Wednesday, August 8, 2007

Maqasid Syar'ie

MAQASID SYARI’E

Ta'rif maqasid

A ) Dari perspektif bahasa: Membawa erti tempat niat
B ) Dari perspektif istilah:
Iaitu kandungan makna, tujuan-tujuan, hukum yang dikeluarkan oleh Allah untuk dijadikan ketetapan berdasarkan tuntutan dan kehendak sebenar ayat.

Dalil terjadinya maqasid Allah ke atas makhluk:

Allah Ta'ala selaku Zat Yang Maha Bijaksana mengendalikan kehidupan makhluk berdasar kepada maslahah yang ditetapkan. Sekiranya pentadbiran ke atas makhluk ini tidak mengikut maslahah nescaya akan menjadi sia-sia dan perkara ini adalah mustahil pada hak Allah sebagaimana yang diterangkan dalam ayat:

أفحسبتم أنما خلقناكم عبثا وأنكم الينا لا ترجعون
dan Firman Allah swt:

ربنا ما خلقت هذا باطلا

Sesungguhnya Allah memuliakan Bani Insan lebih dari makhluknya yang lain sebagaimana dalam ayat:

ولقد كرمنا بنى أدم وحملناهم فى البر والبحر ورزقناهم من الطيبات وفضلناهم على
كثير ممن خلقنا تفضيلا

Dalam ayat ورحمتى وسعت كل شىء Allah menyifatkan diriNya Maha Mengasihi terhadap hambaNya, andaikata Allah meletak ketetapan syara' tanpa melihat kepada maslahah makhluk sudah tentu jauh dari sifat ini dan perkara ini batil berdasarkan nusus ayat.

Allah secara jelas menyatakan maqasid dalam meletakkan maslahah untuk manusia. Ini dapat dilihat dalam firmanNya:

وما أرسلناك الا رحمة للعالمين

dan Firman Allah swt:

يريد الله بكم اليسر ولا يريد بكم العسر
dan Nabi saw. memperjelaskan lagi kenyataan ini dalam hadithnya:

بعثت بالحنفية السمحة

dan dalam hadithnya yang lain:

لا ضرر ولا ضرار


2. Asas-asas maqasid

Perlu diketahui bahawa segala hukum hakam yang terkandung di dalam Al Quran diturunkan untuk diguna pakai dalam urusan pentadbiran kehidupan manusia dan menjaga kemaslahatan. Para ulama' usuli meletakkan garis panduan dalam menetapkan maslahah manusia berhubung dengan maqasid (kehendak) syara'. Maslahah yang diletakkan oleh syara' bukan hanya terhad pada mendapatkan manfaat dan menolak seribu satu mudharat bahkan menjaga maqasid syara' yang ditetapkan kepada manusia iaitulah menjaga agama, keselamatan diri, akal, keturunan dan harta benda. Dalam erti kata yang lain penjagaan ke atas lima perkara tadi juga merupakan maslahah.


3. Pembahagian maslahah dari kacamata maqasid yang ditetapkan syara'

Ulama' usuli telah membahagikan masolih kepada beberapa bahagian berdasarkan kepada maslahah yang berbeza:

3.1 Maqasid maslahah dari segi peringkat dan kesan ke atas manusia terbahagi kepada tiga:

A) MASLAHAH DHARURIYYAH

Dalam kitab Al Muwafaqat karangan Imam As Syatibi dinyatakan bahawa maslahah dharuriah perlu didahului bertujuan untuk menjaga agama dan perihal dunia. Sekiranya tidak dilaksanakan maka akan timbul pelbagai kerosakan dan kematian. Dalam erti kata lain suatu maslahah yang mesti dilaksanakan kerana terpaksa oleh kumpulan manusia ramai atau individu tertentu untuk mengelakkan dari kemusnahan hidup mereka.

Ulama' telah meletakkan garis panduan dalam mengambil maslahah ini untuk dilaksana dalam menetapkan aulawiyyat yang ditetapkan oleh syara'.

Menjaga agama

Agama merupakan perkara utama yang perlu dijaga dalam menjaga kefardhuan dalam agama untuk dilaksanakan oleh manusia atau diistilahkan sebagai حفظ الايجاب sementara dari sudutحفظ العدم-دفع الخطر Islam telah meletakkan garis panduan tertentu untuk menjaga agama dari segala kerosakan umpamanya disyariatkan jihad untuk mempertahankan agama, menetapkan hukuman bunuh kepeda mereka yang murtad dan sebagainya. Dalam kedua-dua perkara ini, Islam mendahulukan kaedah pengawasan dari perkara lain untuk mengekalkan maqasid syara'.

Menjaga diri

Islam menetapkan penjagaan terhadap Bani Insan untuk terus melaksanakan tuntutan agama. Agama tidak dapat diteruskan dengan sempurna apabila keadaan diri manusia lemah. Islam membenarkan segala perkara yang dapat memelihara kehidupan mereka tanpa berlebihan begitu juga dalam perkara yang merosakkan keadaan mereka. Islam juga meletakkan hukuman seumpama qisas, diat dan sebagainya.

Memelihara akal

Islam mewajibkan manusia supaya menuntut ilmu untuk menjaga gerak kerja akal dari terpesong dan melarang keras dari perkara yang menyebabkan kerosakan umpama meminum arak, merokok dan yang berkaitan dengannya.

Menjaga keturunan


Menjaga keturunan atau dalam erti kata lain mempertahankan maruah dari dicemari merupakan maslahah yang perlu dijaga dalam memelihara maksud syara'. Sebab itulah Islam menekankan proses perkahwinan supaya tidak lari dari dasar-dasar syara' demi mengekalkan keturunan yang baik. Perkara-perkara yang menyebabkan maruah tercemar seumpama zina diharam dan disediakan hukuman yang sewajarnya.

Menjaga harta

Islam amat berhati-hati dalam etika perniagaan khususnya dalam proses pengaliran harta kepada pihak-pihak yang tertentu supaya tidak terlibat dengan rasuah, tipu dan sebagainya dalam perkara jual beli, sewa menyewa, wadiah dan lainnya. Untuk mengawasi dari berlaku perkara-perkara tersebut Islam meletakkan hukuman tertentu dalam kes-kes kecurian, rompakan dan perkara yang merosakkan harta benda orang lain demi menjaga hubungan sesama manusia.


B ) MASLAHAH HAAJIYAH


Iaitulah masalah yang tidak sampai ke tahap terdesak, tanpanya tidak menjejaskan lima perkara yang wajib dijaga tadi. Sementara Imam Syatibi menyatakan sekiranya tidak dilaksanakan maslahah ini akan menyeebabkan sedikit bebanan dan kepayahan namun tidak membawa kepada kerosakan kepada lima perkara tersebut.

Syara' amat menekankan penjagaan terhadap maslahah ini terutamanya dalam ibadat, muamalat dan jenayah. Kehidupan manusia tidak sempurna dan stabil sekiranya hilang maslahah ini yang akhirnya akan menyebabkan mereka terpaksa hidup dalam keadaan kesempitan.Umpama nya dalam masalah sewaan pada asalnya tidak harus kerana mengambil manfaat pada benda yang tiada,akan tetapi kerana hajat manusia maka dibolehkan dan sebagaimana kata Imam Sayuti الحاجة اذا عمت كالضرورة Begitu juga dalam masalah mudharabah pada asalnya juga tidak diharuskan kerana keuntungan tersebut majhul akan tetapi sebagai rukhsah untuk keperluan manusia juga dibenarkan. Hal ini dinyatakan oleh Ibn Rusyd:

انما رخص فى المضاربة لموضع الرفق بالناس


C ) MASLAHAH TAHSINIYYAH

Iaitu maslahah yang tidak terkandung ertikata darurat dan hajiyat. Dengan ketiadaannya tidak memudaratkan dan menggangu gugat kehidupan namun dilihat pada mata kasar berlaku sedikit kekurangan sebagaimana pada maslahah lain. Maslahah ini juga merangkumi konteks ibadah sperti syara' meminta supaya menjaga kebersihan tubuh badan, pakaian dan tempat, memperbanyakkan perkara-perkara sunat dalam solat dan puasa. Dalam konteks muamalah dilarang membazir dan membuat penyelewengan dan sebagainya.

Maka dari perbincangan di atas jelas bahawa syara' lebih memberi penekanan kepada maqasid thalathah yang dinyatakan sebelum ini. Dapat disimpulkan bahawa masalah keperluan dianggap sebagai pelengkap kepada daruriyat dan tahsiniah pelengkap kepada hajiyat. Oleh yang demikian difahami bahawa tanpa kedua-dua ini (hajiyat dan tahsinah) tidak akan terlaksana maslahah daruriyat.

Keseimbangan Ketiga-tiga Maslahah apabila berlaku percanggahan dan pertentangan dengan ketiga-tiga masalahah tadi maka didahulukan yang kuat. Umpamanya jika maslahah lebih kuat dari mapsadah di dahulukan masalahah. Jika berlaku persamaan antara maslahah dan mafsadah,yang mana harus dipilih, perlu digunakan mizan maratib maslahah tadi

a) Tidak boleh mendahulukan maslahah tahsiniah apabila bertembung dengan dharuriyyat dan hajiyyah.Difahami dari kaedah ini , kita dibolehkan untuk mendedahkan aurat untuk rawatan dalam ertikata rawatan tersebut adalah daruri untuk menjaga diri sementera menutup aurat adalah tahsini

b) Maslahah hajiyah tidak boleh mendahului daruriah, kewajiban adalah satu perkara daruri yang wajib dilaksanakan walau sedikit menghadapi masyaqqah. andaikata setiap kesulitan tidak dilaksanakan untuk memenuhi tuntutan kewajiban akan membawa kepada kurangnya perlaksanaan terhadap hukum-hukum yang ditetapkan.

Bermakna, masyaqqah tidak perlu diraikan untuk perlaksanaan taklifan iaitu dharuri. Adapun hukum-hukum yang tidak terletak ditahap dharuri maka perlu diraikan dan dilaksanakan mengikut kuliyyah Al-Khams.

Dalam perkara ini Imam Izz Ibn Abd Salam menyatakan

مفسدة فوات الأعضاء و الارواح أعظم مفسدة من فوات الابضاع ومفسدة فوات الأبضاع اعظم من مفسدة فوات الاموال ومفسدة فوات الأموال النفيسة أعظم من مفسدة فوات الأموال الخسيسة ومفسدة هلاك الانسان اعظم من مفسدة هلاك الحيوان

Pembahagian Maqasid Dari Sudut Umum Dan Infiradi.

1) Maslahah kuliyyah ammah
2) Maslahah juziyyah

Contoh dalam permasalahan ini hadis nabi:

لا يبيع حاضر لباد دعوا الناس يرزق الله بعضهم من بعض

Seseorang yang menjual barang orang lain dengan harga yang tinggi ditempatnya dengan mengambil kadar yang murah ditempat asal.

Nabi s.a.w melarang kaedah penjualan tersebut oleh kerana mendahulukan maslahah yang khusus dari umum.

Maqasid Maslahah Dari Sudut Al Jazm

i) Qati'e: Iaitu maslahah yang didatangi dengan nas qat'ie
ii) Dzanni: Maslahah yang diragui oleh akal natijahnya lebih tertumpu pada ijtihad
iii) Waham: Juga berdasarkan tasawwur yang kurang jelas dalam pemikiran


Maqasid Feqh Di Kalangan Sahabat r.a

Sahabat-sahabat r.a mengambil berat masalah maqasid dan menjadikan panduan di dalam mengeluarkan sesuatu hukum umpamanya dalam pengambilan Hadis Ahad,pentafsiran nas Al-Quran. Sayyidina Umar r.a mengeluarkan ijtihad supaya tidak diberikan zakat kepada gologan baru dalam Islam disebabkan maqasid asal pemberian tersebut adalah untuk menambat hati-hati mereka kepada Islam.Setelah Islam semakin menular dan terpancar dalam hati-hati umat Islam pada masanya maka tidak lagi diberi zakat. Ini adalah contoh dimana ijtihad yang dilakukan ketika mana ada nas dan ijtihad mereka dalam perkara-perkara yang tidak disebut dalam nas begitu banyak seperti:

-Tidak membenarkan Sayyidina Abu Bakar ketika mana dilantik sebagai khalifah meneruskan perniagaannya dan nafkah untuk diri dan keluarga diambil dari baitul mal melihat kepada maslahah umum umat Islam

-Sayyidina Umar menegah Hatib Ibn Abi Baltaah dari mengurangkan harga barang yang dijual demi menjaga masalahah peniaga-peniaga lain. Cerita ini dinyatakan dalam Muwatta'.


Berkata Zarqani

فقد نهاه عن نقص السعر لأنه كان يبيع بأرخص مما يبيع اهل السوق دفعا للضرر ورعاية للمصلحة

Maqasid Di Kalangan Tabien

Para fuqahak Iraq tidak menjalankan hukuman hudud kepada pelaku jenayah ketika peperangan tercetus kerana dibimbangi mereka akan berpihak kepada gologan kafir.

Maqasid Di Kalangan Mujtahidin


Imam Malik pada masanya berijtihad supaya Imam melantik petugas-petugas dibawahnya dari golongan kaya supaya dapat membantu ketika ketiadaan harta negara untuk keperluan tentera dsb. Berkata Imam Syatibi

فإن الإمام لو لم يفعل ذلك لبطلت شوكته وصارت بلاد المسلمين عرضة للفتنة

Maqasid Dalam Perbahasan Ilmu Usul Fiqh

Perlu diketahui bahawa maqasid syariah mempunyai ikatan yang kuat dengan feqh. Kesan dalam membahaskan maqasid ini lebih nyata bila digunkan dalam kaedah usul feqh kerana penggunaan dalam bidang ijtihad lebih tertumpu kepada maqasid sesuatu perkara tersebut.

Oleh yang demikian maqasid menjadi salah satu cabang dalam pengajian usul feqh dan kaedahnya untuk mengistinbat hukum-hukum. Ulama' Feqh dalam membicarakan masalah-masalah kaedah dalam usul feqh membahagikan kepada dua kaedah lughawi dan Syarie yang dimaksudkan dengan kaedah syarie ini ialah maqasid syarie.

Apabila diteliti dalam masalah usul feqh, ulama' Usul meletakkan syarat-syarat berijtihad supaya mengetahui maqasid syarie secara keseluruhan sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Syatibi dlm Muwafaqat

إنما تحصل درجة الإجتهاد لمن إتصف بوصفين احدهما فهم مقاصد الشريعة على كمالها والثانى التمكن من الاستنباط بناء على فهمه فيها

Sekiranya dalam keadaan ketiadaan nas maka untuk menjelaskan sesuatu hukum perlu dinyatakan samada melalui qias atau maslahah, istihsan dan saddu zaraie. Kesemua perkara di atas adalah termasuk dalam pembahagian maqasid bahkan setengan daripadanya merupakan asas dalam meraikan Maqasid Syarie.

Qias Dan Maqasid Syarie

Qias yang merupakan masdar utama untuk mengeluarkan satu-satu ijtihad mempunyai pertalian kuat dengan maqasid. Dalam perkara ini setengah usuli meletakkan status illat sebagai maqasid, namun para jumhur menyatakan bahawa illat adalah sesuatu yang dikenal pasti secara nas zahir untuk memahami maqasid.Perlu diketahui bahawa hikmah dan maqasid sesuatu tidak dapat di kenalpasti disebabkan bersifat khafiyyah yang tak dapat dinilai dengan pandangan zahir dan kadangnya mempunyai maqasid tertentu mengikut perbezaan individu mukallaf.

Umpamanya dalam perkara jual beli, maqasid ialah untuk memenuhi hajat manusia, hajat merupakan perkara yang khafi. Harus berbuka puasa di bulan Ramadhan bagi musafir dan orang sakit, maqasidnya untuk mengangkat masyaqqah dan keletihan namun masyaqqah ini bergantung kepada individu tersebut, andaikata kemampuan untuk terus berpuasa maka didahulukan kemampuan.

Masalih Mursalah dan Maqasid

Masalih dikira termasuk dalam maqasid secara umumnya kerana disebut dalam takrif ulama yang mengiktibar masalih sebagai hokum

كل مصلحة داخلة فى مقاصد الشرع دون ان يكون لها شاهد بلاعتبار أوالإلغاء

Untuk penentuan kepada sesuatu hukum tentang maslahah tidak akan terlaksana tanpa diketahui maqasid sebenar. Oleh yang demikian,Usuli yang mengiktiraf masalih sebagai dalil syarie yang meletakkan masalih ditahap maqasid, sesiapa yang mengenepikan maslahah seolah-olah meninggalkan maqasid syarie Istihsan dan Maqasid Difahami daripada takrif Istihsan yang menetapkan hukum selepas ditukar berpandukan dalil syarie, mempunyai ikatan dengan maqasid dan mesti mendahulukannya untuk membuat penetapan keatas hukum tersebut dalam ertikata lain masyaqqah yang terbeban keatas mukallaf dapat dikenal pasti,barulah proses pembaharuan hukum dilakukan.

Perubahan hukum ini kadang-kadang dilihat dari sudut istihsan qiasi atau istisnaie dan kadang-kadang dilihat dari sudut uruf, maslahah dan keadaan-keadaan yang terdesak. Sebagaimana dalam Istihsan ijmak, diharuskan aqad Istisna' إستصناع disebabkan keperluan manusia antara satu sama lain. Begitu juga diharuskan memberi bayaran tertentu untuk tandas awam tanpa menghadkan penggunaan air yang digunakan. Pada asalnya tidak dibenarkan kerana tidak dapat dipastikan kadar penggunaan yang menyebabkan kepada terbatal aqad. Uruf telah mengizinkan untuk perkara tersebut kerana mementingkan hajat manusia. Dalam keadaan-keadaan yang dijelaskan terjadinya penetapan hukum tersebut berdasarkan maqasid tertentu dan setiap maqasid ini dinilai dari kacamata nas yang tidak bersifat menekan dlm penetapan sesuatu hukum.

Saddu Zaraie dan Maqasid

Dalam kitab Isyaraat karangan Imam Baaji Saddu Zaraie ialah sesuatu masalah yang pada zahirnya adalah harus namun akan menyebabkan terjadi perkara haram jika dilaksana maka dilarang keras dari dilakukan.

Kaedah ini mempunyai kaitan dalam mempertahankan maqasid syarie kerana walaupun syarak pada asal nya memberi keharusan akan tetapi maqasid diteliti dengan halus samada keharusan itu akhirnya menatijahkan maslahah atau mafsadah. Andaikata mafsadah akan terhasil syarak menegah sekerasnya dari terus dilaksana.

Dalam kitab Al Faruq Imam Qarafi menaqalkan tentang tuntutan ahkam . Pertamanya adalah maqasid dan keduanya ialah wasail. Tetapi wasail merupakan peringkat yang rendah dari maqasid dan merupakan tabie atau ikutan maqasid dalam penetapan hukum.

Justeru dari kenyataan ini, wasilah yang menatijahkan kebaikan maka maqasid nya juga baik dan begitu juga sebaliknya.Islam membuka ruang dan menutup jalan kepada sesuatu hukum berdasarkan maqasid yang dinilai melalui wasail tersebut.


Maqasid dan Qawaid Feqh

Dalam permasalahan feqh tidak dapat tidak mesti menggunakan usul feqh dan kaedah-kaedah untuk mengistinbatkan ahkam. Golongan fuqahak mula mengguna dan menghimpunkan kaedah-kaedah untuk memudahkan mengenal pasti furu dalam feqh islami kerana furu feqh begitu banyak yang memerlukan dihimpun dalam kaedah-kaedah tertentu dan inilah peranan Qawaid feqh dalam membincangkan masalah maqasid untuk tujuan penetapan hukum.

Antara kesan maqasid islami dalam furu feqah ialah:-

Berdasarkan hadis لاضرر ولاضرار ulama telah mengistinbat beberapa kaedah berdasarkan maqasid untuk menolak segala dharurat. Umpamanya dalam kaedah يتحمل الضرر الحاص لدفع الضرر العام mudaharat yang khusus diraikan untuk memberi keutamaan kepada maslahah umum. Diharuskan meroboh dinding rumah yang dibina dipinggir jalan disebabkan menyusah orang ramai untuk menggunakan jalan tersebut .

Dalam kaedah يزال الضرر الاشد بالضرر الآخف diharuskan lafaz thalaq untuk menceraikan isteri disebabkan tidak mampu untuk memberi nafkah الطلاق بالاعسار الضرورة تقدر بقدرها

Perkara yang diharuskan disebab ada dharar tidak dibenar untuk berlebihan. Syarak hanya membenar mengambil dharar tersebut setakat yang mampu mengangkat mudharat sahaja. Seseorang yang terlekat tulang atau seumpamanya harus meminum arak pada ketika ketiadaan minuman dan makanan lain. Tetapi keharusan tersebut hanyalah setakat melepaskan tulang dirongga tekak.

Banyak lagi cabang-cabang kaedah feqah yang lain tetapi penulis tidak bermaksud untuk menghurai kesemua sekali kerana perkara utama adalah untuk menjelaskan kedudukan maqasid dalam Qawaid feqh. Dalam perkaitan antara maqasid dan Qawaid feqh, ulama menyatakan bahawa maqasid yang berperanan menetapkan hokum terbahagi kepada dua bahagian:

1) Maqasid dharuriah: terkandung proses bagaimana mengimbang dan membezakan maslahah ketika berlaku pertembungan. Kaedah-kaedah yang terdapat dalam maqasid dharuriah ialah:

الضرر يزال
يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام
يزال الضرر الاشد بالضرر الاخف
الضررورات تبيح المحظورات
الضرورات تقدر بقدرها

2) Maqasid Hajiyat: kaedah kaedah dibawahnya ialah
الحرج مرفوع شرعا
المشقة تجلب التيسير
أذا ضاق الامر اتسع
الحاجة تنزل منزلة الضرورة


Penutup

Perbincangan tentang maqasid adalah perkara yang terlalu luas memerlukan pengkajian yang terperinci, kertas kerja yang dihasilkan ini sedikit sebanyak hanya memberi gambaran secara kasar tentang peranan maqasid dalam penetapan terhadap sesuatu hukum. Kekhilafan yang berlaku pada umat Islam sebenarnya tertumpu kepada maqasid nusus. Oleh yang demikian tanpa kefahaman yang jelas proses pentafsiran kepada kandungan Al Quran dan hadis tidak bertepatan dengan kehendak syarak.

Wallahu a'lam..