Sunday, October 21, 2007

Manhaj Imam al-Asya'ari

Manhaj Imam al-Asya'ari
Oleh: Abd Shukor Husin

Pendahuluan

Kesukaran di dalam memahami pemikiran `aqidah Islam yang dikemukakan oleh aliran-aliran pemikiran yang terlibat dalam masalah `aqidah Islam ada hubungan dengan manhaj (pendekatan) yang digunakan oleh aliran-aliran berkenaan.

Sukar untuk menafikan kepentingan mengenal dan me¬nguasai sesuatu manhaj disiplin ilmu dalam usaha seseorang untuk memahami ilmu berkenaan kerana manhaj adalah kompas yang dapat mengarahkan ke jalan yang betul dalam memahami sesuatu disiplin ilmu.

Menurut Prof. Dr. Abdul Halim Mahmud, manusia tidak mungkin berlaku adil dan benar di dalam ilmunya atau di dalam penilaiannya kepada ilmu-ilmu orang lain, jika dia tidak memahami saluran yang betul bagaimana ilmu itu diperolehi, pendekatan yang digunakan dan perbincangannya. Adalah salah sekiranya kita menggunakan metod ilmu tabii un¬tuk menyingkap hakikat sesuatu di luar alam tabii, atau metod ilmu Fiqah untuk memahami dan menilai ilmu kero¬hanian, begitulah seterusnya.

Di dalam pemikiran `aqidah Islam, seorang daripada tokoh-tokoh yang terlibat secara langsung ialah Abu Hasan al¬Asyaari. Beliau berjaya mengemukakan satu pendekatan yang dapat diterima oleh masyarakat Islam pada zamannya dan penerimaan itu berterusan hingga hari ini.
Makalah ini cuba menjelaskan manhaj beliau dalam memahami dan menangani masalah-masalah `aqidah Islam, dan juga faktor-faktor yang mendorong masyarakat Islam menerimanya.

Asya'ari

Di dalam suasana kemelut yang berlaku di antara golongan Muktazilah, golongan Mujassimah dan Fuqaha, muncul satu aliran baru di dalam peiriikiran `aqidah Islam. Aliran tersebut dikenali dengan nama Asyaariah. Menurut T.J. De Boer (Zarikh al-falsafah al-Islamiah hlm. 65) dan Dr. Ibrahim Madkur (Fi al-falsafahal-Islamiah hlm. 476), aliran Asyaariah merupakan satu aliran yang membawa sikap kesederhanaan berbanding dengan sikap-sikap yang ada di kalangan aliran pemikiran `aqidah Islam pada ketika itu khususnya antara aliran atau golongan Nassi yang terlalu berpegang kepada zahir nusus (teks) seperti golongan Mujassimah dan golongan Karramiah,l dan golongan Muktazilah yang memberikan keutamaan kepada akal.

Aliran Asyaariah ini diasaskan oleh Abu Hasan al-Asya¬ari. Beliau dilahirkan di bandar Basrah pada tahun 260 H./ 873 M. dan meninggal pada tahun 324 H./935 M.2 Pada mula¬nya beliau menganut aliran Muktazilah dan murid kepada Abu Ali al-Jubbai seorang tokoh Muktazilah (235 H.-321 H.). Tidak dapat dikesan sebab-sebab yang jelas kenapa Asyaari meninggalkan Muktazilah. Pada ketika usianya menjangkau 40 tahun, beliau telah mengisytiharkan dirinya keluar daripada Muktazilah. Walaupun beliau menganuti Muktazilah tetapi beliau tidak menghasilkan sebarang penulisan semasa beliau berada di dalam golongan Muktazilah.

Ibn `Asakir dan Ibn Khalikkan ada menjelaskan peristiwa perisytiharan Abu Hasan Asyaari keluar daripada golongan Muktazilah, iaitu ketika beliau mencapai usia 40 tahun. Beliau telah bersembunyi di rumahnya selama lima belas hari dan tidak mahu menerima sebarang tetamu. Pada suatu liari beliau keluar ke Masjid Basrah dan di hadapan orang ramai beliau berucap:

Wahai saudara-saudara sekalian! Sesungguhnya aku telah menghilangkan diri daripada kamu sekalian. Setelah aku berfikir dan meneliti (apa yang dianuti oleh golongan Muktazilah), maka tidak dapat aku bezakan antara yang benar dengan yang batil begitu juga sebaliknya kerana dalil kedua-duanya adalah sama. Maka aku memohon kepada Allah (s.w.t.) menunjukkan kepadaku jalan yang benar. Maka Allah telah memberi hidayah kepadaku iktikad yang benar yang aku perturunkan di dalam kitab aku ini dan aku meninggalkan seluruh fahaman clan pendekatan yang aku anuti selama ini (pemikiran dan fahaman Muktazilah) samalah seperti aku menanggalkan bajuku ini.
Lalu beliau menanggalkan baju yang dipakainya serta mencampakkannya keluar. Di samping itu beliau menunjukkan kepada orang ramai buku yang ditulis olehnya menurut mazhab Ahli Sunnah.3
Walaupun sukar untuk dikesan sebab-sebab Asyaari meninggalkan Muktazilah tetapi, menurut Dr. Ahmad Mahmud Subhi, ada beberapa faktor dan insiden penting yang menyebabkan Abu Hasan Asyaari meninggalkan Muktazilah.

Hal ini adalah ekoran daripada berlakunya satu dialog antara beliau dengan gurunya, Abu Ali Jubbai tentang wa¬jibnya Allah melakukan al - salah wa al - aslah kepada ham¬ba-Nya. Dialog itu berlaku apabila Abu Hasan Asyaari bertanya kepada Abu Ali Jubbai tentang kedudukan tiga orang bersaudara.
Seorang daripadanya mati dalam keadaan ber¬iman setelah dewasa. Manakala yang kedua, mati setelah dewasa tetapi di dalam keadaan tidak beriman (kafir); dan yang ketiga mati ketika kecil lagi. Abu Ali Jubbai menjawab: Allah memberi pahala kepada yang pertama dan dimasukkan ke dalam syurga. Allah memasukkan yang kedua ke dalam neraka dan kekal di dalamnya. Allah tidak memberi pahala dan tidak pula menyeksa yang ketiga.
Abu Hasan kurang berpuas hati dengan jawapan tersebut lalu beliau bertanya lagi. Kalaulah yang kecil itu memohon kepada Allah: "Wahai Tuhanku, kenapa aku dimatikan pada masa kecil, tidak dipanjangkan usiaku hingga dewasa supaya aku dapat membuat amalan salih dan dengan itu dapat masuk syurga seperti abangku yang pertama." Abu Ali Jubbai menjawab: "Tuhan akan mengatakan kepada permohollan si kecil itu: Aku (Allah) tahu kiranya usia engkau dipanjangkan hingga dewasa, engkau akan melakukan kemungkaran. Oleh itu lebih baik kepada engkau jika engkau dimatikan pada masa kecil."
Tetapi Abu Hasan Asyaari masih tidak berpuas hati lalu beliau bertanya lagi: "Bagaimana pula kiranya yang kedua mengadu kepada Tuhannya: wahai Tuhanku kenapa Engkau tidak matikan aku pada masa aku kecil supaya aku tidak dimasukkan ke dalam neraka dan itu adalah lebih baik bagiku."
Abu Ali Jubbai tercengang dan terpukau dan tidak dapat berkata apa-apa terhadap soalan yang dikemukakan oleh Abu Hasan Asyaari. Melihatkan sikap Abu Ali Jubbai sedemikian yang juga menggambarkan sikap Muktazilah, maka Abu Hasan Asyaari mengambil keputusan meninggalkan Muktazilah.

Menurut analisis penulis-penulis Islam seperti Ibn Khalikkan dan lain-lain, dialog ini peraing kerana ia bukan sahaja merupakan insiden yang dapat menukar arah pemikiran Abu Hasan Asyaari tetapi ia juga menggambarkan keberanian golongan Muktazilah yang terlalu yakin kepada kemampuan dan hukum yang dibuat oleh akal sehingga mereka cuba menganalisis perbuatan Tuhan dengan akal manusia. Seolah-olah akal dapat mengenal rahsia hikmat sesuatu yang dilakukan oleh Allah. Muktazilah lupa tentang kelemahan akal manusia dan batas-batasnya sehingga mereka mahu menganalisis perbuatan Allah berasaskan konsep al - salah wa al - aslah.
Dialog ini juga ~sekali gus telah menentukan arah pe¬mikiran Abu Hasan Asyaari apabila beliau tidak berpuas hati dan menolak Muktazilah. Menurut Asyaari akal manusia adalah terbatas dan ada beberapa perkara seperti rahsia dan hikmat sesuatu perbuatan Allah tidak boleh dinilai dan dianalisis oleh akal manusia.4

Sebenarnya penolakan Asyaari terhadap pendekatan Muktazilah tidaklah didorong oleh hasil perselisihan pendapat beliau dengan Abu Ali Jubbai dalam masalah yang di¬dialogkan itu sahaja kerana ada beberapa elemen lain yang mendorong beliau meninggalkan Muktazilah. Di antaranya: Keresahan masyarakat Islam terhadap apa yang berlaku di antara golongan Muktazilah, Fuqaha dan Ahli Hadith. Keresahan itu sangatlah ketara dan membimbangkan.
Asyaari berpendapat bahawa kalau sekiranya tidak diusahakan satu pendekatan yang dapat mengakhiri perselisihan yang ada itu, ia boleh menghancurkan umat Islam sendiri, dan boleh menjejaskan kesucian dan keutuhan al-Qur'an dan Hadith. Sikap yang terlalu yakin kepada akal dalam menilai masalah `aqidah seperti yang terdapat pada pendekatan Muktazilah atau sebaliknya seperti yang terdapat pada pendekatan sebahagian Fuqaha, dan mereka yang terus berpegang dengan zahir nusus sahaja boleh menimbulkan kekeliruan dan gambaran yang negatif terhadap beberapa konsep di dalazn `aqidah Islam.

Kebimbangan Asyaari akan sikap Muktazilah jelas dalam kata-katanya ketika beliau mengisytiharkan dirinya di hadapan orang ramai di masjid Basrah selepas menunaikan sembahyang Jumaat. Menurut beliau pendekatan Muktazilah tidak dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil, dan boleh menafikan beberapa hakikat yang dijelaskan oleh al-Qur'an dan Hadith dan telah difahami dan diterima oleh para Sahabat dan Salaf Salih seperti masalah sifat Tuhan, nama Tuhan clan lain-lain lagi. Menurut Abu Hasan Asyaari, sesuatu yang dibincangkan oleh Muktazilah tentang aqidah bukan sahaja dianggap baru dan tidak pernah berlaku daiam konteks `aqidah Islam, malahan apa yang dikemukakan oleh Muktazilah sangatlah mengelirukan.

Dipercayai bahawa hasil daripada pengamatan Asyaari yang mendalam terhadap gejala yang berlaku di dalam ma¬syarakat Islam dan juga penyelewengan yang dilakukan oleh Muktazilah dalam mengolah beberapa masalah `aqidah merupakah faktor penting yang mendorong beliau meninggalkan Muktazilah dan memperkenalkan satu pendekatan baru ke¬pada masyarakat Islam pada ketika itu.`5

Manhaj Asyaari

Ada beberapa ungkapan penting yang dibuat oleh Abu Hasan Asyaari terutamanya ketika beliau mengisytiharkan dirinya keluar daripada Muktazilah.

Pertama: Manhaj dan dasar agama yang kita berpegang dengannya ialah Kitab Allah (al-Qur'an) dan Sunnah Nabi kita Muhammad (s.a.w.), dan apa yang diriwayatkan oleh para Sahabat, Tabiin dan Imam-imam Hadith. Kita berpegang dengan semuanya ini, dan juga kita berpegang dengan apa yang dikatakan oleh Abdullah Ahmad bin Hanbal, dan sesiapa yang menentang atau menyalahi pendapatnya, maka dia menyalahi dasar-dasar di atas.6

Kedua, ungkapan beliau yang dijelaskan di dalam bukunya Istihsan al-Khaud fi `ilm al-Kalam iaitu sesung¬guhnya ada segolongan manusia yang menjadikan kejahilan sebagai asas pemikiran. Mereka tidak mahu berfikir dan menganalisis tentang masalah agama. Mereka lebih cen¬derung kepada sikap bertaklid. Mereka mengkritik sesiapa jua yang menganalisis tentang dasar-dasar agama dan meng¬anggapnya menyeleweng. Menurut beliau lagi, dalam menen¬tukan masalah agama hendaklah dikembalikan kepada dasar¬dasarnya yang disampaikan menerusi wahyu. Begitu juga masalah yang berkaitan dengan akal clan deria hendaklah dikembalikan kepada sumbernya. Ia tidak boleh dicampur¬adukkan di antara masalah akliah dengan masalah samiiyah, begitulah juga sebaliknya.7

Di dalam ungkapan pertama di atas, Abu Hasan Asyaari jelas tidak mahu memberikan kebebasan kepada akal secara mutlak sekalipun untuk memperkukuhkan agama ataupun `aqidah. Oleh itu beliau menekankan tentang perlunya umat Islam kembali berpegang kepada nusus-nusus (teks-teks) agama tanpa membuat takwil yang jauh. Menurut Asyaari, manhaj Ahli Salaf merupakan sebaik-baik manhaj bagi umat Islam untuk diikuti, dan Imam Ahmad bin Hanbal sebaik¬baik contoh ikutan bagi menghayati manhaj tersebut. Dengan kata-kata lain Abu Hasan Asyaari berusaha bersungguh¬sungguh menghidupkan kembali manhaj Ahli Salaf yang telah diterima dan dihayati oleh masyarakat Islam sebelum ber¬tapaknya aliran Muktazilah.

Dalam ungkapan keduanya kita dapati Asyaari bersikap lebih terbuka dan menentang fikiran yang jumud serta taklid buta. Walaupun beliau mengajak masyarakat Islam kembali kepada manhaj Ahli Salaf, beliau juga mengajak masyarakat Islam memberikan perhatian dan tempat kepada peranan akal dalam mengukuhkan `aqidah yang dibawa oleh nusus. Beliau berpendapat bahawa dengan adanya panduan antara akal dengan naqal itu lebih mudah untuk meningkatkan `aqidah Islam kepada masyarakat Islam dan mudah pula un¬tuk disebarkan kepada masyarakat bukan Islam.

Walaupun demikian Abu Hasan Asyaari tetap meng¬utamakan nusus daripada akal kerana nusus lebih berwibawa dan muktamad. Oleh itu sesuatu yang disampaikan oleh nusus mestilah diterima dan dipatuhi sementara peranan akal hanyalah mengukuhkan sesuatu yang disampaikan oleh nusus. Dengan kata-kata lain, peranan akal adalah semata¬mata berkhidmat kepada nusus untuk menjelaskan hakikat kebenaran `aqidah. Sebarang kesamaran yang timbul antara kehendak nusus dengan kehendak akal, nusus hendaklah diutamakan. Konsep dan prinsip ini di dalam manJaaj Abu Hasan Asyaari tidak berubah sehinggalah sekarang walaupun tidak dinafikan terdapat sedikit sebanyak perubahan dalam ciri-ciri kecil yang dilakukan oleh pengikut-pengikut beliau kemudiannya.

Berasaskan kepada kedua-dua ungkapan Asyaari, maka nyatalah manhaj beliau mempunyai ciri tersendiri dan berbeza daripada manhaj Muktazilah yang memberikan keutamaan kepada akal. Tetapi terdapat pengkaji-pengkaji, yang hanya melihat dari sudut tertentu sahaja atau men¬dasarkan kajian mereka kepada beberapa buah buku Asyaari sahaja, terutama buku-buku yang ditulis oleh beliau pada peringkat awal, lebih cenderung menyamakan manhaj Abu Hasan Asyaari dengan manhaj Ahli Salaf dan mengkategorikan beliau ke dalam golongan Salaf.

Berdasarkan kepada kedua-dua sikap yang ditunjukkan oleh Abu Hasan Asyaari, jelas kepada kita betapa kuatnya beliau berpegang dengan nusus-nusus agama yang juga merupakan asas pendekatan Ahli Salaf. Di samping itu beliau mengakui peranan akal dalam mengisbatkan `aqidah. Sikap beliau ini boleh dianggap satu pendekatan baru dalam pemikiran `aqidah Islam kerana ia berorientasikan kesederhanaan antara aliran yang terlalu berpegang kepada zahir nusus agama dengan aliran yang terlalu mengutamakan akal.

Sikap beliau ini juga tidaklah boleh ditafsirkan bahawa beliau tidak mempunyai pendirian atau terdapatnya unsur¬unsur kontradiksi di dalam pemikiran beliau. Ungkapan Abu Hasan Asyaari yang pertama menjelaskan iltizam beliau dengan al-Qur'an dan Sunnah, sementara ungkapan beliau yang kedua menggambarkan beliau menerima kewibawaan akal dalam mengisbatkan kebenaran apa yang dibawa oleh nusus-nusus agama.

Ibn `Asakir dan beberapa orang penulis lain menyebutkan beberapa contoh masalah `aqidah dan penyelesaiannya menurut pendekatan Abu Hasan Asyaari. Di antaranya:

1. Masalah Sifat Allah

Seperti yang diketahui umum, golongan Muktazilah menafikan wujudnya sifat Maani yang berasingan daripada zat Allah seperti sifat Qudrat (berkuasa), Iradah (berkehendak), Hayat (Hidup), Ilmu (mengetahui), Sama` (mendengar), Basar (melihat), dan Kalam (Berkata-kata).

Muktazilah menafikan wujudnya sifat-sifat ini berasingan daripada zat Allah yang mempunyai kesempurnaan, Qadim dan azali seperti zat-Nya. Mereka bertujuan melahirkan hakikat tauhid yang tulen dan menghilangkan sebarang kekeliruan menurut akal terhadap kesempurnaan dan keesaan Allah yang mutlak. Menurut Muktazilah, kalau kita mengisbatkan sifat-sifat ini kepada Allah bererti kita mengisbatkan banyak Qadim dan azali. Ini adalah mustahil berlaku di dalam `aqidah Islam. Hakikat ini diakui oleh seluruh umat Islam. Maka untuk memastikan kekeliruan ini tidak timbul, Muktazilah rpenafikan wujudnya sifat-sifat tersebut pada Allah.
Tetapi penafian ini menimbulkan masalah kerana sifat-sifat tersebut ada dalam al-Qur'an dengan nyata dan terang, dan aliran Muktazilah juga me¬ngakui kebenaran ayat-ayat tersebut adalah wahyu daripada Allah yang disampaikan oleh Nabi (s.a.w.) kepada manusia seperti yang terdapat dalam al-Qur'an. Menurut pendekatan Muktazilah, penyelesaian dan jalan keluar kepada masalah ini ialah menerusi takwil akal. Sifat-sifat itu tidaklah wujud berasingan daripada zat Allah.
Sifat-sifat itu berasingan pada iktibar manusia sahaja, sedang hakikatnya tidaklah wujud berasingan daripada zat Allah. Zatnya itulah berkuasa, mendengar, mengetahui dan seterusnya. Dengan itu Muk¬tazilah tidak mengingkari al-Qur'an dan tidak menafikan kesempurnaan Allah. Dalam masa yang sama Muktazilah juga dapat menghindarkan timbulnya sebarang kekeliruan di dalam konsep keesaan Allah yang mutlak.

Golongan kedua, seperti Mujassimah, sangat berpegang zahir nusus. Mereka tetap beriman dengan apa yang disebutkan oleh al-Qur'an termasuk maksud dan makna zahir nusus tersebut. Maka mereka tidak menafikan wujudnya sifat¬sifat Allah menyerupai sifat-sifat makhluk. Hasilnya wujudlah di dalam pemikiran `aqidah Islam dua aliran yang bertentangan iaitu penafian yang mutlak dan pengharusan yang mutlak. Menurut Abu Hasan Asyaari kedua-dua aliran ini salah dan merosakkan `aqidah Islam.
Oleh itu beliau menolak kedua-duanya dan memilih pendekatan lain yang dianggap sederhana tetapi tidak menafikan kedua-dua dasar di atas iaitu nusus dan akal. Beliau tetap mengakui dan ber¬iman dengan hakikat yang telah ditetapkan oleh al-Qur'an tetapi kewujudan hakikat atau sifat-sifat Allah tersebut tidaklah menyerupai sifat-sifat yang terdapat pada makhluk dan hakikat sebenarnya tidak dapat diselami oleh akal manusia. Hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui sesuai dengan kekudusan dan keagungan-Nya.8

2. Masalah Melihat Allah di Hari Akhirat

Menurut pendekatan Muktazilah, mustahil pada akal ber¬lakunya perkara ini dengan alasan bahawa perbuatan melihat melibatkan objek, ruang dan masa, sedangkan Allah mustahil terlibat dengan unsur-unsur tersebut. Sementara golongan Mujassimah atau Musyabbihah mempercayai bahawa ma¬nusia pada hari Akhirat boleh melihat Allah yang melibatkan unsur-unsur benda, masa dan tempat sepertimana berlakunya penglihatan deria manusia kepada sesuatu objek di dunia.
Manakala menurut pendekatan Abu Hasan Asyaari, Allah dapat dilihat pada hari Akhirat tetapi penglihatan hamba¬Nya kepada Allah tidaklah berbentuk atau bersifat seperti yang mudah difahami oleh akal manusia. Hakikatnya hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.

3. Masalah al-Qur'an

Menurut Muktazilah, al-Qur'an adalah makhluk, bukan qadim kerana ia mengandungi bahan-bahan baru seperti huruf, susunan bahasa dan sebagainya. Manakala menurut Mujassimah atau Musyabbihah, al-Qur'an itu qadim termasuk huruf, tinta, bunyi bacaan dan tulisannya kerana Al-Qur'an itu Kalam Allah. Menurut Abu Hasan Asyaari, al-Qur'an itu dari sudut Kalam maknawinya qadim sementara zahirnya yang terbentuk daripada huruf, suara dan lain-lain yang dapat dikesan oleh pancaindera adalah hadis (baharu) atau makhluk.

Daripada ketiga-tiga contoh penyelesaian yang dike¬mukakan oleh Abu Hasan Asyaari di atas, nyatalah beliau lebih bersikap sederhana antara penafian mutlak dengan pengharusan mutlak. Beliau tetap mengutamakan nusus tetapi sikapnya itu tidaklah menggugat kekudusan Allah. Demikian juga beliau tidak menafikan akal tetapi sentiasa ber¬waspada terhadap akal supaya akal tidak mengatasi nusus.

Hal inilah yang menyebabkan ada golongan penganalisis Islam yang berpendapat bahawa sebenarnya Abu Hasan Asya¬ari tidaklah menampakkan sesuatu yang baru dan berbeza daripada Ahli Salaf kerana beliau sangat jelas terikat dengan sikap Ahli Salaf, terutamanya di peringkat awal. Anggapan ini, jika dilihat pada lahirnya, ada kebenarannya. Tetapi satu faktor yang tidak boleh dilupakan bahawa Abu Hasan Asyaari, pada peringkat awalnya, bersungguh-sungguh menghidupkan kembali pendekatan Salaf setelah beliau meneliti tentang merbahayanya pendekatan Muktazilah kerana menjadikan akal sebagai neraca di dalam perkara-perkara yang bukan bidangnya.

Tetapi setelah pengaruh Muktazilah di dalam masya¬rakat Islam merosot, Abu Hasan Asyaari menonjolkan kembali ciri-ciri akal di dalam pendekatannya. Hakikat ini dapat dilihat dengan jelas daripada buku-buku beliau seperti istihsan al-khawd fi `Ilm al-Kalam dan al-Lum'a. Kedua¬dua buku ini mencerminkan pengakuan beliau akan pentingnya penyertaan akal dalam memahami dan mengukuhkan `aqidah. Beliau menyerang hebat golongan yang menafikan peranan akal. Menurut beliau: Orang-orang jahil atau orang-orang yang berfahaman sempit dan suka bertaklid sahaja menafikan peranan akal dalam menjelaskan dan memperkukuhkan `aqidah yang dipaparkan oleh al-Qur'an, dan orang-orang yang menggunakan akal dalam menjelaskan masalah ini tidak harus dianggap menyeleweng.9

Fenomena kesederhanaan ini terus berkembang di tangan tokoh-tokoh aliran Asyaariah seperti Abu Bakar al¬-Baqillani (w. 403 H.), al-Imam al-Haramain (w. 478 H.) da:. al-Ghazali (w. 505 H.).

Dengan demikian aliran Asyaariah berbeza daripada aliran Ahli Salaf kerana Asyaariah tidak lagi mengikat diri mereka dengan nusus semata-mata atau dengan pendekatan Salaf semata-mata. Demikian juga Asyaariah tetap berbeza daripada Muktazilah kerana Asyaariah tetap mengutamakan kehendak nusus daripada akal.

Penerimaan Masyarakat

Menurut Dr. Ahmad Mahmud Subhi, penganalisis-peng¬analisis pemikiran `aqidah Islam berpendapat bahawa antara faktor penting yang menyebabkan pendekatan Abu Hasan Asyaari mudah diterima oleh masyarakat Islam ialah:

(a) Dasar Kesederhanaan Manhaj Abu Hasan Asyaari.

Dasar ini telah dapat memberi ketenangan terhadap keresahan yang melanda masyarakat. Islam akibat daripada pertembungan antara dua aliran yang sangat berbeza iaitu aliran penafian yang mutlak dan aliran pengharusan yang mutlak. Pertembungan ini juga telah menimbulkan berbagai¬bagai bencana dan fitnah di dalam masyarakat Islam pada zaman itu. Maka di dalam keadaan masyarakat Islam yang sangat tertekan itu, sifat kesedaran menjadi alternatif kepada masyarakat Islam dewasa itu. Maka kelahiran aliran Asya¬ariah khususnya pada abad keempat Hijrah sangatlah sesuai dan kena pada masanya.

(b) Hubungan Baik

Hubungan baik wujud di antara tokoh-tokoh Asyaariah dengan Fuqaha, Ahli Hadith dan juga Ahli Tasawwuf, clan ulama-ulama mazhab Syafii menjadi golongan pertama menerima pendekatan Asyaariah. Ini mungkin disebabkan Abu Hasan Asyaari dalam fiqhnya bermazhabkan Syafii. Begitu juga kebanyakan tokoh-tokoh Asyaariah adalah bermazhab Syafii. Di samping itu pula memang terdapat per¬samaan dasar antara kedua-dua aliran ini iaitu dasar kese¬derhanaan. Imam Syafii juga dianggap tokoh yang mengambil sikap sederhana di antara Imam Malik yang mengutamakan kehendak Hadith di dalam membuat hukum, dan Imam Abu Hanifah yang banyak menggunakan akal.

Antara tokoh Sufi pula yang mendokong pendekatan Asyaariah dalam masalah `aqidah ialah Abu 'All al-Daqaq (w. 405 H.), Abu Na'im al-Asfihani (w. 430 H.) dan Abu Kasim al-Qusyairi (w. 465 H.).

Selain daripada tokoh-tokoh penganut mazhab Syafii ter¬dapat juga tokoh-tokoh daripada mazhab Maliki yang men¬dokong aliran Asyaariah dalam `aqidah dan mereka juga me¬mainkan peranan penting menyebarkan aliran Asyaariah se¬perti Ibn Tumart (w. 534 H.).

(c) Wujudnya Aliran Sederhana yang Sezaman

Aliran sederhana ini bukan sahaja dipelopori oleh Abu Hasan Asyaari tetapi terdapat beberapa tokoh lain turut memperjuangkan konsep ini di dalam masyarakat Islam pada masa itu. Antaranya ialah Abu Jaafar al-Tahawi (w. 321 H.) di Mesir, dan Abu Mansur al-Maturidi (w. 323 H.) di Samarkand.

Ketiga-tiga tokoh ini iaitu Abu Hasan Asyaari, Abu Mansur al-Maturidi dan Abu Jaafar al-Tahawi mempunyai pandangan dan pemikiran yang hampir sealiran dalam menyelesaikan masalah `aqidah.

Faktor kewujudan aliran sederhana di Mesir dan di Samarkand telah membantu aliran Abu Hasar_ Asyaari di Iraq berkembang dengan pesatnya ke seluruh dunia Islam.

Di samping faktor-faktor di atas aliran Asyaariah juga didokong oleh tokoh-tokoh yang sangat berwibawa dalam ilmu dan pengaruh seperti Abu Bakar al-Baqillani (w. 403 H.), Abdul Qahir al-Baghdadi, (w. 429 H.), Imam al-Haramain al¬Juwayni (478 H.), clan Abu Hamid al-Ghazali. (505 H.).11

PENUTUP

Kehadiran Abu Hasan Asyaari pada awal abad ke-4 Hijrah telah mewujudkan satu pembaharuan dalam arena pelnikiran `aqidah Islam. Pendekatan Asyaari juga mampu menghilangkan ke¬resahan yang melanda pemikiran masyarakat Islam pada ketika itu kerana beliau bersikap sederhana di antara sikap yang terlalu terikat dengan zahir nusus golongan Musyabbihah dengan sikap keyakinan yang luar biasa kepada kemampuan akal golongan Muktazilah.

Dalam menganalisis permasalahan `aqidah, Asyaari tetap berpegang kepada apa yang dinyatakan oleh nusus sepertimana yang dianuti oleh Ahli Salaf sebelumnya. Namun demikian dalam masa yang sama beliau terus mengakui ke¬wibawaan akal yang merupakan kurniaan tertinggi Allah kepada manusia. Tugas akal ialah mengukuhkan sesuatu yang dinyatakan oleh nusus, dan jika terdapat sebarang perselisihan atau perlanggaran antara nusus dengan akal dalam masalah `aqidah, Abu Hasan Asyaari lebih mengutamakan kehendak nusus. Beliau tidak membenarkan sama sekali akal mengatasi dan membimbing nusus.

Sikap dan pendekatan Asyaari ini sangat mudah diterima oleh masyarakat Islam, dan dapat pula menguasai se¬bahagian besar pemikiran masyarakat Islam pada masanya sehingga masa ini. Ramai tokoh terkenal yang mendokong aliran Asyaariah. Mereka bukan sahaja terdiri daripada go¬longan Ulama Kalam tetapi tidak kurang juga tokoh-tokoh dalam bidang Hadith, Fiqah, Tasawuf. Dalam pemikiran `aqidah Islam, aliran Asyaariah dikenali dengan aliran Ahli Sunnah.

CATATAN
1. Sebagai contoh, golongan Karramiah mengakui adanya persamaan sifat¬sifat Allah dengan sifat-sifat makhluk. Sikap mereka ini bersandarkan kepada zahir nusus al-Qur'an seperti firman Allah yang bermaksud: Tangan Tuhan di atas tangan mereka dan firman Allah yang bermaksud: "Allah bersemayam di atas singgahsana. Golongan ini tidak mentakwilkan nusus-nusus seperti ini, dan tidak pula menyerahkan kepada Allah tentang maksud sebenarnya. Malah mereka memahami dan berpegang menurut zahir nusus sahaja. Oleh itu ada di antara mereka yang berpendapat lebih daripada An iaitu Allah boleh dilihat dan ditemui, dan orang-orang mukmin yang benar-benar baik dan jujur mereka boleh bersalam-salaman dan berpeluk-pelukan dengan Allah di dunia dan akhirat. Di antara tokoh-tokoh mereka ialah Abu Abdullah Muhammad bin al-Karram (w. 255 H.), dan beberapa aliran Syiah yang melampau.
2. Nama penuhnya, Ali bin Ismail bin Abu Basyar, Ishak bin Salim bin Ismail bin Abu Musa al-Asyaari. Beliau terkenal dengan nama gelarannya iaitu Abu Hasan al-Asyaari dan beliau daripada keturunan Abu Musa al-Asyaari.
3. °Ali bin al-Hassan bin cAsakir, Tibyan Kidb al-Muftari (Beirut: Dar al -Kitab al -Arabi , 1979), hlm. 39; dan Shamsudin bin Khalikan, Wafiyat al-`Aaydn, (Beirut: t. tp., t. th); jil. 3, hlm. 284.
4. Ahmad Mahmud Subhi : fi Ilm al - Kalam (Iskandariah: Muassa¬sah al -Thaqafah, 1982), hlm. 46-47.
5. Abu Hasan al-Asyaari. al -Ibanah can Usul al -Diyanah (Kaherah: Dar al -Ansar, 1977), hlm. 20.
6. Ibid., hlm. 22.
7. Abu Hasan al-Asyaari, Istihs¢n al-Khawdi fi `ilm al -Kalam (Haiderabad: Dar al-Maarif, 1344 H.), hlm. 87.
8. Lihat, Muhammad bin Abdul Karim al -Shahrastani, al-Milal wa Nihal (Kaherah: Dar al-Halabi, 1968), hlm. 96; dan Muhammad Abu Zahrah, Tarikh al -Madhahib al -Islamiah (Kaherah: Dar al-Fakir al-Arabi, t.th.), hlm. 166; dan Mustafa Hilmi, Manhaj `Ulama' al -hadith (Iskan¬dariah: Dar al-Da'wah, t. th.), hlm. 172-173.
9. Asyaari, Istihsan, hlm. 87.
10 .Subhi, Fi `Ilm al - Kalam , hlm. 47-49.
11. Lihat, Subhi, Fi `Ilm al - Kalam , hlm. 50. Abu Zahrah, Tarikh, hlm. 176-177; dan Ibrahim Madkur, Fi al-falsafah al-Islamiyah (Kaherah: Dar al-Ma'arif) 1976, hlm. 56.