Friday, July 18, 2008

Liwat dan qazaf dari perspektif Islam


Liwat dan qazaf dari perspektif Islam

Tulisan ini dipetik daripada buku "Qazaf: Mangsa Fitnah" (Jabatan Penerangan dan Penyelidikan PAS Pusat, 2001) tulisan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Buku bersifat kontemporari ini diharap dapat merungkaikan persoalan berhubung tuduhan liwat dan qazaf yang dikategorikan sebagai jenayah hudud dalam sistem perundangan Islam.
Mensabitkan Kesalahan Zina Dan Liwat

Kesalahan zina dan liwat sabit dengan iqrar (pengakuan) atau melalui saksi-saksi yang memenuhi syarat syaratnya.

Iqrar (Pengakuan)

Hadis riwayat Abu Hurairah r.a. (al-Bukhari, kitab al-Hudud):

"Seorang lelaki datang mengadap Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Lelaki itu berkata: "Wahai Rasulullah! Saya telah melakukan zina." Rasulullah s.a.w. berpaling ke arah lain (yakni seperti tidak melayannya), lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Setelah lelaki itu membuat pengakuan sebanyak empat kali, akhirnya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Adakah engkau gila?" Dia menjawab: "Tidak." Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah engkau telah berkahwin?" Dia menjawab: "Ya." Lalu Rasulullah s.a.w. memerintahkan (para sahabatnya): "Bawalah lelaki ini pergi dan rejamlah dia."

Mengikut riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Adakah engkau bercumbu-cumbu sahaja." Dia menjawab: "Tidak. Sebenarnya saya telah berzina."

Mengikut riwayat yang lain: "Setelah selesai sembahyang, dia (lelaki itu) datang lagi, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidakkah awak telah berwuduk dan telah bersembahyang? Dengannya Allah mengampunkan dosa." Tetapi lelaki itu terus mengaku berzina dan mahu supaya disucikan dirinya dengan hukuman.

Hadis riwayat Sulaiman bin Buraidah, daripada bapanya (riwayat Muslim, Kitab al-Hudud):

"Kemudian seorang perempuan dari qabilah al-Ghamidiyah datang mengadap Rasulullah s.a.w. Wanita itu berkata: "Wahai Rasulullah! Sucikanlah diri saya." Sabda Rasulullah s.a.w. : "Baliklah, beristighfarlah engkau dan bertaubatlah." Wanita itu berkata lagi: "Adakah engkau mahu melakukan kepada saya seperti yang engkau lakukan kepada Ma'iz bin Malik?" Rasulullah s.a.w. bertanya: "Apakah masalah engkau?" Wanita itu memberitahu bahawa dia sedang mengandung hasil perbuatan zina. Rasulullah s.a.w. bertanya: "Apakah benar?" Wanita itu menjawab: "Ya." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bersalinlah dahulu."

Wanita itu dijaga oleh seorang lelaki dari kalangan Ansar sehingga bersalin. Kemudian lelaki itu datang menemui Rasulullah s.a.w. memberitahu bahawa wanita itu telah bersalin. Baginda bersabda: "Kita tidak akan merejamnya dan membiarkan anaknya tidak dapat menyusu." Lalu bangun seorang lelaki dari kalangan Ansar dan berkata: "Biar saya uruskan urusan penyusuannya, wahai Nabi Allah." Lalu Rasulullah s.a.w. merejam wanita itu."

Kedua-dua hadis di atas diriwayatkan oelh para ulama hadis dengan riwayat yang sahih dan menjadi dalil dalam kes iqrar (mengaku) berzina. Para ulama telah menyimpulkan daripadanya hukum-hukum yang berkaitan dengan iqrar melakukan kesalahan zina dan liwat.

Syarat-syarat iqrar

1. Orang yang membuat pengakuan itu hendaklah seorang yang baligh dan berakal. Tidak sah pengakuan orang gila, mabuk dan sebagainya, kerana sabda Rasulullah s.a.w. (Abu Daud: Kitab al-Hudud):

"Diangkat qalam daripada menulis amalan kanak-kanak sehingga dia baligh, daripada orang tidur sehingga dia terjaga, dan daripada orang gila sehingga dia sedar."

2. Pengakuan hendaklah dilakukan dengan pilihan sendiri, tanpa dipaksa, sepeti dipukul, dibelasah, diberi bahan yang menghilangkan ingatan seperti dadah dan sebagainya. Maka tidak sah pengakuan orang yang dipaksa, kerana sabda Rasulullah s.a.w. (Ibn Majah: Kitab al-Talaq):
"Allah mengangkat (memaafkan) kesalahan umatku yang melakukan sesuatu kerana tersalah, terlupa dan dipaksa."

3. Iqrar (pengakuan) dilakukan secara lisan. Tidak diterima pengakuan dalam bentuk tulisan, pita rakaman dan sebagainya dalam perkara hudud.

4. Iqrar hendaklah dilakukan berulangkali dalam perkara zina dan liwat, iaitu sebanyak empat kali, dalam majlis yang berasingan, seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap Ma'iz bin Malik.

5. Iqrar itu dilakukan di hadapan hakim dan hakim pula menunjukkan sikap tidak senang dan berusahan supaya orang yang beriqrar itu tidak mengulangi iqrarnya, kerana bertaubat lebih baik daripada menyerah diri secara iqrar di hadapan pihak yang berkenaan, kerana inilah cara yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Menarik Balik Pengakuan

Seseorang yang mengaku melakukan zina dan liwat hendaklah diterima penarikan balik pengakuannya, walaupun sudah memenuhi syarat-syarat yang tersebut di atas, kerana Rasulullah s.a.w. menegur para sahabat baginda dengan keras kerana meneruskan hukuman terhadap Ma'iz bin Malik setelah dia melarikan diri ketika hukuman dijalankan.

Apabila seseorang lelaki mengaku zina dengan seseorang perempuan dan perempuan itu tidak mengaku salah, maka si lelaki sahaja yang dihukum, kerana inilah keputusan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud.

Saksi

Firman Allah (al-Nisa': 15) yang bermaksud: "Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka."

Firman Allah lagi (al-Nur:4) yang bermaksud: "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi..."

Firman Allah lagi (al-Nur:13) yang bermaksud: "Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Jika mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta."

Orang yang menjadi saksi hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Baligh lagi berakal. Oleh itu tidak boleh diterima tuduhan yang dilakukan oleh orang gila, kerana cakapnya tidak boleh diterima.

2. Islam, sekiranya tuduhan dilakukan terhadap orang Islam, kerana kesedarannya terhadap perhitungan dosa pahala dan sebagainya. Di samping itu, perkara zina dan liwat ini termasuk dalam hukum hudud Islam yang dinaskan.

3. Mempunyai pancaindera yang sihat. Tidak diterima saksi yang tidak jelas penglihatan, tuli dan bisu.

4. Adil, yakni seseorang yang diketahui tidak melakukan mana-mana dosa besar, dosa kecil secara berterusan dan perkara-perkara yang menjatuhkan maruah, walau pun tidak berdosa.

5. Lelaki, yakni dalam perkara hudud dan qisas. Oleh kerana zina dan liwat termasuk dalam perkara hudud, maka saksi wanita tidak diterima dalam perkara ini.

6. Tiada tohmahan (kekeliruan yang menarik manfaat atau menolak mudarat), berkepentingan dan prejudis seperti menjadi saksi kepada bapa, anak atau majikannya, atau orang yang diketahui bermusuh dengan orang yang dituduh yang akan memburukkannya sahaja. Maka tidak boleh menerima penyaksian saksi yang ada kaitan dengan konspirasi politik dan sebagainya.

7. Bilangan yang cukup. Pada tuduhan zina dan liwat, memerlukan empat orang saksi.

8. Keempat-empat saksi melihat (perbuatan zina dan liwat itu) bersama-sama.

9. Memberi keterangan dalam majlis (persidangan) yang sama.

Saksi dalam tuduhan zina dan liwat bukan sahaja wajib memenuhi syarat-syarat tersebut tetapi juga hendaklah melihat kesalahan itu berlaku mengikut takrifnya secara jelas, yakni melihat anggota kemaluan yang melakukannya secara jelas. Para ulama bersepakat mengatakan bahawa keterangan melalui kesan air mani, pita video dan gambar tidak boleh mensabitkan kesalahan zina dan liwat. Keterangan saksi yang berlapis yang hanya menerima berita dari orang lain (hearsay) juga tidak boleh diterima.

Kesemua perkara tersebut menunjukkan bahawa tuduhan zina dan liwat, tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya.

Keterangan-Keterangan Yang Tidak Nyata

Penggunaan kepakaran untuk menganalisa darah dan air mani (atau ujian DNA) bagi mensabitkan kesalahan jenayah huduh seperti zina dan liwat tidak dibenarkan oleh Islam, kerana ada syubhat (kekeliruan). Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Hudud hendaklah ditolak (tidak dilaksanakan) dengan adanya syubhat (kekeliruan)."
Ketepatan analisa DNA boleh dipertikaikan kerana banyak kemungkinan-kemungkinan yang boleh menimbulkan keraguan. Sesetengah ulama membenarkan analisa ini untuk menafikan tuduhan sahaja, bukan untuk mengisbatkannya (mensabitkan kesalahan). Para ulama Islam telah menyebut perkara ini di dalam kitab-kitab fiqh, di antaranya Ibn al-Qayyim di dalam kitanya al-Turuq al-Hukmiyyah.

Begitu juga tuduhan tidak boleh disabitkan dengan gambar, pita video, kaset dan sebagainya yang bukan merupakan keterangan secara langsung.

Bersumpah

Tidak diharuskan bersumpah bagi mensabitkan jenayah hudud yang berkaitan dengan hak Allah, seperti zina dan liwat. Bahkan jenayah hudud dan qisas dalam perkara hak manusia juga tidak dibenarkan bersumpah menurut jumhur (kebanyakan) ulama kerana perkara hudud dan qisas yang berhubung dengan hak manusia juga dianggap menyerupai hak Allah.

Yang dimaksudkan dengan bersumpah di sini adalah sumpah mengikut hukum Islam dengan lafaznya yang ditetapkan, bukan seperti yang difahami oleh orang jahil yang mencadangkan supaya sumpah dilakukan secara menjunjung al-Quran, yang menyerupai sumpah yang dilakukan oleh penganut agama Kristian.

Syarat orang yang melakukan zina dan liwat

Orang yang melakukan kesalahan zina dan liwat itu pula hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Baligh, yakni cukup umur mukallaf
2. Berakal
3. Secara pilihan dengan tidak dipaksa
4. Mengetahui pengharaman zina dan liwat
5. Tiada syubhah (seperti terkeliru atau tersilap kerana disangka isterinya)
6. Berzina atau berliwat dengan manusia
7. Melakukan perbuatan yang ditakrifkan sebagai zina atau liwat

Qazaf

Perkataan qazaf dalam bahasa Arab bermakna melemparkan sesuatu benda umpama batu dan sebagainya. Seterusnya perkataan itu dikhususkan kepada melemparkan sesuatu yang buruk termasuk menggunakan perkataan yang keji terhadap seseorang.

Menurut istilah hukum syarak, qazaf ialah menuduh zina terhadap seseorang tanpa saksi yang adil. Termasuk juga menuduh liwat, mengikut pendapat jumhur para ulama, di antaranya Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali. Mazhab Hanafi pula hanya mengkhususkannya kepada tuduhan zina sahaja, manakala tuduhan liwat di sisi mereka termasuk dalam perkara takzir.

Qazaf termasuk dalam hukum hudud yang dinaskan di dalam al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. Perkara yang telah dinaskan, berada di luar bidang ijtihad para ulama, kerana haram meminda nas daripada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, tidak boleh dinamakan hudud PAS atau hudud sesiapa. Sesiapa yang membuat kenyataan itu maka hukumnya berdosa kerana kenyataan yang dibuatnya itu berdasarkan kepada kejahilannya.

Perkara tersebut menjadi perkara yang wajib diketahui oleh orang-orang Islam, kerana fardhu ain itu, bukan sahaja terdapat pada perkara yang wajib ditunaikan, tetapi termasuk juga pada perkara yang diharamkan kita melakukannya agar kita menjauhinya, meninggalkannya dan mencegahnya, Manakala mendalaminya secara detail hukumnya adalah fardhu kifayah.

Di kalangan ulama ada yang membahagikan tuduhan itu kepada dua cara:

1. Secara sorih (berterus terang) dengan menujukan tuduhan zina atau liwat kepada orang yang tertentu. Sekiranya tuduhan itu diakui oleh orang yang dituduh secara sukarela dan memenuhi syarat-syarat pengakuannya, maka hukuman hudud boleh dijatuhkan oleh hakim ke atas orang berkenaan.

2. Secara sindiran. Seperti menafikan nasab daripada ayahnya mengatakan 'awak bukan anak kepada si anu' yang diketahui sebagai bapanya yang sebenar, atau 'awak anak daripada hasil zina' dan lain-lain tuduhan yang boleh difahamkan sebagai tuduhan zina atau liwat.

Hikmah Pengharaman Qazaf

Tujuan pengharaman qazaf adalah bagi memelihara maruah manusia, yang menjadi satu daripada perkara yang sangat penting bagi manusia sama ada bagi diri, keluarga atau masyarakatnya. Maruah sangat bernilai dalam hidup dan mati seseorang, membezakan manusia dengan binatang dan menjadi sebahagian daripada harga diri sehingga tidak boleh dinilai dengan harta benda yang paling mahal. Islam telah menegaskan kewajipan mempertahankan maruah dengan meletakkan maruah mengatasi harta yang juga wajib dipertahankan.

Demi menjaga maruah itulah, maka diwajibkan hukuman qazaf secara hudud yang ditetap oleh Allah dan Rasul-Nya s.a.w. supaya seseorang itu atau kumpulannya tidak boleh melemparkan tuduhan zina dan liwat ke atas seseorang yang lain secara sewenang-wenangnya.

Syarat-syarat Qazaf

Tidaklah mudah menentukan bahawa seseorang itu telah melakukan qazaf, kerana Islam mewajibkan syarat-syarat tertentu bagi orang yang melakukannya, orang menjadi mangsa dan tuduhan itu sendiri.

Syarat-syarat bagi orang yang melakukan tuduhan itu adalah:

1. Berakal. Tidak boleh diterima tuduhan yang dilakukan oleh orang gila, kerana cakapnya tidak boleh dipakai.

2. Baligh, yakni sampai umur mukallaf yang boleh dipertanggungjawabkan perintah-perintah agama ke atasnya. Kanak-kanak yang belum baligh, tidak boleh dikategorikan tuduhannya sebagai qazaf.

3. Tidak dipaksa. Tidak boleh menerima tuduhan yang dilakukan oleh orang yang dipaksa supaya melakukan tuduhan itu.

4. Tidak dapat mengadakan empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat saksi mengikut hukum Islam.

Orang yang dituduh juga hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Berakal. Maka tidak sah menuduh orang yang tidak berakal. Oleh itu orang yang menuduh tidak boleh diambil tindakan qazaf

2. Baligh. Maka orang yang menuduh terhadap orang yang tidak baligh, tidak boleh dikenakan hukuman had qazaf. Dia hanya dikenakan hukuman ta'zir.
3. Islam, mengikut jumhur para ulama.

4. 'Iffah atau ihsan, yakni orang yang dituduh itu seorang yang diketahui kebaikan akhlaknya dan tidak pernah disabitkan melakukan zina.

5. Orang yang ditentukan tidak berlaku qazaf dengan menuduh seseorang yang tidak ditentukan secara khusus.

Syarat tuduhan pula hendaklah tuduhan dalam perkara zina, menurut ijmak para ulama dan tuduhan dalam perkara liwat, mengikut pendapat jumhur para ulama. Sekiranya tuduhan itu dalam perkara yang lain seperti berjudi, minum arak, rasuah dan sebagainya, maka tidak dinamakan qazaf yang mewajibkan hukuman hudud, tetapi berpindah kepada hukum takzir yang terserah kepada budibicara pihak yang berkenaan untuk menentukan hukumannya.

Mensabitkan Jenayah Qazaf

Kesalahan qazaf yang dijatuhkan hukuman had ialah apabila terbukti melalui dua cara:

1. Iqrar daripada orang yang melakukan qazaf.
2. Dua orang saksi yang memenuhi syarat-syarat saksi.

Hukum Hudud yang berkait dengan Qazaf

Terdapat kekhilafan di kalangan para ulama, adakah hukum qazaf berkait dengan hak Allah atau hak manusia?

Mazhab Hanafi menegaskan bahawa qazaf termasuk di dalam kategori hak Allah terhadap hamba-Nya kerana ia berkait dengan maruah seseorang. Hukum hudud yang ditetapkan ke atas jenayah qazaf berkait dengan maslahah umum, iaitu untuk memelihara kepentingan hamba-hamba Allah (manusia) dan maruah mereka, serta menghindarkan perkara kefasadan di kalangan manusia.

Apabila ia menjadi aspek umum maka ia termasuk dalam hak Allah terhadap hamba-hamba-Nya.

Mazhab Syafie dan Hanbali berpendapat bahawa qazaf termasuk dalam kategori hak hamba (manusia), kerana maruah secara langsung diberikan kepada manusia. Apabila maruahnya dijatuhkan melalui qazaf, ia bermakna seperti melakukan sesuatu ke atas batang tubuh orang yang tertentu, maka ia menjadi hak bagi diri orang itu.

Manakala ulama dalam mazhab Maliki berselisih pendapat. Ada di kalangan mereka yang bersetuju dengan mendapat Mazhab Hanafi, ada yang bersetuju dengan pendapat Mazhab Syafie dan Hambali. Di antara mereka adalah Ibnu Rusyd, dan ada yang berpendapat bahawa di dalam perkara qazaf ada kedua-dua hak tersebut.

Mereka yang berpegang kepada pendapat bahawa qazaf itu adalah hak Allah, bermakna setelah perkara itu dibawa kepada pihak yang berkenaan (berwajib) maka ia tidak boleh dimaafkan lagi, yakni mangsa tuduhan tidak boleh memberikan pengampunan.

Pengampunan hanya boleh diberi sebelum kes tersebut dibawa kepada pihak yang berkenaan. Manakala mereka yang menyatakan bahawa qazaf itu adalah hak manusia, maka mangsa tuduhan diberi hak untuk memberikan pengampunan kepada orang yang dijatuhkan hukuman kerana kesalahan melakukan qazaf.

Hak Tuduhan Qazaf

Mereka yang berpendapat bahawa qazaf termasuk dalam kategori hak manusia, mengatakan bahawa orang yang menjadi mangsa mempunyai hak pengampunan ke atas orang yang melakukan jenayah qazaf.

Sekiranya orang yang menjadi mangsa qazaf masih hidup, maka hak membuat pendakwaan terserah kepadanya sendiri. Sekiranya ia telah meninggal dunia, maka hak tersebut berpindah kepada keluarganya yang terdekat, iaitu bermula daripada ayah hingga ke atas, kemudian berpindah kepada anak hingga ke bawah. Ia tidak berpindah kepada saudaranya yang lain, kerana perkara qazaf sangat berkait dengan maruah zuriat secara langsung.

Hukuman ke Atas Orang Yang Melakukan Qazaf (Menuduh Zina atau Liwat)

Nas dan ijtihad para ulama yang berlandaskan roh syariat Allah yang maha adil, menunjukkan bahawa tuduhan yang menjatuhkan maruah seseorang seperti tuduhan zina dan liwat tidak harus dipermudah-mudahkan.

Untuk membuat tuduhan itu, wajiblah mempunyai alasan dan hujah yang kukuh. Perkara-perkara yang diwajibkan ke atas pihak yang berkenaan supaya dilaksanakan ketika melakukan sesuatu tuduhan, membuktikan bahawa kewajipan memelihara maruah juga menjadi tanggungjawab kerajaan setelah ditegaskan bahawa ianya adalah kewajipan individu.

Kesalahan tuduhan zina dan liwat amat besar, sehingga ia dimasukkan ke dalam jenayah yang dikenakan hukuman keras dan ditetapkan sendiri hukumannya oleh Allah SWT secara nas di dalam Al-Quran. Di akhirat pula ia dikira sebagai dosa besar yang disediakan azab yang pedih kepada pelakunya, sekiranya dia tidak bertaubat dan meminta maaf daripada mangsa tuduhan atau tidak menerima tindakan undang-undang Islam oleh pihak yang berkenaan.

Hukuman di dunia

Hukuman di dunia yang wajib dijatuhkan ke atas penjenayah qazaf oleh kerajaan Islam ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran.

Firman Allah (al-Nur: 4) yang bermaksud: "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik."

Hukuman terhadap penjenayah qazaf di dunia ialah:

1. Disebat sebanyak 80 kali sebatan mengikut cara Islam. Bukannya sebatan seperti yang diamalkan sekarang. Iaitu dengan alat yang sederhana dan cara pukulan yang sederhana. Tidak dibenarkan mengangkat alat sebatan lebih tinggi daripada kepala dan sebatan itu tidak boleh menyebabkan kulit dan daging terkoyak. Orang yang disebat pula hendaklah berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan memakai pakaian yang bersopan serta disaksikan oleh orang ramai.

2. Dihukum menjadi fasik dengan tidak diterima penyaksiannya dalam segala urusan, sama ada di mahkamah, ketika berjual beli, perkahwinan, melihat anak bulan Ramadan, Syawal dan lain-lain.

Hukuman di Akhirat:

Firman Allah (al-Nur: 23-24) yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan (dan lelaki-lelaki) yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar. Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan."

Hukuman pada hari kiamat nanti lebih adil dan bijaksana. Allah Yang Maha Mengetahui tidak menghukum dengan sifat mengetahui-Nya sahaja, tetapi perbicaraan akan di ulang semula di mahkamah-Nya dengan bukti-bukti yang lebih terperinci. Ketika itu, anggota badan manusia, tangan dan kaki mereka akan menjadi saksi. Di samping itu terdapat catatan para malaikat, iaitu makhluk Allah yang paling baik dan suci, yang nalurikan dengan sifat sentiasa taatkan perintah Allah dan tidak sekali kali menderhakai-Nya.

Mereka akan dikerah untuk menjadi saksi sehingga mulut para pembohong dan pendakwa yang pandai mengubah kata dan meminda catatan tidak mampu lagi untuk memutarbelitkan kenyataan yang sebenar

Thursday, July 17, 2008

Mantapkan Kedudukan PAS



Memantapkan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat


Banyak isu semasa yang diulas Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam pertemuan dengan Harakah, tengah hari 8 Julai lalu, di Parlimen.

Beliau menyentuh dakwaan hubungan PAS-Umno, kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat, tuduhan liwat terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim, cadangan muzakarah di antara pimpinan utama politik Melayu serta muktamar tahunan PAS di Perak, Ogos nanti.

Ikuti wawancara beliau bersama wakil Harakah MOHD RASHIDI HASSAN, Wan NoRDIN WAN YAACOB, AZAMIN AMIN, SAADON AKSAH dan jurugambar WAN ZAHARI WAN SALLEH.

HARAKAH: Apa penjelasan Tuan Guru mengenai dakwaan PAS ada perbincangan dengan Umno yang disensasikan media baru-baru ini?

TUAN GURU HAJI HADI: PAS adalah parti yang menegakkan Islam dengan makna yang menyeluruh. Sasaran Islam ialah seluruh manusia bukan sahaja tertumpu kepada ahli PAS. Kita harus sampaikan mesej kepada pihak yang lain, sebagaimana yang diajar Nabi Muhammad.

Bukan sahaja bergerak dalam skop di Semenanjung Tanah Arab bahkan Baginda menghantar surat kepada raja-raja. PAS juga wajib meneruskan mesej itu dalam konteks negara kita. Kita jumpa dengan raja-raja dan tidak salah juga kita berjumpa dengan Umno untuk menyampaikan mesej kita. Kalau tidak jumpa dengan Umno macam mana nak sampaikan mesej kita?

Maknanya benarlah dakwaan adanya pertemuan tersebut?

Pertemuan antara individu PAS dengan individu Umno dalam menyampaikan mesej Islam kepada mereka.

Hasil pertemuan dan rumusan PAS?

Kita beri penekanan kepada kepentingan Islam supaya Umno berubah. Iaitu merujuk kembali kepada kesilapan yang mereka lakukan yang merugikan umat dan agama Islam itu sendiri. Sebagai contoh, dalam masalah pilihan raya. Yang dikira oleh Umno hanya untuk menangkan parti dia, bukan untuk memenangkan Islam. Dalam pilihan raya ke-12 pun Umno tidak kalah, yang kalah MCA, MIC.

Mereka membuat pembahagian kawasan pilihan raya berdasarkan kepada kepentingan mereka. Penambahan kawasan baru itu dilakukan di Sabah, Sarawak dan Johor. Mengapa tidak ditambah kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu dan Kedah?

Ini kerana mereka hendak menjaga kerusi mereka dan bukan kepentingan Islam. Dalam masa yang sama mereka membahagikan kerusi ataupun kawasan pilihan raya yang majoriti Islam kepada wakil rakyat yang bukan Islam. Ini tidak wajar.

Cuba lihat dalam Pakatan Rakyat, DAP menang di kawasan majoriti kaum Cina, tetapi MCA dan MIC menang di kawasan majoriti Melayu yang diberi oleh Umno. Ini dengan sendiri boleh menghakiskan kedudukan orang Islam dari segi politik.

Tetapi bukankah PAS mahu perpaduan yang lebih meluas?

Sekarang ini kita menunggu apa respons daripada Umno dan rakyat. Dan saya pernah berucap dalam perhimpunan di Stadium Melawati, Shah Alam (di awal penubuhan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor). Saya tidak tahu mereka sedar atau tidak, tetapi saya sebut soal perpaduan nasional di kalangan parti politik yang perlu dibincangkan lebih serius dan bukan separuh jalan.

Perpaduan ini tidak semestinya kita paksa semua parti masuk BN atau gabung satu parti. Ini termasuklah wujudkan demokrasi tulen sebagaimana negara yang sihat demokrasinya.

Sebagai contoh bukan sahaja pembangkang boleh bangkang tetapi yang mewakili kerajaan juga boleh bangkang. Dalam negara kita, kalau wakil rakyat kerajaan yang bangkang ini akan diambil tindakan disiplin. Bahkan di Barat parti kerajaan boleh sokong undi tidak percaya, yang dibuat oleh pembangkang. Adakah di Malaysia hal ini berlaku? Tidak berlaku.

Tuan Guru fikir Umno boleh terima pandangan PAS?

Kepada PAS, orang Melayu mesti menjadi teras kepada politik negara. Ini diterima oleh semua kaum. Bukan pula bermakna hanya orang Melayu yang berhak dalam politik dan kekuasaan tetapi teras politik kita berpihak kepada orang Melayu sebab melihat kepada jumlah penduduk Islam yang majoriti dalam negara ini. Ini perlu diambil kira. Tapi malangnya Melayu sendiri hanyut dalam merealisasikan Islam itu sendiri sebagai kekuatan orang Melayu.

Sebagai contoh kita tidak sedar Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan. Agama lain berhak dianut dan diamalkan tetapi di sana ada peruntukan Jadual 9 yang menyekat pelaksanaan Islam setelah diserah Islam itu di bawah kuasa negeri. Tetapi ada peruntukan yang menghalang pelaksana syariat Islam dalam makna yang menyeluruh.

Walaupun dalam mazhab Islam ada ulama yang sebut syariat Islam itu boleh dilaksanakan kepada orang Islam dan bukan Islam berhak diberi pilihan. Dalam beberapa perkara tertentu boleh kita bahagikan perundangan sebagai contoh kepada tiga bahagian. Yang pertama perkara yang diberi kepada penganut agama masing-masing dalam masalah ibadat undang-undang keluarga dan perkahwinan itu agama masing-masing.

Dan di sana ada syariat Islam seperti Hudud, Qisas dan Takzir, yang diwajibkan Tuhan dalam al-Quran di mana undang-undang ini wajib bagi Islam. Adapun orang bukan Islam boleh diberi pilihan sama ada nak undang-undang ini atau tidak. Dan di sana ada hukum yang bersama seperti undang-undang jalan raya serta hak milik tanah pertanian dan kediaman tidak ada beza.
Sepatutnya kita perkenalkan keadilan Islam ini kepada masyarakat di saat kita lihat kegagalan sistem yang lain daripada Islam.

Mengenai perpaduan berteraskan Islam dan politik Malaysia, Melayu jadi tunggak. Bagaimana ini hendak diterjemah dalam Pakatan Rakyat. Adakah DAP boleh menerimanya?

Sehingga hari ini kita hanyalah wujudkan persefahaman dalam menghadapi pilihan raya sahaja dengan melihat titik persamaan yang ada, seperti dalam menentang kezaliman, menuntut demokrasi yang bersih, menyeru supaya diperbetulkan penyelewengan yang berlaku, tangani rasuah. Ini perkara bersama. Tetapi bila kita ada kuasa di peringkat negeri, sebagai contoh, di sini kita lihat pembahagian yang saya sebut tadi.

Dalam perkara yang jadi hak orang Islam, DAP tidak boleh sentuh itu hak orang Islam. Macam kita tidak sentuh hal agama mereka. Mereka janganlah sentuh soal hendak memperlahankan suara azan kita, seperti kita tidak minta dia jangan main mercun masa sambutan malam tahun baru, mereka kena saling hormatilah. Itu menandakan di sana ada beberapa perkara yang perlu dipertahankan dan hormat menghormati.

Apa pandangan Tuan Guru mengenai rundingan yang berlaku antara Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan kelompok yang hendak menyertai Pakatan Rakyat?

Bukan dia (Anwar) sahaja, kita pun berhak untuk mengadakan perundingan. Sama juga DAP. Mereka ada hak buat perundingan. Kalau Keadilan sahaja boleh jumpa Umno, PAS tidak boleh jumpa dengan Umno macam mana? Ini yang tidak betulnya.

Adakah ini salah faham (mengenai hubungan PAS-Umno)?

Orang lain boleh jumpa Umno, kenapa PAS tidak boleh jumpa Umno? Itu tidak faham namanya. Atas dasar Islam kita berhak. PAS boleh berunding dengan mana-mana pihak. Tidak ada sesiapa yang jadi Ketua Pakatan Rakyat. Pimpinan secara kolektif dan kita setuju masing-masing pemimpin parti mencari pengaruh mengajak rakan dalam BN supaya bersama dengan kita. Oleh sebab itu, tidak timbul isu mengapa orang PAS jumpa Umno.
Itu politik kampung sahaja yang tidak boleh (melarang) jumpa dengan Umno dan orang PAS. Kita dah uar-uarkan 'engagement' yang disebut dalam muktamar kita, ini keterbukaan kita.

Penerimaan ahli PAS mengenai 'engagement' seperti ini macam mana?

Saya lihat inilah yang menyebabkan berlakunya perubahan dalam pilihan raya umum ke-12 yang telah memberi kemenangan kepada PAS. Dan orang PAS boleh buat kerja untuk memenangkan Pakatan Rakyat. Perlu disedari bahawa PAS yang paling banyak cawangan. PAS yang paling banyak pekerja dalam pilihan raya ke-12. Orang PAS sedia bekerja bagi pihak parti lain. Jadi, selepas capai kemenangan perlu diambil kira peranan orang-orang PAS ini. Sebab orang PAS bukan bodoh! Jangan ketepikan peranan mereka selepas kita menang pilihan raya.

Mungkin PAS mahu dilihat sebagai entiti penting dalam Pakatan Rakyat?
Ya, bahkan undi popular perlu dilihat kepada undi menyeluruh. PAS beri penekanan kepada kerusi negeri. Negeri kita dapat 83 kerusi, DAP 73 dan Keadilan dapat 40. Ini perlu dilihat bukan lihat kepada Parlimen sahaja. Kawasan Parlimen ini didukung oleh kerusi negeri.

Dakwaan liwat terhadap Dato' Seri Anwar. Adakah ia mengganggu Pakatan Rakyat atau PAS?

Saya tidak mahu kerja-kerja politik diganggu oleh isu-isu berkait dengan masalah individu. Masalah individu diselesaikan secara masalahnya sendiri. Oleh kerana itu saya lebih bersetuju supaya masalah itu diselesaikan di mahkamah yang adil. Kalau Mahkamah Sivil tidak boleh selesai, mestilah dibawa ke Mahkamah Syariah. Yang cara bersumpah (mubahalah) ini, (perlu) sekiranya tidak ada mahkamah.

Maknanya ia perlu selesai di mahkamah?

Ya! Ya! Selesaikan di mahkamah ....

Isu Anwar, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, Altantuya dan macam-macam berlaku, telah mencetuskan kecelaruan politik sekarang. Apakah pandangan Tuan Guru?

Malangnya yang memainkan isu ini adalah media. Media Melayu pula. Melibatkan pemimpin-pemimpin Melayu. Adakah mereka tidak malu mengemukakan isu-isu ini (pendedahan hal peribadi yang mengaibkan), sedangkan kita menghadapi masalah kenaikan harga minyak, masalah inflasi yang lebih penting.

Bagaimana hendak menangani masalah rasuah, masalah jenayah. Kes bunuh Altantuya adakah berbeza dengan kes bunuh Pak Long, Mak Ngah, Ah Chong di kampung yang dibunuh? ... sama sahaja. Sepatutnya ialah soal keadilan itu untuk semua sebagaimana slogan dalam pilihan raya.

Mengapa pembunuhan Altantuya ini dibesarkan, sedangkan pembunuhan di kaki lima dibiarkan? Yang penting penyiasatan yang adil kepada semua itu perlu. Dalam isu ini barangkali ada kepentingan politik sama ada tuduhan membabitkan Anwar ataupun Najib? Yang pertama sikap orang yang jadi pemimpin itu sendiri dan yang kedua sikap media itu sendiri. Mesti berpada-pada bukannya 'loose'. Itu yang penting.

Ada pandangan menyatakan perlunya pimpinan Melayu seperti Anwar, Tuan Guru sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi duduk bincang soal Islam dan Melayu?

PAS sudah lama mendesak muzakarah diadakan di kalangan pemimpin Islam dan parti-parti orang Melayu sejak tahun 50-an hingga kini. Keadaan itu masih terbuka. Bahkan sebaik sahaja buka pintu muzakarah, PAS (akan) sertai. Kalau dibuka itu respons kita. Tetapi asas muzakarah itu mestilah didasarkan kepada asas akidah dan ajaran yang dianuti oleh orang Melayu itu sendiri iaitu Islam.

Berbalik kepada isu Anwar, mahu atau tidak isu membabitkan beliau perlu dihadapi dan diterima dan implikasinya kepada PAS juga yang sertai Pakatan Rakyat. Apa pandangan Tuan Guru?

PAS ada pengaruh dan kedudukannya sendiri. PAS simpati dengan rakan Pakatan Rakyat yang terima padah dari fitnah ini dan kita sama-sama ambil tanggungjawab untuk mengatasinya sebaik mungkin. Tetapi PAS tetap utuh dengan sebagai parti yang ada akar umbi yang sudah lama dan bertapak begitu kuat. Dan saya rasakan bahawa apa yang ditumpukan oleh orang PAS ialah untuk menegakkan Islam itu dengan makna yang menyeluruh.

Apabila banyak fitnah, adakah ini petanda sudah tiba masanya Malaysia menggunakan lebih banyak undang-undang Syariah supaya wujud keadilan dalam negara?

Saya bersetuju! Islam pun perlu diberi peluang untuk dilaksanakan dan bermula dengan orang Islam sendiri sebagaimana yang kita luluskan di Kelantan dan Terengganu semasa PAS memerintah. Di mana undang-undang Syariah itu dimulakan dengan orang Islam. Sementara orang bukan Islam diberi pilihan sama ada mereka mahu undang-undang Islam atau tidak tetapi dalam kes peribadi dan agama kita tidak campur. Itu sudah jelas.

Harapan Tuan Guru mengenai muktamar tahunan PAS yang akan berlangsung Ogos ini?

Muktamar kali ini ialah muktamar pascapilihan raya. Satu anjakan paradigma berlaku dalam politik negara secara umum termasuk orang PAS sendiri. Kita berjaya pecahkan tembok perkauman antara kaum dan pelbagai agama. PAS berjaya tubuhkan Kelab Penyokong PAS yang disertai oleh bukan Islam yang menyatakan sokongan kepada PAS secara terbuka. Mereka kerja secara sukarela kepada PAS. Mereka memenangkan calon PAS di peti-peti undi sebagai tambahan kepada kekuatan PAS yang sudah ada.

Yang kedua, perubahan di kawasan bandar yang dapat maklumat moden melalui perkembangan ICT. Di sini menunjukkan betapa rakyat perlu dapat maklumat bebas dan terkini yang menyaksikan PAS dapat sokongan di bandar dan pinggir bandar.
Ketiga, walaupun PAS tidak mendapat kerusi Parlimen sebanyak kerusi pada tahun 1999, namun kali ini berlaku satu perubahan. PAS dikatakan menjadi 'king maker' kepada politik negara. Dalam penyertaannya melalui kerajaan campuran di negeri yang tidak dikuasai sepenuhnya seperti di Kedah.

Dalam keadaan PAS adakan campuran dengan parti lain di Perak, rakan Pakatan Rakyat memberi kepercayaan kepada PAS memimpin dua buah negeri Kedah dan Perak selain yang telah ada Kelantan. Satu negeri kepada Keadilan di Selangor dan satu negeri kepada DAP di Pulau Pinang.

Jadi ini menunjukkan kepercayaan yang diberi Pakatan Rakyat untuk memimpin negeri. Dan kita hargai kepercayaan ini. Apa yang penting PAS mesti laksanakan slogan semasa pilihan raya iaitu 'Islam For All'. Itu mesti direalisasikan. Sebab itu kita harapkan NGO dan parti bukan Islam jangan risau dengan pelaksanaan ini. Kita harap apa yang disebut sebagai 'Islamophobia' tidak berlaku kepada rakyat Malaysia.

Kita dah ada model di Kelantan. Kini masuk penggal kelima, dan di Terengganu satu penggal. Tidak ada sebab mereka risau jika kita realisasikan slogan tadi. Kepada ahli PAS, teruskan bekerja bukan sahaja untuk pilihan raya ke-12, dalam masa yang sama kerja selepas PRU-12 untuk isi kemenangan.

Kepada rakan-rakan Pakatan Rakyat kita harapkan supaya jentera PAS jangan digunakan untuk menjayakan pilihan raya ke-12 sahaja, sebaliknya selepas pilihan raya itu seolah-olah mereka tidak ada peranan lagi.
**************************
"Ya Allah ya Tuhan kami,
Engkaulah Tuhan yang Membolakbalikkan hati-hati kami,
thabitkanlah hati-hati kami dalam Agama Mu ya Allah... "
"Perteguhkanlah hati-hati kami dalam usaha
menegakkan Syari'at Mu di bumi Malaysia ini.."
Amin.. Ya Rabbal 'Alamin..

Wednesday, July 16, 2008

Wa rafa'Na laka zikrak..

Monday, July 14, 2008

Memorandum Bantahan Terhadap Konsert Inul Darastita

Rujukan Kami : PAS/DPPNJ.12/2.05 (10/08)
Rujuan Tuan :

Tarikh : 11 Julai 2008/ 8 Rejab 1429

Kepada
Y.A.B. Dato' Haji Abdul Ghani Bin Othman
Menteri Besar Johor
Tingkat 1, Bangunan Sultan Ibrahim,
Bukit Timbalan, 80000 Johor Bahru,
Johor Darul Ta'zim.


Yang Amat Berhormat Dato’,

BANTAHAN KONSERT INUL DARATISTA DI STADIUM TAN SRI HAJI HASSAN YUNUS, LARKIN JOHOR.

Perkara di atas adalah dirujuk.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri Johor kerana meluluskan konsert Inul Daratista di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus, Larkin pada 19 Julai 2008 akan datang.

2. Inul Darastista atau nama sebenarnya Ainul Rokhimah 29 tahun, telah dilabelkan oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) sebagai penari lucah pada Ogos 2002 kerana tarian gelek gerudinya. Adakah dengan tindakan pengharaman tersebut, negara kita mahu memberikan ‘suaka politik’ kepada beliau?

3. Persembahannya di Stadium Merdeka pada 3 tahun lalu, telah membuktikan bahawa unsur-unsur lucah tidak dapat dipisahkan dari tariannya yang merupakan ‘trademark’ bagi Inul sendiri. Persoalannya apakah yang kita mahukan dari artis ini? Adakah hiburan di negara kita telah hilang nilai dan panduannya sehingga membenarkan segala bentuk hiburan asalkan mendapat sambutan dari orang ramai? Apakah Islam Hadhari tidak menyediakan garis panduan hiburan kepada penganjur? Apakah dengan membanyakkan konsert seperti ini masyarakat kita boleh membangun dan menjadi kuat dan berwibawa? Inikah Hadhari yang hendak dibangunkan?

4. Sehubungan dengan itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor membantah dan mendesak supaya persembahan Inul pada 19 Julai 2008 ini dibatalkan. Artis yang penuh kontroversi ini tidak selayaknya diberikan ruang untuk mengadakan persembahan lucahnya kepada rakyat Malaysia. Dewan Pemuda PAS Johor juga menuntut kerajaan supaya menyediakan garis panduan yang jelas berkaitan dengan bentuk hiburan yang dibenarkan selari dengan ajaran Islam.

5. Garis panduan tersebut mestilah mencakupi semua bentuk hiburan bagi membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) dan pihak penganjur (event management) merangka serta menyusun program dan artis yang memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh kerajaan.

6. Perlu ditegaskan di sini, Dewan Pemuda PAS negeri Johor tidak menghalang hiburan, bahkan merasakan hiburan ini adalah satu keperluan manusia masa kini. Namun yang dipertikaikan disini ialah bentuk hiburan yang melampau dan merosakkan minda dan jiwa rakyat, hiburan yang melalaikan dan membawa anasir-anasir negatif seperti dadah, arak, pergaulan bebas dan lupa diri kepada pemuda-pemudi di Malaysia. Realiti hari ini, hiburan telah lari dari tujuan untuk merehatkan minda dan santai kepada tujuan perniagaan dan keuntungan. Maka kita saksikan para-para pengusaha pusat hiburan dan pertunjukan pentas berlumba-lumba membawa artis popular tanpa mengira latar belakang artis tersebut dan kesan persembahannya kepada penonton dan masyarakat.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor amat resah terhadap perkara ini.

Sekian,wassalam

Yang menjalankan amanah

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
http://minda-kembara.blogspot.com/
019-7701830

Pemuda Bergerak Ke Hadapan..


UCAPTEMA
MUKTAMAR TAHUNAN
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR
KALI KE-36

Oleh
KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
KETUA DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR.

Tarikh
9 – 10 Rejab 1429
12-13 Julai 2008
Tajuk
PEMUDA BERGERAK KEHADAPAN
YOUTH MOVING FORWARD.

Ahlan Wa Sahlan.. Wa Marhaban bikum..



Friday, July 11, 2008

Tarbiyyah Menjelang Ramadhan..

ALHAMDULILLAH, Saat ini kita telah memasuki bulan rajab yang termasuk salah satu dari bulan-bulan haram sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْراً, فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ, مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ, ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ, فَلا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ, وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً, كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً, وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِين.

“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, Maka janganlah kamu Menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa” (At-Taubah 36)

Menurut Imam Jalaluddin as-Suyuti dalam Tafsir Jalalain,

مُحَرَّمَةٌ : ذُو الْقَعِدَةْ وَذُو الْحِجَّة وَالْمُحَرَّمْ وَرَجَبٌ
yang dimaksudkan dengan "diantaranya empat bulan yang di hormati" ialah: "Empat bulan Haram - Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab" [Tafsir Jalalain, juz 1, hal 159]

kenyataan ini tidak lain adalah berdasarkan sabda Nabi saw yg diriwayatkan di dalam Sahihain.. Sabda Rasulullah SAW :

إِنَّ الزَّمَانَ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ,
السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا, مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ,
ثَلَاثٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو الْقَعْدَةِ, وَذُو الْحِجَّةِ, وَالْمُحَرَّمُ,
وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
(رواه البخاري ومسلم).

"Sesungguhnya zaman telah berputar seperti pada hari penciptaan langit dan bumi, setahun terdapat dua belas bulan dan empat di antaranya adalah bulan haram dan tiga diantaranya berturut-turut, yaitu dzul qa'dah, dzul hijjah, muharram dan rajab mudhar yang berada di antara jumadil awal, jumadil akhir dan sya'ban" (HR. Bukhari dan Muslim)

Bulan-bulan haram memiliki kedudukan yang agung, dan bulan rajab termasuk salah satu dari empat bulan tersebut. Dinamakan bulan-bulan haram karena :

1. Diharamkannya berperang di bulan-bulan itu kecuali musuh yang memulai.
2. Keharaman melakukan perbuatan-perbuatan maksiat dibulan ini lebih besar di bandingkan bulan yang lain.
3. Allah swt memuliakannya.

Allah berfirman :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تُحِلُّوا شَعَائِرَ اللَّهِ وَلَا الشَّهْرَ الْحَرَامَ

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi'ar-syi'ar Allah, dan janganlah melanggar kehormatan bulan-bulan haram" (Al-Maidah 2)

Yaitu janganlah melakukan perbuatan-perbuatan yang diharamkan sehingga merusak kesucian bulan-bulan tersebut. Larangan ini mencakup melakukan atau beritikad melakukan perbuatan dosa.

Karena kedudukannya yang khusus itu, maka hendaklah dijaga kesucian bulan-bulan haram dengan menjauhi maksiat,, sebab kadar dosa dan maksiat akan diperbesar karena pemuliaan Allah atas bulan-bulan tersebut. Karena itulah Allah telah secara khusus memperingatkan kita di ayat yang lalu agar jangan menzalimi diri di bulan-bulan itu padahal secara umum perbuatan tersebut diharamkan pada setiap waktu.

Di antara do'a yang dibaca ketika memasuki bulan rajab sebagaimana yang dicontohkan Rasulullah SAW dari sahabat Anas bin Malaik ra. adalah :

اللّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانٍ وَبَلِّغْنَا رَمَضَان

"Ya Allah berkatilah kami di bulan rajab dan sya'ban dan sampaikanlah (umur) kami hingga ramadhan". Hadits ini dilemahkan oleh sebahagian ulama ahli hadits.

Berdasarkan informasi dari Rasulullah saw, ternyata bulan Rajab, Sya'ban dan Ramadhan merupakan bulan istimewa bagi umat Islam sedunia. Sebab pada bulan Rajab, Sya'ban dan Ramadhan semua ibadah dan amal saleh yang dikerjakan umat islam, pahalanya dilipatgandakan oleh Allah Swt. Dalam kitab Fadlail al-A'mal disebutkan bahawa pada bulan Rajab, Sya'ban dan Ramadhan seluruh pintu langit dan pintu surga sibuka. Sehingga Allah Swt menganjurkan kepada hamba-Nya supaya memperbanyak amal ibadah, banyak beristighfar karena semua do'a dan permohonan akan dikabulkan. Insya'Allah.

Kata Rajab terdiri dari tiga huruf yaitu Ra, Jim, dan Ba. Ra bererti "rahmat Allah" (kasih sayang Allah), Jim bererti "jum abd wa jinayatihi" (tobatnya seorang hamba dari kesalahan dan dosa), dan Ba bererti "birrul Allah" (kebaikan Allah). Berdasarkan makna tersebut seakan-akan Allah Swt mengatakan "Aku menjadikan tobat seorang hamba-Ku yang telah melakukan dosa besar diantara rahmat dan kebaikan-Ku."

Kata Sya'ban terdiri dari huruf-huruf sebagai berikut: Syin, 'Ain, Ba dan Nun. Syin bererti "syarafun" (kemuliaan), 'Ain berarti "uluww" (ketinggian), Nun berarti "nur" (cahaya). Berdasarkan makna tersebut maka bulan sya'ban merupakan bulan yang penuh kemuliaan, keagungan, kebaikan dan bergelimang cahaya (nur Ilahi) sehingga Rasulullah Saw menyebut sebagai "bulanku".

Kata Ramadhan berasal dari kata ar-Ramdla yang bererti "al-Hijaratul Muhammat" (batu yang dipanaskan). Ada juga yang mengatakan, bahwa dinamakan bulan ramadhan karena pada bulan tersebut dibakarnya (dihapuskannya) dosa-dosa. Tetapi berdasarkan kebiasaan orang arab dalam memberi nama suatu bulan, senantiasa menyesuaikan dengan kondisi yang sedang dihadapi pada saat itu. Secara kebetulan ketika mereka melaksanakan ibadah shaum terjadi pada musim panas. Sehingga mereka namakan bulan tersebut sebagai bulan Ramadhan.

Sungguh beruntung orang yang mengetahui dan benar-benar memanfaatkan bulan Rajab, Sya'ban dan Ramadhan untuk memperbanyak ibadah kepada Allah Swt. Betapa ruginya orang yang tidak memperhatikan atau lalai pada bulan tersebut. Setiap muslim ketika menghadap Allah Swt berkeinginan membawa amal atau ibadah yang baik, bukan sebaliknya, menghadap kepada Allah Swt dengan tangan kosong (hampa).

Oleh sebab itu, Rasulullah Saww setiap kali memasuki bulan Rajab senantiasa mengawali bulan penuh berkah dengan sebuah do'a sebagaimana yang dicontohkan Rasulullah SAW dari sahabat Anas bin Malik ra. adalah :

اللّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانٍ وَبَلِّغْنَا رَمَضَان

"Ya Allah berkatilah kami di bulan rajab dan sya'ban dan sampaikanlah (umur) kami hingga bulan ramadhan". Hanya saja hadits ini dilemahkan oleh sebagian ulama ahli hadits.

Sebahagian ulamak mengajar kita berdoa dgn..

اَللّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَب وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا شَهْرَ رَمَضَانَ،
واَعِنَّا عَلَى الصِّيَامِ وَالْقِيَامِ وَحِفْظِ اللِّسَانِ،
وَغَضِّ الْبَصَرِ، وَلاَ تَجْعَلْ حَظَّـنَا مِنْهُ الْجُوعَ وَالْعَطَشَ .

“Ya Allah, berkati kami di bulan Rajab dan Sya’ban, sampaikan kami pada bulan Ramadhan. Bantulah kami untuk melakukan puasa, qiyamul layl, menjaga lisan dan menjaga pandangan, dan jangan jadikan puasa kami hanya lapar dan dahaga." [Rujukan :Al-Haj al-Syaikh ‘Abbas al-Qumi, Mafatih al-Jinan, Mansyurat Dzawi al-Qurba, Beirut, 1992]

Imam Nawawi rahimahullahu ta'ala menyebut dalam kitab Raudahnya, bahawa malam awal rajab itu, malam yang mustajab padanya doa.. [lihat juga pada Jam’ul Fawaid li Syaikh Daud al-Fathoni, TT]

Berkenaan fadhilat2 yg terkandung dalam bulan rejab,, telah banyak ulamak yang meriwayatkannya.. antaranya huraian hakikat Rajab dan keistimewaanaya menerusi kitab al-Ghunyah li Thalibi Thariqil Haq karangan Syeikh Abd Qader al-Jaylani. Beliau merupakan Sultan para Wali (Sulthanul auliya') dan terkenal sebagai seorang ulamak yang menghimpunkan ilmu zahir dan batin. Beliau juga terkenal dengan pakar hadis di zamannya. Keilmuan dan keimaman beliau turut diperakui sendiri oleh Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim al-Jauziyah dan seluruh cendikiawan Islam.

Antara amalan dan doa bersifat umum yang boleh diamalkan di bulan Rajab dan bulan-bulan lain yang dimuliakan oleh Allah swt, di antaranya:

1. Memperbanyak membaca istighfar.
2. Membaca tasbih 100 kali setiap hari;
سُبْحَانَ الاِْلهِ الْجَليلِ، سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنْبَغِي التَّسْبِيحُ إِلاّ لَهُ، سُبْحَانَ اْلأَعَزِّ اْلاَكْرَمِ، سُبْحَانَ مَنْ لَبِسَ الْعِزَّ وَهُوَ لَهُ اَهْلٌ .

“Mahasuci Tuhan Yang Maha Agung, Mahasuci yang tak layak ditasbih kecuali Dia, Mahasuci Yang Maha Agung dan Maha Mulia, Mahasuci Yang Memakai pakaian keagungan dan hanya Dia yang layak memilikinya.”

3. Membaca doa:

اَللّهُمَّ اِنّي اَساَلُكَ صَبْرَ الشّاكِرينَ لَكَ، وَعَمَلَ الْخائِفينَ مِنْك، وَيَقينَ الْعابِدينَ لَكَ، اَللّهُمَّ اَنْتَ الْعَلِيُّ الْعَظيمُ، وَاَنَا عَبْدُكَ الْبائِسُ الْفَقيرُ، اَنْتَ الْغَنِيُّ الْحَميدُ، وَاَنَا الْعَبْدُ الذَّليل، اَللّهُمَّ صَلِّ عَلى مُحَمَّد وَآلِهِ وَاْمْنُنْ بِغِناكَ عَلى فَقْري، وَبِحِلْمِكَ عَلى جَهْلي، وَبِقُوَّتِكَ عَلى ضَعْفي، يا قَوِيُّ يا عَزيزُ، اَللّـهُمَّ صَلِّ عَلى مُحَمَّد وَآلِهِ الاْوصياءِ الْمَرْضِيِّينَ، وَاكْفِني ما اَهَمَّني مِنْ اَمْرِ الدُّنْيا وَالاخِرَةِ يا اَرْحَمَ الرّاحِمينَ .

“Ya Allah, aku memohon kesabaran orang-orang yang bersyukur pada-Mu, amal orang-orang takut pada-Mu, dan keyakinan orang-orang yang beribadah pada-Mu. Ya Allah, Engkau Maha Mulia dan Maha Agung, sementara aku adalah hamba-Mu yang sengsara dan fakir. Engkau Maha kaya dan Maha Terpuji, sementara aku adalah hamba-Mu yang hina. Ya Allah, sampaikan shalawat kepada Muhammad dan keluarganya, karuniakan kekayaan-Mu pada kefakiranku, santun-Mu pada kejahilanku, kekuatan-Mu pada kelemahanku wahai Yang Maha Kuat dan Maha Mulia. Ya Allah, sampaikan shalawat kepada Muhammad dan keluarganya para washinya yang diridhai oleh Allah, cukupi daku apa yang kuinginkan dalam urusan dunia dan akhirat wahai Yang Maha Pengasih dari semua yang mengasihi.”

4. Membaca istighfar berikut sebanyaknya;

اَسْتَغْفِرُ اللهَ لا اِلهَ إِلاّ هُوَ وَحْدَهُ لا شَريكَ لَهُ وَاَتُوبُ اِلَيْهِ

“Aku mohon ampun kepada Allah, tiada Tuhan kecuali Dia Yang Maha Esa tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bertaubat kepada-Nya”

5. Membaca doa berikut :

يا مَنْ اَرْجُوهُ لِكُلِّ خَيْر، وَآمَنَ سَخَطَهُ عِنْدَ كُلِّ شَرٍّ، يا مَنْ يُعْطِي الْكَثيرَ بِالْقَليلِ، يا مَنْ يُعْطي مَنْ سَأَلَهُ يا مَنْ يُعْطي مَنْ لَمْ يَسْأَلْهُ وَمَنْ لَمْ يَعْرِفْهُ تَحَنُّناً مِنْهُ وَرَحْمَةً، اَعْطِني بِمَسْأَلَتي اِيّاكَ جَميعَ خَيْرِ الدُّنْيا وَجَميعَ خَيْرِ الاْخِرَةِ، وَاصْرِفْ عَنّي بِمَسْأَلَتي اِيّاكَ جَميعَ شَرِّ الدُّنْيا وَشَرِّ الاْخِرَةِ، فَاِنَّهُ غَيْرُ مَنْقُوص ما اَعْطَيْتَ، وَزِدْني مِنْ فَضْلِكَ يا كَريمُ.
“Wahai yang aku harapkan dari-Nya semua kebaikan, yang aku takutkan murka-Nya dalam setiap keburukan. Wahai Yang Memberi karunia yang banyak dalam amal yang sedikit. Wahai Yang Memberi karunia pada orang yang memohon. Wahai Yang Memberi karunia pada orang yang tidak memohon dan belum mengenal rahmat dan kasih sayang-Nya, karuniakan padaku apa yang kumohon pada-Mu semua kebaikan dunia dan semua kebaikan akhirat, dan selamatkan daku dengan permohonanku pada-Mu dari semua keburukan dunia dan keburukan akhirat. Karena tak akan berkurang apa yang telah Kau berikan, dan tambahkan padaku dari karunia-Mu wahai Yang Maha Mulia.” [lihat :Al-Haj al-Syaikh ‘Abbas al-Qumi, Mafatih al-Jinan, Mansyurat Dzawi al-Qurba, Beirut, 1992]

6. Banyakkan Puasa. Terpayung pada hadith sahih yang umum;

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ

“Dari Abi Hurairah radiyallahu anhu, berkata ia, telah bersabda Rasulullah saw: Seafdhal-afdhal puasa selepas ramadhan, ialah bulan Allah yang haram,, dan seafdhal-afdhal solat selepas solat fardu,, ialah solat malam,,” [Sahih Muslim, jil.2]
Apabila kita meneliti kepelbagaian sumber yang ada ditangan para ulamak, didapati rajab ada keistimewaannya yang tersendiri. Maka tidak hairanlah intisari (matan) hadith;

: رَجَبٌ شَهْرُ اللَّهِ ، وَشَعْبَانُ شَهْرِي ، وَرَمَضَانُ شَهْرُ أُمَّتِي .

“Rejab bulan Allah, Sya’ban bulanku dan ramadhan bulan umatku..” disokong oleh ramai para ulamak muktabar.

Antaranya, Imam Hibbatullah bin Mubarak. Beliau meriwayatkan keistimewaan rajab berdasarkan sanad-sanadnya yang jelas sebagaimana yang diriwayatkan oleh Syeikh Abd Qader al-Jailani di dalam al-Ghunyah.

Tambahan pula, matan hadis : “Rejab bulan Allah, Sya’aban bulanku, ramadhan bulan umatku…” tidak bertentangan dengan nas al-Qur’an. Sebaliknya selari dengan perisytiharan Allah SWT pada surah al-Taubah ayat 36 tentang empat bulan haram, yang dinyatakan pada muqaddimah di atas. Yang dimaksudkan : Rejab, Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharam.

Dimana sepakat ulamak menyatakan.. empat bulan yang haram (dimuliakan) itu ialah:

مُحَرَّمَةٌ : ذُو الْقَعِدَةْ وَذُو الْحِجَّة وَالْمُحَرَّمْ وَرَجَبٌ

"Empat bulan Haram - Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab"

Drpd Abi Bakrah R.a, tlh bersabda Rasulullah SAW :
إِنَّ الزَّمَانَ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ,
السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا, مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ,
ثَلَاثٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو الْقَعْدَةِ, وَذُو الْحِجَّةِ, وَالْمُحَرَّمُ,
وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
(رواه البخاري ومسلم).

"Sesungguhnya zaman telah berputar seperti pada hari penciptaan langit dan bumi, setahun terdapat dua belas bulan dan empat di antaranya adalah bulan haram dan tiga diantaranya berturut-turut, yaitu dzul qa'dah, dzul hijjah, muharram dan rajab mudhar yang berada di antara jumadil awal, jumadil akhir dan sya'ban" (HR. Bukhari dan Muslim)

Terdapat kenyataan dalam sebuah kitab Tafsir yang muktabar ;

وَسَمَاهُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم شَهْرَ الله، أَيْ شَهْرُ آلِ الله، وكان يُقَالُ لِاَهِلِهِ اَلْحَرَمْ: آلِ الله.
وَيَحْتَمِلُ أَنْ يَرِيْدَ شَهْرُ الله، لِاَنَّ الله مُتَّنُهُ وَشُدَّدُهُ

Di mana Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya Jami' Ahkamul Quran, menyifatkan Nabi SAW sendiri pernah menegaskan bahawa rajab itu adalah bulan Allah. Iaitu bulan Ahlullah. Dan dikatakan penduduk (mukmin) Tanah Haram itu Ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka.” [al-Qurtubi, Jami’ Ahkam al-Qur’an, hlm 326 juz 6]

Imam Abu Daud pula membawa intisari hadis yang menampakkan kesaksian yang jelas tentang lafaz “Sya’ban bulanku”. Buktinya beliau meriwayatkan dari Abdullah bin Abi Qais, dari Aisyah radiyallahu anha yg berbunyi :

كَانَ أَحَبُّ الشُّهُورِ إلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَصُومَهُ شَعْبَانَ, ثُمَّ يَصِلُهُ بِرَمَضَانَ..

“Bulan yang paling disukai Rasulullah SAW,,, ialah berpuasa di bulan Sya’aban. Kemudian Baginda menyambung puasanya hingga ke Ramadhan.” [Sulaiman bin al-Asy’at al-Sijistani, Sunan Abu Daud, t.th, Dar al-Fikr : Beirut , hlm 323 juz 2]

Imam al-Thabrani pula meriwayatkan dari Anas bin Malik R.A,, bahawa apabila tibanya bulan rejab, Baginda mendoakan :

اللّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانٍ وَبَلِّغْنَا رَمَضَان

“Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan rejab dan Sya’aban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan ramadhan.” [al- Thabrani, Mu’jam al-Ausath, 1415H, Dar al-Haramain : Qaherah, hlm 189 juz 4, no hadis : 3939]

Hadis ini turut dipersetujui Imam Ahmad di dalam Musnadnya m/s 259 juz 1, hadis bernombor 2346.

Imam al-Thabrani juga meriwayatkan dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW tidak menyempurnakan puasa sebulan selepas berlalunya ramadhan kecuali pada rajab dan Sya’ban.” (ibid, hlm 161 juz 9 no hadis : 9422)

Jika sanad yang dibicarakan oleh Imam Ibn Qayyim dan sebahagian ulamak yang membahaskan mengenai ber"masalah"nya dengan periwayatan Ibn Jahdam. Kita menghormati perkara itu. Namun ianya tidak menggugurkan nilai keistimewaan serta kemuliaan bulan rajab. Ini kerana masih terdapat beberapa sanad yang lain menjelaskan kelebihan bulan Rajab.

Al-Hafiz al-Haitsami di dalam Majma’ al-Zawa’id turut meriwayatkan tentang kelebihan bulan rajab. Walaupun dengan sanad-sanad yang dhaif, namun ia sudah memadai untuk menepati spesifikasi kelebihan untuk beramal dan meningkatkan hemah diri. Hal ini jelas sebagaimana yang diakui oleh para fuqaha’ dan ahli hadith menerusi kenyataan Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Arba’ien.

Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan dari Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr RA tentang puasa rajab (pada bulan rajab). Said menjawab : “Aku mendengar Ibn Abbas RA mengatakan : “Rasulullah SAW berpuasa rajab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” [Muslim bin Hajjaj, Sahih Muslim,t.th, Dar Ihya Thuras al-Arabi : Beirut , hlm 811 juz 2]

Imam al-Nawawi mengatakan : “Apa yang zahir dari ucapan Sa’id bin Jubayr itu menjadi bukti bahawa tiada tegahan untuk berpuasa padanya (rejab) kerana (semata) bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam yang lain. Dan tidak ada larangan (yang tsabit) untuk melakukan ibadat puasa di bulan rejab, tidak pula disunatkan kerana bulannya. Tetapi apa yang disunatkan ialah kerana kesunahan puasa tersebut.” [Imam an- Nawawi, Syarh al-Nawawi ala Sahih Muslim, 1392, Dar Ihya’ Thuras al-Arabi : Beirut , hlm 38 juz 8]

Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan : “Di dalam Sunan Abi Daud direkodkan bahawa Nabi SAW menggalakkan kita untuk berpuasa di bulan-bulan yang haram. Dan rajab adalah salah satu darinya.” ( Abu Thayyib al-‘Azhim, Aun al-Ma’bud bi Syarh Sunan Abi Daud, 1415H, Cetakan Kedua, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Beirut , hlm 60 juz 7)

Imam al-Baihaqi meriwayatkan dari Imam al-Syafi’ie berbunyi : “Telah sampai kepada kami bahawa al-Syafi’ie mengatakan : “Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam : malam jumaat, malam aidil adha, malam adil fitri, malam pertama bulan rejab dan malam nisfu Sya’ban.” [al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 1994, Maktabah Dar al-Baz : Makkah al-Mukarramah, hlm 319 juz 3]

Di dalam Syu’abul Iman, Imam al-Baihaqi meriwayatkan lagi tentang keistimewaan bulan rajab. Hadith itu berbunyi :

شَهْرُ رَجَبٌ وَهُوَ شَهْرُ الله ، مَنْ عَظَمَ شَهْرُ اللهِ رَجَبٌ, فَقَدْ عَظَمَ أَمَرَ الله ،
وَمَنْ عَظَمَ أَمَرَ الله, أُدْخِلَهُ جَنَّاتُ النَّعِيْمِ

“Allah telah memilih bulan rajab. Rajab adalah bulan Allah. Barangsiapa yang memuliakan bulan Allah sesungguhnya dia telah memuliakan perintah Allah. Barangsiapa yang memuliakan perintah Allah sesungguhnya dia akan dimasukkan ke syurga al-Naim..” [al- Baihaqi, Syu’ab al-Iman, 1410H, Cetakan pertama, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Beirut , hlm 374 juz 3, no hadis 3814].

Lihat juga hadis bernombor 3812 sebagai sokongan terhadap keistimewaan bulan rajab pada malam harinya.

Adapun hadith yang menunjukkan Nabi SAW melarang umatnya berpuasa di bulan rejab bukanlah satu larangan yang bersifat mutlak. Bahkan bertentangan dengan anjuran berpuasa sunat dalam Islam. Tambahan pula, hadith tersebut diriwayatkan oleh Daud bin ‘Atha al-Madani. Beliau merupakan perawi hadith yang dhaif. Para ulamak bersepakat mendhaifkan periwayatannya termasuk Imam Ibn Jauziy menerusi kitabnya al-‘Ilal al-Mutanahiyah. [Ahmad bin Abu Bakar al-Kinani, Misbah al-Zujajah, 1403H, Dar al-‘Arbiah : Beirut , hlm 78 juz 2]

Demikian juga dapat kita lihat pada kitab Nailul Authar;

وَأَمَّا حَدِيثُ ابْنِ عَبَّاسٍ عِنْدَ ابْنِ مَاجَهْ بِلَفْظِ : إنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ { نَهَى عَنْ صِيَامِ رَجَبٍ }
فَفِيهِ ضَعِيفَانِ : زَيْدُ بْنُ عَبْدِ الْحَمِيدِ ، وَدَاوُد بْنُ عَطَاءٍ .

[lihat karangan Imam as-Syaukani, hal. 315, juz. 4.]

Setelah disajikan beberapa keterangan di atas, maka sayugianya kita memperbaiki diri, menambah amal dangan amalan sholeh yang terpayung daripada sumber syariat yang benar. Ambillah kesempatan masa, umur dan nafas kurniaan Ilahi ini dengan bersyukur kepada Rabbul Izzati melalui pernyataan syukur lidah dan amalan yang sholeh.

Jika membuka mata hati kita, kita meneliti beberapa dalil di atas. Sungguh kemuliaan dan kelebihan rajab itu terpayung melalui nas al-Quran dan kalam Saiyyidul Mursalin yang Sahih.

Berdasarkan dalil itulah maka kita berlumba-lumba mempertingkatkan amalan mulia, beristighfar memohon keampunan di atas dosa-dosa kita yang tidak terhitung, berzikir mengingati serta memuja muji keagungan Rabbul 'Alamin, berdoa kepada tuhan yang sentiasa mendengar rintihan hambaNya, berpuasa bagi menunaikan zakat badan serta menghidupkan malam dengan membaca al-Quran dan solat-solat sunat, yang mana semua amalan-amalan ini terpayung di bawah nas-nas sahih yang tidak bisa kita sangkal lagi.

Adapun lain-lain hadith yang dhoif, ianya tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja. Bahkan ia dijadikan sebagai pemangkin, pengobar semangat, menggemar dan memotivasikan diri kita, yang fitrah diri kita ini sukakan ganjaran-ganjaran yang hebat.

Tidak dinafikan lagi bahawa para ulamak telah sepakat (ittifaq) akan keharusan beramal dengan hadith dhoif dalam perkara-perkara fadhilat. Imam Nawawi rahimahullahu ta’ala menegaskan dalam Arba’in nya;

وقد اتفق العلماء على جواز العمل بالحديث الضعيف في فضائل الأعمال

“Dan sesungguhnya telah sepakat para ulamak di atas keharusan beramal dengan hadith dhoif pada perkara fadhilat-fadhilat amal” [Matnul Arba’ina Hadithan an-Nawawiyah, hal. 2]

Maka tidaklah sayogianya kita membid’ahkan seseorang itu apabila ia berpuasa di bulan rajab umpamanya, disebabkan hatinya tersentuh dengan ganjaran yang terdapat di dalam sesebuah hadith dhoif. Kerana sesungguhnya ibadah puasa itu telah umum diketahui bahawa ia ibadah kegemaran Rasulullah saw dan dapat kita lihat telah tercatit di dalam kitab-kitab hadith yang shahih. Hanya saja hadith dhoif tersebut menggemarkan si pelaku dalam mentarbiyyah diri memperbanyak amalan-amalan sholeh.

Bulan rajab yang mulia ini, begitu juga bulan-bulan yang lain yang dimuliakan oleh Allah swt, haruslah diisi dan diihya’kan dengan amalan-amalan yang mulia. Membid’ahkan seseorang yang ingin melaksanakan suatu amalan yang mulia adalah satu perbuatan yang tidak mulia. Apatah lagi jika diqasadkan dengan bid’ah dholalah, yang akan dihumban ke dalam neraka. Sungguh ini bukanlah perbuatan yang mulia!.

Saya (hamba yang mengaku faqir, yang mengharap rahmat Allah Ta’ala) sering diadu tentang perkara ini. Sahabat-sahabat dan murid sering bertanya akan masalah ini. Kasihan mereka ini. Dituduh sebagai pelaku bid’ah, diejek bahawa Neraka adalah tempat tinggalnya.

Walhal telah dinyatakan, mereka ini beramal dengan amalan yang nasnya adalah shahih. Hanya saja yang dhoif itu menggemarkan mereka dalam beramal. Saya memohon kepada Allah swt agar menggolongkan kita dikalangan orang-orang yang sabar.

Namun ingin juga dinyatakan di sini. Seorang ulama` yang Muhaqqiq al-Imam al-Allamah Ibnu Hajar Al-Haitami, wafat tahun 974, telah menerangkan dengan jelas lagi nyata, akan fungsi hadits-hadits dhaif yang berkisar dalam kelebihan (fadhilat) rajab, terutama masalah Puasa Rajab ini. Perhatikan perkataannya :

“Sesungguhnya para ulama’ telah menetapkan bahawa hadits-hadits dhaif, mursal, munqothi’, mu’dhal dan mauquf diamalkan dengannya pada fadho`ilil a’mal atas dasar IJMA’. Maka tidak syak lagi bahawa berpuasa Rajab adalah sebahagian daripada fadho`ilil a’mal. Memadailah padanya dengan hanya berdalilkan hadits-hadits dhaif dan yang sepertinya, tiadalah diingkari demikian itu MELAINKAN ORANG-ORANG YANG JAHIL YANG TERPEDAYA”. – (Intaha) [rujuk kitab al-Fatawa al-Kubro al-Fiqhiyah karangan beliau, juz 2, hal 5, cet.Darul Kutub al-Ilmiah.]

Semoga Allah swt memberi taufiq dan inayahNya kepada kita semua agar menjadi hamba-hambaNya yang memiliki amal yang ikhlas, yang diredhai dan diterima oleh ar-Rahman, serta amalan tersebut mampu dijadikan sebagai bekal ketika kita semua kembali menemui Allah Azza wa Jalla. Amin..


“Ya Allah, dengan berkat keKuasaanMu yang mencipta dua belas bulan dalam setahun, dengan berkat keAgonganMu yang menjadikan empat bulan padanya sebagai bulan-bulan haram, dengan berkat bulan rajab yang mulia ini, ya Allah… hamba Mu ini memohon agar diampunkan dosa-dosa ibu bapa hamba, ampunkan dosa-dosa para guru-guru hamba, ampunkan dosa-dosa ahli keluarga hamba, ampunkan dosa-dosa sekelian mukminin yang terdahulu menerima Islam dan iman daripada hamba.. ampunkan dosa-dosa mereka ya Allah.. ampunkan juga sekelian mukminin yang sezaman dengan hamba.. dan ampunkanlah dosa-dosa sekelian mukmin yang kemudian daripada hamba… ampunkan dosa-dosa mereka ya Allah… ampunkanlah ya Allah..”

“Ya Allah.. Ya Rahman.. Ya Rahim.. akhirnya Ya Allah.. akhirnya Ya Allah.. akhirnya ampunkan segala dosa dosa dosa dosa dan dosa hamba Mu yang faqir ini ya Allah… ampun ya Allah… ampun ya Allah… ampun ya Allah… hambaMu ini benar-benar mohon ampun ya Allah… air mata ini menjadi saksi ya Allah… hambaMu ini benar-benar mohon ampun ya Allah… sesungguhnya Dikaulah yang Maha Pengampun.. yang Maha menerima taubat hamba-hambaMu… terimalah ya Allah… Amin.. ya Arhamar Raahimin… amin.. amin..”


Sekian, salam tarbiyyah dari hamba.

alFaqir arRajiy ila Rahmati Allah alQadir,
IBNU MASRAN AL-BANJARI

Silaturrahim Pondok SeMalaysia Kali Ke-2



Kepada sahabat-sahabat yang berkesempatan dan ada kelapangan, jangan lepaskan peluang menghadiri program di atas. Insya'Allah banyak manfaatnya..

Agenda jahat terhadap Islam

Tidak ada akhbar tempatan yang terus memain dan mensensasikan isu ini selain The Star. Di muka hadapannya hari ini dipaparkan gambar berikut meliputi satu pertiga ruangannya dengan tajuk: Turban legends on the road

Sejak penguatkuasaan penggunaan topi keledar ke atas penunggang dan pembonceng motorsikal dikuatkuasakan puluhan tahun dahulu, sehingga kini ia tidak pernah menjadi isu. Semua diwajibkan menggunakan topi keledar, namun ada beberapa segmen yang diberikan pengecualian termasuklah penganut Sikh yang mengamalkan pemakian serban mereka dan umat Islam yang “haji” atau “lebai”.

Kes ini kini menjadi perhatian apabila seorang anggota polis trafik menyaman seorang murid sekolah pondok di Pasir Tumbuh Kelantan kerana tidak memakai topi keledar dan sebaliknya mengenakan serban. Anggota trafik berkenaan membuat kesimpulan bahawa Ahmad Nasir Darus tidak termasuk dalam segmen yang diberikan pengecualian itu. Ahmad Nasir kini mencabar saman itu dan kes ini sedang didengar di Mahkamah Majistret Kota Bharu (yang kebetulan Majistretnya adalah Puteri kepada Sultan Kelantan).

Sementara itu Ketua Polis Kelantan mengeluarkan arahan agar anggotanya tidak lagi mengeluarkan saman terhadap kes yang sama sementara menunggu penjelasan ebenar darihal pengecualian ini dari Bukit Aman.

Saya hairan kenapa The Star terus mensensasikan kes ini, lalu apabila mengunjungi blog Ketua Pengarangnya, Wong Chun Wai barulah terserlah agenda pihak berkenaan. Wong menulis dalam posting diblognya:

The question here is that Sikhs wear the turbans for religious reasons. For Muslims, is it a religious obligation to wear serbans? Or merely tried to look pious and look Arab?
(Soalnya di sini, kaum Sikh mengenakan serban atas alasan agama. Untuk umat Islam, adakah ianya tuntutan agama untuk berserban? Atau adakah semata-mata kerana mahu dilihat alim atau dilihat bagaikan Arab?)

Untuk makluman Wong ini bukanlah seorang yang tidak faham atau kenal akan kepercayaan dan amalan umat Islam kerana beliau adalah lulusan sains politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, pasti semasa menuntut beliau terdedah dengan amalan para pelajar Islam di sana, tetapi mengapa beliau seolah mempertikaikan amalan berserban ini?

Semua umat Islam yang beramal dan berilmu tahu akan tujuan berserban ini, saya bimbang apa yang cuba dibangkitkan oleh Wong ini nanti dikongsi pula oleh mereka yang lain termasuklah yang jahil dikalangan umat Islam. Dengan mengawal akhbar yang paling luas edarannya di Malaysia, Wong memiliki ruang untuk mempengaruhi dan memberi gambaran negatif dan jahat seumpama ini, lalu apa yang harus kita lakukan?

Wednesday, July 9, 2008

Lawanan Cicakman & Spiderman..



No komen.. ala kuli hal Moonman ni dapat musafir jauh dengan tak perlu isi minyak.. Protes ni.. tapi jangan la berlaga dengan burung lagi.. nyaya dia.. dia pun makhluk Allah jugak.. ;-)

Sunday, July 6, 2008

Semoga Allah meredhai.. Amin..

diterima drpd email sahabat baik ana:
MAJLIS AL-BANJARI
DI DEWAN BESAR MASJID NURUL TA’ZIM

ALHAMDULILLAH, Syukur ke hadrat Allah yang berkehandak memberi kebaikan kepada hamba-hambanya. Selawat dan Salam ke atas Penghulu segala Rasul, dan ahli keluarganya dan segala pengikutnya hingga ke hari Akhir.

Dahulu 2007-2008 al-Fadhil Ust Ibrahim al-Banjari telah pun diberi kepercayaan mengajar di Masjid Nurul Ta’zim, Majidi Baru kira-kira hampir setahun. Beliau mengajar Tafsir al-Quran dan Kitab Jauharul Mauhub. Namun apabila menjelang tempoh pilihanraya umum yang lalu, khidmat beliau dihentikan sementara. (barangkali ada kebimbangan pihak-pihak tertentu).

Kini, alhamdulillah, atas permintaan ahli qariah Masjid tersebut, sekali lagi al-Fadhil Ustaz Ibrahim al-Banjari diundang untuk berkhidmat menyampaikan ilmu. Bezanya, kali ini diadakan di Dewan Besar Masjid Nurul Ta’zim.

Kami melihat kesungguhan mereka dalam menuntut ilmu amat terserlah. Pernah al-Fadhil Ustaz terlewat hadir hampir satu jam, namun mereka masih sudi menanti kehadiran al-fahil ustaz.

Kali ini al-fadhil ustaz tidak mengajar Tafsir al-Quran, tetapi mengajar Kitab Sairus Salikin sebagai muqaddimah supaya para penuntut ilmu memahami adab-adab menuntut ilmu. Difahamkan setelah tamat mempelajari adab-adab menuntut ilmu tersebut, al-Fadhil Ustaz akan mengajar Kitab Sifat 20. Sebuah kitab jawi lama yang menyentuh bab Tauhid.

Insya’Allah, al-fadhil ustaz juga akan meneruskan pengajian Kitab Jauharul Mauhub dan juga akan mengajar Kitab Aqidatul Awam..

Kami berdoa agar Majlis al-Banjari yang diadakan di Dewan Masjid Nurul Ta’zim ini berpanjangan dan berterusan dengan izin Allah swt serta mendapat keredhaan Allah Azza wa Jalla. Kami juga berharap al-fadhil ustaz dapat memberikan ilmu-ilmu yang bermanfaat dan menjadikan Majlis al-Banjari di Masjid ini seumpama di Pondok Ledang, tempat al-fadhil ustaz mencurahkan pelbagai bidang ilmu.

Oleh : Hamdan Jelani al-Banjari
Gambar-gambar kenangan bersama al-fadhil ustaz Ibrahim al-Banjari
di Majlis al-Banjari, Masjid Nurul Ta'zim, Majidi Baru, Johor Bahru.





***************************
Terima kasih diucap kepada Akhi Hamdan yang merupakan murid dan sahabat baik ana. Ana juga sentiasa bermohon kepada Allah Subhanahu wa Taala agar semua majlis ilmu agama yang dianjurkan samada daripada ana atau daripada para ustaz & tuan guru yang lain sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Allah yang Maha Pengasih..


"Ya Allah, Anta Rabbi wa Anta Rabbul 'Alamin, Anta maksudiy wa redho Ka mathlubiy.."

"Ya Allah, Tuhan yang memiliki Ilmu, jauhkanlah diri kami daripada sifat 'ujub dan riya', masukkanlah ke dalam hati-hati kami sifat ikhlas dan amanah dalam beramal dan menyampaikan risalah Agama-Mu yang mulia ini.."

Amiin Ya Rabbal 'Alamin..

Saturday, July 5, 2008

Lagi Kenali Karya dan Ulama Banjar...

ULAMA sufi berasal dari dunia Melayu yang diriwayatkan ini nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Nafis bin Idris bin Husein al-Banjari. Seperti ulama-ulama sufi lain, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari juga mendapat tentangan daripada orang-orang yang tidak sependapat dengan ajaran tasawufnya. Namun tidak sehebat tentangan terhadap Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Dalam perkembangan mutakhir golongan sufi dunia Melayu cukup rancak dibicarakan.
Sebelum berkembangnya aliran tajdid di dunia Melayu, boleh dikatakan tidak ada ulama besar dunia Melayu menyalahkan kandungan yang termaktub dalam ad-Durr an-Nafis, iaitu sebuah kitab perbahasan yang tinggi jalan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah dan permulaan jalan tasawuf ketuhanan dalam bahasa Melayu yang dihasilkan oleh ulama berasal dari Banjar yang dibicarakan ini.
Bagi ulama abad ke 18-19 dunia Melayu, ajaran semacam itu cukup mereka fahami kerana memang ada kitab-kitab tasawuf peringkat tinggi (muntahi) yang dirujuk dan mengimbangi kitab ad-Durr an-Nafis itu sebagai pegangan yang kukuh bagi kaum sufi. Yang termaktub dalam karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari itu adalah relevan dengan karya-karya Syeikh Abdul Karim al-Jili, Syeikh Muhyuddin Ibnu Arabi (17 Ramadan 560 H/29 Julai 1165 M-28 Rabiulakhir 638 H/21 November 1240 M) dan lain-lain. Lebih dua ratus tahun kitab ad-Durr an-Nafis itu diajarkan oleh para ulama di dunia Melayu, kemudian pada waktu akhir-akhir ini, sama ada di Indonesia mahu pun di Malaysia, ada pihak-pihak tertentu menyalahkan dan melarang mengajarkannya.
Di satu pihak kitab itu dilarang atau diharamkan menggunakannya, di pihak lain ternyata lebih banyak surau mahu pun masjid atau pun di rumah-rumah orang mengajarkannya. Bahkan K.H Haderanie H.N., seorang ulama di Surabaya berusaha melatin/merumikan kitab tersebut, yang diberi kata sambutan oleh seorang ulama dan tokoh atau ahli politik Islam Indonesia, K. H. Dr. Idham Chalid. Ad-Durr an-Nafis yang dilatin/dirumikan itu diberi judul Ilmu Ketuhanan Permata Yang lndah (Ad-Durrunnafis).
Saya, selaku penulis riwayat ini, tetap menilai bahawa Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari adalah seorang ulama besar sufi dunia Melayu. Memang tidak boleh terlalu mudah menilai beliau sebagai seorang yang tidak berilmu, zindiq, sesat dan sebagainya, seperti yang pernah dilemparkan oleh orang-orang tertentu kepada beliau. Bagi saya bertindak adil dan jujur terhadap ilmu pengetahuan itulah yang lebih baik dilakukan daripada menyalahkan orang, sedangkan kita sendiri tidak tahu dengan tepat dan pasti apa yang disalahkan itu. Apabila berbeza sistem dan penerapan sesuatu disiplin ilmu antara satu pihak dengan pihak lain, maka itu juga boleh mengakibatkan berbeza pandangan dan pendapat.
IlmuOleh itu sistem dan penerapan ilmu sufi pada abad 18-19 jauh berbeza dengan pihak-pihak yang tidak pernah belajar sufi tradisional Islam pada penghujung abad 20 dan abad ini. Orang sufi memang berlapang dada, mereka berjiwa besar dan tidak suka bertengkar atau berdebat kerana agama Islam bukan bertujuan ke arah pertengkaran atau perdebatan tetapi untuk diamalkan oleh setiap insan Muslim yang berjiwa dan bercita-cita takwa. Pertengkaran atau perdebatan membawa kepada perpecahan umat. Ulama sufi dunia Melayu yang belajar di Mekah berpuluh-puluh tahun seperti Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari tidak dapat disamakan dengan peribadi-peribadi yang tiada mendalami Islam, tetapi mengaku dirinya dengan pelbagai pengakuan seperti yang terjadi pada akhir-akhir ini.
ASAL-USUL DAN PENDIDIKANSyeikh Muhammad Nafis al-Banjari berasal dari Banjar, Kalimantan Selatan. Hidup sezaman dan seperguruan dengan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Sama-sama belajar di Mekah dan Madinah. Yang seperjuangan dengannya termasuk Syeikh Abdur Rahman al-Mashri al-Batawi (Jakarta), Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dan lain-lain. Tentang dirinya hanya beberapa hal beliau sebut, ``Di negeri Banjar tempatnya jadi. Mekah tempat diamnya. Syafie akan mazhabnya, iaitu pada fikah. Asy`ari iktikadnya, iaitu pada ushuluddin. Junaid ikutannya, iaitu pada ilmu tasawuf. Qadiriyah thariqatnya, Syathariyah pakaiannya, Naqsyabandiyah amalan-nya, Khalwatiyah makanannya, Sammaniyah minumannya''.
Para gurunya juga beliau sebut dalam karyanya ad-Durr an-Nafis yang tersebut, senarai lengkapnya adalah sebagai berikut:
1. Syeikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi.
2. Syeikh Shiddiq bin Umar Khan. Beliau adalah murid kepada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim Samman, iaitu murid ulama sufi yang lebih dulu daripada Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dan kawan-kawannya.
3. Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samani al-Madani.
4. Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Aziz al-Maghribi.
5. Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Juhuri. Dan ramai lagi yang belum disebutkan di sini.
Setelah Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari diizinkan para gurunya, terutama sekali Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman, bahawa beliau boleh mengajar ilmu-ilmu batin dengan beberapa aspek tarekat dan furu'-furu'nya, maka berusahalah Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari mengajak manusia mentauhidkan Allah daripada satu peringkat ke satu peringkat yang lebih tinggi dan mendalam.
Di manakah Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari menjalankan aktiviti dakwah dan pendidikan, terjadi pertikaian pendapat daripada beberapa orang periwayat. Ada orang menceritakan bahawa beliau menyampaikan dakwah dan pendidikan Islam di Pulau Bali, Pulau Sumbawa dan pulau-pulau yang berdekatan dengannya. Riwayat yang lain pula mengatakan bahawa Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari menyebarkan ajarannya di Pulau Laut, Kalimantan Selatan. Riwayat yang lain mengatakan di Kusan, Kota Baru, juga dalam Pulau Laut itu. Akhirnya dikatakan bahawa Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari meninggal dunia di Sigam, juga di Pulau Laut. Pendapat lain menyebut beliau wafat di Kalua, juga di Pulau Laut.
PENULISANKetika artikel ini saya tulis, baru dua buah saja karangan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari yang ditemui, selain ad-Durr an-Nafis, yang sebuah lagi masih berupa manuskrip ialah Majmu' al-Asrar li Ahlillahil Athyar. Mengenai ad-Durr an-Nafis beberapa maklumat tentangnya, bahawa selesai ditulis pada 27 Muharam 1200 H/30 November 1785 M. Cetakan pertama kitab ini ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, di Mathba'ah al-Miriyah bi Bulaq, Mesir al-Mahmiyah.
Pada terbitan pertama tercantum syair Syeikh Ahmad al-Fathani: ``Berpeganglah kamu dengan ilmu orang sufi, Nescaya kamu menyaksikan bagi Tuhanmu itu keesaan. Wahai yang meninggalkan sebaik-baik teman sekedudukan, Adalah kitab ini mengandung maksud keseluruhan, Seperti lautan, daripadanya tiap-tiap yang berharga penilaian''.
Sebagai keterangan lanjut Syeikh Ahmad al-Fathani mencatatkan, ``Ketahui olehmu hai yang waqif atas kitab ini. Bahawa segala naskhah kitab ini sangatlah bersalah-salahan setengah dengan setengahnya, dan tiada hamba ketahuikan mana-mana yang muafakat dengan asal naskhah Muallifnya. Maka hamba ikutkan pada naskhah yang hamba cap ini akan barang yang terlebih elok dan munasabah. Dan tiada hamba kurangkan daripada salah suatu daripada beberapa naskhah itu akan sesuatu kerana ihtiyat''.
Ad-Durr an-Nafis cetakan pertama Syeikh Ahmad al-Fathani telah memberi keterangan beberapa istilah seperti terdapat pada kalimat-kalimat:
1. ``... maka hendaklah lihat olehmu kepada Abi Bakar, iaitu ibarat daripada mati nafsu yang ammarah ...''. Syeikh Ahmad al-Fathani menjelaskan, bahawa nafsu ammarah, ialah ``nafsu yang cenderung kepada kejahatan''.
2. ``Bermula hasilnya segala wujud sesuatu itu dengan dinisbahkan kepada wujud Allah Taala yang haqiqi itu khayal, dan waham, dan majaz jua, kerana wujudnya antara dua `adam Bermula wujud yang antara dua `adam itu `adam jua adanya ...''. Keterangan Syeikh Ahmad al-Fathani, ``Dua `adam, ertinya `adam lahiq dan `adam sabiq. Pengertian `adam lahiq, ialah tiada yang mengikut. Pengertian `adam sabiq, ialah tiada yang mendahului''.
3. ``Dan pada sekira-kira zahir mumkin itu lain daripada Allah Taala. Dan sekira-kira haqiqatnya wujud mumkin itu, iaitu `ain wujud Allah Taala. Dan misalnya seperti buih dan ombak...''. Keterangan Syeikh Ahmad al-Fathani, ``Katanya, ``Dan pada sekira-kira zahir dan pada sekira-kira haqiqat ...'', maka kedua (-dua) itu `athaf. Katanya, ``Pada sekira-kira wujud, dan dhamir pada haqiqatnya dan dhamir pada nyatanya. Kedua (-dua) itu kembali kepada buih, dan dhamir daripadanya itu kembali kepada air''.
4. Syeikh Ahmad al-Fathani menjelaskan istilah ma'iyah, kata beliau, ``Yakni berserta:
a. ittihad = bersuatu.
b. hulul = bertempat.
c. khayal, yakni apabila kita lihat jauh ada sesuatu, dan kita lihat dekat tiada ada, seperti alung-alung di tengah jalan Madinah''.
Ad-Durr an- Nafis setelah cetakan pertama oleh Matba'ah al-Miriyah di Bulaq, Mesir tahun 1302 H/1884 M yang diusahakan dan ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani itu terdapat berbagai-bagai edisi.
Karya-Karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari yang kedua, yang masih belum diketahui umum, dalam bentuk manuskrip ialah Majmu' al-Asrar, salinan Muhammad Zain bin Hasan. Selesai menyalin pada waktu Zuhur, hari Sabtu 21 Syaaban 1355 H/1936 M. Kitab Majmu' al-Asrar ini juga membicarakan masalah tasawuf. Sampai riwayat ini ditulis kitab yang tersebut baru dijumpai dua versi, yang sebuah lagi dengan judul Majmu' as-Sarair, atau judul dalam bahasa Melayu yang diberi oleh beliau Perhimpunan Sekalian Rahasia.
Versi yang pertama, koleksi Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia, dan versi yang sebuah lagi adalah koleksi peribadi saya sendiri. Yang menjadi milik saya itu terdapat tiga buah risalah lain, yang dipercayai juga karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari. Risalah-risalah itu ialah Penjelasan Huruf-Huruf Abjad Dalam Al-Quran, llmu Haqiqat Yang Sebenar-Benar dan Masalah Orang Yang Dijadikan Imam.
Pada risalah yang terakhir tercatat tahun selesai menulisnya pada waktu Dhuha, 8 Ramadan 1245 H/1829 M. Dengan dijumpai manuskrip yang terdapat tahun itu maka dapatlah diagak-agak jarak waktu sementara penulisan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari yang telah diketahui, iaitu 1200 H/1785 M (Ad-Durr an-Nafis) hingga 1245 H/1829 M (manuskrip yang tersebut di atas). Jadi bererti sekitar 45 tahun. Dengan demikian pada jarak waktu yang demikian lama masih banyak karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari yang belum kita jumpai dan ketahui.
"Ya Allah, Tuhan Yang Maha 'Alim, dengan berkat wali Mu yang mulia ini, berilah daku ilmu yang bermanfaat, yang membaikkan amal ibadatku, zohir dan batin, yang menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat... Amin ya Rabbal 'Alamin.."

Ijtima' Ruuhiyyah

SOLAT HAJAT
DAN
PIDATO ROHANI
DI SELURUH NEGARA .

Memandangkan keadaan politik negara kian bergolak malah mencetuskan susana tidak stabil serta resah dikalangan rakyat.

Negara diselubungi fitnah , khianat dan dendam , bagai api yang sedang marak membakar segala keharmonian yang pernah dikecapi oleh rakyat sebelum daripada ini .

Tekanan hidup dan peningkatan kosnya menelurkan sebuah kehidupan yang semakin pincang. Hilang perasaan justeru memburu sesuap nasi . Manusia menjadi rakus tanpa timbang rasa .Pemimpin tidak lagi menginsafi penderitaan rakyat sebaliknya hanya memikirkan pelan memperkukuhkan survival kuasa dan pengaruh . Pecah amanah , menyelewengkan kepercayaan dan menyalah gunakan kuasa .

Politik menjadi ganas , sosial penuh dosa dan noda sementara ekonomi menjadi pentas sebuah penindasan terhadap golongan yang tidak bernasib baik .

Agama dilihat sebagai halangan untuk mencapai kepuasan dan kebebasan hidup. Para ulamak dipandang hina dan menyusahkan .

Maksiat dan mungkar kini melata, menembusi benteng ummah yang kian rapuh dan runtuh .
Artis dipuja dan julang sementara pendakwah dicerca dan dihalang . Kelalaian mula menguasai anak - anak muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara di masa depan

....... dan apa yang paling dibimbangi ialah prinsip amal Islami dan nilai akhlaknya semakin pudar dikalangan ummat Islam amnya malah membolosi pertahanan jamaah Islam itu sendiri apabila turut menerjah pemimpin dan anggotanya .

Lantaran itu , Dewan Pemuda PAS Pusat diseluruh negara melalui organisasinya di negeri - negeri adalah diminta agar menganjurkan IJTIMA' RUUHIYYAH untuk Solat Hajat dan Pidato Rohani di sepanjang tempoh bulan rejab ini .

Andai Pemuda PAS Negeri boleh menganjurkan IJTIMA' RUUHIYYAH ini maka aktiviti umumnya adalah bermula dengan solat maghrib berjamaah di Padang yang Luas dan solat hajat dengan dipimpin oleh Ketua Dewan Ulama' Negeri masing - masing yang turut memimpin munajat khas agar Allah menyelamatkan Perjuangan & Jamaah kita serta seluruh ummat dan negara kita dari musibah kegagalan , kecelakaan dan penderitaan.

Aktiviti diteruskan dengan solat Isya' berjamaah lalu diakhiri dengan ceramah Motivasi atau Pidato Rohani yang membangkitkan semangat perjuangan berasaskan aqidah perjuangan yang benar dan tulen .

Fokus ceramah bukan kepada isu dan politik semasa sahaja , tetapi lebih menekankan soal aqidah perjuangan , jihad dan pengorbanan yang saya kira menjadi topik yang semakin pudar akhir - akhir ini .

Pemuda , ayuh kita hidupkan kembali nilai perjuangan berasaskan kekuatan spiritual atau kerohanian yang tinggi tanpa kita bersikap prejudis terhadap kupasan atau bicara isu dan politik semasa . Kembalikan zaman kegemilangan Doa Rabitah dan Wirid al Mathurat .

Masa dicadangkan ialah sepanjang bulan Rejab ini . diharapkan seluruh Dewan Pemuda Negeri dapat melaksanakannya dengan kapisiti minima kehadhiran untuk IJTIMA' RUUHIYYAH ini ialah 5000 orang bagi setiap negeri dan ia tidak hanya terhad kepada pemuda , hanya DPP Negeri menjadi penganjur dan penyelia.

Kepada DPP Negeri yang setuju menganjurkannya sila respon direct kepada setiausaha DPPPusat atau respon terus di blog ini . Insyaallah , pihak seketeriat akan memantau perkembangan.

Jayakan IJTIMA' RUUHIYYAH ini .


dipetik daripada : http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/2008/07/solat-hajat-dan-pidato-rohani-di.html