Thursday, October 25, 2012

Selamat Menyambut Iedil Adha & Ibadah Korban : Risalah Feqah & Adab Menyembelih Binatang.

Kami mengucapkan Selamat Menyambut Iedil Adha & Selamat Menjalankan Ibadah Korban kepada semua umat Islam khususnya para pembaca blog ini. 




ini risalah yang dinamakan dia

AL-MURSYID ASH-SHOLIH
PADA MENYATAKAN ADAB DAN AHKAM MENYEMBELIH


بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله الذي شرع لعباده التقرب إليه بذبح القربان وقرن النحر بالصلاة في محكم القرآن ، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له ذو الفضل والامتنان ، وأشهد أن سيدنا محمدا عبده وسوله أفضل من قام بشرائع الإسلام وحقق الإيمان , صلى الله وسلم عليه وعلى آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان . أما بعد :

Berkata hamba yang mengharap ampunan Allah Al-Baari Al-Bashir, Ibrahim ibn Masran Al-Banjari zut taqshir : Sebahagian ikhwan yang mulia telah meminta kepada faqir tentang petua-petua dan ahkam berkait tentang penyembelihan binatang dan munasabah dengan hari raya korban yang bakal tiba, maka terfikirlah dizihin faqir untuk menulisnya dalam suatu risalah yang kecil sekalipun faqir bukan ahlinya.

Maka faqir dhobitkan khulasah beberapa perkara yang berkaitan dengannya. Faqir kutip daripada beberapa buah kitab feqh Mazhab Syafi'e seperti Hasyiah Al-Baijuri, I'anah Ath-Thalibin, Al-Iqna', Al-Majmu', Mughni Al-Muhtaj, Tuhfah Al-Muhtaj, Sabil Al-Muhtadin, Matla' Al-Badrain, dan selainnya atas jalan ikhtisar seadanya. Serta faqir berikan beberapa tanbihaat dan fawaed berhubung dengannya. Lalu faqir namakan risalah ini : Al-Mursyid Ash-Sholih, Pada Menyatakan Adab dan Ahkam Sembelih.

Semoga risalah yang kecil ini bermanfaat buat diri faqir dan para pembaca semua.  اللهم آمين بجاه الأمين .


  1. Disyaratkan penyembelih itu adalah Muslim. Serta hendaklah ia menyembelih kerana Allah dan bukan kerana selainNya.

  1. Asas sembelihan korban dan sembelihan biasa tiada banyak bezanya, kecuali pada bacaan بسم الله الرحمن الرحيم dan, الله اكبر serta menerangkan untuk siapa korban itu dilakukan.


  1. Disukai yang menyembelih binatang korban itu adalah orang yang berkorban, sekalipun ia perempuan. Bagaimanapun harus baginya mewakilkan kepada orang lain. Imam an-Nawawi رحمه الله تعالى menghukumkan makruh bagi anak kecil dan perempuan haid melaksanakan sembelihan.

  1. Disyaratkan binatang itu ada hayat mustaqirrah pada mula-mula sembelihan. Antara tanda ada hayat mustaqirrah ialah kuat geraknya ketika disembelih dan menyembur darahnya, atau memada dengan kuat geraknya sahaja mengikut pendapat Imam an-Nawawi رحمه الله تعالى  .

  1. Sunat menajamkan pisau atau parang yang hendak digunakan serta tidak mengasahnya dihadapan binatang korban.

  1. Sunat diberi binatang itu minum sebelum ia disembelih dan jangan disembelih binatang tersebut di hadapan binatang korban yang lain.

  1. Sunat merebahkan binatang korban dengan menghadapkan mukanya ke arah qiblat serta di atas lambung kiri. Dikala merebahkan binatang itu, sunat membaca:

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيم

  1. Sunat penyembelih menghadap qiblat dan dalam keadaan berwudu'.

  1. Wajib atas orang yang menyembelih itu memotong halqum (tempat keluar masuk nafas) dan mari' (tempat laluan makanan yang terletak di bawah halqum) sehingga putus dengan alat yang tajam seperti pisau (bukan tulang atau kuku). Hendaklah  menyembelih dengan bersungguh-sungguh dan tidak bermain-main. Hendaklah berlaku ihsan dan tidak menzalimi binatang tersebut.

  1. Sunat disembelih pada bahagian hujung leher (sebelah atas) untuk binatang yang berleher pendek seperti lembu, kerbau dan kambing. Adapun bagi binatang yang berleher panjang seperti unta, maka sunat disembelih pada bahagian pangkal leher (berhampiran dada), kerana mengikut sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم . Hikmahnya adalah memudahkan roh binatang itu keluar.

  1. Sunat disembelih lembu, kerbau atau kambing itu dengan dibaringkannya di atas tanah sebelah rusuk kirinya serta diikat kakinya, sementara kaki kanannya bebas lepas tanpa diikat supaya binatang itu dapat berehat dengan menggerakkan kaki kanannya itu. Adapun unta, maka sunat disembelih dengan didirikan binatang itu. Jika tidak mampu untuk disembelih dalam keadaan unta itu berdiri, maka sembelihlah dalam keadaan unta itu duduk. Rujuklah dalam al-Mughni.

  1. Sunat juga meletakkan sebelah kaki penyembelih ke atas batang leher binatang atau lambungnya supaya binatang itu tidak dapat menggerakkan kepalanya.

  1. Ketika hendak menyembelih binatang korban, sunat dibaca seperti berikut :

اللهُ اَكْبَرْ! اللهُ اَكْبَرْ! اللهُ اَكْبَرْ! بِسْمِ الله اللَّهُمَّ صَلِّي عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّد

Kemudian berniat, seperti berikut :

اللَّهُمَّ هَاذِهِ أُضْحِيَّةً مِنْكَ وَإِلَيْكَ فَتَقَبَّلْ مِنِّيْ, اللهُ اَكْبَرْ اللهُ اَكْبَرْ اللهُ اَكْبَرْ وَلِلَّهِ الْحَمْد

Maksudnya: "Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ya Allah Ya Tuhanku kurniakan selawat dan rahmat keatas Sayyidina Muhammad. Ya Allah ya Tuhanku, Ini korban daripada Engkau dan kembali kepada Engkau, maka terimalah  korban daripada hamba. Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Dan kepada Allah lah kembali segala pujian."

14.  Bagi tukang sembelih yang diwakilkan untuk menyembelih, hendaklah menyebutkan atau meniatkan nama-nama pemilik korban. Harus ia mendahulukan niat sebelum menyembelih mengikut pendapat yang ashah. Peserta korban pula disunatkan hadir menyaksikan penyembelihan tersebut. Niatnya adalah seperti berikut :

اللَّهُمَّ هَاذِهِ أُضْحِيَّة لِ........ ("فلان بن فلان") مِنْكَ وَإِلَيْكَ فَتَقَبَّلْ مِنَّا

Maksudnya : "Ya Allah, sembelihan qurban ini, adalah untuk.........(nama peserta qurban)........ dari Engkau dan kepada Engkau, maka terimalah daripada kami qurban ini.."

Jika tujuan sembelihan itu adalah untuk 'aqiqah, maka diniatkan :

اللَّهُمَّ هَاذِهِ عَقِيْقَة لِ........ ("فلان بن فلان") مِنْكَ وَإِلَيْكَ فَتَقَبَّلْ مِنَّا

Maksudnya : “Ya Allah, sembelihan aqiqah ini, adalah untuk..........(nama peserta qurban)........dari Engkau dan kepada Engkau, maka terimalah daripada kami aqiqah ini.."

15.  Sunat dibiarkan binatang itu setelah disembelih sehingga ia mati.

(Tanbih) Ini suatu penjagaan. Waktu penyembelihan korban adalah bermula setelah matahari terbit pada 10 Zulhijjah dan sesudah qadar selesai solat dua rakaat solat iedil adha berserta dua khutbah yang ringkas. Afdhalnya adalah ketika matahari naik segalah.

Waktu penyembelihan korban ini berlanjutan sehingga terbenam matahari 13 Zulhijjah. Jika disembelih binatang korban itu setelah berakhir hari tasyriq (10-13 Zulhijjah), maka sembelihannya tidak dianggap sembelihan korban.

Tetapi bagi korban wajib (korban nazar) yang tidak sempat dilakukan pada tempoh hari tasyriq itu, binatang itu tetap wajib disembelih sekalipun di luar waktunya dan sembelihan itu dikira sebagai qadha'. Demikian fatwa dalam Hasyiah I'anah.

(Tanbih) Ini suatu penjagaan. Haram bagi penyembelih mengambil upah kulit atau tanduk atau ekor atau daging daripada pemilik korban dengan jalan upah. Tetapi harus baginya menerima daging tersebut daripada pemilik korban dengan jalan sedekah jika ia termasuk orang miskin atau dengan jalan hadiah jika dia bukan orang miskin.

(Tanbih) Ini suatu penjagaan. Telah banyak orang awam yang jatuh ke dalam syubhat akibat mewakilkan sembelihan dan agihan daging TANPA menyatakan apakah ia korban wajib (kerana nazar) atau korban sunat. Perkara ini mendatangkan beberapa masalah dan hukum penting iaitu :

1)      Jika korban itu adalah korban wajib, maka kesemua dagingnya wajib disedekahkan kepada faqir miskin dalam keadaan mentah, serta haram memindahkan daging korban tersebut daripada tempat sembelihan ke negeri lain. Ini pendapat jumhur Syafi'iyyah.

2)      Jika korban itu korban sunat, maka sebahagian daging korban itu harus dihadiahkan (bahagian hadiah) atau dimakan oleh orang yang berkorban (bahagian milik tuan korban). Maka milik bahagiannya (hak milik tuan yang berkorban) itu dihukumkan harus dipindahkan ke negeri lain, manakala bahagian yang wajib disedekahkan kepada faqir miskin (bahagian sedekah) hukumnya wajib disedekahkan di tempat korban serta haram dipindahkan ke negeri lain. Rujuklah Hasyiah I'anah Ath-Thalibin bagi al-'Allamah As-Sayid Al-Bakri رحمه الله تعالى.

(Tanbih) Ini suatu penjagaan. Haram memberi sedekah atau hadiah walaupun sedikit kepada orang kafir sekalipun dia kaum kerabat, jiran tetangga atau ahli pakatan dalam parti dan sekalipun ia faqir miskin daripada kafir zimmi, samada ia korban wajib atau korban sunat kerana korban adalah perkara yang berhubung dengan ibadat. Sekiranya ada bahagian daging itu yang diberi, dihadiah atau dijual kepada orang kafir, maka wajib diganti dengan yang lain sekira-kira menyamai qadar berkenaan. Sebagaimana dicatatkan dalam  Matla' al-Badrain dan Sabil Al-Muhtadin dan selainnya.

Berkata guru kami, harus memberi kepada orang kafir jika daging itu TELAH menjadi milik si faqir atau miskin, yakni setelah berlaku pembahagian daging korban. Syaratnya pemilikan itu adalah dengan jalan sedekah atas faqir miskin. Maka si faqir atau si miskin itu mendapat daging dan daging itu menjadi MILIKnya, maka ia boleh sama ada memakannya, menjualnya atau menghadiahkan kepada orang lain termasuk kafir yang faqir. Itu pun hanya korban sunat sahaja. Adapun bagi korban wajib, hukumnya haram.

Wal hasil, jika berasa ingin memberi kepada orang kafir juga, jalan yang terbaik adalah dengan memberi daging yang dibeli dikedai, yakni bukan daripada daging korban. Mengutamakan orang Islam itulah yang dipilih bagi orang memahami.

(Tanbih) Ini suatu penjagaan. Binatang yang sah disembelih untuk dibuat korban adalah binatang ternakan beraki empat seperti unta, lembu, kerbau, kambing, biri-biri atau kibasy. Daripada jenis binatang yang disebutkan itu, binatang jenis kambing, biri-biri dan kibasy tidak boleh berkongsi, ia tertentu untuk seorang sahaja. Maka jika dua orang berkongsi satu kambing pada korbannya, maka tidak sah korbannya. Adapun unta, lembu, dan kerbau, boleh berkongsi atasnya sehingga kepada tujuh orang sahaja. Tiada boleh lebih daripada itu.

(Tanbih) Binatang seperti ayam tidak memadai dibuat korban atau aqiqah. Namun jika seorang itu benar-benar tidak mempunyai kemampuan, harus baginya berbuat demikian tetapi hendaklah dia bertaqlid kepada mazhab Ibn Abbas رضي الله عنهما. Demikian fatwa dalam Hasyiah Baijuri.

(Faedah) Ini suatu faedah. Afdhal buat korban bagi seseorang itu dengan seekor unta, kemudian seekor lembu, kemudian seekor kibasy atau biri-biri, kemudian seekor kambing biasa. Ini dinisbahkan dengan banyaknya daging kepada setiap jenis binatang. Kemudian berkongsi seekor unta atau seekor lembu.

(Faedah) Ini suatu faedah. Seorang yang berkorban dengan tujuh ekor kibasy lebih afdhal daripada tujuh ekor kambing. Manakala tujuh ekor kambing lebih afdhal daripada seekor unta dan seekor lembu atau kerbau kerana bertambah taqarrubnya kepada Allah dengan banyaknya darah yang mengalir daripada sembelihan binatang korban.

(Faedah) Ini suatu faedah. Afdhal binatang yang dibuat korban itu yang bewarna putih, kemudian yang bewarna kuning, yang putih tetapi tiada bersih putihnya, kemudian yang sebahagian badannya berwarna putih, kemudian sebahagian yang berwarna hitam, kemudian yang berwarna hitam semuanya, kemudian yang berwarna merah semuanya.

(Faedah) Ini suatu faedah. Binatang jantan yang tidak banyak berkahwin lebih afdhal dari binatang betina. Sebaliknya binatang betina yang belum melahirkan anak adalah lebih afdhal daripada binatang jantan yang banyak berkahwin untuk disembelih sebagai ibadat korban.

(Faedah) Ini suatu faedah bagi orang yang ingin menyembelih binatang sama ada untuk korban atau untuk sembelihan biasa. Petua ini juga diamalkan oleh guru kami Tuan Guru Haji Hashim Pasir Tumbuh رحمه الله تعالى.

1. Supaya daging tidak berlemak :-
  •  Ada wudhu’ ketika sembelih binatang.
  • Mata pisau disapu terlebih dahulu dengan minyak yang ada dibahagian hidung kita.
  • Hulu pisau dibungkus dengan kertas atau sebagainya.
  • Mata pisau dikilir atau digerakkan dengan belakang tapak tangan.

2. Supaya daging binatang menjadi lembut :-
  • Mata pisau diletak dekat butir halkum binatang
  • Kedudukan seluruh badan kita jangan berbetulan dengan mata pisau
  • Tahan nafas sewaktu hendak sembelih dan semasa sembelih maka nafas dilepas secara perlahan-lahan


3. Bacaan ketika mahu sembelih binatang supaya daging tidak berbau busuk :-

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْد
اللَّهُمَّ هَذَا هَذَا مِنْكَ وَإِلَيْكَ فَتَقَبَّلْ مِنَّا كَمَا تَقَبَّلْتَهُ مِنْ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ خَلِيْلِكَ وَمِنْ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبِيْدِكَ وَرَسُوْلِكَ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ رِضَاكَ وَالْجَنَّة

4. Selesai sembelih binatang, maka sapukan hujung mata pisau kepada pipi binatang tadi supaya lalat tidak datang menghurungi daging.

5. Supaya cukup atau memadai daging bagi setiap jamuan, insya'Allah, maka bacalah :-

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ  ِلإِيْلاَفِ قُرَيْشٍ إِيلاَفِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ
-kemudian hembus dan sapu kepada badan binatang bermula bahu hingga punggungnya.

6. Jangan basuh tangan dan mata pisau sehingga binatang sembelihan benar-benar telah mati

7. Sebaiknya tukang sembelih tidak menjadi tukang yang memandikan mayat kerana biasanya boleh membawa kepada daging menjadi keras


والله تعالى أعلم بالصواب وإليه المرجع والماب
وصلى الله وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
والحمد لله رب العالمين


Al-Faqir ila Allah Al-Baari
Ibnu Masran Al-Banjari

9 Zulhijjah 1433H