Tuesday, September 25, 2007

Takziah kepada keluarga al-marhumah Nurin Jazlin..

Takziah, Syafaat Anak & Doa Pelindung
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

Musibah yang menimpa al-Marhumah Nurin Jazlin yang masih kanak-kanak bukanlah satu balasan terhadap dosanya, malah ia belum sempat untuk berdosa. Menurut para ulama Islam, musibah yang menimpa kanak-kanak seperti kematian sebegini adalah merupakan satu rahmat untuknya, adapun cara kejam pembunuhan itu adalah manifestasi kegagalan acuan dan hasil tangan manusia yang berlagak pandai untuk menguruskan kehidupan, mereka degil dari arahan dan larangan Allah s.w.t, lalu kelahiran manusia buas sedemikian adalah hasilnya, menandakan seriusnya tahap kejahilan dan kehancuran jiwa manusia di sekeliling.

Saya kira, semua insan normal akan merasa pedih apabila melihat gambar keadaan jenazah Nurin di atas, apatah lagi sesiapa yang melihatnya secara berdepan. Saya sendiri terganggu pemikiran sejak kelmarin apabila isu ini tersebar di berita. Terfikir betapa kesakitan yang dialami olehnya menyebabkan perhatian saya terganggu ketika memberikan ceramah. Ini kerana menurut media, ketika mayat Nurin Jazlin ditemui, ia baru 6 jam menemui kematian.

Bermakna, sejak kehilangannya selama 27 hari ia menanggung kesakitan dan hanya meninggal dunia pada hari mayatnya ditemui. Saya juga difahamkan oleh beberapa sumber yang boleh dipercayai, hasil bedah siasat mendapati perut Nurin Jazlin kosong dari sebarang makanan, seolah-olah ia tidak diberi makan selama sebulan kehilangannya dan hanya didera seksual sahaja. Inilah antara info yang amat menyukarkan minda saya menerimanya.

Ceramah saya di Universiti Malaya dua hari lepas (20 September 2007) adalah yang paling terkesan, minda saya gagal memfokuskan kepada isi kuliah yang ingin disampaikan. Mungkin para pendengar yang hadir dapat melihat situasi itu.

Benar, Ia juga merupakan satu ujian Allah s.w.t ke atas kedua ibu bapanya. Sesiapa sahaja yang mampu bersabar serta redha, bagi mereka Syurga dan barangsiapa yang menuding jari menyalahkan Allah s.w.t dan taqdir, mereka adalah dari kalangan ahli neraka.

Nabi bersabda :-

إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مع عِظَمِ الْبَلَاءِ وَإِنَّ اللَّهَ إذا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلَاهُمْ فَمَنْ رضى فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ
Ertinya : Sesungguhnya besarnya balasan baik adalah dengan besarnya ujian dan bala, dan Allah s.w.t apabila kasihkan satu kaum lalu akan didatangkan baginya ujian, sesiapa yang mampu redha maka ia beroleh redha Allah dan barangsiapa yang engkar , maka akan beroleh azab Allah." ( Riwayat At-Tirmizi, 4/601 ; Tuhfatul Ahwazi, 7/65 ; Albani : Hasan Sohih)

Menurut Syeikh Soleh Al-Munajjid, antara hikmah dari kematian seorang kanak-kanak, antaranya sebagai penyelamat diri kanak-kanak terbabit di akhirat kelak, hanya Allah yang mengetahui hikmah sebenar.

Beliau juga berkata, tidak dinafikan semua kanak-kanak ada kemungkinan jika ia sempat dewasa ia boleh menjadi musuh Islam yang terbesar, jatuh murtad, melakukan dosa yang amat dahsyat dan lain-lain. Yang mana sebahagian tindakan dosa tersebut boleh menyebabkan anak itu kekal di dalam Neraka.

Justeru, dengan kematiannya di waktu kecil, ini bermakna Allah s.w.t dengan rahmatnya telah pasti terselamat dari sebarang dosa besar dan kemurtadan yang mungkin berlaku. Perihal sebegini ada disebut dalam surah al-Kahfi, iaitu sebagaimana kisah Nabi Khidir a.s yang sengaja membunuh seorang anak kecil yang telah diketahui melalui Allah s.w.t akan menjadi penjahat besar kepada ibu bapanya jika ia dewasa.
Ciri Mukmin Yang Sentiasa Tabah

Sama-sama kita pasrah kepada Allah dan mengingati ciri seorang mukmin tulen sebagaimana kata Nabi s.a.w :-

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Ertinya : Amat dikagumi sifat orang mukmin, iaitu semua urusan yang menimpanya adalah baik, dan tidaklah seorang mukmin itu kecuali apabila di timpa kebaikan, ia bersyukur lalu menjadi kebaikan baginya; dan bila ditimpa musibha keburukan ia bersabar dan menjadi kebaikan baginya apabila ia ditimpa" ( Riwayat Muslim)

Syafaat Anak Kecil & Aqiqah

Saya hanya mampu mendoakan al-marhumah Nurin Jazlin mendapat kenikmatan terbaik di alam barzakh ketika ini dan akhirat kelak. Moga ibu bapanya yang mampu redha dan sabar juga layak mendapat 'title' orang beriman dan redha Allah s.w.t. Ia sememangnya tidak mudah, tetapi redha adalah suatu kewajiban dan bukan pilihan.

Jika sekiranya ibu bapa Nurin Jazlin belum melakukan aqiqah untuknya, eloklah dibuat aqiqah tersebut.

Menurut Imam Ahmad r.h, sekiranya anak kecil meninggal dunia dalam keadaan belum diaqiqahkan, anak tersebut tidak akan membantu (memberi syafaat) kedua ibu bapanya di akhirat. Justeru, syafaat dari anak kecil yang meninggal untuk si ibu bapa adalah bergantung kepada aqiqahnya ( Mirqat Al-Mafatih, 8/78). Wallahu 'alam.

Ia berdasarkan kefahaman Imam Ahmad dari hadis :-

الغلام مرتهن بعقيقته تذبح عنه يوم السابع ويسمى ويحلق رأسه
Ertinya : anak tergantung kepada aqiqahnya, dilakukan sembelihan aqiqah pada hari ketujuh dan diberi nama serta dicukur kepalanya" ( Riwayat At-tirmizi dan Ahmad )

Justeru bagi semua ibu bapa samada Nurin Jazlin atau lain-lainnya, jika terdapat anak yang meninggal dunia dalam keadaan Islam, berusahalah menjadi ibu bapa yang beriman secara tulen. Allah s.w.t pasti akan menghubungkan anak dan ibu bapanya semula di akhirat. Janganlah terlalu bersedih dengan pemergiannya. Firman Allah s.w.t :-

والذين آمنوا واتبعتهم ذريتهم بإيمان ألحقنا بهم ذريتهم وما ألتناهم من عملهم من شيء
Ertinya: "Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya." ( At-Tur : 21 )
I
InshaAllah, anak-anak kecil yang meninggal ini akan berada di syurga Allah s.w.t. Disebut dalam kitab Ad-Durr Al-Manthur sesungguhnya orang yang beriman dan anak-anaknya akan berada di dalam syurga bersama-sama. (Ad-Durr Al-Manthur, 7/633 ; Tafsir At-Tabari, 27/25)

Bagaimanapun, jika seseorang ingin bersama anaknya tersebut, perlulah ia melakukan amal soleh dan menjadi orang yang beriman dengan benar-benar iman.

Deretan Kes Perit Hampir Serupa Tanda Apa?

Apapun, segala macam bentuk perhatian kini perlu ditingkatkan, apa guna ibu bapa yang asyik dengan mencari duit dan wang sehingga tiada masa untuk melihat keselamatan anak. Begitu ramai ibu bapa yang tersangat sibuk dan sentiasa bertawakkal palsu tentang hal keselamatan anak-anak mereka.

Perlu diambil perhatian oleh kita semua bahawa keselamatan kanak-kanak perempuan semakin membimbangkan ibu bapa hari ini. Cuba lihat deratan kes di bawah :-

Kisah pilu Nurin Jazlin Jazimin, 8 tahun bukanlah isu baru, malah negara telah merakamkan tujuh tragedi sedih yang telah melibatkan kanak-kanak Malaysia yang tidak berdosa yang dirogol dan dibunuh kejam.

Pada Disember 2004, seorang kanak-kanak malang ditemui orang ramai dalam keadaan menyayat hati dan sedang menangis di tepi sebuah tangki air di sebuah semak di Kampung Chendering, Kuantan. Mangsa dipercayai menjadi korban nafsu seorang lelaki yang dipercayai berusia dalam lingkungan 40-an dalam semak di kampung itu kira-kira pukul 8.30 malam.

Sehari sebelum itu, mayat Siti Syazwani, 9 pula ditemui mati 100 meter dari rumahnya- dirogol dan dibunuh oleh seorang pekerja asing Indonesia.Mayatnya ditemui mati dalam parit di ladang kelapa sawit Tikam Batu, Sungai Petani dengan hanya berbaju kurung, tersembam ke dalam parit sedalam 2 meter.

Kisah seterusnya begitu menggemparkan negara, sehingga rata-rata masyarakat mecadangkan pelakunya dibunuh atau dikasi kemaluannya lantaran tindakan mereka terhadap Nurul Huda Abd Ghani, Murid Tahun 4 yang dirogol dan diliwat bergilir-gilir oleh tiga lelakidi Pondok Pengawal Stesen Janakuasa TNB Kg. Pekajang, Gelang Patah, Johor Bharu pada 17 Januari 2004.

Selain itu bulan yang sama, Haserawati Saridi, 10- dirogol dan dibunuh ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Menggatal, Sabah.

Pada 6 November 2002 pula Siti Nurliyana Shamimi Rosdi, 2- diculik, dirogol dan dibunuh, dijumpai dalam keadaan bogel pada jam 9 pagi di tebing Sungai Kedah, 500 meter dari rumahnya di Kampung Seberang Terus.

Ada kesan koyak pada kemaluan mangsa, selain lebih 40 kesan luka pada badan dan pendarahan dalam otak mangsa, dipercayai akibat dipukul dengan benda keras.

Dua remaja berusia 19 tahun pula telah merogol kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun sehingga terkeluar usus ketika merompak keluarga mangsa di rumahnya di Taman Maluri, Kepong 13 Ogos 2001.

Dan akhir pada 23 Oktober 2000, Nur Shuhada, 6 ditemui mati dalam tangki air di bumbung bangunan kediaman 3 tingkat jenis town house di Selayang dalam keadaan separuh bogel dan lebam pada muka dan tangan.

Doa Pilihan Pelindung Keluarga

Ajarilah anak-anak kita, diri dan keluarga kita dengan doa yang sohih dari nabi ini iaitu :-

من نَزَلَ مَنْزِلًا ثُمَّ قال أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ من شَرِّ ما خَلَقَ لم يَضُرَّهُ شَيْءٌ حتى يَرْتَحِلَ من مَنْزِلِهِ ذلك
Ertinya : sesiapa yang keluar dari rumah dan membaca doa " Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna dari segala kejahatan makhluk" maka ia tidak dimudaratkan oleh sesuatu apa pun sehinggalah ia kembali ke rumahnya semula." ( Riwayat Muslim, 4/2080 - teks doaya adalah yang berwarna merah)

Disebut dalam satu riwayat lain, nabi bersabda :-

فقال رسول الله من أي شيء قال لدغتني عقرب قال رسول الله أما إنك لو قلت حين أمسيت أعوذ بكلمات الله التامات من شر ما خلق لم يضرك إن شاء الله
Ertinya : nabi bertanya : kena apakah kamu ?
Lelaki berkata : aku disengat kala
Nabi berkata : sekiranya engkau membaca pada setiap petang " Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna dari segala kejahatan makhluk", nescaya dengan izin Allah kamu tidak akan ditimpa mudarat" ( Riwayat Ibn Hibban, 3/298 )

Juga sebuah lagi doa yang mudah dari hadis sohih:-

رَسُولَ اللَّهِ يقول من قال بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حين يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُمْسِيَ
Ertinya : Rasulullah s.a.w didengari berkata sesiapa yang berdoa : "Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui" sebanyak 3 kali, maka ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya" ( Riwayat Abu Daud, 4/323 ; At-Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hasan - Teks doa berwarna Merah Syeikh Syuaib ; Hasan)

Siapa Cuai ?

Takziah kepada keluarga Nurin Jazlin dan semua keluarga yang menghadapi cabaran yang sama. Saya juga TIDAK BERSETUJU atas kenyataan pihak berwajib yang ingin mendakwa kedua ibu bapa Nurin Jazlin atas alasan mereka cuai dan lalai. Mana ada manusia yang tidak sekali sekala terlalai dan terleka. Biarlah pedih mereka sembuh sebelum membuat kenyataan pelik seumpama ini.
Saya mengharapkan pihak polis dapat dengan CEKAP menjejaki si pembunuh, sebarang kegagalan akan menyebabkan semakin pudarnya keyakinan terhadap teknologi dan badan pengawas keamanan ini. LIHAT KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB R.A YANG SELALU BIMBANG SEMASA MENJADI KHALIFAH, SEKIRANYA ADA SEEKOR KAMBING MATI DI DALAM NEGARANYA, IA BIMBANG AKAN DITANYA DI AKHIRAT KELAK ATAS KECUAIANNYA SEBAGAI KHALIFAH.

Beliau diriwayatkan berkata : "Seandainnya ada keledai yang jatuh dari atas gunung di kawasan Irak sehingga patah kakinya, pasti Allah SWT meminta pertangungjawaban saya (Umar) karena tidak membuat jalan untuk dilintasi keledai tersebut"; dan "Kalau kambing tersasar dan hilang di pingiran sungai Eufrat, maka Umar akan bertanggung jawab pada hari akhirat".

Begitu juga Ali bin Abi Talib ra ketika melihat Umar bin Khattab ra sedang berlari lalu bertanya: "Kenapa kamu lari wahai Umar? Aku (Umar) berlari karena ingin mengejar unta sedekah yang telah lepas dari tambatannya.

INI KERANA TANGGUNGJAWABNYA SEBAGAI PEMIMPIN ADALAH MENYEDIAKAN NEGARA YANG AMAN DAN BAIK KEPADA MANUSIA DAN JUGA BINATANG SERTA MEMASTIKAN TIADA MANUSIA "BERHATI BINATANG".

Bagi seluruh keluarga Nurin, ketahuilah doa mereka yang sedang dizalimi adalah maqbul, ditambah lagi di bulan Ramadhan penuh berkat ini, doalah dengan bersungguh-sungguh agar mereka tertangkap. Ameen...
Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
21 Sept 2007
9 Ramadhan 1427 H