Thursday, June 18, 2009

FATHI YAKAN : JASADnya mati tetapi JASAnya hidup.

Al-marhum Al-ustaz Fathi Yakan telah meninggalkan alam fana dan kita semua (1933 – 2009), pada usia 76 tahun. Jenazah al-marhum disembahyangkan pada asar hari ahad 21 jamadul akhir 1430 hijrah di Masjid Tinal dan dikebumikan di perkuburan keluarga di Babur Raml.

Fathi Yakan ialah ulama' dan pendakwah Islam yang terkemuka. Dilahirkan di Tarablas pada tahun 1933 dan telah mendapat ijazah kedoktoran (Ph.D) dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab. Beliau telah terlibat dengan kerja-kerja Islam sejak tahun 50an dan telah menubuhkan Jamaah Islam pada awal 60an. Beliau telah menjawat ketua umum di dalam Jamaah Islam (cawangan ikwanul muslimin) sehinggalah pada tahun 1992.

Pada tahun tersebut beliau telah bertanding dan telah memenangi kerusi parlimen. Al-marhum kekal sehinggalah pada tahun 1996. Di tahun-tahun kebelakangan ini beliau telah mengetuai jabhah Islami. Beliau telah mengambil peranan penting untuk menghentikan peperangan Mukhayyam Nahrul Barid di utara Lubnan di antara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pada tahun 2007.

Al-marhum merupakan seorang ulama' mujahid yang terbilang di zaman ini. Bahkan beliau adalah ulama' bertaraf dunia yang mempunyai saham perjuangan yang cukup besar dan luas. Usia beliau dihabiskan di medan perjuangan. Pidato dan karyanya sangat membina dan mendidik ummah. Jasanya sangat besar dalam mewarnai dunia harakah islamiyyah.

Kitab karangannya yang berkah lagi tersohor Apa Ertinya Saya Menganut Islam (“Maza Ya’ni Intima'i Li al-Islam”) menjadi rujukan kebanyakan usrah pelbagai wadah khusus bagi yang menceburkan diri dalam amal tarbawi. Penulisannya yang tersusun rapi menyemai kefahaman yang jitu tentang definisi seorang penganut Islam yang benar-benar berperibadi Muslim.

Selain Kitab Maza Ya’ni, al-marhum Fathi Yakan menulis melebihi 35 buah buku-buku yang bermanfaat. Antaranya al-Mutasiqituna fala toriq Da’wah, kaifu nadwu lil Islam dan lain-lain..

Kini al-marhum telah kembali ke rahmatillah. Sedih dan pilu menyelubungi anak murid beliau di seluruh dunia. Kembalinya ke rahmatillah, adalah satu kehilangan besar buat perjuangan ini.

Semoga Allah merahmati ruh al-marhum al ustaz Dr. Fathi Yakan dan menempatkan beliau bersama para syuhada' . Amin..

Bagi kita yang masih bernyawa, Semoga semangat perjuangan dan ruh tarbiyyah yang ditinggalkan oleh al-marhum akan terus di semarakkan. Insyaallah..

“Sesungguhnya JASAD beliau telah pun mati, namun JASA beliau terus hidup

-alBanjari-