Sunday, October 21, 2007

MAZA, SHAHIDAN KASIM DAN GAGASAN SUNNAH :..

MAZA, SHAHIDAN KASIM DAN GAGASAN SUNNAH :
UMPAMA HARAPKAN KUCING JAGA IKAN

Usaha hendak menghidupkan sunnah dari semua sudut, samada dari sudut Aqidah, syariah dan akhlak merupakan perkara yang baik dan mesti di puji. Dalam usaha hendak menghidupkan sunnah, perlu kepada usaha yang kuat, disamping perlu kepada perincian ilmu dalam memastikan usaha tersebut tidak melahirkan natijah yang bersifat fitnah kepada Islam, disamping dapat menyokong untuk menguatkan Islam itu sendiri.Tindakan Mufti Perlis yang hendak mewujudkan gagasan sunnah secara pandangan zahirnya adalah sesuatu yang baik.
Itupun sekiranya matlamat penubuhan itu diasaskan kepada usaha bersama-sama dalam mendaulatkan islam di Malaysia.
Firman Allah;
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya;“dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah Al-Maidah : 2)

tetapi apa yang membimbangkan, gagasan itu melantik seorang yang dikatakan sebagai “bapa UMNO Perlis” yang merupakan “bapa fahaman secular Perlis” untuk dijadikan sebagai Penaung.
Begitujuga, tindakan mewujudkan gagasan itu sudah nampak seakan-akan mahu mewujudkan “manik-manik” perpecahan. Ini dibuktikan dengan kenyataan Mufti Perlis dalam “bernama”, yang ianya seperti berikut;
“Ditanya sama ada gagasan itu akan bertindih peranan dan fungsinya dengan Persatuan Ulamak Malaysia (PUM), Dr Mohd Asri berkata, gagasan itu akan memberi tumpuan kepada Sunnah Wal Jamaah, iaitu mengikut ajaran al-Quran dan sunah Nabi Muhammad. "Kalau Persatuan Ulamak Malaysia dianggotai oleh semua orang yang dilihat mempunyai kecenderongan agama tetapi gagasan ini hanya dianggotai oleh mereka yang mempunyai kepakaran dan tahap akademik yang tinggi," katanya[1]
Apa yang memelikkan dari kenyataan mufti perlis ini adalah, seakan-akan beliau menganggap PUM adalah sebuah gagasan yang tidak berasaskan kepada kandungan Al-Quran dan As-sunnah, yang disebabkan itulah beliau menubuhkan gagasan ulama Sunnah wa Jamaah itu. Adakah begitu???
PERPECAHAN BUKAN KHILAF
Khilaf dikalangan ulama adalah sesuatu yang diizinkan oleh Islam. ini adalah kerana, perbezaan pendapat dalam mengeluarkan hukum merupakan perkara yang biasa, selama sandaran terhadap itu bersifat zanni, samada zanni itu zanni ad-dilalah atau zanni as-subut.
Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Abdullah yang berkata;
نَادَى فِينَا رسول اللَّهِ (ص) انْصَرَفَ
عن الْأَحْزَابِ أَنْ لَا يُصَلِّيَنَّ أَحَدٌ الظُّهْرَ إلا في بَنِي قُرَيْظَةَ فَتَخَوَّفَ نَاسٌ فَوْتَ الْوَقْتِ فَصَلَّوْا دُونَ بَنِي قُرَيْظَةَ وقال آخَرُونَ لَا نُصَلِّي إلا حَيْثُ أَمَرَنَا رسول اللَّهِ (ص) وَإِنْ فَاتَنَا الْوَقْتُ قال فما عَنَّفَ وَاحِدًا من الْفَرِيقَيْنِ
Maksudnya;
“Rasulullah SAW menyeru kami ketika pulang dari Ahzab bahawa jangan ada seorang pun solat zohor melainkan di Bani Quraizah. Sebahagian manusia merasa bimbang luput waktu, lalu mereka menunaikan solat tanpa sampai di Bani Quraizah. Berkata sebahagian yang lain, kami tidak boleh solat melainkan Rasulullah SAW menyuruh kami lakukan, walaupun luput waktunya. Berkata (Abdullah), tiada memarahi (oleh Rasulullah SAW) akan satu dari dua puak itu[2]
Hadis ini menjadi dalil atas keizinan berlakunya khilaf ulama dalam perkara yang berbentuk zanni dalam pemahaman nas.
Adapun mewujudkan perpecahan merupakan perkara yang haram. Keharaman ini adalah disandarkan kepada firman Allah;
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا
Maksudnya;
“dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai”(Surah Al-Imran : 103)
Firman Allah lagi;
وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ
Maksudnya;
“46. dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu”(Surah Al-Anfal : 46)
Sabda Nabi SAW;
لَا تَخْتَلِفُوا فإن من كان قَبْلَكُمْ اخْتَلَفُوا فَهَلَكُوا
Maksudnya;“Jangan kamu berselisih, maka sesungguhnya mereka sebelum dari kamu telah berselisih, lalu mereka binasa[3]
Mewujudkan satu gagasan dengan tujuan menghidupkan sunnah, sedangkan disana sudah terdapat gagasan seperti PUM dan sebagainya, merupakan tindakan yang haram, kerana dengannya akan melahirkan perpecahan umat dalam beragama.
Yang lebih menggambarkan kekeliruan dalam penubuhan gagasan itu adalah, ianya lebih bersifat kepada perbincangan yang bersifat khilafiyyah furiyyah dikalangan ulama.
Ini dibuktikan dengan kenyataan Shahidan Kasim dalam bernama;“gagasan itu akan menjadi kumpulan pemikir dan pengkaji ke arah memastikan amalan harian dalam kerja-kerja ibadah dilakukan secara tulin dan tidak menyeleweng.”
Melihat kepada kenyataan ini, secara “mafhumnya” dapat difahami, perbincangan mereka akan berkisar dalam perkara khilafiyyah furuiyyah yang telah diberdebatkan oleh ulama-ulama terdahulu, seperti perbincangan tentang talqin, tahlil, baca al-quran kepada si mati dan sebagainya.
Apa yang pelik, apakah mereka ingin menyatakan, amalan-amalan khilafiyyah furuiyyah itu menyeleweng, sedangkan amalan-amalan tersebut sememangnya mempunyai sandaran nas Al-Quran dan As-Sunnah, cuma mungkin dilihat lemah dari pandangan mereka yang beraliran perlis ini.
SHAHIDAN DAN ASRI YANG MERAGUKAN
Jika di Pakistan, perpecahan yang melahirkan kelemahan perjuangan dalam mendaulatkan islam sudah berlaku. Antara punca kelemahan adalah lahirnya banyak gagasan-gagasan Islam. Di sana lahir gagasan yang dinamakan “Ghuraba”” yang membariskan mereka yang mendakwa beraliran “Salafi”. Persatuan “Sifah-e-sahabah” yang membariskan mereka yang bermazhab Hanafi dalam melawan Syiah dan berbagai-bagai lagi gagasan.
Keadaan yang seakan-akan sama berlaku juga di Mesir dan di dunia-dunia arab yang lain. Apa yang pasti, kelahiran gagasan-gagasan ini menyebabkan perjuangan untuk mendaulatkan islam telah terbantut disebabkan perbincangan mereka tentang perkara khilafiyyah furu’iyyah yang sentiasa tidak berkesudahan.
Keadaan yang sama juga sedang menyerang dikalangan umat Islam di Malaysia.Tindakan menubuhkan satu gagasan yang di ideakan oleh Dr Asri merupakan satu perkara yang “ada udang disebalik batu”. Ianya diragui lagi apabila ianya melantik Shahidan Kasim sebagai Penaung.
Apa yang pasti, kedua-dua “hero” ini merupakan antara manusia yang sedang melancarkan serangan terhadap perjuangan mendaulatkan Islam di Malaysia yang berwadahkan PAS.Shahidan Kasim di masa pilihanraya Kecil Dun Pangkalan Pasir, Pasir Mas Kelantan yang lalu, dapat dilihat dengan “imej sunnah” telah pergi ke Kelantan untuk melakukan kempen menyokong parti secular syirik Barisan Nasional.
Begitujuga, Dr Asri yang sehingga sekarang pun belum mengungkapkan ucapan maaf terhadap PAS secara terbuka setelah beliau telah melakukan tuduhan secara terbuka terhadap PAS dengan dakwaan PAS adalah parti yang menganut fahaman Syiah.

Maka dengan itu, tindakan mereka yang hendak menubuhkan gagasan ulama sunnah wa jamaah ini merupakan satu perkara yang diragui disamping kenyataan tersebut sangat-sangat berhampiran dengan musim pilihanraya umum ke 12.
UMNO yang mengepalai Barisan Nasional seperti yang diketahui merupakan parti yang memerintah. Walaupun sudah 50 tahun mereka memerintah Negara, perkara yang sewajibkan mereka haramkan tidak dilakukan, disamping mereka banyak melakukan kemungkaran dalam pemerintahan.
Amalan fasiq yang telah UMNO lakukan ini perlu di perhapuskan dalam pemerintahan. Tetapi, dengan penubuhan gagasan ini, seakan-akan mewujudkan satu perpecahan umat yang boleh melemahkan perjuangan mendaulatkan islam, disamping dapat menguatkan kekuatan UMNO. Tindakan sebegini hakikatnya adalah menutup peluang untuk memerintah berdasarkan agama.
Firman Allah;
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَى مَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ رَأَيْتَ الْمُنَافِقِينَ يَصُدُّونَ عَنْكَ صُدُودًا
Maksudnya;
“61. dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran Yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah," nescaya Engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) Dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu”(Surah An-Nisa’ : 61)
Walaupun Mufti Perlis menafikan hubungan gagasan ini dengan mana-mana parti politik di Negara, tetapi apa yang memelikkan adalah, mengapa ahli politik yang dilantik menjadi penaung, sedangkan disana terdapat ramai ahli-ahli akademik yang berpengalaman untuk dijadikan sebagai penaung, seperti Prof. Dr Mahmood Zuhdi dan sebagainya.
Padaku, kenyataan menafikan penglibatan mana-mana parti politik dalam usaha penubuhan gagasan ini merupakan satu gimik untuk mengelabukan mata-mata rakyat yang beragama Islam di Negara ini.
UMNO BUKAN AHLU AS-SUNNAH WA AL-JAMAAH
Dalam kenyataan Shahidan Kasim dalam bernama, beliau ada menyatakan;“Undang-undang tubuh negeri Perlis juga jelas menyatakan bahawa Sunnah Wal Jamaah menjadi pegangan bagi Muslimin di negeri itu.”
Seperti yang diketahui, secara umumnya undang-undang negeri itu lebih tertakluk kepada undang-undang kerajaan pusat. Dalam buku “Perlembagaan dan Undang-undang Am” terbitan MDC Publishers Sdn Bhd, dalam Perkara 75 perlembagaan persekutuan menyatakan;
“Jika mana-mana undang-undang negeri TIDAK SELARAS dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah MENGATASI undang-undang negeri dan undang-undang negeri itu adalah TIDAK SAH SETAKAT YANG TIDAK SELARAS ITU[4]
Adapun dalam buku “Perlembagaan Persekutuan” terbitan International Law Book Services” menyatakan dengan lafaz yang berbeza, tetapi kandungan makna yang sama, bahawa dalam perkara 75 perlembagaan persekutuan menyatakan;
“Jika mana-mana undang-undang negeri ADALAH BERLAWANAN dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah DIPAKAI dan undang-undang negeri itu HENDAKLAH TERBATAL, SETAKAT MANA IANYA BERLAWANAN DENGAN UNDANG-UNDANG PERSEKTUAN ITU[5]
Ini dapat dibuktikan dengan keengganan kerajaan pusat memberi kerjasama dalam menyediakan polis, penjara, mahkamah dan sebagainya dalam usaha kerajaan Islam Kelantan yang mahu melaksanakan undang-undang Hudud, Qisas dan ta’zir di kelantan dalam awal 90 an dahulu.
Seperti yang dimaklumi, perlembagaan Malaysia kita tidak boleh disamakan dengan perlembagaan islam.Memang tidak dinafikan, sebelum masuknya pengaruh kerajaan British, undang-undang asas atau undang-undang negeri ialah undang-undang islam bersama dengan adat melayu.
Hal ini di akui sendiri Prof. Ahmad Ibrahim dalam satu tulisan beliau yang bertajuk “sekatan-sekatan dalam Pelaksanaan undang-undang Islam di Malaysia”, yang mana beliau menyatakan;
“Dalam kes Ramah lwn Laton, Mahkamah Rayuan di Selangor telah memutuskan bahawa undang-undang Islam ialah undang-undang negeri dan Mahkamah hendaklah mengiktirafkan dan menggunakan undang-undang itu[6]
Pun begitu, keadaan ini telah berubah dengan masuknya pengaruh British ke negeri-negeri melayu. Raja-raja melayu telah membuat triti dengan pihak berkuasa British dan bersetuju menerima nasihat British dalam semua bidang kecuali agama Islam dan adat melayu.
Perkataan “agama Islam” telah diberi tafsiran yang sempit dan “agama” itu dianggap sama seperti agama kristian. Dengan tafsiran ini pihak British telah dapat mempengaruhi bidang undang-undang di Malaysia, yang dianggap olehnya tidak berhubung dengan agama[7].
Dengan keadaan itulah, apabila hakim-hakim menghadapi sesuatu masalah yang tidak boleh diselesaikan melalui undang-undang bertulis, mereka kerap kali merujuk kepada undang-undang inggeris[8] kerana dalam undang-undang Malaysia, akta tafsiran dalam seksyen 117 menyatakan;
“Dalam kes mana-mana konflik atau perbezaan di antara teks bahasa Inggeris undang-undang bertulis dan apa-apa tafsiran, maka teks Bahasa Inggeris hendaklah terpakai[9]
Dari hujjah ini, sudah memadai untuk dinyatakan, undang-undang Malaysia yang merupakan rujukan utama bagi negeri-negeri bukanlah bersumberkan kepada Islam, maka lebih-lebih lagi dengan dakwaan bahawa undang-undang Malaysia ini adalah Ahl As-Sunnah Wa Al-Jamaah.
Yang lebih nyata lagi, undang-undang kufur ini telah menjadi dokongan dan sandaran utama oleh Pihak kerajaan Barisan Nasional yang UMNO merupakan ketuanya.
UMNO dalam perlembagaannya dengan nyata mempertahankan perlembagaan Malaysia yang tidak berasaskan kepada Islam. Fasal 3, perkara 3.2 perlembagaan UMNO menyatakan;
“Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berpelembagaan[10]
Dengan ini jelas, betapa UMNO yang merupakan anutan Shahidan Kasim telah berkitabkan kepada perlembagaan Malaysia yang tidak Islam. yang ini dengan nyata, UMNO bukanlah sebuah parti yang mendokong aqidah Ahl As-Sunnah Wa Al-Jamaah, tetapi parti secular yang berasaskan kepada fahaman “agama suku, politik suku”.
PENUTUP
Menggunakan kalimah Islam dan “berbau Islam”, seperti perjuangan Sunnah, Salaf as-soleh, Islam Hadhari dan sebagainya bagi melambatkan perjuangan untuk mendaulatkan islam merupakan perkara yang sudah lama berlaku dalam sejarah islam.
Perkara ini dinyatakan oleh Allah dalam Firman-Nya;
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَى مَا فِي قَلْبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ
Maksudnya;
“dan di antara manusia ada orang Yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan Engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah Dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa Yang ada Dalam hatinya, padahal ia adalah orang Yang amat keras permusuhannya (kepadamu)”(Surah Al-Baqarah : 204)
Walaupun ayat ini asalnya diturunkan berkenaan dengan seorang yang mendakwa Islam bernama Al-Akhnas bin As-Syariq As-Saqafi yang mahu memperdaya Rasulullah SAW[11], tetapi ianya pada hakikat sedang berlaku kepada umat Islam keseluruh alam zaman ke zaman dalam memperdaya umat Islam agar tidak menjadikan islam sebagai agama yang memerintah.
Dalam keadaan itulah, hendaklah umat Islam berhati-hati dengan agenda licik dan berstrategi bagi melambatkan kemenangan islam disamping tidak terpedaya dengan pemikiran yang merosakkan ini.
Sekian
Wallahu ‘AlamAl-Bakistani
[1]http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=289969
[2] Sahih Muslim : 3/1391 . Hadis no : 1770.
[3] Sahih Al-Bukhari : 2/849. Hadis no : 2279.
[4] Perlembagaan dan Undang-undang AM : m/s 50
[5] Perlembagaan persekutuan (Hingga 15 hb September 2003) : m/s 93.
[6] Al-Ahkam (Islam dalam perlembagaan) : 4/45.
[7] Al-Ahkam (Islam dalam perlembagaan) : 4/45-46.
[8] Al-Ahkam (Islam dalam perlembagaan) : 4/46.
[9] Perlembagaan dan Undang-undang Am : m/s 253.
[11] Tafsir Ibni Kathir : 1/562