Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi, akhirnya majlis pengkhataman Kitab Usuluddin (I'tikad Ahlis Sunnah Wal Jama'ah) di Madrasah Sidi Ibrahim Ar-Rashid selamat diadakan pada malam Ahad 6 Zul Qa'edah 1433H bersamaan 22 September 2012 dengan izin dan pertolongan Allah Ta'ala jua.
Kitab
ini adalah karangan Al-Alim Al-'Allamah Asy-Syeikh Muhammad Mukhtar Bin
'Athorid Al-Jawiy Al-Betawiy Al-Boqoriy Al-Makkiy رحمه الله تعالى ونفعنا
به وبعلومه في الدارين آمين
Al-Faqir
mula mensyarahkan kitab Ushuluddin ini pada 12 Jumadil Akhir 1432H bersamaan 16
Mei 2011 dan mengkhatamkannya pada malam 6 Zul Qa'edah 1433H bersamaan 22
September 2012. Ini adalah kitab kedua yang telah faqir syarahkan di Madrasah
tersebut setelah pengajian Kitab Ushulut Tahqiq yang dimulakan pada tahun 2009
dan dikhatamkan pada 2011. Segalanya dengan izin dan pertolongan Allah Ta'ala
jua. ما شاء الله كان وما لم يشاء لم يكن
Semoga
Allah سبحانه وتعالى
memberkati serta merahmati pengarangnya, pensyarahnya, pembacanya, dan setiap
murid yang menuntutnya dengan hati yang salim, serta memberikan futuh dan
ma'rifah kepada semua penuntut aqidah salimah. اللهم آمين ..
PENGENALAN
RINGKAS KITAB USHULUDDIN DAN PENGARANGNYA.
Ketika
catatan ini ditulis, usia kitab ini telah pun berumur 110 tahun. Kitab ini diselesaikan pada hari khamis
24 zul kaedah 1323H. Sehingga kini kitab ini masih lagi dicetak dan dijual di
kedai-kedai kitab agama. Ternyata ia sebuah kitab yang berkah.
Kitab
ini membahas secara ringkas dan padat mengenai perkara Ilahiyyah, Nubuwwaah,
Sam'iyyah dengan pendekatan ulama khalaf. Juga menerangkan ikutan dalam mazhab,
ikutan dalam thoriqat, mengenali Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , ahli keluarganya,
isteri-isterinya, martabat kemuliaan makhluk, imam mazhab yang empat, nama-nama
nabi عليهم الصلاة والسلام , kitab-kitab Allah serta para malaikat.
Kitab
ini sangat bagus untuk penuntut ilmu di peringkat mubtadi yang ingin mendalami
Ilmu Tauhid. Ini turut diakui oleh pentashih kitab ini iaitu Al-'Alim
Al-'Allamah Asy-Syeikh Muhammad Idris Al-Merbawi Al-Firaqi (sohib Bahrul Maazi
& Qomus Al-Marbawi). Pada kitab cetakan Mustafa Al-Baabi Al-Halabi Wa
Awladuhu, Mesir, beliau memberikan taqriz terhadap kitab ini dengan berkata :
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف المرسلين وعلى آله وصحبه
أجمعين
Adapun kemudian daripada itu, maka hamba terangkan bagi
awamil ummah kita (yang berbangsa) melayu, adalah kitab ini amatlah (besar)
manfaatnya bagi seseorang (yang ingin) menuntut (ilmu) tauhid, kerana mudah
fahamnya dan baik susunannya. Maka sayugialah jangan luput daripada seseorang
itu bagi
mula-mula tuntutannya. Mudah-mudahan dengan berkat usaha pengarangnya
iaitu Tuan
yang masyhur 'Alim lagi 'Allaamah Asy-Syeikh Muhammad Mukhtar
Bin
'Atharid Al-Jawiy, mencapailah seseorang itu kekemuncak
hajat di dunia dan akhirat. Aamiin.." (intaha)
hajat di dunia dan akhirat. Aamiin.." (intaha)
Bahkan
menurut al-Faqir, kitab ini juga besar manfaatnya bagi peringkat pertengahan
dan tinggi. Istimewa mengenai perbahasan tentang (Mukhalafatuhu Lil Hawadits)
dan (Wahdaniah).
Faqir
titipkan di sini doa yang ditulis oleh Pengarang
رحمه الله تعالى di akhir kitabnya, doa yang penuh makna, penuh raja'
disulami khauf, penuh mahabbah dan tawadhu' sesama ummat Jaddina صلى الله عليه
وآله وسلم , penuh ta'zim dan tadharru' terhadap
Saiyiduna Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم. Moga berkahnya tercurah kepada kita semua..
Berkata
alMusannif رحمه الله تعالى:
جعلنا الله وآبائنا وأمهاتنا وإخواننا وقراباتنا وأحبائنا ومشايخنا من أهل الجنة,
واحفظنا وإياهم من عذاب النار وجميع أهوال يوم القيامة, واختم لنا ولهم بحسن
الخاتمة, وارزقنا وإياهم الصحة والعافية في الدين والدنيا والآخرة بجاه سيدنا محمد
صلى الله عليه وسلم وآله وصحبه أجمعين. وصلى الله علي سيدنا محمد وعلى آله وصحبه
كلما ذكره الذاكرون, وغفل عن ذكره الغافلون, وسلم, ورضي الله تعالى عن أصحاب رسول
الله أجمعين, وحسبنا الله ونعم الوكيل, والحمد لله رب العالمين
Menterjemahkan
dia oleh alfaqir غفر الله له ولمشايخه:
"Semoga
Allah menjadikan kami, bapa-bapa kami, ibu-ibu kami, saudara-saudara kami, kaum
kerabat kami, kekasih-kekasih kami, dan para guru-guru kami dari kalangan ahli
syurga. Semoga Allah memelihara kami dan memelihara mereka dari azab neraka dan
dari segala ketakutan pada hari kiamat kelak.
Semoga
Allah mengakhiri hayat kami dan mereka dengan husnul khatimah dan melimpahkan
kepada kami dan kepada mereka dengan nikmat kesihatan, keafiatan di dunia dan
di akhirat, bertawasul oleh kami dengan keberkatan Junjungan Besar Saiyidina
Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wa Aalihi Wa Sallam, keluarganya dan para
sahabatnya sekelian.
Semoga
Allah mencucuri rahmat dan kesejahteraan ke atas Penghulu kami Muhammad,
keluarganya dan para sahabatnya, setiap kali ketika telah berzikir
mengingatiNya oleh orang-orang yang berzikir dan ketika telah lalai daripada
mengingatiNya oleh orang-orang yang lalai. Semoga Allah Ta'ala meredhai para
sahabat Rasulillah sekeliannya.
Cukuplah
Allah sebagai pemelihara kami dan sebaik-baik tempat berserah. Dan segala puji-pujian
itu milik bagi Allah Tuhan sekelian alam."
آمين يا ارحم
الراحمين بجاه نبي الأمين
Untuk
mengetahui lebih lanjut tentang manakib sejarah hidup dan keilmuwan Al-'Allamah
Asy-Syeikh Muhammad Mukhtar Bin 'Athorid Al-Jawiy Al-Betawiy Al-Boqoriy
Al-Makkiy رحمه الله تعالى ونفعنا به وبعلومه في الدارين آمين , bolehlah dirujuk di SINI
Sebagai meraih berkah musannif serta para ulama
yang menyebarkan ilmu dan I'tikadnya, maka faqir bacakan juga pada malam khatam
itu akan sanad yang bersambung kepada pengarangnya yang mulia itu. Semoga Allah
Ta'ala mencurahkan rahmat dan berkah kepada kami semua. Aamiin..
MENJAMU MAKAN AMALAN MULIA
Para hadirin kemudiannya dijamu oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Abu Samah
di rumah kediamannya di sebelah Madrasah. Kami tidak menyangka Tuan Haji Abu telah
menempah masakan berlauk kambing yang istimewa sempena majlis ini. Mereka
meraikannya sebagai tanda kesyukuran dapat mempelajari kitab yang berkah itu
sedari awal hinggalah khatam.
Meskipun kitab tersebut hanya memiliki 8 helai,
namun tempoh mengaji yang agak lama hingga memakan masa setahun lebih,
membuatkan mereka rasa gembira serta bersyukur apabila kitab tersebut berjaya
dipelajari sehingga khatam. Daripada rasa kesyukuran inilah, maka hadirin
dijamu makan dengan jamuan yang istimewa.
Amalan menjamu makan ini sebenarnya bisa menempatkan
kita ke syurga Allah. Beruntunglah bagi mereka yang mempunyai kelebihan lalu
memanfaatkannya dengan cara menjamu orang ramai makan. Rasulullah صلى الله عليه
وآله وسلم pernah bersabda :
يا ايها الناس اطعموا الطعام,
وافشوا السلام, وصلوا الارحام, وصلوا بالليل والناس نيام, تدخلوا الجنة بسلام
"wahai manusia! jamulah oleh kamu akan
makanan, dan sebarkan oleh kamu akan ucapan salam, dan sambunglah oleh kamu
akan silaturrahim, dan solatlah kamu di waktu malam disaat manusia sedang
tidur, nescaya kamu masuk akan syurga dengan sejahtera." (Riwayat
al-Baihaqi)
Sementara dalam Mustadrak 'Ala Shohihain bagi Imam
Al-Hakim, diriwayatkan sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم :
إن خيركم من أطعم الطعام
"Sesungguhnya yang paling baik dikalangan
kamu ialah orang yang menjamukan makanan"
(Tuan Haji Abu –
sebelah kiri al-faqir)
Tuan Haji Abu adalah seorang yang mulia,
dikenal sebagai orang yang sentiasa memuliakan para ulama, dikenal sebagai
orang yang sentiasa menjaga kebajikan para asatizah khususnya di Madrasah Sidi
Ibrahim, dikenal sebagai pemurah dan dermawan, yang sentiasa mendokong
pembangunan institusi Pondok dan Madrasah. Semoga Allah Ta'ala memanjangkan
umurnya dan ahli keluarganya serta dilimpahi keberkatan dan istiqamah dalam
mengerjakan amal soleh.
Kelebihan sifat pemurah dan dermawan ini ada
terdapat dalam Sunan At-Tirmizi, diriwayatkan daripada Abi Hurairah رضي الله عنه bahawa
Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda
:
السخي قريب من الله, قريب
من الجنة, قريب من الناس, بعيد من النار
والبخيل بعيد من الله, بعيد
من الجنة, بعيد من الناس, قريب من النار
ولجاهل سخي أحب إلى الله عز وجل من عالم بخيل
"Dermawan yang pemurah itu hampir kepada
Allah, hampir kepada syurga, hampir kepada manusia, jauh daripada neraka. Dan orang
yang bakhil itu jauh dari Allah, jauh dari syurga, jauh dari manusia, hampir
kepada neraka. Dan orang yang jahil yang pemurah lebih disukai oleh Allah عز وجل
daripada orang yang 'alim yang bakhil."
Sifatnya yang suka memuliakan serta berkhidmat
kepada 'alim ulama selalu membuatkan faqir menjadi terharu. Hanya kepada Allah
jua tempat faqir memohon agar beliau dan ahli keluarganya dikurniakan limpahan
ilmu, makrifah dan rezeki yang berkah.
Saya yakin amal solehnya itu akan membuahkan
hasil yang soleh buat dirinya serta zuriatnya. Teringat faqir akan pesan para
masyaikh :
من أراد أن
يكون ابنه عالما, ينبغى أن يراعى الغرباء من الفقهاء ويكرمهم ويطعمهم
ويطيعهم شيئا
وإن لم يكن ابنه عالما يكون حفيده عالما
"Barangsiapa yang ingin anaknya menjadi
orang 'alim, hendaknya ia memelihara, memuliakan dan memberikan sesuatu kepada
ahli agama yang ghuraba' . Jika ternyata anaknya tidak menjadi orang 'alim,
maka cucunya yang akan menjadi orang 'alim."
Moga seperti inilah yang akan dianugerahkan
kepada beliau serta setiap insan yang seperti beliau. Allahumma Aamiin.
Kemudian kami dijamu lagi di rumah Yang
Berbahagia Tuan Haji Mustafa Kamal. Kami dihidangkan beriani kambing. :) Semoga
Allah Ta'ala melimpahkan keberkatan kepada beliau dan keluarganya.
Sukar juga menolak pelawaan Tuan Haji Kamal
sekalipun telah kekenyangan dek jamuan di rumah Tuan Haji Abu. Namun menunaikan
jemputan seorang muslim itu merupakan haknya yang perlu ditunaikan. Imam Ahmad
dalam Musnadnya meriwayatkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم
bersabda :
حق المسلم على المسلم ست قيل
ما هي يا رسول الله قال إذا لقيته فسلم عليه
وإذا دعاك فأجبه وإذا استنصحك
فانصح له وإذا عطس فحمد الله فشمته
وإذا مرض فعده وإذا مات فاتبعه
"Hak seorang muslim atas seorang muslim
itu ada enam, ditanya apakah dia wahai rasulallah? Sabda nabi, apabila engkau
bertemunya maka ucapkanlah salam, dan apabila dia mengundangmu maka tunaikanlah,
dan apabila ia meminta nasihat maka berilah nasihat kepadanya, dan apabila dia
bersin lalu mengucapkan الحمد لله , maka ucaplah يرحمك الله ,
dan apabila ia meninggal dunia maka hantarlah ke tanah perkuburan."
Tidak patut bagi kami mengabaikan pesanan Rasul
ini. Tambah pula Tuan Haji Kamal ini dikira rapat dengan saya. Beliau telah
bertalaqqi bersama faqir sejak tahun 2006 lagi. Beliau sering menyertai rehlah dakwah
dan jaulah ilmiah bersama faqir. Kesungguhannya pada menuntut ilmu wajar
dijadikan contoh teladan kepada golongan walad dan syabab.
Kekayaan dan urusan dunia tidak menjadi
penghalang baginya dalam menunaikan kewajipan mendalami ilmu-ilmu Allah. Semoga
Allah Ta'ala memberikan futuh kepadanya dan menambahkan rasa cintanya kepada
ilmu dan ulama. Aamiin..
Alangkah indahnya kalam Sayyiduna Ali bin Abi
Thalib رضي الله عنه yang pernah
bersyair :
رضينا قسمة الجبار فينا *
لنا علم وللأعداء مال
"Kami redha dengan bahagian yang diberikan oleh Allah, bagi
kami diberikan ilmu, sedang bagi musuh diberikan harta benda."
فأن المال يفنى عن قريب * وإن العلم يبقى لا يزال
"Kerana sesungguhnya harta
benda itu akan binasa dalam jangka masa pendek, sedang ilmu akan abadi dan
tidak musnah."
Kepada yang masih muda remaja,
gunakanlah kesempatan mudamu dengan menekuni ilmu agama. Kepada yang terlalu sibuk
dengan urusan dunia, janganlah duniamu itu menjadikan dirimu hina. Bukankah Junjungan
Besar صلى الله عليه وآله وسلم pernah mengingatkan kita :
اغتنم خمسا قبل خمس : شبابك قبل هرمك ، وصحتك قبل سقمك ، وغناءك قبل فقرك ،
وفراغك قبل شغلك ، وحياتك قبل موتك
"Rebutlah lima sebelum lima,
masa mudamu sebelum tuamu, dan masa sihatmu sebelum sakitmu, dan masa kayamu
sebelum fakirmu, dan masa lapangmu sebelum sibukmu, dan masa hidupmu sebelum
kematianmu."
Betapa bagusnya kalam syair ini :
وأيم الحداثة فاغتنمها *
ألا إن الحداثة لا تدوم
"Raihlah kesempatan di waktu mudamu, ingatlah masa mudamu
tidak akan abadi."
Dan renungilah nasihat ulamak ini
:
هي الدنيا أقل من القليل
* وعاشقها أذل من الذليل
"Dunia itu sedikit dari yang sedikit, dan seorang yang
tenggelam di dalamnya lebih hina dari orang yang hina"
تصم بسحرها قوما وتعمي *
فهم متحيرون بلا دليل
"Akibat sihir dunia, ramai orang yang menjadi tuli dan
buta, sehingga mereka menjadi bingung tanpa pegangan"
Semoga kita semua tidak menjadi
orang yang lalai, tenggelam serta terpedaya dengan nikmat dunia yang menipu.
اللهم إنا نسألك العفو والعافية واليقين في الأولى والآخرة .. آمين يا رب
العالمين
"Ya Allah, kami
memohon kepadaMu keampunan, keselamatan dan keyakinan di dunia dan di
akhirat"
(Tuan Haji Kamal –
sebelah kiri al-faqir)
Khusus di rumah Tuan Haji Kamal ini, kami diserikan
lagi dengan persembahan qasidah daripada pelajar-pelajar Pondok Ribath Tuan
Guru Hj Muhammad Lip, Muar. Semoga Allah memberkati kami serta menjadikan
pelajar-pelajar ini sebagai para 'alim ulama dan ahli ibadah yang teguh ilmu
dan amalnya dengan berkahnya Nabi yang terpuji. Amin.
(Qashidah oleh pelajar Ribath TG Hj Muhammad Lip, Muar)
Alangkah berkah saat dilaungkan alunan bait-bait indah memuji keAgungan Rasul Tercinta, semulia-mulia makhluk, setinggi-tinggi martabat, Sayyiduna Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم .
Berkata Syeikh Ibrahim al-Laqqaniy رحمه الله تعالى
:
وأفضل الخلق على الإتطلاق * نبينا فمل عن الشقاق
"Dan semulia-mulia makhluk secara mutlak
itu ialah Nabi kita, maka berpalinglah dari perselisihan."
Mendengar adik-adik yang mulia itu mendendangkan puji-pujian kepada
Allah dan rasulNya, membuatkan airmata mengalir tanpa sedar. Sungguh dirimu
wahai Rasul صلى الله عليه وآله وسلم adalah makhluk yang paling
mulia. Betapapun kami cuba memuliakanmu, ternyata kemuliaanmu mengatasi segala
pujian itu.
Hanya Allah jualah yang paling layak
menempatkan kepujian bagimu yang tiada bandingan. Perhatikanlah bagaimana Allah
mengistiharkan keagungan dan kemuliaan akhlak Nabiyuna Muhammad صلى الله عليه
وآله وسلم :
وإنك لعلى خلق عظيم
"Dan
sesungguhnya engkau benar-benar mempunyai akhlak yang sangat mulia"
Sungguhpun kalam Allah ini kelihatan ringkas,
namun bagi mukmin yang suka bertadabbur dengan ayat-ayat Allah, pasti dapat
merasakan betapa sukarnya bagi kita mengeluarkan cahaya-cahaya indah dalam
persaksian Allah ini, serta lemahnya kita dalam nak menghimpunkan segala jenis
akhlak yang pernah wujud di alam ini.
Ketahuilah oleh mu, bahawa ayat yang ringkas
ini adalah bagi memudahkan kita mengingati bahawa segala jenis akhlak yang pernah
dianggap mulia di atas muka bumi ini sebenarnya terhimpun pada diri mulia Nabi صلى الله عليه
وآله وسلم , bahkan Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم lah
yang menyempurnakan segala akhlak yang mulia itu.
Guru kami yang mulia, Al-'Alim Al-'Allaamah
Asy-Syeikh Muhammad Said Ramadhan Al-Buthiy حفظه الله تعالى
pernah berkata :
سمي خلقه عظيما لاجتماع مكارم الاخلاق فيه
"Dinamakan akhlak rasulullah صلى الله عليه
وآله وسلم sebagai yang paling agung
adalah kerana berhimpunnya segala akhlak-akhlak yang mulia pada batang tubuh Rasulullah
صلى الله عليه وآله وسلم ."(intaha)
Jika terdapat insan lain yang memiliki akhlak
mulia, maka ia masih belum sempurna. Jika terdapat insan lain yang mempunyai
peribadi yang mulia, maka ia masih belum lengkap pada terhimpunnya sekelian
akhlak yang mulia.
Pendek kata, jika dikatakan si fulan bin fulan
itu berakhlak mulia, itu hanya pada sebahagian sudut sahaja. Namun di sisi lain
masih terdapat lagi kecacatan dan kekurangan. Adapun ke atas Nabi kita صلى الله عليه
وآله وسلم , maka tiada ruang dan sudut yang kosong daripada akhlak yang
mulia serta sifat-sifat terpuji.
Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم sendiri pernah menegaskan
:
إن الله بعثني لاتمم مكارم الاخلاق
"Sesungguhnya Allah membangkitkan aku
untuk menyempurnakan segala akhlak-akhlak yang mulia."
Sekiranya kita merenung pada mukjizat ayat وإنك لعلى خلق
عظيم , nescaya lemahlah kita pada menghurai dan menterjemahkannya. Hurailah
dari sudut apa pun, samada dari sudut ilmu nahunya, ilmu sarafnya, ilmu
balaghahnya, ilmu bayannya, ilmu tafsirnya, ilmu hadithnya, ilmu sirahnya, ilmu
akhlaknya, ilmu aqidahnya, apa pun jua bidang ilmu, nescaya kamu mampu
membicarakannya, nescaya kamu menerima fawaed yang banyak, namun akan berkesudahan
dengan tunduk malu serta menitiskan airmata kerana cahaya keagungan akhlak
mulia Nabi صلى الله عليه وآله وسلم
benar-benar tidak dapat ditandingi
oleh sekelian makhluk Allah imma di atas dunia, wa imma di negeri akhirat.!
Dengan berkat kemuliaan akhlak Bagindalah,
jesteru kamu diberi ilham dan ilmu pada menghurainya, dan darjat kamu pun menjadi
mulia. Sebaliknya jika kamu mengingkari keperibadian dan akhlak mulia yang ada
pada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , nescaya kamu menjadi
jahil dan hina.
Jadilah insan mulia dan berilmu dengan
memuliakan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan jangan sampai kamu
menjadi hina dan berterusan jahil kerana mengingkari akan kemuliaan akhlak Baginda
Nabi صلى الله عليه وآله وسلم .
Faqir berikan satu contoh. Contoh yang
memancarkan cahaya akhlak terpuji Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم
, sekalipun sekali pandang ia
biasa-biasa saja, namun bila dicermati, bila direnungi, bila difahami, dengan
mata hati yang insaf, nescaya kita akan tersenyum, lalu menitiskan airmata
kekaguman, airmata kekerdilan, airmata pengakuan, airmata keinsafan, dan
airmata mahabbah..
Imam at-Tirmizi رحمه الله تعالى
meriwayatkan dalam Syama'il Muhammadiyah sebuah hadith daripada
sayyidatina 'Aisyah رضي الله عنها katanya,
bahawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda :
نعم الإدام الخل
"sebaik-baik
lauk adalah sos cuka."
Hadith ini dimasukkan di dalam Bab Lauk Pauk
yang dimakan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Ramai yang membacanya memahami bahawa cuka
adalah sebahagian makanan yang disukai oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم
. Ramai juga orang yang
mensyarahkan hadith ini hanya memperkatakan tentang khasiat dan kelebihan cuka.
Semua itu tidak dinafikan. Bahkan sesuatu yang
dikatakan baik oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم
pasti mengandungi hikmah dan kebaikan. Tetapi jika kita mengkaji perkara yang
tersurat disebalik hadith ini, pasti kita akan berjumpa dengan akhlak terpuji Rasulullah
صلى الله عليه وآله وسلم .
Dalam al-Mawahibil Laduniyah bagi Syeikh
Ibrahim al-Bajuriy رحمه الله تعالى ada dijelaskan bahawa hadith ini bukanlah memberi
maksud bahawa cuka adalah lauk yang terbaik daripada segala jenis lauk. Bahkan
hadith ini nak menyatakan akhlak terpuji Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم
terhadap isterinya Siti Aisyah.
Ibn Qayyim menyatakan bahawa suatu ketika
Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pulang ke rumah. Isterinya menghidangkan roti
untuk dimakan, lalu baginda bertanya kepada isterinya, "apakah ada lauk
dalam rumah ini?" . Isterinya menjawab "tiada apa-apa melainkan sos
cuka ini saja". Di saat itulah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم
bersabda :
نعم الإدام الخل
"sebaik-baik
lauk adalah sos cuka!."
Inilah sikap Nabi kita صلى الله عليه وآله وسلم. Lihatlah
bagaimana akhlak Nabi صلى الله عليه وآله وسلم yang
sentiasa redha dengan kezuhudan, yang selalu bersyukur dengan setiap nikmat, yang
tak pernah merungut dengan segala kekurangan, yang tidak akan mencela segala
makanan yang dihidangkan, yang tak pernah menghampakan si isteri, yang selalu
meraikan isteri-isterinya.
Jikalau isteri baginda mengatakan hanya ada
lauk sayur sahaja, pasti Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم
mengatakan "sebaik-baik lauk adalah sayur!". Kerana Rasulullah صلى الله عليه
وآله وسلم tidak pernah merungut tentang makanan. Dan Nabi adalah seorang
yang selalu menyenangkan hati para isterinya. Rasulullah صلى الله عليه
وآله وسلم tidak kedekut untuk memuji isterinya, dan selalu menghargai
khidmat para isterinya.
Adakah akhlak kita dapat menandingi indahnya akhlak
Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ?? Berapa kali kita merungut dengan masakan si
isteri? Berapa kali kita pernah mencemuh makanan yang dihidangkan kepada kita? Berapa
kali kita menyakiti hati isteri kita yang ikhlas menyiapkan hidangan kepada
kita? Berapa kali kita merasa hina dan malu jika makan nasi hanya berlaukkan
kicap??
Pernahkah kita menghargai khidmat yang
diberikan oleh isteri kita dalam bentuk memujinya? Pernahkah kita meraikan
segala bentuk kekurangan yang menimpa kita dengan perkataan yang indah?
Allahu Rabbi.. Sungguh terpuji akhlak Rasulullah
صلى الله عليه وآله وسلم . Sungguh indah peribadi Baginda صلى الله عليه
وآله وسلم . Benarlah
beliau adalah semulia-mulia makhluk. Seindah-indah akhlak. Secantik-cantik
peribadi.
أكرم بخلق نبي زانه خلقه
* بالحسن مشتمل بالبشر متسم
"Alangkah mulia peribadi
Nabi صلى الله عليه وآله وسلم , yang dihiasi pekertinya dengan keindahan yang
memancarkan sinar wajah yang berseri."
كالزهر في ترف والبدر في
شرف * والبحر في كرم والدهر في همم
"Laksana bunga pada keindahan,
dan cahaya purnama pada kemuliaan, seumpama luasnya laut samudera pada sifat
kepemurahan, dan seperti panjangnya masa pada impian membebaskan ummatnya
daripada kesesatan."
Inilah
hakikatnya. Sekalipun masih terdapat setengah mereka yang sanggup menghina
kemulian Baginda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم
. Mereka itu buta bashar dan buta bashirah. Tiada melihat cerahnya keindahan
cahaya Nubuwah yang dengannya menyelamatkan kita semua daripada jurang neraka yang
siksanya amat pedih.
(ketika menyuarakan
bantahan terhadap filem yang menghina Nabi Besar Kita )
Benarlah
kata penyair :
عاب الكلام أنس الأخلاق
لهم * وما عليه إذا من ضرر
ما ضر شمس الضحى في الأفق
طالعة * أن لا يرى ضوؤها من ليس ذا بصر
"Mencela oleh manusia akan perkataan
yang tiada habuan bagi mereka itu pada pengetahuannya, padahal tidak ada atas
perkataan salah dan rosak apabila mencela mereka itu akan dia. Tidaklah lenyap
cahaya matahari di waktu dhuha pada ketika terbitnya di ufuk, dek kerana tidak
dapat melihatkan cahayanya oleh orang yang buta."
Berkata Imam al-Busyiri رحمه الله تعالى :
وكل آي أتى الرسل الكرام
بها * فانما اتصلت من نوره بهم
"Semua mukjizat yang
dibawa para rasul yang mulia, hanyalah pancaran cahayanya terhadap mereka."
فانه شمس فضل هم كواكبها
* يظهرن أنوارها للناس في الظلم
"Sungguh ia adalah
matahari keutamaan dan mereka adalah bintang-bintangnya, yang memancarkan
cahaya bagi manusia di kegelapan"
Jadilah insan yang muwafaqat dengan
perisytiharan Allah terhadap kemuliaan Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم dan
jangan sampai menjadi insan yang muwafaqat dengan tipudaya syaitan dengan
melakukan perbuatan dan mengucapkan sesuatu ucapan yang menyakiti hati baginda
serta menjatuhkan martabat Rasul Junjungan kita.
Hendaklah selalu ada dijiwa kita perasaan malu
terhadap Allah dan RasulNya صلى الله عليه وآله وسلم .
Imam al-Qurtubiy رحمه الله تعالى
meriwayatkan dalam Tafsirnya, disaat
Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم membaca firman Allah :
إن تعذبهم فإنهم عبادك وإن تغفر لهم فإنك أنت العزيز الحكيم
"Jika Engkau menyeksa mereka,(maka tidak
ada yang dapat menghalangnya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu,
dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkau sahajalah yang Maha
Kuasa lagi Maha Bijaksana."
فرفع يديه وقال : اللهم أمتي أمتي وبكى
"lalu Nabi صلى الله عليه وآله وسلم
mengangkat kedua tangannya dan
bersabda sambil menangis : Ya Allah! Ummatku! Ummatku!"
Lihatlah betapa kasihnya Nabi صلى الله عليه
وآله وسلم terhadap umatnya. Segala sesuatu yang menakutkan dan
menyakitkan yang boleh terkena kepada umatnya, Nabi صلى الله عليه وآله وسلم
pasti kerisauan, bimbang dan sedaya upaya ingin menyelamatkan ummatnya daripada
sebarang azab dan kesakitan.
Melihat keadaan nabi yang demikian. Allah Ta'ala
memerintahkan Jibril عليه السلام mendatangi Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم
فقال الله, يا جبريل ! اذهب إلى محمد فقل له
"Wahai Jibril! Pergilah kamu kepada
Muhammad, dan katakanlah kepadanya bahawa Allah berfirman kepadamu.."
إنا سنرضيك في أمتك ولا نسوءك
"Sesungguhnya Kami akan meredhai engkau
pada ummat engkau dan Kami tidak akan MENYAKITI engkau dalam urusan ummat
engkau."
Allahu Rabbi.. Apakah kita tidak melihat bagaimana
sikap Allah terhadap kekasihNya??
Allah tidak mahu menyakiti kekasihnya. Sedang Rasulullah
صلى الله عليه وآله وسلم pula tidak mahu ummatnya
disakiti. Lalu bagaimana dengan sikap kita? Jika benar kita mencintai
Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم , maka tidak ada ruang untuk
menyakiti Baginda!
Semoga Allah سبحانه وتعالى
selalu memelihara dan menjauhkan kita daripada perkataan dan perbuatan yang
menyakiti hati Baginda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم . Semoga Allah mencampakkan kepada kita rasa
malu terhadap Allah dan RasulNya صلى الله عليه وآله وسلم .
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَنَا,
وَلِأُصُوْلِنَا, وَلِفُرُوْعِنَا, وَلِمَشَايِخِنَا, وَلِأَحْبَابِنَا,
وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقَونَا بِالإِيْمَانِ
اللَّهُمَّ اغْفِرْ
ِلأُمَّةِ مُحَمَّدٍ, وَارْحَمْ أُمَّةَ مُحَمَّدٍ رَحْمَةً عَامَّةً, إِنَّكَ
عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ
اللَّهُمَّ إِنَّا
نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِجَاهِ حَبِيْبِكَ وَرَسُولِكَ سَيِّدِ الْمُرْسَلِيْنَ,
وَبِآلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَبِالْعُلَمَاءِ الْعَامِلِيْنَ, وَبِأَسْرَارِ
أَحْكَمِكَ الَّتِيْ بِهَا فِي الدِّيْنِ, أَنْ تَغْفِرَلَنَا ذُنُوْبَنَا
وَتُكَفِّرَ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا, وَتَجْعَلَنَا مِنْ عِبَادِكَ الْمُتَّقِيْنَ
وَحِزْبِكَ الْمُفْلِحِيْنَ
وَصَلَّى اللهُ عَلَى
سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ عَدَدَ مَا ذَكَرَهُ
الذَّاكِرُونَ, وَغَفَلَ عَنْ ذِكْرِهِ الْغَافِلُونَ