الكِتابَ ولَمْ يَجْعَلْ لَهُ عِوَجًا. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ. لَهُ اْلآسْمَاءُ الْحُسْنَى وَالصِّفَاتُ الْعُلَى وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَلْمَبْعُوثُ رَحْمةً لِلْعَالَمِيْنَ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيْبِنَا وَشَفِيْعِنَا وَزُخْرِنَا وَقُدْوَتِنَا وَأُسْوَاتِنَا مُحَمَّدٍ أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ والمُرْسَلِيْنَ، وَاِمامِ المُتَقِّيْنَ، وَقائِدِ الدُعاةِ المُجَاهِدينِ, وَعَلَى آلِهِ وصْحبِهِ وَمَنْ سَارَ عَلَى نَهْجِهِ اِلى يَوْمِ الدِيْنِ . أَمَّا بَعْدُ :



Salam tarbiyyah,

2 dan 3 Mei 2009 ini adalah Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Johor. Masanya untuk kepimpinan pemuda semua peringkat duduk dalam satu dewan bagi bermuhasabah, menilai prestasi gerak kerja yang telah lalu, potensi dan amanah yang mereka pikul.

Bagi yang menyempurnakan amanah sebaik mungkin, maka ganjarannya akan diberi oleh Allah Subhanu wa Taala selayaknya.. Bagi yang mengabaikan amanah, segeralah hisab diri sebelum dihisab di hadapan Qadhi Rabbul Jalil..

Bagi yang mempunyai idea bernas lagi sesuai dengan syarak, maka kongsikanlah. Bagi yang sudah berniat untuk menghentam dengan hanya berbekalkan peluru kacang hijau, atau berucap dengan ucapan yang sia-sia, maka seeloknya tak usahlah berbuat demikian. Ini kerana Rasulullah Shalallahu alaihi wa salam bersabda;



إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا يَزِلُّ بِهَا إِلَى النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ. (مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ : عن أبي هريرة)

“Sesungguhnya terdapat orang yang menuturkan dengan satu perkataan yang dia tidak jelas (dia tidak fikir samada baik atau tidak), menyebabkan dia dihumbankan ke dalam neraka lebih jauh daripada jarak antara timur dan barat.”

Pada hadis yang lain, Rasulullah Shalallahu alaihi wa salam bersabda;


مَنْ كان يؤمن باللهِ واليومِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ (متفق عليه)


“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka berkatalah yang baik atau diam saja” .

Akan tetapi jika ucapannya itu mengandungi sejuta hikmah dan kebaikan untuk jamaah dan kepimpinan, maka lontarkanlah dengan lontaran yang padu, beserta hujjah yang selari dengan pedoman jamaah (al-quran, al-hadis, al-ijma & al-qias yang nyata). Hamba yakin, kepimpinan pemuda Johor sentiasa berlapang dada dan ternanti-nanti ucapan yang sedemikian itu. Namun akhlaq perlu dijaga!


PEMILIHAN & PERTANDINGAN

Ada sahabat dikalangan exco DPPNJ meminta hamba membuat satu artikel mengenai isu pemilihan dan pertandingan (khususnya dalam jamaah PAS). Katanya ini bagi menerangkan kepada ramai ahli-ahli baru khususnya dalam pemuda DPPNJ agar mereka tidak melihat kita (PAS) , 2 x 5 dengan Umno.. katanya lagi, ahli-ahli yang lama dalam PAS juga akan dapat manfaatnya.. lihatlah media perdana sekarang yang sedang licik menyulam fitnah dalam isu pemilihan dan pertandingan dalam PAS.

Sebenarnya permintaan beliau ini sudah berlalu dua minggu.. pada awalnya hamba agak keberatan, dan memang telah lama hamba tidak menulis di blog. Kalau menulis pun, tertumpu kepada menjawab persoalan agama yang ditanyakan melalui emel. Ini kerana kesibukan berkuliah siang dan malam. Semoga Allah mengampuni hamba.. amin..

Akhirnya.. Alhamdulillah, dengan pertolongan Allah, Tuhan yang Maha Agong, telah memudahkan hamba bagi menyempurnakan hajat sahabat tadi seadanya.

Apa yang akan hamba sebutkan di bawah, adalah agar kita lebih jelas.. bahawa pemilihan dan pertandingan dalam jamaah kita (PAS) berasaskan kepada wahyu dan sunnah. Dan terserlah lah perbezaan antara pertandingan dalam PAS dan pertandingan dalam UMNO.

Fahami tarbiyyah ini.. Semoga bermanfaat..


PERTAMA : TIADA SALAHNYA PERTANDINGAN

Tidak salah untuk kita bertanding dalam pemilihan ini. Ini kerana kita telah pun maklum bahawa jamaah yang kita dukungi ini berusaha menegakkan syariat Allah di bumi-Nya ini. Menegakkan Syariat Allah adalah sebesar-besar kebajikan dan kebaikan.

Allah Subhanahu wa Taala berfirman;


وَلَوْ شَاء اللّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَـكِن لِّيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُم فَاسْتَبِقُوا الخَيْرَاتِ


“Sekiranya Allah menghendaki, niscaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlomba-lombalah berbuat kebajikan”. (al-maaidah : 48)



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا وَاعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ


“Hai orang-orang yang beriman, ruku'lah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan”. (al-hajj : 77)



وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبرِّ وَالتَّقْوَى


Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa..” (al-maaidah : 2)



وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ


“Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan”. (al-maaidah:93)

Jesteru itu, bertanding dalam urusan ini adalah berlumba-lumba dalam membuat kebajikan.

Kita juga mengetahui bahawa menjadi pemimpin, adalah menjadi pemuka di saf hadapan dalam melangsungkan amar ma’ruf dan nahi munkar. Menjadi pemimpin dalam PAS juga mendapat fadhilat yang besar di sisi Allah.

Rasulullah Shalallahu alaihi wa salam bersabda;

أفضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جائر (النسائي وصححه النووي)

Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang haq di hadapan pemerintah yang zalim”

Maka pemimpin mempunyai peluang yang lebih berbanding ahli dalam menghadapi pemerintah yang zalim. Inilah kelebihan sebagai pemimpin.

Selain daripada perlembagaan parti yang membenarkan, terdapat banyak lagi asas dan dalil yang membenarkan pertandingan atau perlumbaan dalam mengerjakan kebaikkan. Hamba kira memadailah dengan apa yang telah disebutkan di atas.

Akan tetapi ia tertakluk kepada individu yang benar-benar berkelayakan menurut prasyarat syarak dan perlembagaan parti. Juga jiwa yang ikhlas serta bercita-cita besar dalam usaha menegakkan syariat Allah. Bukan kerana kepentingan peribadi atau berjiwa hubbu rais..!


KEDUA : MEMINTA JAWATAN ATAU BERCITA-CITA MENDAPATKAN JAWATAN


Rasulullah Shalallahu alaihi wa salam bersabda kepada AbdurRahman Radiallahu anhu:,


يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ سَمُرَةَ لَا تَسْأَلْ الْإِمَارَةَ فَإِنَّكَ إِذَا أُعْطِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ فِيهَا إِلَى نَفْسِكَ وَإِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا ( رواه أبي داود : بَاب مَا جَاءَ فِي طَلَبِ الْإِمَارَةِ)

"Wahai AbdurRahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Maka sesungguhnya jika engkau diberikannya (jawatan) dengan permintaan, maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya (jawatan) tanpa pemintaan, maka engkau dibantu"

Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fathul-Bari: "Maksud hadis di atas ialah sesiapa yang meminta jawatan pemimpin lalu diberikan kepadanya (yang meminta), maka dia tidak diberikan bantuan disebabkan keinginannya (terhadap jawatan)..."

Katanya lagi: "Sesiapa yang tidak mendapat bantuan daripada Allah terhadap pekerjaannya maka dia tidak akan mempunyai kemampuan melaksanakan pekerjaan tersebut. Oleh itu, tidak sepatutnya diterima pemintaannya (untuk menjadi pemimpin)." (intaha)

Dalam kata lain, sesiapa yang meminta jawatan, maka Allah tidak akan menolongnya. Sesiapa yang tidak mendapat pertolongan Allah, maka dia akan gagal melaksanakan tugas dan amanah seperti yang dikehendaki Allah, sama ada yang kecil ataupun yang besar dan dalam apa urusan sekalipun. Akibatnya tugas-tugas yang diamanahkan oleh parti juga tidak kecapaian!.

Selain hadis ini menjadi had (batas) dan renungan kepada yang menginginkan jawatan, hadis ini juga menjadi pedoman yang ampuh dalam urusan memilih atau melantik individu tertentu. Agar jangan memilih orang yang terlalu inginkan jawatan!.. Ini kerana kita bimbang tugasan dan amanah yang diserahkan nanti tidak mendapat bantuan dari Allah Azza wa Jalla.. Sesungguhnya bantuan dan pertolongan daripada Allah amatlah penting. !

Al-Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya ada meriwayatkan sebuah hadis daripada Abi Musa Radhiyallah anhu, dia berkata ;


دَخَلْتُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا وَرَجُلَانِ مِنْ قَوْمِي فَقَالَ أَحَدُ الرَّجُلَيْنِ أَمِّرْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَقَالَ الْآخَرُ مِثْلَهُ فَقَالَ إِنَّا لَا نُوَلِّي هَذَا مَنْ سَأَلَهُ وَلَا مَنْ حَرَصَ عَلَيْهِ (رواه البخاري)

“Telah masuk aku dan dua orang lelaki daripada kaumku kepada Nabi Shalallahu alaihi wa salam.. Maka telah berkata salah seorang daripada dua lelaki berkenaan : Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulallah!. Yang seorang lagi juga berkata demikian.. Lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya"

Hadis ini saling menguatkan hadis di atas di mana Nabi Shalallahu alaihi wa salam sangat berhati-hati dalam urusan perlantikan dan pemilihan. Apabila nyata individu yang meminta atau telah zahir kecenderungannya terhadap sesuatu jawatan, maka dengan tegas baginda Nabi Shalallahu alaihi wa salam menyatakan : "Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya" .

Ini merupakan satu kaedah yang sepatutnya difahami oleh ahli-ahli PAS dan umat Islam yang lain dalam urusan pemilihan dan perlantikan sesuatu jawatan. Apatah lagi jika jawatan itu adalah jawatan yang penting dan melibatkan umat atau rakyat!.

Daripada dua hadis ini, dapat kita faham bahawa jawatan bukanlah satu perkara yang remeh.

- Jawatan bukanlah suatu matlamat.
- Ia menyangkut soal pertolongan dari Allah Taala.
- Ia mendatangkan kesan buruk kepada tugas, amanah, individu tersebut dan juga jamaah.
- Ia mengakibatkan penyesalan di dunia dan akhirat.
- Tidak melantik orang yang tamakkan jawatan.

Berkata al-Imam al-Syaukani dalam Nail al-Autar : “..apabila seseorang yang meminta jawatan tidak mendapat pertolongan Allah, maka apa-apa jawatan yang dipegangnya akan menjatuhkannya dalam kesusahan dan kerugian dunia dan akhirat, maka tidak dihalalkan melantik orang seperti itu”. (intaha)

Berkata al-Qadhi al-Baidawi pula, dalam mensyarahkan masalah meminta jawatan kepimpinan : "Tidak sepatutnya bagi orang yang berakal bergembira dengan suatu kelazatan yang akan disudahi dengan penyesalan". (intaha)

Dua buah hadis di atas bukanlah larangan mutlaq dalam hal meminta jawatan. Untuk lebih lanjut bacalah tafsir surah Yusuf. Tetapi dua buah hadis ini amat penting difahami dan dihayati dalam hal meminta jawatan dan yang berkait dengannya.


KETIGA : UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI

Maksudnya menilai kemampuan diri. Jangan menilai istimewanya menjawat jawatan! Tapi menilai apakah “aku” mampu atau layak memikulnya. Perkara ini sangat penting untuk diterangkan.

Dalam hal ini, berlaku di zaman Rasulullah Shalallahu alaihi wa salam, di mana Abu Zar Radhiyallah anhu mendatangi Rasulullah shalallahu alaihi wa salam dan mengatakan : “Ya Rasulallah! Lantiklah aku memegang jawatan”..

Rasulullah yang amat mengenali kemampuan para sahabatnya, baginda bersabda;


يَا ‏ ‏أَبَا ذَرٍّ ‏ ‏إِنَّكَ ضَعِيفٌ وَإِنَّهَا أَمَانَةُ وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ إِلَّا مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيهَا (رواه مسلم : ‏بَاب ‏ ‏كَرَاهَةِ ‏ ‏الْإِمَارَةِ ‏ ‏بِغَيْرِ ضَرُورَةٍ)

“Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau lemah (tidak mampu), dan sesungguhnya jawatan ini satu amanah, nanti di hari akhirat engkau akan akan berdukacita dan menyesal, melainkan engkau ambil dengan selayaknya dan engkau menunaikan pula amanahnya”.

Hadis ini merupakan peringatan Rasulullah Shalallahu alaihi wa salam tentang akibat dan kesan buruk di kemudian hari ke atas individu yang cintakan jawatan sedang dirinya tidak layak atau tidak berkemampuan.

Namun dibenarkan jika ia sesuai dengan kondisi dan kemampuan yang ada, dengan syarat berusaha menunaikan amanah sebaiknya.

Menjadi pemimpin ada amanahnya, menjadi ahli juga ada amanahnya.. yang tidak menjadi ahli juga ada amanahnya… hisab di mana kelayakan kita! Pikul amanah itu semampunya..

Ketahuilah, kepimpinan adalah amanah yang amat berat. Maka ia tidak diserahkan melainkan kepada yang layak memikulnya. Allah Subhanahu wa Taala berfirman;


إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya..” (an-nisa’ : 58)

Batas inilah yang menyebabkan ramai dikalangan ahli PAS yang memiliki ilmu serta memahaminya menarik diri daripada pertandingan. Namun sebahagian daripada kita yang jahil, terlalu cepat menghukum sehingga ada yang mengatakan sipolan cuba lari dari perjuangan.

Lari dari perjuangan soal lain, lari daripada bertanding soal lain. Berkata penyair;

تأن ولا تجعل بلومك صاحبا

لعل له عزرا وانت تلوم
“hati-hati dan jangan terburu mencela saudaramu,
Siapa tahu ia punya alasan atas celaanmu itu”

Oleh itu sebagai pejuang agama Allah, husnu dzan sesama ahli jamaah amatlah penting. Jangan dicemuh sahabat-sahabat yang bertanding dan jangan pula dicela sahabat-sahabat yang menarik diri.


KEEMPAT : CIRI-CIRI UMUM KEPIMPINAN DALAM JAMAAH ISLAMIYAH


Sedikit disebutkan di sini mengenai muwasafhat kreateria umum yang perlu ada dan dimiliki oleh seseorang pemimpin. Ini sebagai asas yang perlu difikirkan sebelum kita melantik atau mencalonkan seseorang.

Allah Subhanahu wa Taala berfirman;

إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

“sesungguhnya orang yang paling baik kamu ambil untuk bekerja itu ialah orang yang quwwah lagi amanah".(al-Qasas:26)

Quwwah bermaksud kekuatan fizikal, keupayaan, kewibawaan dan kemampuan memimpin. Ertinya mampu melaksanakan tugas-tugas kepimpinan dalam bidangnya dan mampu memahami tuntutan kepimpinan.

Adapun amanah, dirujuk kepada seseorang yang memahami batas-batas halal haram serta sentiasa mengawasi dirinya tergelincir daripada landasan syariat. Pendeknya seorang yang ‘alim dalam agama (mengetahui tentang deenul Islam) serta bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Taala.

Tidak dinafikan betapa payahnya mencari individu yang memiliki kedua sifat tersebut dalam dirinya. Saiyiduna Omar al-Khattab Radiyallahu anhu pernah merintih kepada Allah; “ ya Rabbi.. aku mengadu kepada Mu daripada kekuatan orang yang fasiq dan kelemahan orang-orang yang amanah..”

Namun, masih ada peluang jika pemimpin tersebut berusaha memperbaiki diri untuk meraih kedua-dua sifat tersebut. Antaranya melalui proses pentarbiyyahan dan perkaderan yang berterusan. Di sinilah akan anda temui betapa besarnya erti Lajnah Tarbiyyah yang diwujudkan di semua peringkat dalam PAS.

Dari situ akan muncullah pemimpin yang benar-benar berupaya memikul amanah dan memiliki quwwah kepimpinan. Insya Allah..


KELIMA : PERINGATAN BERGUNA

Kepada mereka yang gemar melobi, menonjolkan diri, mengadu domba, memecah-belah, memburuk-burukkan saingan dan menebarkan racun fitnah demi kepentingan peribadi. Maka diingatkan di sini bahawa semua pekerjaan itu adalah sia-sia, sifat yang keji (mazmumah) lagi mengundang kemurkaan Allah.

Sedarlah bahawa PAS adalah mata rantai perjuangan yang diasaskan sedari zaman Rasulullah Shalallahu alaihi wa salam lagi. Perbuatan yang keji itu hanya membinasakan diri dan menyakiti hati Rasulullah Shalallahu alaihi wa salam.

Berada di dalam PAS seharusnya dapat menggantikan sifat mazmuzah itu kepada sifat mahmudah. Bukannya menjadi “pemuka munafiq”!. Jika itu pilihannya, maka Allah telah menyediakan tempatnya di Neraka. Takutlah kamu akan Neraka Allah!.

Rasulullah Shalallahu alaihi wa salam pernah bersabda;

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ. (مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.)

"Tidak akan masuk syurga, Nammam (yang banyak berbuat namimah/adu domba).”

Ke mana kita akan pergi jika tidak ke syurga? Sedang tempat kesudahan hanya antara syurga dan neraka sahaja!..

Jadilah ahli PAS yang baik. Jadilah mukmin yang baik. Jadilah muslim yang terbaik.. Perhatikan pedoman di bawah ini;

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَال:َ قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْمُسْلِمِيْنَ أَفْضَلُ؟ قَالَ: مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ. (مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ)


“Daripada Abi Musa Radiyallahu anhu., katanya: “Aku bertanya, wahai Rasulallah! Siapakah muslim yang terbaik? Baginda menjawab: Sesiapa sahaja yang selamat orang-orang Islam yang lain daripada (kejahatan) lidahnya dan tangannya.”

Firman Allah subhanahu wa taala;

وَلَا تُطِعْ كُلَّ حَلَّافٍ مَّهِينٍ هَمَّازٍ مَّشَّاء بِنَمِيمٍ


“Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, banyak berjalan (ke sana sini membawa pendustaan untuk) mengadu domba menghambur fitnah..”(al-Qalam :10-11)

FirmanNya lagi;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْماً بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (al-hujurat : 6)


PENUTUP

Nah, demikianlah hamba bawakan kepada kita semua akan neraca pertimbangan dalam urusan pemilihan dan pertandingan dalam jamaah Islamiyah. Disertakan dengan mauidzah berguna untuk hamba dan para sahabat. Jika difahami dengan baik, dengan akal yang waras, dengan rasa khudu’ dan tawadhu’, maka inilah juga jawaban mengapa PAS membenarkan pertandingan dan mengapa PAS terpelihara dari perpecahan.. tidak seperti Umno!

Mengapa dikatakan “tidak seperti umno!”..?? kanak-kanak pun tahu jawabannya..

WALLAHU A’LAM.

Inilah seadanya.. Semoga risalah ini bermanfaat untuk kita semua. Amin..

الهي انت مقصودي ورضاك مطلوبي

al-Faqir ila Rabbihi al-Qadir,

IBNU MASRAN AL-BANJARI
Tim. Pengerusi Lajnah Tarbiyyah,
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor.
Sesi 07-09

7 Jamadil Awwal 1430H
2 Mei 2009M

http://tarbiyyahibnumasran.blogspot.com/