Wednesday, February 13, 2008

PERTANYAAN & JAWAPANNYA.. (SIRI 2)

Pertanyaan 4 :

Apakah hukumnya seseorang yang solat Juma’at tetapi tidak sempat mendengarkan khutbah? Sah atau tidak solatnya? Harap ustaz dapat jelaskan.
_____________

Jawapan 4 :

Dalam kitab Bulughul Maram karangan Al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Asqolani (Ahmad bin ‘Ali bin Muhammad bin Muhammad bin ‘Ali bin Mahmud bin Ahmad bin Ahmad al-‘Asqolani, lahir pada 23 Sya’ban 773H, wafat pada 28 Zulhijjah 852H) terdapat sebuah Hadis Riwayat Imam Nasa’i, Imam Ibnu Majah, dan Imam Daruquthni, dari sahabat Ibnu Umar r.a. ia berkata bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

مَنْ أَدْرَكَ رَكْعَةً مِنْ صَلَاةِ اَلْجُمُعَةِ وَغَيْرِهَا فَلْيُضِفْ إِلَيْهَا أُخْرَى, وَقَدْ تَمَّتْ صَلَاتُهُ

“Barang siapa yang mendapat hanya satu rakaat dalam solat Jumat dan solat lainnya, hendaklah ia menambah kekurangan rakaat itu. Dengan demikian, sempurnalah solatnya.” [Kitab Bulughul Maram, hal. 90]

Imam Muhammad Shon'ani, seorang ulama yang terkenal pakar dalam bidang hadis, ketika mensyarah hadis di atas beliau berkata:

وَفِي الْحَدِيثِ دَلَالَةٌ عَلَى أَنَّ الْجُمُعَةَ تَصِحُّ لِلَّاحِقِ ، وَإِنْ لَمْ يُدْرِكْ مِنْ الْخُطْبَةِ شَيْئًا ،

“Dan dalam hadis itu terdapat suatu petunjuk bahawa solat Juma’at hukumnya sah bagi orang yang mendapatkannya walaupun ia tidak sempat mendengarkan khutbah sedikitpun.” [Kitab Subulus Salam, Syarah Bulughul Maram, Juz 2, hal. 47]

Dengan demikian, orang yang solat Jumat namun tidak sempat mendengarkan khutbah, solatnya sah menurut Jumhur Ulama, di antaranya Imam Syafi’e. Akan tetapi, kalau tidak mendengarkan khutbah dengan disengaja, walaupun solat Juma’atnya sah, namun jelas dia berdosa karena tidak mematuhi perintah Allah dalam Al-Qur'an surah Al-Jumu'ah ayat 9. Firman Allah swt;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” [Surah al-Jumu’ah : 9]

Untuk lebih jelasnya, bolehlah rujuk kitab Tafsirul Ayatil Ahkam Minal Quran karangan Syeikh Muhammad Ali ash-Shobuni, Juz 2, hal. 413..

والله أعلم.. Demikianlah jawapan dari saya yang dhoif lagi faqir ini. Semoga ada manfaatnya. Amien..


Pertanyaan 5 :

Saya ada kemusykilan berkenaan erti lafaz “ad-din” pada ayat ke-4 surah al-Faatihah iaitu;

مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ

Ertinya : “Yang menguasai hari pembalasan”. Saya pernah ditanya oleh rakan yang bukan Islam (kristian sabah) yg duduk sebilik dgn saya. Dia kata bukankah ad-din itu ertinya agama?. Saya tak tahu nak menjelaskannya. Saya harap ustaz dapat berikan jawapannya kepada saya. Terima kasih.
________________

Jawapan 5 :

Untuk makluman saudari, lafaz ad-din الدِّين dalam al-Quran mempunyai banyak erti. Tidak bererti agama sahaja. Seorang ulamak besar bernama Abdul Malik bin Muhammad ats-Tsa’alibi (wafat 429H) menyatakan bahawa lafaz ad-din dari segi lughah yang terdapat di dalam al-Quran seperti berikut;

وهو في القران على عشرَةِ اَوْجُهٍ

“dan dia itu (lafaz ad-din) dalam al-Quran, mempunyai 10 macam arti”

Beliau menjelaskan lagi di dalam kitabnya AL-ASYBAH WAN NAZHO’IR FIL ALFAAZIL QUR’ANIYYAH ALLATI TARADAFAT MABANIHA WA TANAWWA’AT MA’ANIHA seperti berikut;

الخامِسُ : الْجَزَاءُ. ومنه في (الفاتحةِ) : مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ

(Erti Ad-din) yang kelima : ialah pembalasan. Dan di antaranya terdapat dalam surah al-Faatihah : “Yang menguasai hari pembalasan”. [surah al-Faatihah : 4).]

Dan beliau menyatakan lagi;

العاشِرُ : الْمِلَّةُ. ومنه في قوله تعالى : وَذَالِكَ دِيْنُ القَيِّمَةِ

(Erti Ad-din) yang kesepuluh : ialah agama. Dan di antaranya terdapat dalam firman Allah swt : “Dan demikian itulah, agama yang lurus”. [surah al-Bayyinah : 5].

Supaya meyakinkan saudari lagi, bahawa erti ad-din pada surah al-Faatihah ayat 4 adalah pembalasan (al-Jaza’), dan dalam surah al-Bayyinah ayat 5 adalah agama (al-Millah), silalah saudari semak dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman, terbitan Jabatan Perdana Menteri Malaysia.

Mungkin saudari tertanya-tanya, apakah lagi erti ad-din yang 10 itu? Sebagai faedah, saya sebutkan satu persatu sebagaimana yang terdapat dalam kitab AL-ASYBAH WAN NAZHO’IR itu. Yaitulah;

1. الإسلام (agama Islam)
2. التّوحيد (mengesakan Allah)
3. الحساب (perhitungan amal)
4. العدد (bilangan)
5. الجزاء (pembalasan)
6. الحكم (hukum)
7. الطاعة (taat)
8. العادة (kebiasaan)
9. الحدُّ (ketentuan hokum dari Allah)
10. الْمِلَّةُ (agama)

Perkara ini dijelaskan panjang lebar pada halaman 138 hingga 142. Kitab yang sangat bernilai tinggi ini, iaitu;

اَلاَشْباَهُ وَالنَّظَائِرُ فِي اْلاَلْفَاظِ الْقُرْآنِيَّةِ الَّتِي تَرَادَفَتْ مَبَانِيْهَا وَتَنَوَّعَتْ مَعَانِيْهَا

Karangan Imam Abdul Malik bin Muhammad ats-Tsa’alibi sangat bagus dimiliki dan ditelaah.

والله أعلم.. Demikianlah jawapan dari saya yang dhoif lagi faqir ini. Semoga ada manfaatnya. Amien..


Pertanyaan 6 :

Assalamualaikum ustaz,
Di rumah ana ada banyak al-Quran dan kitab2 agama yang sudah buruk, sudah hancur dimakan anai-anai dan tikus, bolehkah ana membakarnya? Atau ditanam sahaja?.. Apakah cara yang sepatutnya? Kalau boleh, Ustaz terangkan dengan dalilnya sekali..
______________

Jawapan 6 ;

Wa’alaikum salam,

Di dalam kitab البرهان في علوم القرآن Al-Burhan fi ‘Ulumil Quran, karangan Imam Badruddin az-Zarkasyi (Muhammad bin Abdillah az-Zarkasyi, lahir pada 745H dan wafat pada 794H), terdapat judul berikut;

في حكم الأوراق البالية من المصحف

“Kedudukan hukum lembaran kertas al-Quran yang sudah hancur”

Di bawah tajuk tersebut, Imam az-Zarkasyi dalam menjelaskan hukumnya telah menukil ucapan Imam al-Hulaimy الحليمى seperti berikut ;

وإن أحرقها بالنار فلا بأس أحرق عثمان مصاحف فيها آيات وقراءات منسوخة ولم ينكر عليه

“.. dan jika ia membakarnya dengan api, maka tidak mengapa (boleh), Sayyidina Usman (dahulu) telah membakar beberapa mushhaf yang mana di dalamnya penuh dengan ayat-ayat al-Quran dan beberapa qiraat yang telah dimansukh dan tidak ada (seorang pun) yang membantahnya.” [Kitab Al-Burhan Fi ‘Ulumil Quran, Juz 1, Hal. 477]

Penjelasan yang serupa boleh kita dapati pada kitab “’Ulumul Quran wal Hadis”, karangan Syeikh Ahmad Muhammad Ali Daud, pada halaman 114.

Mengenai riwayat Sayyidina Usman bin Affan r.a membakar beberapa mushhaf yang mana di dalamnya penuh dengan ayat-ayat al-Quran, boleh kita lihat keterangannya dalam beberapa kitab ‘Ulumul Quran seperti ;

1. Kitab at-Tibyan Fi ‘Ulumil Quran, karangan Syeikh Muhammad Ali ash-Shobuni (ulama dari Mekah), pada halaman 57, Cet. Maktabul Ghazali, Damascusy-Syiria.

2. Kitab Mabahits Fi ‘Ulumil Quran, karangan Syeikh Manna’ Khalil al-Qattan (ulama dari Riyadh,Madinah), pada halaman 129, Cet. Muassasatur Risalah, Beirut Lebnon.

Daripada keterangan ini, dapat difahami bahawa jika ada lembaran kertas samada al-Quran atau lain-lain kertas yang terkandung ayat-ayat Allah / Kalamullah, yang telah rosak atau hancur. Maka harus dihapuskan dengan cara membakarnya supaya tidak terpijak atau tidak terhina atau dimain-main oleh budak-budak atau sebagainya.

Samada dengan cara dibasuh lembaran tersebut atau dibakar. Disebut dengan cara di basuh, kerana zaman dahulu lembaran kertas ditulis dengan dakwat yang boleh dihilangkan apabila dibasuh.

Dan ketika (zaman) itu, lembaran kertas amat sukar diperolehi. Maka dengan cara dibasuh dapat dimanfaatkan / digunakan lagi lembaran tersebut. Begitulah yang pernah diceritakan oleh guru saya.

Namun membakarnya adalah lebih aula (utama). Ini sebagaimana Sayyidina Usman bin Affan r.a (seorang sahabat Rasulullah dan merupakan Khalifah ar-Rasyidin ke-3 dari tahun 23H hingga 35H. Juga merupakan antara sahabat yang telah dijanjikan syurga) yang pernah membakarnya.

Imam Badruddin az-Zarkasyi yang merupakan salah seorang ulama besar dari Mazhab Syafi’e, yang terkenal dengan gelaran “Minhaji”, kerana kitab Minhajut Tholibin (kitab feqh Syafi’e lengkap) karangan Imam Nawawi telah dihafal olehnya, dimana Imam az-Zarkasyi menegaskan seperti berikut ;

وذكر غيره أن الإحراق أولى من الغسل

“Dan telah menyebut (berpendapat) selainnya (Imam al-Hulaimy) bahawasanya membakar itu lebih utama daripada membasuhnya..” [Kitab Al-Burhan fi ‘Ulumil Quran, Juz 1, Hal. 477]

Namun jika hanya suka-suka membakar lembaran yang tertera ayat-ayat al-Quran tanpa tujuan seperti yang disebut di atas, maka hukumnya adalah makruh. Syeikh Zainudin Al-Malibary asy-Syafi’e (wafat 972H) dalam kitabnya Fathul Mu'in berkata:

ويكره حرق ما كتب عليه إلا لغرض نحو صيانة

“Dan dimakruhkan membakar sesuatu yang dituliskan Quran atasnya, kecuali kerana bertujuan seumpama memeliharanya..” [Fathul Mu’in , lihat pada Hamisy I’anatut Tholibin, Juz. 1, hal. 69]

Kenyataan ini hampir sama sebagaimana ibarat yang terdapat dalam Kitab Mughnil Muhtaj karangan Muhammad asy-Syarbini al-Khatib asy-Syafi’e;

وَيُكْرَهُ إحْرَاقُ خَشَبٍ نُقِشَ بِالْقُرْآنِ إلَّا إنْ قُصِدَ بِهِ صِيَانَةُ الْقُرْآنِ فَلَا يُكْرَهُ كَمَا يُؤْخَذُ مِنْ كَلَامِ ابْنِ عَبْدِ السَّلَامِ وَعَلَيْهِ يُحْمَلُ تَحْرِيقُ عُثْمَانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ الْمَصَاحِفَ

“Dan dimakruhkan membakar kayu yang dilukiskan padanya akan al-Quran, kecuali jika dimaksudkan dengannya (bakar) akan memelihara Quran, maka tidaklah dimakruhkan, sebagaimana difahami dari perkataan Ibnu Abdis Salam. Dan atasnyalah ditanggungkan pembakaran Sayyiduna Usman bin Affan r.a akan mushhaf-mushhaf.” [Mughnil Muhtaj, Juz 1, Hal. 168]

Mudah-mudahan jawapan ini boleh jadi panduan kepada saudara.

والله أعلم
.. Demikianlah jawapan dari saya yang dhoif lagi faqir ini. Semoga ada manfaatnya. Amien..
bersambung... Insya Allah..