Tuesday, August 14, 2007

Mukjizat Agung :Al-Quran sebagai Kitab Allah

Bila berbicara al-Qur’an sebagai Kitab Allah, kita mesti mengingati dan meyakini kedudukannya sebagai wahyu “matluww”, wahyu yang berupa suara yang dibacakan oleh malaikat pembawa wahyu, Jibril ‘alaihis-salam, yang membawa kalam Allah itu melalui “penyampai” manusiawinya yang paling sempurna, Nabi Muhammad salla’Llahu ‘alaihi wa sallam. Bunyinya suci, sebagai “sacred sound”, sebab itu bacaannya, apa lagi maknanya dan kekuatan rohaninya, terasa walaupun kepada manusia yang buta huruf tidak tahu membaca. Sebab itu walaupun mereka yang buta huruf ada yang menjadi kekasih Tuhan.

Al-Quran yang disebutkan kalaulah takdirnya hendak ditunjukkan secara lahiriah maka kalau diturunkan atas gunung akan hancur luluhlah gunung itu. Khusyu’ tunduk kepada Tuhan dan kalamnya. Tidakkah manusia yang bermata-hati mahu tunduk? Tidakkah manusia mahu mendengarnya, memahaminya, mentadabburnya dan beramal dengannya? Al-Qur’an yang mengajar kepada manusia pengenalan tentang Tuhannya yang Maha Tinggi dan Maha perkasa, tetapi sekaligus Yang Maha Pengashi Penyayang? Yang Kasihan belasNya “mendahului” MarahNya dan keadilanNya? Al-Qur’an yang mengajarkan kepada manusia hidup dalam pengabdian kepada Tuhan dalam amalan sembahyang, puasanya, sampai kepada kerja dan mainannya?

Al-Qur’an yang mengajarkan nilai-nilai unggul yang menyempurnakan hidup manusia dengan akhlak yang mulia yang menjamin status manusiawinya dan menyelamatakan diri, keluarga dan masyarakat serta umatnya? Al-Qur’an yang mengajar kepada mereka makna hidup dengan mengikut disiplin Ilahi yang menjadikan seluruh hidup ini ada makna dan harga menyelamatkan manusia, keluarga dann tamadunnya?

Al-Qur’an yang mengajarkan kepada manusia pelbagai amthal atau misal perbandingan yang menjadikan dia mendapat pengajaran dengan melihat langit membiru sayu, bumi luas terhampar bagai permaidani, bukit bukau menegak “abadi”melambangkan apa yang teguh dalam hidup rohani, hujan dan laut yang melambangkan ilmu dan rahmat Tuhan, yang mengajarkan sejarah para anbiya dengan kebenaran dan keadilan mereka berlawan dengan tenaga-tenaga kejahatan yang membuktikan Kebesaran Tuhan dan kasih Sayangnya? Mengajarkan setengah daripada apa yang berlaku itu berlaku dalam dirinya sendiri? Al-Quran ini, yang dalam 23 tahun merubah dunia membina generasi al-Quran yang disebut oleh Tuhan sendiri sebagai

كنتم خير أمة اخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتوء منون بلله

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk (faedah) ummat manusia, kamu menyuruh kepada kebajikan dan kamu mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah?"
(Al-Quran; Surah Ali ‘Imran: Ayat 110)

Al-Qur’an mengajar kepada kita berpegang kepada akidah yang benar dengan yakin tanpa syak dan ragu serta melaksanakan tugas-tugas kerohanikan dalam hubungan dengan Tuhan dan manusia.

Firman Allah Taala:

ألم.ذلك الكتاب.لا ريب فيه .هدى للمتقين.الذين يوء منون بالغيب ويقيمون الصلاة ومما رزقناهم ينفقون.والذين يؤمنون بما أنزل اليك وما أنزل من قبلك وبالآخرة يوقنون. اولئك على هدى من ربهم وأولئك هم المفلحون

"Alif Lam Miim. Ini Kitab (al-Qur’an) yang tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertaqwa; (yaitu) mereka beriman kepada yang ghaib, dan yang mendirikan sembahyang, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang kami kurniakan kepada mereka; dan mereka yang beriman kepada Kitab (al-Qur’an) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang diturunkan sebelummu, serta mereka yakin tentang (adanya) akhirat; mereka itulah yang tetap akan mendapat pertunjuk dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang berjaya”. (Al-Quran; Surah Al Baqarah; Ayat 1-5).

Keimanan itu dinyatakan lagi dengan jelasnya dalam ayat:

أمن الرسول بما أنزل اليه من ربه والمؤمنون.كل أمن بالله وملئكته وكبه ورسله لا نفرق بين أحد من رسله .وقالوا سمعنا وأطعنا غفرانك ربنا واليك المصير.

“Rasul telah beriman kepada (al-Qur’an) yang telah diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, dan rasul-rasulNya, (mereka mengatakan) ‘Kami tidak membeza-bezakan antara seseorangpun (dengan yang lain) dari rasul-rasulNya itu (kami menerima mereka semuanya)’ dan mereka mengatakan: “kami dengar dan kami taat’’. Mereka berdoa: “Ampunkanlah kami wahai Tuhan kami, dan kepada Engkaulah Tempat Kembali”. (Al-Quran; Surah Al Baqarah: Ayat 285).

Dan dalam hadith sahih, keimanan itu dihuraikan (hadith Bukhari-Muslim - hal Iman-Islam-Ihsan) dengan menyebut iman ialah “kamu beriman dengan Allah, Kitab-KitabNya, para malaikatNya, para rasulNya, Hari Akhirat, dan QadarNya, yang baikNya dan yang burukNya adalah dari Allah”.

Akidah ini dihuraikan oleh ‘ulama Ahlis-Sunnah wal-jamaah yang merupakan tauhid di kalangan kita di Dunia Melayu ini. Dengan akidah inilah kita hidup dan mendapat makna bagu sekelian amalan kita samada amalan yang menyentuh hidup kerohanian atau kehidupan duniawi kita.

Al-Qur’an mengajak kita supaya mengabdikan hidup kita kepadaNya, bukan yang yang lain lagi; bahkan kita diciptakan, mengikut ajaran Qur’an, untuk beribadat kepada Tuhan.

Firman Allah:

وما خلت الجن والانس الا ليعبدون

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu” (Al-Quran; Surah Dhaariyat: Ayat 56).

Dan dalam ayat yang lain pula Allah berfirman:

الذى خلق سبع سموات ومن الأرض مثلهن لتعلموا أن الله على كل كل شئ قدير وأن الله قد أحاط بكل شئ علما
“Dialah Yang menciptakan tujuh petala langit dan bumi demikian juga supaya kamu mengetahui bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan bahawa Allah Maha meliputi IlmuNya tentang segala sesuatu” (Al-Quran; Surah at-Talaq: Ayat 12).

Maka hiduplah si mu’min mengikut ajaran al-Qur’an mengabdikan dirinya kepada Tuhan dengan baiknya; sembahyang puasanya, zakat dan hajinya, amalan wajib dan sunatnya, mendapat ganjaran dari Tuhannya. Tidak ada amalan yang terkeluar dari garisan pengabdian kepada Tuhannya, dari Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam dan para Sahabatnya, sampai kepada para ulama, petugas masyarakat, ahli professional - bila kena aturannya - semuanya hidup dalam pengabdian dengan baiknya. Inilah hidup dalam pengabdian. Dengan itu bila si mu’min berdiri dalam sembahyang maka terkeluarlah pengakuan dari lidah dan kalbunya:

ان صلاتى ونسكى ومحياى و مماتى لله رب العالمين لا شيك له وبذلك أمرت وأنا من المسلمين
“Sesungguhnya sembahyangku, pengorbananku, hidupku dan matiku adalah bagi Allah Tuhan yang mentadbir sekelian alam”. (Merujuk kepada Al-Quran; Surah Al-An’aam: Ayat 163. Hujungnya dalam doa itu lain daripada ayat Qur’an.)

Maka hiduplah si mukmin sebagai orang yang beriman beribadat dengan ibadat yang khusus dan berkhidmat kepada keluarga dan masyaratakat serta negara dan ummat dengan mendapat keredhaanNya. Alangkah indahnya hidup bilamana semua amalan samada dalam gerak atau diam adalah semuanya dalam pengabdian kepada tuhan atau dalam membantu kepada pengabdian kepada Tuhan, sampai kepada mainanpun boleh bersifat sebagai “taqarrub” atau berdamping dengan Tuhan bila kena gayanya. Allahumma sallimna wal-Muslimin.

Al-Qur’an mengajarkan manusia supaya berakhlak dengan akhlak yang mulia. Kerana pentingnya akhlak yang mulia ini maka memuji Nabi s.a.w. pun kerana akhlaknya yang agung dalam firmanNya:

وانك لعلى خلق عظيم
“Sesungguhnya akhlakmu sungguh agung” (Al-Quran; Surah Nun: Ayat 4).

Dan jiwa Nabi s.a.w. yang agung itu digambarkan oleh al-Qur’an dengan kenyataan yang benar-benar menyentuh hati kita:

لقد جاءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتتم حريص عليكم بالمؤمنين رؤوف رحيم
“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul, dari kaummu sendiri, berat amat terasa olehnya apa yang menyusahkan kamu, dan amat sangat baginda inginkan untukmu apa yang mendatangkan kepada kamu, dan kepada orang-orang mu’min baginda terlalu amat kasih sayangnya” (Al-Quran; Surah at-Taubah: Ayat 128).

Inilah peribadi agung yang akhlaknya Allah mengajarkan kita mengikutnya.

Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan ia banyak menyebut (Nama) Allah”. (Al-Quran; Surah al-Ahzab: Ayat 21).

Dan akhlak ini sedemikian pentingnya sehingga Allah Taala menceritakannya dalam hubungan dengan hidup individu dan kemasyarakatan, antaranya dalam Surah Luqman: Ayat 12 - 19.

Dalam bercerita tentang hikmah Luqman Allah berfirman maksudnya:

“Dan sesungguhnya telah Kami kurniakan hikmat kebijaksanaan kepada Luqman, yaitu: ‘Bersyukurlah kepada Allah, dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah) maka sesungguhnya ia bersyukur untuk (faedah) dirinya sendiri; dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.’” (Ayat 12).

“Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: ‘Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah kezaliman yang terbesar.’” (Ayat 13).

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya daam keadaan lemah yang bertambah –tambah, dan menyusunya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepadaKu kembalimu.” (Ayat 14)

“Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan denganKu sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentangnya, maka janganlah kamu mengikut keduanya, dan bergaullah dengan keduanya di dunia dengan baik, dan ikutlah jalan orang yang kembali Kepadaku, kemudian hanya kepadaKulah kembalimu, maka Ku beritahu kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Ayat 15).

(Luqman berkata:): “Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi dan berada dalam batu atau di langit atau di bumi, maka Allah akan mendatangkannya (dan memberi balasannya yang setimpal). Sesungguhnya Allah Maha Lembut Kira BicaraNya lagi Maha mengetahui Dengan Mendalam (Segala sesuatu).” (Ayat 16).

“Hai Anakku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kami. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).” (Ayat 17)

“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Ayat 18).

“Dan sederhanakanlah kamu dalam berjalan, dan lunakkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” (Ayat 19).

Berbahagialah peribadi dan keluarga serta masyarakat yang orang-orangnya beramal dengan nilai-nilai akhlak al-Qur’an yang sedemikian sehingga sempurnalah akhlak dengan Tuhan dan dengan manusia.

Sekarang kita pergi pula kepada akhlak al-Qur’an dari segi kemasyarakatannya:

Firman Allah dalam beberapa ayat: misalnya ayat-ayat yang bermaksud:(10)

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, oleh itu damaikanlah antara kedua saudaramu, dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat. Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengolok-olokkan sesuatu kaum, (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) itu lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan) itu, dan jangan pula wanita-wanita (mengolok-olokkan pula) wanita-wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang diolok-olokkan) itu lebih baik dari wanita-wanita (yang mengolok-olokkan), dan janganlah kamu mencela diri kamu sendiri (dengan mencela saudara-saudara kamu, kerana itu adalah mencela diri kamu sendiri), dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman, dan sesiapa yang tidak bertaubat maka mereka adalah orang-orang yang zalim”.

Hai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari prasangka (yang buruk), sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian dari kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah sesorang dari kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.

Hai umat manusia! Sesunggguhnya kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu ialah orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu. Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Mengenali (segala sesuatu) Dengan Mendalam.


Dalam hubungan dengan akhlak dengan Allah dan manusia yang tergabung sekaligus ini kita boleh lihat kenyataannya dalam beberapa ayat lagi dalam Al-Quran Surah Bani Isra’il (al Israa’): Ayat 23-39, yang bermaksud:

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa kamu, dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang antara keduanya atau kedua-duanya sekali sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu maka jangan sekali-kali kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

“Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka dengan penuh kesayangan, dan ucapkanlah: ‘wahai Tuhanku, kasihanilah kepada mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidikku sewaktu kecil’.”

“Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu, jika adalah kamu orang-orang yang baik, maka sesungguhnya Dia Maha Mengampun bagi orang-orang yang bertaubat.”

“Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang-orang miskin, dan orang yang (terlantar) dalam perjalanan, dan janganlah kamu mengambur-hamburkan (hartamu) secara boros.”

“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, dan syaitan itu adalah sangat engkar kufur kepada Tuhannya.”

“Dan jika kamu berpaling dari mereka untuk mendapatkan rahmat dari Tuhyanmu, yang memang kamu mengharapkannya, maka katakanlah kepada mereka perkataan yang mengenangkan (hati mereka).”

“Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu, dan janganlah kamu terlalu menghulurkannya seluasnya, kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal.”

“Sesungguhnya Tuhanmu melapangkan rezeki kepada sesiapa Ia kehendaki dan menyempitkannya sesungguhnya Ia Maha Mengetahui lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya.”

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan. Kamilah Yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.”

“Dan janganlah kamu menghampiri perbuatan zina, sesungguhnnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”

“Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan suatu (alasan) yang benar. Dan barangsiapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya tetapi janganlah ahli waris itu melampaui batas dalam membunuh (balas). Sesungguhnya ia adalah orang yang mendapat pertolongan.”

“Dan janganlah kamu mendekati harta anak-anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik (lebih bermanfaat) sampai ia dewasa, dan tunaikanlah janji, sessungguhnya janji itu pasti akan ditanya tentangnya.”

“Dan sempurnakanlah timbangan apabila kamu menimbang, dan timbanglah dengan neraca yang benar, itulah yang lebih utama (bagimu) dan lebih baik akhirnya.”

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati semuanya itu akan disoal tentangnya.”

“Dan jangan kamu berjalan di muka bumi dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.”

“Semuanya itu kejahatannya amat dibenci di sisi Tuhanmu.”

“Itulah sebahagian dari hikmah kebijaksanaan yang diwahyukan oleh Tuhanmu kepadamu. Dan janganlah kamu mengadakan tuhan yang lain di samping Allah, yang menyebabkan kamu dilemparkan ke dalam neraka dalam keadaan tercela lagi dijauhkan (dari rahmat Allah).”

Dan nilai-nilai moral atau akhlak yang terunggul yang merupakan cara hidup insani yang sempurna ini tergabung lagi dalam beberapa ayat yang menunjukkan perhubungan antara manusia dengan Tuhan, manusia dengan dirinya sendiri dan manusia dengan manusia lainnya. Firman Allah dalam Surah al-Mu’minun: Ayat 1 - 11) yang bermaksud:

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman; (yaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyang mereka; dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang sia-sia; dan orang-orang yang menunaikan zakat; dan orang-orang yang menjaga kesucian kemaluannya; kecuali dalam hubungan dengan isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki (dengan sah) maka sesungguhnya mereka dalam perkara itu tidak tercela; barangsiapa yang mencari yang selebih lagi daripada itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang ditanggungkan ke atas mereka) dan janji-janji; dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya; mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi; (yaitu) yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.”

Orang-orang yang menjaga disiplin-disiplin hidup dari Tuhannya, mereka itulah orang-orang yang mendapat khabar gembira dalam Quran sebagaimana yang ada dalam firman Tuhan dalam Al-Quran Surah at-Taubah; Ayat 112 yang bermaksud:

“Mereka (yakni orang-orang yang mendapat kejayaan yang sebesarnya di sisi Allah) adalah orang-orang yang bertaubat, orang-orang yang beribadat, orang-orang yang memuji (Allah), orang-orang yang melawat (bermusafir kerana ilmu pengetahuan atau kerana perjuangan agama Tuhan) orang-orang yang ruku’, orang-orang yang sujud, orang-orang yang menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran, dan yang memelihara batas-batas hukum agama Tuhan, dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang mukmin.”

Inilah seruan al-Qur’an kepada umat manusia supaya mereka selamat dari dunia sampai ke akhirat, dan mereka diseru supaya membina kehidupan ketamadunan yang kuat supaya tidak diganggu oleh musuh. Ini terkandung dalam ayat yang bermaksud:

“Dan kamu persiapkanlah untuk menghadapi mereka (yang bermusuh dengan kamu dan agama kamu) kekuatan apa sahaja yang kamu mampu mengadakannya dari kuda-kuda yang ditambat (untuk persiapan berperang) (kalau dahulu, kalau sekarang sesuai dengan keadaan sekarang), (yang dengan persiapan itu) kamu menyebabkan gentar musuh Allah dan musuh kamu, dan orang-orang yang selain daripada mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedang Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu belanjakan (kalau sekarang dalam penyelidikan dan persiapan untuk menguatkan ummat dari segi ketenteraan) pada jalan Allah nescaya akan diberikan balasan yang secukupnya untuk kamu dan kamu tidak akan dianiaya.” (Al-Quran; Surah Al Anfaal: Ayat 10).

Akhirnya kita boleh ingatkan semula bahawa al-Qur’an bermula dengan Surah al-‘Alaq: Ayat 1 - 19. Marilah kita memperbaharui ingatan tentang surah ini dengan melihat maksudnya, ianya:

“Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Bacalah (Muhammad) dengan (menyebut) (atau melakukannya atas) Nama Tuhanmu yang menjadikan; menjadikan manusia dari segumpal darah; dan bacalah dan Tuhanmu Maha Pemurah; yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam (atau pena, atau kalau sekarang melalui komputer, atau melalui internet, dengan dijaga adabnya); (dengan buku-buku dan seterusnya); Dia mengajarkan kepada manusia apa yang belum diketahuinya; ketahuilah sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas; kerana dia melihat dirinya serba cukup (tidak memerlukan Tuhan dan agama lagi); sesungguhnya hanya kepada Tuhanmu tempat kembalimu; bagaimana pendapatmu berkenaan dengan orang yang melarang; (yang melarang) seorang hamba (Tuhan) ketika ia mengerjakan sembahyang; bagaimana pendapatmu jika orang yang dilarang itu berada di atas kebenaran; atau dia menyuruh bertaqwa; bagaimana pendapatmu jika orang yang melarang itu mendustakan (kebenaran) dan berpaling (dari kebenaran)? Tidakkah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat segala perdbuatannya? Ketahuilah, sungguh jika ia tidak berhenti, (dari perbuatan itu) nescaya kami tarik ubun-ubunnya; (yaitu) ubun-ubun orang yang mendustakan (kebenaran) lagi derhaka; maka biarlah dia memanggil golongannya (untuk menolongnya); kelak akan Kami memanggil malaikat zabaniyah; sekali-kali jangan. Janganlah kamu patuh kepadanya dan sujudlah, dan berdampinglah (dengan Tuhan).

Dan Ibn Khaldun r.h. memberi huraian bahawa menulis dalam proses menjayakan budaya ilmu itu adalah proses yang menyempurnakan manusia.

Marilah kita jadikan Qur’an sebagai “bimbingan bagi orang-orang yang bertaqwa” dan mudah-mudahan kita mengikuti jalan bertaqwa kepada Allah dalam semua urusan hidup kita dari soal-soal ibadat khusus sampai kepada mu’amalah dan siasah, amalan-amalan budaya ilmu dalam fardhu kifayah, dan usaha-usaha menguatkan umat selain daripada diri sendiri, keluarga, organisasi dan negara serta ummat.

Wallahu a’lam.